SURAH AN-NUR : AYAT 61

\"\"

KELONGGARAN HUKUM KEPADA OKU, ADAB MAKAN DI RUMAH KELUARGA DAN KAWAN & ADAB MEMBERI SALAM KEPADA SEMUA

Full video : https://youtu.be/Rbs9IXfkWHE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri kali ini kita akan membaca hanya satu ayat sahaja, tetapi ayatnya panjang dan mengandungi beberapa hukum yang jelas dan terperinci.
  2. Antaranya hukum kelonggaran yang diberikan kepada golongan kurang upaya dan yang sakit.
  3. Serta diberi juga bimbingan dalam adab makan, samada di rumah kita sendiri, rumah keluarga atau rumah kawan-kawan.
  4. Juga adab memberi salam, cara dan kelebihannya.

AYAT 61- {TIDAK ADA SALAHNYA BAGI ORANG BUTA, DAN TIDAK ADA SALAHNYA BAGI ORANG TEMPANG, DAN TIDAK ADA SALAHNYA BAGI ORANG SAKIT (JIKA MASING-MASING TIDAK MENJALANKAN SESUATU PERINTAH DISEBABKAN KEUZURANNYA MENGHENDAKI IA BERLAKU DEMIKIAN), DAN JUGA TIDAK ADA SALAH BAGI KAMU (TERMASUK ORANG-ORANG YANG TERSEBUT TURUT SAMA) MAKAN DI RUMAH KAMU SENDIRI, ATAU DI RUMAH BAPA KAMU, ATAU DI RUMAH IBU KAMU, ATAU DI RUMAH SAUDARA KAMU YANG LELAKI, ATAU DI RUMAH SAUDARA KAMU YANG PEREMPUAN, ATAU DI RUMAH BAPA SAUDARA KAMU (SEBELAH BAPA), ATAU DI RUMAH EMAK SAUDARA KAMU (SEBELAH BAPA), ATAU DI RUMAH BAPA SAUDARA KAMU (SEBELAH IBU), ATAU DI RUMAH EMAK SAUDARA KAMU (SEBELAH IBU), ATAU DI RUMAH YANG KAMU KUASAI KUNCINYA, ATAU DI RUMAH SAHABAT KAMU; TIDAK JUGA MENJADI SALAH BAGI KAMU, MAKAN BERSAMA-SAMA ATAU BERASING-ASING. MAKA APABILA KAMU MASUK KE MANA-MANA RUMAH, HENDAKLAH KAMU MEMBERI SALAM KEPADA (SESIAPA YANG SEPERTI) KAMU DENGAN MEMOHON KEPADA ALLAH CARA HIDUP YANG BERKAT LAGI BAIK. DEMIKIANLAH ALLAH MENERANGKAN AYAT-AYAT (YANG MENJELASKAN HUKUM-HUKUMNYA), SUPAYA KAMU MEMAHAMINYA.} (AN-NUUR 24:61)

  1. Dalam ayat ini dijelaskan tentang keadaan orang yang kurang upaya seperti orang buta, bisu, pekak dan tempang, atau orang sakit dan uzur sakit dan seumpamanya.
  2. Terdapat dua hukum yang boleh didapati dari ayat ini:
    i- tidak diwajibkan mereka pergi berperang atau buat sesuatu perintah ibadat kerana keuzuran itu.
    ii- tidak ada salahnya bagi mereka untuk dibawa makan bersama di dalam rumah orang lain, tetapi dengan mematuhi peraturan dan SOP Syariah.
  3. Ayat ini diturunkan menurut ulama\’ ada dua pendapat:
    i- apabila terdapat sekumpulan kaum lelaki yang tidak dapat pergi berperang. Contohnya Rasulullah s.a.w pernah melantik Abdullah ibnu Ummu Maktum r.a yang buta sebagai wakilnya di Madinah). Lalu golongan OKU dan uzur ini, yang tidak pergi berperang dan berada di Madinah itu, dibenarkan untuk ziarah dan makan minum di beberapa buah rumah yang akan disebut ini.
    ii- Juga kerana mungkin adab Arab Jahiliyyah dulu yang mengasing dan menyisihkan golongan ini, tidak makan bersama, tidak bawa masuk dalam rumah lalu Islam datang menyamaratakan hak dan kedudukan mereka, jangan pandang rendah kepada golongan ini.
  4. Di sini Allah s.w.t membawa 11 buah rumah yang tidak ada salah bagi kamu serta termasuk orang-orang uzur yang tersebut tadi turut sama makan:
    1- makan di rumah kamu sendiri, (atau rumah anak kamu).
    2- atau di rumah bapa kamu,
    3- atau di rumah ibu kamu,
    4- atau di rumah saudara kamu yang lelaki,
    5- atau di rumah saudara kamu yang perempuan,
    6- atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), عم
    7- atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), عمة
    8- atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), خال
    9- atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), خالة
    10- atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya,
    11- atau di rumah sahabat kamu.
  5. Bagi rumah-rumah ini, tidak menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau makan bersendirian kamu, ini juga untuk waktu makan yang tidak biasa.
  6. Kenapa tidak disebut rumah anak-anak mereka? Ini kerana anak itu sudah dikira termasuk dalam harta/rumah bapa sendiri, kerana kerapatan hubungan kerabat mereka. Tetapi bukan maksudnya hakmilik mutlak.
  7. Hadis: diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
    إِنَّ مِنْ أَطْيَبِ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ وقَالَ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ وَمَالُكَ لِوَالِدِكَ إِنَّ أَوْلاَدَكُمْ مِنْ أَطْيَبِ كَسْبِكُمْ فَكُلُوا مِنْ كَسْبِ أَوْلاَدِكُمْ
    Maksudnya: \”Sesungguhnya sebaik-baik harta yang dimakan oleh seorang lelaki ialah harta yang diperolehi daripada hasil usahanya sendiri. Begitu juga anaknya adalah daripada hasil usahanya sendiri.
    Baginda bersabda lagi: \”Dirimu dan hartamu adalah milik kepunyaan bapamu. Anak-anakmu adalah sebaik-baik hasil usahamu. Oleh itu, makanlah hasil usaha anak-anakmu.\” [Riwayat Abu Daud (3528) dan al-Tirmizi (1358)]
  8. Ulama\’ kata maksud masuk makan ini ialah makan yang tidak dijemput, bukan hari kenduri umum.
  9. Ulama\’ juga membincangkan tentang rumah adik-beradik perempuan dan ibu saudara- jika dia tidak bekerja serta rumah dan harta itu milik suami, kita kena lihat dan ambil kira keadaan suami itu, dia seorang yang pemurah dan baik aje atau sebaliknya. Kena lihat keadaan pemilik asalnya juga.
  10. Maksud ayat {..rumah yang kamu kuasai kuncinya}, yang diberi oleh tuannya keizinan untuk guna, atau pekerja atau petugas yang diberi kunci, boleh guna secara amanah.
  11. Maksud ayat: {…atau di rumah sahabat kamu}, juga dengan syarat sudah ada keizinan dan jaga batas Syariah jika dia ada keluarga.
  12. Selain keizinan juga, jangan sampai menyusahkan tuan rumah.
  13. Hikmah yang dimaklumkan dari ayat ini, sudah menjadi adat/uruf bahawa tuan rumah yang disebut ini membenarkannya.
  14. Maksud ayat: {..makan bersama-sama atau berasing-asing.}. Ini kerana ada adat satu kaum Arab, Bani Laith yang tidak akan makan jika tidak ada tetamu atau makan beramai-ramai, mereka merasa enggan dan berdosa bila makan sendirian, melainkan bila ditemani oleh orang lain. Jadi Islam memberi pilihan tidak memaksa begini.
  15. Yakni Allah s.w.t menyatakan tidak ada salahnya samada nak makan beramai-ramai atau seorang diri sahaja. Kedua cara ini boleh sahaja, lalu tidak semestinya kita makan dalam talam beramai-ramai.
  16. Tidak ada halangan untuk makan secara berjamaah atau makan sendirian, walaupun makan dengan berjamaah lebih berkah dan lebih utama.
  17. Hadis:
    عن وحشي بن حرب:] يا رسولَ اللَّهِ إنّا نأكلُ ولا نَشبعُ قالَ: فلعلَّكُم تأكُلونَ متفرِّقينَ؟ قالوا: نعَم، قالَ: فاجتَمعوا على طعامِكُم، واذكُروا اسمَ اللَّهِ علَيهِ، يبارَكْ لَكُم فيهِ
    الألباني (ت ١٤7٠)، صحيح ابن ماجه 7٦٧٤ • حسن •
    Dari Wahsyi bin Harbi, dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Kami ini makan tetapi tidak kenyang-kenyang. Rasulullah bertanya: \”Adakah kamu makan asing-asing? Dia menjawab – Ya. Lalu Rasulullah mengajarnya: \”Makanlah bersama secara jemaah dengan hidangan kamu, sebutlah nama Allah, semoga Allah memberkati kamu.\”
    i- Adab ini juga sesuai untuk diamalkan oleh satu keluarga yang tinggal bersama dalam satu rumah. Kita makan bersama-sama ibu bapa dan anak-anak, menambahkan kemesraan dan keeratan hubungan keluarga.
  18. Ayat- {Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik}:
    i- Adab apabila masuk ke dalam rumah, walaupun pun rumah kamu dan rumah orang lain, hendaklah memberi salam.
    ii- jika rumah kamu sendiri kosong maka beri salam untuk diri kamu sendiri atau untuk keluarga kamu yang ada di dalamnya. Mereka juga berhak menerima ucapan salam kesejahteraan itu.
    iii- Jika tidak ada orang di dalamnya dan kamu berhak masuk ke dalamnya, maka ucapannya adalah, Ibnu Umar berkata: \”Disukai untuk memberi salam bagi rumah kita yang kosong dengan berkata:
    السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ
    (Semoga salam terlimpahkan kepada kita dan juga kepada hamba-hamba Allah yang soleh).\”
    iv- Jika rumah orang lain kena bagi salam dan ada keizinan.
  19. Allah SWT berfirman:
    وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
    {Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).} (Surah an-Nisa\’: 86).
  20. Allah s.w.t menutup ayat ini dengan firman-Nya: {Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.}
    i- Yakni ayat-ayat dalam al-Quran ini telah jelas dan terperinci dan apa yang perlukan huraian telah dihuraikan oleh hadis-hadis Nabi s.a.w.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Dalam surah an-Nur ini terdapat 3 perkataan yang diulang dalam ayat-ayatnya, iaitu yang bermaksud: {Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya)} :
    i- dalam ayat 58 – كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ
    ii- dalam ayat 59- – كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ
    iii- dalam ayat 61- كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ
  2. Ajaran untuk memberi salam sebelum kamu memasuki rumah ini sebagai satu ucapan penghormatan dan ucap selamat dari Allah s.w.t. walaupun rumah kita sendiri, rumah keluarga atau kawan-kawan kita, tidak gugur adab dan sunnah memberi salam ini.
  3. Dalam maksud salam ini Allah sebut tiga perkara:
    i- tahiyyah/ ucapan dari Allah – تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ
    ii- Mubarakah- yang berkat- مُبَارَكَةً
    iii- toyyibah- lagi baik – طَيِّبَةً
  4. Uruf (adab) dan kebiasaan. Jika kita sudah maklum bahawa memang malis makan seperti kita dapat kad undangan majlis perkahwinan, tuan rumah sedang sibuk, hidangan sudah tersedia. Tidak menjadi kesalahan jika kita makan tanpa sempat jumpa dan dapat keizinan atau pelawaan tuan rumah untuk makan pada masa itu.
  5. Begitu juga jika majlis terbuka anjuran kawasan kita, maka makanlah TETAPI ingat izin itu hanya untuk makan di situ sahaja bukan tapau atau bungkus bawa balik!!! Kecuali dengan izin penganjur atau tuan majlis itu.
  6. Semoga kita dapat menghidupkan budaya dan sunnah memberi salam ini kepada sesama muslim seluruhnya.
    Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya berkaitan Islam apakah yang terbaik:
    تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَعَلَى مَنْ لَمْ تَعْرِفْ
    Maksudnya: \”Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal.\” [HR al-Bukhari (6236)]

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs