SURAH AS-SAJDAH : AYAT 15-17

\"\"

SIFAT ORANG MU\’MIN SENTIASA SUJUD KEPADA ALLAH, BERMUNAJAT WAKTU MALAM & PAHALA YANG DISEDIAKAN SANGAT BESAR.

Full video : https://youtu.be/u7eL_RLDR_s

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bermula dengan ayat ke15 yang mengandungi ayat sujud yang dinamakan sujud tilawah (sujud kerana kita baca ayat sujud itu) atau sujud Sajdah (yakni satu sujud kerana sujud).
  2. Untuk maklumat terdapat 15 ayat tempat sujud yang ditanda dalam al-Quran dengan gambar seolah mihrab kecil. Kita boleh sujud jika membacanya sendiri ayat ini ataupun ketika mendengar orang lain membacanya.
  3. Bacaan yang warid dalam riwayatnya ialah:
    Doa sujud tilawah
    سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ (فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ)
    Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta. [At-Tirmidhi 580, Ahmad (6/30) dan Al-Hakim]
  4. Jika tidak hafaz boleh saja baca
    سُبْحَانَ رَبَّيَ الأَعْلَى atau سُبْحَانَ الله
    Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi.
    **Tetapi seeloknya cuba baca dan hafaz doa yg warid itu.
  5. Dalam siri yang lepas kita telah dengar akan keadaan orang kafir pada hari Kiamat yang tunduk dalam kehinaan, penyesalan dan ketakutan. Serta penyesalan mereka yang mahu hidup kembali untuk beriman dan beribadat.
  6. Sedangkan semasa hidup di dunia mereka menolak dakwah dan ajaran Rasulullah s.a.w kerana mereka sombong dan angkuh maka tiada guna lagi penyesalam selepas kematian dan Kiamat.
  7. Dalam siri ini pula Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tentang keadaan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat-Nya dan menyifatkan keadaan mereka, yang sentiasa sujud dan bermunajat kepada-Nya.
  8. Lalu Dia sediakan pahala yang sangat besar untuk mereka, sesuatu yang tidak dapat dibayang dan digambarkan.

AYAT 15- {SESUNGGUHNYA YANG SEBENAR-BENAR BERIMAN KEPADA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI HANYALAH ORANG-ORANG YANG APABILA DIBERI PERINGATAN DAN PENGAJARAN DENGAN AYAT-AYAT ITU, MEREKA SEGERA MEREBAHKAN DIRI SAMBIL SUJUD (MENANDAKAN TAAT PATUH), DAN MENGGERAKKAN LIDAH DENGAN BERTASBIH SERTA MEMUJI TUHAN MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK BERSIKAP SOMBONG TAKBUR.} (AS-SAJDAH 32:15)

  1. Mulai ayat ini Allah s.w.t menerangkan sifat orang mukmin pula.
    Dalam ayat ini dinyatakan sifat mereka yang terpuji itu ialah:
    i- apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat al-Quran, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh),

ii- sentiasa menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, mensucikan-Nya dari segala cacat cela dan kekurangan. Yang lemah, cacat dan aib itu kita.

iii- dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
Tidak sombong untuk bersujud dan bertasbih kepada Allah s.w.t. kerana orang beriman itu tidak sekali-sekali sombong dan besar diri!

  1. Ayat ini adalah ayat sajdah maka disunatkan kita sujud apabila membacanya atau mendengar orang membacanya jika keadaan sesuai, jika tidak, tidak mengapa tetapi rugilah.
    Tengok keadaan kita yang penting kita ada pergerakan, respon yang menunjukkan kita sujud kepada Allah s.w.t.
  2. Manusia itu ada dua kategori dan akan mengikut suasana tempat keadaan yang disediakan untuknya.
    Yang pertama Allah s.w.t telah sebutkan dalam ayat sebelumnya iaitu mereka yang angkuh dan sombong lalu tidak beriman dengan ayat-ayat Allah. Tidak percaya akan bangkit semula dan jumpa Allah.
    Mereka ini akan mendapat murka dan azab Allah Azza wa Jalla.
  3. Maka Allah bawa pula keadaan atau sifat golongan yang satu lagi inilah golongan yang beriman, terus bersujud apabila mendengar ayat-ayat Allah s.w.t.
    Ulama\’ kata maksudnya ayat-ayat Allah ini:
    i- ayat al-Quran itu sendiri khasnya.
    ii- ada juga kata ianya umum, semua tanda-tanda dalil kebesaran Allah s.w.t yang dapat menguatkan iman kita kepada Allah s.w.t.
  4. Sujud itu salah satu tanda kita merendahkan diri kepada Allah s.w.t, kerana kita meletakkan muka kita pada tempat yang yang paling rendah di muka bumi ini, tempat yang kita pijak, semata-mata kerana Allah. Kita iqrar mengagungkan keesaan dan keagungan Allah s.w.t.
  5. Kerana itu jangan sujud kepada benda lain kerana sujud itu tanda kehinaan, maka haram kita menghinakan diri selain kepada Allah s.w.t.
  6. Firman Allah s.w.t: {Kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);} (Al-Israa\’ 17:107)
  7. Hadis; Sabda Rasulullah s.a.w: \”Keadaan seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia sedang bersujud, maka perbanyaklah berdoa saat itu.\” (HR. Muslim, no. 482).
  8. Maka jika kita mampu bersujudlah kepada Allah s.w.t kerana ia adalah satu nikmat yang besar. Jika tidak mampu dengan anggota sujudlah dengan hati, dengan penuh khusyuk dan tawadhuk.
  9. Kata UM Aisayah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w sering membaca Doa ini ketika rukuk dan sujudnya:
    سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
    Maha Suci Engkau Ya Allah, Ya Tuhan kami dan dengan memujiMu Ya Allah, ampunilah aku. [Al-Bukhari 794 dan Muslim 484. Dari App Perisai Muslim.]

Biar adalah nilai tambah dalam amalan kita, bacaan selepas yang biasa itu.

AYAT 16- {MEREKA MERENGGANGKAN DIRI DARI TEMPAT TIDUR, (SEDIKIT SANGAT TIDUR, KERANA MENGERJAKAN SEMBAHYANG TAHAJJUD DAN AMAL-AMAL SOLEH); MEREKA SENTIASA BERDOA KEPADA TUHAN MEREKA DENGAN PERASAAN TAKUT (AKAN KEMURKAANNYA) SERTA DENGAN PERASAAN INGIN MEMPEROLEHI LAGI (KEREDAANNYA); DAN MEREKA SELALU PULA MENDERMAKAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG KAMI BERI KEPADA MEREKA.} (AS-SAJDAH 32:16)

  1. Allah s.w.t sebutkan lagi sifat atau tanda mereka yang beriman ini;
    i- Mereka bangun malam meninggalkan tempat tidur, yakni sedikit sangat tidur,
    ii- bangunnya untuk mengerjakan solat tahajjud, bermunajat dan beramal soleh.
  2. Sanggup meninggalkan keenakan tempat tidur dan kerehatan badan, semasa orang lain sedangkan enak tidur, dia bangun untuk bermunajat dan beribadat kepada Allah s.w.t.
  3. Mereka pula bangun dari tidur dalam keadaan خَوْفًا وَطَمَعًا:
    i- takut خَوْفًا akan kemurkaan Allah s.w.t jika tersilap melakukan dosa.
    ii- tamak طَمَعًا iaitu amat mengharapkan keredhaan Allah s.w.t dan keampunan-Nya.
  4. Apa yang perlu buat bila kita bangun tahajjud di tengah malam-
    i- baca doa bangun tidur yang diajar Rasulullah s.a.w, bersihkan diri boleh mula solat Qiyamullail apa saja niat- kemudian ditutupi dengan solat witir pada akhirnya.
    ii- boleh diselang-seli dengan zikir atau membaca al-Quran jika ada masa.
  5. Ingat: berbeza amali buat sungguh amalan yang disebut dengan pahala yang didapati menyamainya jika buat sesuatu ibadat lain. Pastilah lebih besar yang dibuat amali itu. Seperti pahala yang menyamai mengerjakan haji, tidak sama dengan pahala buat haji sungguh.
  6. Sifat orang beriman juga, mereka bersedekah, mendermakan sebahagian dari apa yang telah Allah s.w.t berikan rezeki nikmat-Nya kepada mereka.
  7. Allah kembarkan antara ibadat tahajjud ini dengan kelebihan bersedekah kerana keduanya mempunyai persamaan dari segi pengorbanan dan menjaga hubungan:

i- Ibadat tahajjud- seseorang itu sanggup mengorbankan nikmat tubuh badan iaitu tidur yang enak untuk bangun beribadat semata-mata kerana Allah s.w.t. Ini adalah hubungan istimewa seorang hamba dengan Tuhan-Nya.

ii- Bersedekah – seseorang itu sanggup mengeluarkan hartanya iaitu nikmat rezeki harta yang dikurniakan kepadanya juga semata-mata kerana Allah. Serta dalam masa yang sama menjaga hubungan sesama manusia.

  1. Jadi kesimpulannya seorang mukmin yang beriman itu ialah yang baik hubungannya dengan Tuhan dan juga dengan manusia.
    Tiada istilah baik, baik dengan Tuhan walaupun jahat dengan manusia atau sebaliknya.
    Walaupun ingkar perintah Allah; tidak solat, tidak tutup aurat, tetapi sangat baik dan suka menolong manusia- maka tidak lengkap iman dan bukan benar-benar beriman!

AYAT 17- {MAKA TIDAK ADA SESEORANG PUN YANG MENGETAHUI SATU PERSATU PERSEDIAAN YANG TELAH DIRAHSIAKAN UNTUK MEREKA (DARI SEGALA JENIS NIKMAT) YANG AMAT INDAH DIPANDANG DAN MENGEMBIRAKAN, SEBAGAI BALASAN BAGI AMAL-AMAL SOLEH YANG MEREKA TELAH KERJAKAN. (AS-SAJDAH 32:17)

  1. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang balasan yang disediakan-Nya untuk orang mukmin ini. Ia adalah seumpama satu surprise besar, kejutan istimewa yang menantinya.
  2. Hadis Qudsi – Rasulullah S.A.W sentiasa bercerita mengenai syurga untuk memberi rangsangan dan mendorong keinginan umatnya menjadi penghuni syurga.
    Menerusi hadis Qudsi: \”Aku menyediakan syurga kepada hamba-Ku yang soleh. Sesungguhnya suatu pemandangan yang tidak pernah terpandang oleh pandangan mata dan telinga ini tidak pernah mendengar betapa indahnya syurga itu. Hati kita tidak pernah terdetik seindah ini syurga Allah.\”Abu Hurairah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Sekiranya kamu mahu, bacalah ayat ini, seperti mana firman Allah dalam surah as-Sajdah, ayat 17 yang bermaksud: \”Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal soleh yang mereka telah kerjakan.\” [HR Bukhari]
  3. Al-Mughirah ibn Syu\’bah menceritakan sebuah kisah yang ia dengar dari Rasulullah S.A.W.: Suatu hari Nabi Musa A.S pernah bertanya kepada Allah S.w.t,
    \”Ya Allah, bagaimanakah nikmat yang akan Engkau berikan kepada penghuni syurga yang paling rendah?\”
    \”Seseorang yang dimasukkan ke syurga, setelah seluruh penghuni syurga masuk terlebih dahulu,\” Jawab Allah.
    Jadi penghuni syurga yang paling rendah akan masuk ke syurga setelah seluruh penghuni syurga masuk, atau dengan kata lain ia akan masuk paling akhir.
    Lalu orang itu ditanya, \”Relakah kamu jika diberi kenikmatan dan kekayaan sebagaimana telah diberikan kepada salah seorang raja paling kaya dari raja-raja di dunia?\”
    \”Aku redha, ya Allah,\” jawabnya.
    \”Kamu akan mendapatkan seperti raja tadi dan ditambah empat kali gandanya. Redhakah kamu ?\”
    \”Aku sangat redha, ya Allah.\” Jawabnya.
    \”Kamu akan mendapatkan semua itu,\” firman Allah, \”Ditambah semua yang kamu sukai dan semua yang ingin dimiliki kedua matamu\”.
    *(Sungguh betapa besar nikmat yang Allah S.w.t berikan kepada penghuni syurga yang paling rendah jika kita bandingkan nikmat yang ada di dunia ini.
    Kekayaan empat kali ganda seorang raja paling kaya di dunia ini akan diberikan kepada penghuni syurga yang paling rendah.)
    Nabi Musa a.s kembali bertanya, \”Lalu, seperti apakah kenikmatan yang akan Engkau berikan kepada penghuni syurga yang paling tinggi tingkatannya, ya Allah?\”
    Allah menjawab, \”Ketahuilah Musa, kenikmatan yang akan aku berikan untuk mereka tak akan terlihat oleh mata, terdengar telinga, juga tak akan dapat tedetik hati manusia, kerana besar dan istimewanya kenikmatan tersebut. Aku sendiri yang memberikannya, Aku sendiri yang menyiapkannya, bahkan Aku sendiri yang menjaga dan menyimpannya\”.
    Sungguh nikmat yang sangat besat, bahkan mata dan pikiran kita sebagai manusia tidak dapat menjangkau nikmat syurga yang paling tinggi. Nikmat yang Allah berikan kepada penghuni syurga yang paling tinggi dapat diketahui melalui Firman-Nya ini:{\”Tidak seorang pun dapat mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan mereka atas apa yang mereka kerjakan.\”} [As-Sajadah: 17] [HR Muslim].
  4. Inilah sifat orang mukmin yang menjaga hubungannya dengan Allah s.w.t dengan bangun beribadat dan bermunajat kepada Tuhannya pada waktu malam yang sunyi.
  5. Dia juga menjaga hubungannya dengan manusia dengan memberi mereka sedekah dari hartanya.
  6. Kata Abu Anas: Sedekahlah sekarang kerana kain kafan tidak ada poket.
    Nabi s.a.w kata harta kita tidak kurang dengan sedekah, cuma kita tukar akaun, dari akaun dunia kepada akaun hari Akhirat. Untuk kita juga maka akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda insya\’ Allah.
  7. PERINGATAN:
    i- Bersedekahla bila-bila masa saja, bukan semestinya sedekah subuh dan lain-lain nama yang diberi. Subuh tumpukan masa kita untuk ibadat dan munajat.
    ii- Serta bangunlah tahajjud seorang diri tanpa perlu sertai, update atau lapor dalam apa-apa grup. Ia hanya antara kita dengan Allah Azza wa Jalla.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15- {Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami …. dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.} – sifat orang mukmin itu tawadhuk, tidak sombong dengan ayat Allah s.w.t. Juga tidak sombong sesama manusia serta tidak sombong dengan ilmu.
  2. Ayat 15- {Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.} – tanda bahawa iman itu mesti dibuktikan, dalam ayat ini Allah s.w.t tunjukkan tanda-tanda keimanan orang yang beriman itu:
    i- apabila diberi nasihat, peringatan dan mendengar ayat Allah mereka terus sujud serta akur dan dengar.
    ii- tanda beriman itu dengan hati, tetapi orang tak nampak, maka anggota itulah yang akan menyerlahkan keimanan sesama manusia.
    iii- buktikan tanda kita beriman dengan memathuhi Syari\’ah.
    iv- Madkhal – pintu kemasukan iman ada tiga:
    a. yakin dan membenarkan dengan hati.
    b. kata/ikrar dengan lidah.
    c, beramal dengan annggota.
    Keluarnya iman juga melalui tiga perkara ini.
  3. Ayat 15- {Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami.. mereka segera merebahkan diri sambil sujud} –
    Ulama\’ kata boleh kita mengambil dalil sesuatu itu melalui bukti/evidence tanda-tanda yang kita nampak. Ini untuk qadhi membuat hukuman. Kita pun boleh menilai melalui zahir dan kelakuan sebagai tanda-tanda kebaikannya atau sebaliknya. yang dalam hati kita manusia tak nampak, hanya Allah yang tahu.
  4. Ayat 15- {Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami..} – ini juga menunjukkan tanda orang yang beriman dan baik, apabila mendengar nasihat yang baik terus tunduk dan akur, lebih-lebih lagi nasihat dari al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.
  5. Ayat 15- {Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami …. dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.} – sifat orang mukmin tawadhuk merendah diri kepada Allah juga tidak sombong sesama makhluk – dengan mendengar nasihat dan teguran.
  6. Ayat 16- { mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); خَوْفًا وَطَمَعًا} – sepatutnya bagi orang yang berdoa dan beribadat mesti mempunyai dua sifat ini.
    Takut Allah murka dan tidak terima; serta benar-benar memohon berdoa, bersungguh dengan harapan yang penuh bahawa Allah s.w.t akan kabulkannya.
  7. Dalam ayat 16 ini Allah s.w.t sebut dua perkara; tinggalkan tempat tidur dan bersedekah, mengapa???
    Ulama\’ kata apabila memperbanyakan waktu ibadat dengan sendirinya seseorang itu akan kurang waktunnya untuk dunia, untuk bekerja mencari rezeki habuan dunia. Maka jangan kamu berasa rugi dan takut akan kehilangan dan kekurangan rezeki akibat solat atau ibadat ini.
    Bahkan ayat ini menyatakan bahawa solat itu akan membawa berkat kepada rezeki kamu, Allah s.w.t akan hantar rezeki dari jalan yang tidak disangka.
  8. Ayat 16- {Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh);} – Allah s.w.t kata apabila kamu bangun tahajjud kamu tidak tahu apa balasan yang Allah sediakan untuk kamu. Balasan itu mengikut jenis amalan kita, kerana kita bangun malam secara secara sembunyi, maka nikmat syurga itu Allah sediakan amat besar tetapi disembunyikan dari pengetahuan kita.
    Kata al-Hasan al-Basri: \”Oleh kerana mereka menyembunyikan amalan mereka daripada diketahui orang lain, maka Allah s.w.t sembunyikan nikmat syurga itu apa yang mata tidak pernah lihat dan hati tidak pernah terfikir.

MAKA SEKALI LAGI PESANAN- JANGAN ROSAKKAN WAKTU MUNAJAT KITA DENGAN BERAMAI-RAMAI DALAM GRUP!

  1. Ayat 16- {Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh);} – ulama\’ kata ayat ini sebagai dalil bahawa sujud itu tanda beriman kepada Allah s.w.t, iman dan amal seiring dan berkembar. Amal tanda iman! Ini menolak fahaman murji\’ah dan sekular yang memisahkan antara iman dan amal. Adalah silap dan sesat bagi yang berkata: Saya beriman kepada Allah walaupun tidak tutup aurat, ambil riba dan rasuah dan lain-lain penentangan terhadap larangan Allah s.w.t.
  2. Ayat 16- {Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh);} – dalil bahawa iman yang mutlaq itu mesti ada amal. Iman dan amal wajib kembar!
    Allah s.w.t kata orang yang beriman itu adalah mereka yang bersujud dan bersedekah!
    Maka sesiapa yang baca al-Quran atau hadis Nabi s.a.w tetapi dia tidak ikut, maka itu bukan orang yang benar-benar beriman!

SEMOGA FAEDAH INI BOLEH MENJADI PANDUAN GARIS HIDUP UNTUK PERJALANAN KITA KE SYURGA INSYA\’ ALLAH.

Powered by BetterDocs