View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 90-91

MURTAD TAK MAHU TAUBAT, MATI DALAM KUFUR & TIDAK DITERIMA SEBARANG TEBUSAN DARI MEREKA.

Full video : https://youtu.be/LJeVyogSZ7U?si=-EzfIRSmChiGfF2V

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 80 sehingga 91, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini ada kesinambungan dengan tajuk yang semalam. 
    Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan tentang orang yang murtad tak mahu taubat, tidak akan diterima amalannya kecuali mereka kembali bertaubat.
  1. Allah juga ceritakan tentang orang kafir yang mati dalam kufur, sekarang baru mereka percaya & yakin akan kebenaran selepas kematian.
  1. Lalu mereka pun cuba untuk menebus diri mereka daripada azab neraka tetapi tidak diterima sebarang tebusan dari mereka lagi, penyesalan di Akhirat tidak berguna lagi.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT galakkan supaya bertaubat, kemudian membaik pulih segala kerosakan yang dia sudah buat, lalu dia menjadi orang yang baik & soleh;
    Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun, rahmat & kasihan belas terhadap hamba-Nya.

    ii- Dalam ayat ini pula Allah beri amaran, ancaman keras terhadap mana-mana manusia yang tidak mahu beriman, tinggalkan syirik terus dalam kufur. 
    Ataupun kepada orang beriman tetapi masih tidak mahu meninggalkan maksiat & kemungkaran!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 90- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR SESUDAH MEREKA BERIMAN, KEMUDIAN MEREKA BERTAMBAH KUFUR LAGI, TIDAK SEKALI-KALI AKAN DITERIMA TAUBAT MEREKA, DAN MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG SESAT.} (ALI-‘IMRAN 3:90)

  1. Sesungguhnya orang yang kufur selepas mereka mengecapi kemanisan iman, mereka murtad lalu akan bertambahlah kejahatan & kekufuran mereka. 
  1. Kemudian mereka berterusan atas kekufuran mereka lalu mati dalam keadaan kafir itu; Allah SWT tidak akan sekali-kali menerima taubat mereka itu! 
    Dan merekalah orang-orang yang sesat.
  1. Sebab nuzul ayat : Riwayat dari Ibnu Abbas RA :
    Terdapat sekumpulan manusia yang memeluk Islam kemudian imannya goyah lalu murtad, kemudian masuk Islam kembali kemudian murtad kembali. Setelah itu, mereka datang kepada kaumnya dan bertanya tentang keadaan mereka itu. Lalu diceritakanlah hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Maka turunlah ayat ini: إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمَانِهِمْ ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَنْ تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ (٩٠)} {90. Sesungguhnya orang-orang Kafir sesudah beriman, kemudian bertambah kekafirannya, sekali-kali tidak akan diterima taubatnya; dan mereka itulah orang-orang yang sesat.} [HR Al-Bazzar– Kata Ibnu Kathir, Sanadnya Jayyid].
  1. Allah SWT menyatakan bahawa Dia tidak akan terima taubat seseorang di saat sudah nak mati, apabila sudah nazak. 
  1. Ada setengah ulama’ tafsir kata maksudnya {tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka,}: Allah SWT tidak akan buka hatinya, cerahkan dadanya, tidak beri taufiq untuk dia bertaubat & Allah tidak akan terima taubatnya!
    Jadi macamana Allah nak terima taubat mereka itu kerana mereka tidak bertaubat!
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah SWT:
    i- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.} (An-Nisaa’ 4:137)

    ii- Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta berlaku zalim, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kepada mereka: Selain dari jalan neraka jahanam, yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya; dan balasan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.} (An-Nisaa’ 4: 168-169)
  1. Orang kafir yang murtad sesudah beriman kemudian bertambah kejahatan & kekafiran mereka; itulah orang yang telah terpesong daripada jalan yang benar sama ada dengan perkataan atau perbuatan!
    Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus- jangan masukkan kami dalam kumpulan yang sesat, kumpulan yang keras kepala!

AYAT 91- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR, LALU MATI SEDANG MEREKA TETAP KAFIR, MAKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DITERIMA DARI SESEORANG DI ANTARA MEREKA: EMAS SEPENUH BUMI, WALAUPUN IA MENEBUS DIRINYA DENGAN (EMAS YANG SEBANYAK) ITU. MEREKA ITU AKAN MENDAPAT AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BEROLEH SEORANG PENOLONG PUN.} (ALI-‘IMRAN 3:91)

  1. Sesungguhnya orang kafir yang tidak mahu masuk Islam, berterusan kafir mereka sehingga mati dalam kekufuran; Allah SWT tidak akan terima semua amalannya, sama ada ibadat kepada Tuhan atau dari sudut muamalat yang baik sesama manusia. 
  1. Yakni Allah tidak terima kebaikan dan taubat mereka kerana mereka itu kafir- { لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ}- maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka}.
  1. Allah nyatakan dengan jelas bahawa orang-orang yang mati dalam keadaan kafir, walaupun mereka menawarkan tebusan atau sedekahkan emas seluas bumi pun- lalu mereka menawarkannya sebagai tebusan untuk menyelamatkan diri mereka dari siksa, maka sekali-kali tidak akan diterima. 
  1. Iaitu sekalipun mereka aktif dalam pelbagai persatuan kebajikan, banyak membantu dalam pelbagai misi kemanusiaan, tetapi mereka tidak beriman, maka Allah tidak akan terima segala amalan mereka. 
    Jika ada sesiapa yang kenal orang non-muslim yang baik, yang suka buat kebaikan maka dakwahlah dia kepada Islam jika mampu.
  1. Sebagaimana kisah lama Allahyarham TG Haji Abdur-Rahman dengan manager orang putih yang mahu berikan tanahnya untuk pondok dulu- diberitahu kepadanya dia tidak akan dapat pahala kerana dia tidak adq akaun.
    Cara buka akaun adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah.
  1. Hadis- UM Sayyidah Aisyah RA : Suatu hari pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang Abdullah bin Jud’an yang mati dalam keadaan syirik pada masa jahiliyah, akan tetapi dia orang yang baik, hubungi silaturrahim, suka memberi makan, suka menolong orang yang teraniaya dan punya kebaikan yang banyak. Rasulullah SAW menjawab: “Semua amalan itu tidak memberinya manfaat sedikitpun, kerana dia tidak pernah mengatakan: ‘Wahai Tuhanku, berilah keampunan atas kesalahan-kesalahanku pada hari kiamat kelak.” (HR. Muslim no. 214)
  1. Hadis qudsi riwayat dari Anas bin Malik RA : Bahawa Rasulullah SAW bersabda menceritakan bahawa Allah SWT berfirman kepada orang yang menerima azab yang paling ringan pada hari kiamat; Jika kamu mempunyai sesuatu di atas permukaan bumi sebagai tebusan, adakah kamu menebus azab ini dengannya?’ Orang itu pun menjawab, ‘Ya’. Allah SWT pun berfirman, ‘Aku menghendaki darimu agar melakukan sesuatu yang lebih mudah dari ini sewaktu kamu berada di dalam tulang sulbi Adam (iaitu) agar kamu tidak mempersekutukan sesuatu dengan-Ku, namun kamu telah ingkar (enggan) melakukannya, melainkan kamu telah mempersekutukan Daku.” [HR Bukhari & Muslim].

    Yakni Allah tidak minta dari manusia harta atau emas tetapi cukup dengan tauhid kepada Allah dan ibadat-ibadat yang lain!
  1. Allah SWT juga berfirman:
    i- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Maaidah 5:36) 

    ii- {“Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang-orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!”} (Al-Hadiid 57:15)  
  1. Yakni orang kafir yang mati dalam kekufuran mereka; bagi mereka di sisi Allah SWT di Akhirat kelak azab yang sangat dahsyat, sangat pedih & sangat menakutkan. 
    Tiada siapa yang boleh membantu atau menyelamatkan mereka daripada azab Allah atau menjauhkan mereka daripada kesakitan kepedihan siksa neraka itu- wal-‘iyazu billah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 90- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman,}-

    Orang yang kafir sudah beriman kemudian dia lari- namanya murtad {مرتد} iaitu berpaling tadah.
    Jika dia murtad berterusan sehingga mati- maka berterusanlah azabnya. 
    Tetapi jika dia murtad sekejap kemudian kembali bertaubat Allah akan terima taubatnya!
    Allah kata lagi: {kemudian mereka bertambah kufur lagi]- kafir mereka makin bertambah & makin kuat kufur mereka.
    Ayat ini juga dalil bahawa kafir itu ada peringkat mengikut amalan & kekufuran dan kejahatan mereka! 
    Sama seperti iman yang bertambah & berkurangan. 
    Contoh seperti iman Sayyidina Abu Bakar yang tinggi darjat, tidak sama imannya dengan orang biasa. 
    Maka begitu juga dengan kafir ada berbagai peringkat & tahap kekufurannya. 
    Bila kafir makin kuat, maka azab nerakanya juga makin kuat!
  1. Ayat 90- {tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.}-

    Allah menafikan dengan huruf lan- {لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ}- Yakni tidak akan diterima sama sekali taubat mereka!
    Apabila Allah terima taubat maknanya akan diampunkan dosa, dilepaskan daripada azab neraka dan akan diberi pemberian-pemberian yang lain!
    Punca nak dapatkan keampunan & rahmat Allah adalah taubat kembali kepada Allah.
    Insya’ Allah, Allah akan terima taubat seorang manusia itu mengikut SOP peraturan Syara’.
    Bila Allah nak beri orang itu bertaubat, maka dia sendiri akan terasa bersalah, Allah akan beri taufiq & hidayah untuk bertaubat maka pintu hatinya akan terbuka untuk bertaubat & kembali kepada Allah!
    Maka banyakkanlah berdoa & bertaubat sempena bulan Ramadhan ini seperti doa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada UM Sayyidah Aisyah RA : اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
    Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”
    Ulang selalu dalam tarawih kita, witir kita & setiap kali bangun sahur.
    Jika Allah tidak maaf dan ampunkan kita, maka kita akan jadi manusia yang rugi, yang celaka & mendapat azab di Akhirat kelak. 
  1. Ayat 90- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi,}-

    Orang yang kafir murtad kemudian bertambah kekafirannya!
    Kata ulama’ : Ayat ini menjadi dalil bahawa benda buruk atau jahat akan bertambah dengan kejahatan juga. Syirik akan melahirkan syirik, dosa akan melahirkan dosa!

    Kata ahli ilmu : maksiat akan melahirkan maksiat yang lain. Contoh- mula-mula minum arak, kemudian berzina lalu membunuh orang pula!
    Sama seperti kebaikan yang akan melahirkan pahala & kebaikan yang banyak juga! 
    Seperti kita nak pergi solat jemaah di masjid, bermula dari niat kita yang baik, kita bersiap berwuduk di rumah lagi- perjalanan ke masjid dan lain-lain semuanya akan melahirkan kebaikan pahala yang banyak sekali!
    Seperti kita pergi solat tarawih pada bulan Ramadhan ini betapa banyaknya solat & pahala yang kita dapat. 
    Ketepikan polemik bilangan rakaat terawih tetapi kita berusahalah untuk solat tarawih & tunggu sehingga siap bersama imam, jangan lari di tengah jalan!

    Kata ulama’ : Seperti puasa bukan hanya menjaga perkara yang masuk ke dalam mulut saja; tetapi puasa juga menjaga apa yang keluar dari mulut (yakni perkataan buruk, keji dan seumpamanya).
  1. Ayat 91- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu.}-

    Allah tidak akan terima tebusan walaupun emas sepenuh bumi jika seseorang itu mati dalam kekufuran.
    Kita orang beriman tebus diri kita daripada neraka dengan iman & amal soleh- tidak perlu emas sepenuh bumi! 
    Allah hanya minta dengan kita sikit sahaja, beriman & jauhkan diri daripada syirik!

    Kata ulama’ tadabbur : Sesiapa yang tidak bawa naik rohnya ke tingkat keimanan yang jitu kepada Allah SWT; maka di Akhirat kelak dia akan menjunam turun ke dalam lembah neraka yang paling bawah- wal-‘iyazu billah! 
    Kita ni sama ada naik ke atas atau menjunam turun ke bawah!
    Ya Allah jadikan kami orang yang mantap iman, orang yang beramal soleh & yang menjauhkan diri daripada sebarang bentuk syirik, mungkar dan bid’ah! 
    Ya Allah selamatkan kami, kedua ibu bapa kami & semua orang yang kami sayangi daripada api neraka!
  1. Ayat 90- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi,}-

    Ayat ini menunjukkan bahayanya orang yang tidak bertaubat. 
    Apabila tidak bertaubat dosanya meningkat-meningkat kerana Allah tidak akan ampunkan dosa orang yang syirik!
    Kita orang beriman kena berusaha sentiasa tingkatkan taqwa & ibadat kita kepada Allah. Sentiasa bertaubat beristighfar agar Allah ampunkan dosa kita & terima taubat kita.

    Rasulullah SAW setiap hari beristighfar lebih daripada 100 kali sehari.
    Dari Anas bin Malik RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan beristighfarlah (memohon) ampun kepada-Nya, kerana sesungguhnya aku bertaubat sebanyak seratus kali dalam satu hari.” [HR Muslim].

    Ini untuk mengajar kepada kita umatnya bahawa Baginda yang tidak ada dosa pun sentiasa beristighfar bertaubat kepada Allah, apatah lagi kita yang banyak dosanya ini!

Mudah-mudahan memberi manfaat & meningkatkan keimanan.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs