PUJIAN BUAT AHLI KITAB YANG JUJUR, TIDAK TUNGGANG AGAMA & ARAHAN SABAR DALAM PERJUANGAN.
Full video : https://youtu.be/JGs_QY7JrFs?si=4JRcov3KROXPvXdo
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 199 sehingga 200, Surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Sekali lagi alhamdulillah, pagi ini dengan limpah kurnia, taufiq & inayah (pertolongan) Allah SWT dengan siri ke-68 ini berakhirlah siri terakhir tafsir & tadabbur ringkas Surah Ali-‘Imran Imran yang mulia ini.
Kita berdoa supaya Allah sentiasa mencurahkan taufiq & ‘inayah pertolongan-Nya agar kita terus dapat belajar al-Quran & mengamalkannya selagi hayat dikandung badan, serta agar al-Quran menjadi peneman kita di dalam kubur & pemandu kita ke syurga di Akhirat kelak!
- Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan pujian buat ahli kitab yang jujur, yang amanah & ikhlas beriman dengan kitab-kitab mereka juga dengan al-Quran.
- Mereka tidak tunggang agama, tidak menyembunyikan kebenaran tentang Nabi SAW, tidak memutar-belit fakta yang ada dalam kitab mereka sebagaimana yang dibuat oleh sebahagian besar ahli kitab yahudi & nasrani yang lain.
- Kemudian Allah tutup ayat ini dengan beri arahan agar sabar dalam perjuangan, tetapi mestilah dalam skop orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.
Inilah ayat yang cukup besar sebagai panduan dalam perjuangan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
a)
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang keadaan orang mukmin dan sebelum itu kedudukan orang kafir yang nampak kejayaan mereka di dunia.
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan ada dari kalangan ahli kitab itu yang beriman. Jika mereka beriman, mereka akan masuk bersama golongan orang mukmin pada zaman Rasulullah SAW.
b)
i- Allah juga telah nyatakan perbuatan buruk ahli kitab seperti mencampakkan kitab & hukum Allah ke belakang, memutar-belit fakta yang ada dan pelbagai sifat buruk lagi seperti khianat janji & pecah amanah.
ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT ajar kepada kita sifat insof & adil dalam menilai manusia.
Allah nyatakan bahawa bukan semua mereka ahli kitab jahat & menyeleweng begitu, ada juga yang ikhlas & beriman seperti Sayyidina Abdullah bin Salam RA dan beberapa orang lagi, tetapi tidak ramailah mereka ini!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 199- {DAN SESUNGGUHNYA DI ANTARA AHLI KITAB, ADA ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN (KEPADA) APA YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU (AL-QURAN) DAN JUGA (KEPADA) APA YANG DITURUNKAN KEPADA MEREKA, SEDANG MEREKA KHUSYUK KEPADA ALLAH DENGAN TIDAK MENUKARKAN AYAT-AYAT ALLAH UNTUK MENGAMBIL KEUNTUNGAN DUNIA YANG SEDIKIT. MEREKA ITU BEROLEH PAHALANYA DI SISI TUHAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT SEGERA HITUNGAN HISABNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:199)
- Dalam ayat ini Allah SWT memuji ahli kitab yang beriman dengan kitab Taurat & Injil mereka, beriman dengan al-Quran & kitab nabi-nabi terdahulu juga!
Mereka ini dapat ganjaran beriman dengan dua kitab; Taurat/Injil & al-Quran.
- Mereka tidak seperti Ahli Kitab yang lain yang menunggang agama dengan menjual ayat-ayat Allah SWT dengan harga yang sedikit.
- Sabab nuzul ayat ini:
Hadis riwayat dari Anas ibnu Malik yang menceritakan bahawa ketika sampai berita bahawa Raja Najasyi telah meninggal dunia, Rasulullah SAW bersabda: Mohonkanlah ampun buat saudara kamu yang telah meninggal! Maka sebahagian sahabat terkejut & ada yang mengatakan, “Apakah Baginda memerintahkan kita agar meminta ampun bagi orang kafir yang mati di negeri Habsyah ini?” Maka turunlah firman Allah SWT ini: {Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab ada orang yang beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan yang diturunkan kepada mereka, sedangkan mereka berendah hati kepada Allah…} (Ali Imran: 199), sehingga akhir ayat.” [HR an-Nasa’ei dan lain-lain].
- Allah kata ada terdapat sebahagian dari ahli kitab itu walaupun tidak ramai tetapi ada mereka yang dari kalangan yahudi ini diketuai oleh Abdullah bin Salam RA, tak sampai pun 10 orang daripada mereka.
Manakala dari kalangan nasrani pula penentangan mereka kepada Islam pada zaman itu lebih lunak & jinak- maka lebih ramai dari kalangan mereka yang menerima Islam seperti an-Najasyi Raja Habsyah, Salman al-Farisi dan lain-lain.
- Kerana itu Allah gambarkan dalam al-Quran dengan firman-Nya:
{Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.} (Al-Maaidah 5:82)
- Kerana itu kita lihat ramai nasrani yang menerima Islam tetapi dari kalangan yahudi tidak ramai- tidak sampai 10 orang.
Tetapi walaupun mereka yang beriman ini sedikit tetapi Allah SWT mengajar kepada kita untuk berlaku adil, telus dan insof, dalam menilai orang.
Sebagaimana dalam buku “Islam Adalah Cara Hidup”– Disebut beberapa cara untuk adil & insof: https://dartaibah.com/…/*NEW-Buku-Islam-Cara-Hidup…
- Cuma pada zaman kita hari ini apakah ada lagi “Nasoro Mawaddah” nasrani yang dekat & lunak kepada orang Islam?
Tengoklah kepada alam realiti medan dakwah kita hari ini – jangan tengok kepada alam fantasi & sejarah yang telah berlalu!
Hati-hatilah kebanyakan pendakyah Kristian zaman ini adalah orang yang terkenal & masyhur.
- Dalam ayat ini Allah sebut 5 sifat ahli kitab yang baik, sekumpulan kecil mereka yang:
i- Beriman kepada Allah
ii- Beriman kepada kitab al-Quran yang diturunkan & kepada Nabi SAW.
iii- Beriman dengan kitab-kitab yang terdahulu iaitu Tertentu, Injil, Zabur dan lain-lain.
iv- Mereka khusyuk merendah diri, akur patuh taat kepada Allah!
v- Golongan ini tidak membeli agama Allah dengan harga yang sedikit; yakni mereka ini tidak menyembunyikan fakta yang benar & tidak seleweng atau tukar maklumat yang ada.
Iaitu memberi khabar gembira tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW & sifatnya yang jelas.
Inilah sifat sedikit dari kalangan yahudi & nasrani yang jujur.
- Bagi mereka yang beriman dengan ikhlas ini; pahala besar, anugerah agung yang Allah sediakan di sisi-Nya.
- Sesungguhnya hisab- perhitungan & balasan dari Allah itu sekejap saja akan tiba kerana dunia ini cepat hilang!
Maka kita kena fikir sebagai satu agenda apakah amalan baik yang kita nak hisab di Akhirat kelak!
AYAT 200- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERSABARLAH KAMU (MENGHADAPI SEGALA KESUKARAN DALAM MENGERJAKAN PERKARA-PERKARA YANG BERKEBAJIKAN), DAN KUATKANLAH KESABARAN KAMU LEBIH DARIPADA KESABARAN MUSUH, DI MEDAN PERJUANGAN), DAN BERSEDIALAH (DENGAN KEKUATAN PERTAHANAN DI DAERAH-DAERAH SEMPADAN) SERTA BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH SUPAYA, KAMU BERJAYA (MENCAPAI KEMENANGAN).} (ALI-‘IMRAN 3:200)
- Untuk buat benda baik banyak kesukaran akan kita hadapi!
Untuk mencapai kemenangan banyak halangan yang mesti ditempuh serta kena ada sifat-sifat khas-nya.
- Orang yang berjuang untuk menegakkan agama kena ada 4 sifat ini:
i- Mesti ada sifat sabar {ٱصْبِرُوا۟}.
Sabar itu pula atas 3 dimensi:
-Sabar dalam melakukan ketaatan.
-Sabar dalam meninggalkan maksiat.
-Sabar dalam menerima takdir Allah/ujian dari Allah.
Jangan gopoh hari ini ini berjuang esok nak menang terus.
Hari ini tanam pokok esok nak makan buah terus!
Mana boleh gitu semuanya ada watu & tempohnya!
ii- Sifat kedua ialah kuat dan mantapkan kesabaran kamu, jangan lemah semangat, jangan mudah koyak {وَصَابِرُوا۟}.
Jangan beri musuh terutamanya yang bukan Islam lebih kuat kesabarannya daripada kita orang Islam!
Jadikan kisah Imam Ahmad bin Hanbal rhm. sebagai satu contoh tauladan, iaitu semasa beliau dimasukkan ke dalam penjara dan disiksa dengan dahsyat- kerana mempertahankan pendapat bahawa al-Quran kalamullah bukan makhluk!
Semata-mata untuk menjaga aqidah umat akan datang.
Mereka yang berjuang atas kebatilan & mempertahankan kesesatan boleh sabar takkanlah kita yang memperjuangkan kebenaran ini, yang yakin dengan pertolongan Allah yang yakin dengan perjuangan ini, tidak boleh sabar????
iii- Bila kamu sabar, sifat ketiga ialah kamu jangan lari- tegakkan pendirian {وَرَابِطُوا۟} berada di medan perjuangan dan jaga sempadan negara.
Hari ini ini alhamdulillah negara kita ada pengawal sempadan, ada kastam & ada imigresen bahakan ada yang buat tembok lagi!
Tetapi ada satu lagi sempadan yang sering diceroboh oleh manusia, yang perlukan tentera junud yang terlatih, sabar, buat kerja dengan amanah iaitu sempadan agama yang semakin hari semakin rapuh diserang oleh musuh!
Kita juga dirempuh oleh orang Islam sendiri juga yang melanggar batasan agama, batasan Sunnah, berselindung disebalik pakaian rasmi, keturunan dan pelbagai penghadang lagi.
Kerana itu kita perlukan junud- tentera untuk bekerja di sempadan agama ini mereka yang tidak mudah rapuh, tidak mudah dipengaruhi musuh untuk menjaganya dari ahli bid’ah yang sukakan khurafat & kemungkaran.
Untuk mempertahan kesucian agama daripada ditunggang oleh penunggang agama, untuk nak jaga kesucian Sunnah nabi SAW.
Ini cukup bahaya.
Kita minta agar Allah berikan kekuatan, kesabitan & keazaman kepada para asatizah & pendakwah kita yang membongkar ajaran-ajaran sesat ini yang menyeleweng daripada ajaran agama & Sunnah Nabi SAW.
Senjata yang kita ada hari ini adalah untuk melwan ajaran yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sahih.
iv- Sifat keempat- bertaqwa kepada Allah!
Semua sifat ini berada di bawah bumbung taqwa kepada Allah!
Nak bertaqwa kita kena sabar, kena teguh pendirian, dan jaga batas sempadan!
- Di akhir ayat Allah kata semua ini adalah agar kamu mendapat kemenangan, kejayaan di dunia & kemanan di Akhirat!
- Ya Allah jadikan kami dari golongan yang mempunyai sifat-sifat yang mulia ini!
اللهم اجعلنا من ٱلَّذِينَ {ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ}
- Khulasah ayat & surah ini:
i- Dalamnya susunan surah ini, eloknya penamat & penjelasannya, cantik sangat khatamnya.
Jika Surah al-Baqarah berakhir dengan doa, surah ini berakhir dengan doa dan juga wasiat kepada orang yang beriman.
Dalam ayat ini kita minta agar Allah SWT tetapkan kita untuk menjadi orang yang bertaqwa supaya jelas perjuangan kita dan tidak lari.
ii- Allah SWT juga sebut dalam surah ini banyak ilmu seperti tauhid, ketelusan & keadilan, tentang kenabian Rasulullah SAW, tentang bangkit semula serta banyak hukum furu’ seperti haji & jihad.
iii- Serta ditutup surah ini dengan adab, kerana manusia ini ada dua keadaan; ada yang berkait dengan diri kita saja & yang berkait dengan orang lain!
Iaitu sabar dengan ujian (berkait diri sendiri) & sabar dalam perjuangan (yakni berkait dengan orang lain), jaga negara & jaga sempadan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 199- {Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah}-
Ada di kalangan ahli kitab orang yang beriman!
Telah disebut beberapa nama secara ringkas seperti Abdullah bin Salam RA mewakili pihak yahudi & an-Najasyi wakil nasrani.
Allah juga sebut & puji 5 sifat mereka yang baik:
i- Iman yang jitu
ii- Beriman dengan al-Quran & kitab mereka.
iii- Beriman secara umum dengan kitab yang diturunkan kepada nabi terdahulu.
iv- Khusyuk iaitu tunduk akur & patuh kepada perintah Allah.
v- Tidak menunggang agama & menjual agama dengan mata-benda yang sedikit!
Ini sifat yang cukup baik bagi orang mukmin dari kalangan ahli kitab!
- Ayat 200- {Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan),}-
Dalam ayat ini Allah suruh kita berusaha, melawan nafsu dengan bersabar, tetap teguh.
Allah sebut bahawa manusia kena usaha & lawan nafsu, bila kamu beriman kena sabar, jangan mudah koyak, terpengaruh/terpesong dengan dakyah musuh.
Tidak mungkin Allah bagi kun fayakun jadi baik!
Ada tetapi tidak banyak kerana itu dalam jiwa manusia ini Allah pasang dua perkara iaitu; akal & nafsu.
Jika akal menguasai jiwa kita akan bahagia, manakala jika nafsu menguasai diri kita akan binasa!
Kita bukan malaikat yang Allah tidak pasang nafsu dalam jiwa mereka!
Kata ahli qasidah : Nafsu ini seperti bayi yang suka menyusu; jika dibiarkan ia akan terus menyusu; Tetapi jika kita hentikannya ia akan berhenti!
Begitu juga kita dengan nafsu jika kita ikut aje dia- habislah kita; tetapi jika kita didik dia insya’ Allah kita akan selamat!
- Ayat 200- {serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).}-
Allah kata Dia telah sediakan jalan untuk manusia mencapai kemenangan.
Allah kata kamu tidak akan selamat kecuali dengan 4 cara atau lorong ini:
i- Beriman & bertaqwa {ءَامَنُوا۟} & {وَٱتَّقُوا}.
ii- Sabar {ٱصْبِرُوا۟},
iii- Lawan tetap lawan {وَصَابِرُوا۟},
iv- Kawal sempadan {وَرَابِطُوا۟ }- sama ada sempadan agama atau sempadan negara.
Dengan empat senjata ini kita lawan syaitan, maka dengan izin Allah kita akan menang!
Kamu tidak akan bahagia, tidak akan menang & selamat kecuali dengan empat lorong atau jalan ini!
Insya’ Allah dengan empat senjata ini kita kena lawan syaitan & kalahkannya!
- Ayat 200- {Ayat 200- {Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan),}-
Allah perintahkan kita untuk sabar dan lain-lain sifat ini.
i- Jika nak berlawan dengan diri & nafsu kita sendiri kita kena sabar! {ٱصْبِرُوا۟},
ii- Jika nak lawan orang atau musuh dari luar kita kena ada perlawanan {وَصَابِرُوا۟}.
iii- Serta jangan mudah lari dalam perjuangan- sama ada perjuangan agama atau peperangan. {وَرَابِطُوا۟ }
iv- Nak dapatkan kemenangan & kebahagiaan kita kena bertaqwa kepada Allah! {وَٱتَّقُوا}.
- Ayat 200- {Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan),…}
Allah SWT tutup surah ini dengan wasiat kepada orang yang beriman. Kerana hanya doa orang yang beriman dan mempunyai sifat yang mulia ini saja yang akan diperkenankan Allah SWT!
Doa:
Ya Allah kami memohon dengan nama-Mu yang maha indah & sifat-Mu yang maha tinggi; Alhamdulillah pada hari ini kami telah khatam mempelajari Surah Ali-‘Imran yang banyak pengajaran & banyak ilmu, yang diakhir dengan 5 sifat yang mulia ini.
Ya Allah jadikan kami & keluarga kami orang yang beriman, jadikan kami ini orang yang sabar- orang yang sabar meninggalkan maksiat, sabar melakukan ibadat, sabar menghadapi ujian, sabar dalam mengikut Sunnah Nabi SAW & meninggalkan segala larangan bid’ah, khurafat dan segala perkara yang tidak baik.
Serta jadikan kami orang yang musobarah; yang sanggup bertempur dan sanggup menghadapi sebarang mungkin dengan segala musuh-musuh Islam sama ada yang zahir atau batin, yang nyata atau tersembunyi.
Jadikanlah kami orang yang menjaga sempadan agama & sempadan negara daripada mereka yang mahu menceroboh- mahu memesongkan perjalanan agama-Mu ini!
Jadikan kami orang yang bertaqwa serta orang yang rajin & istiqomah belajar, bertadabbur & beramal dengan isi kandungan al-Quran.
Jadikan al-Quran sebagai panduan dalam hidup kami, peneman kami di dalam kubur & pemandu kami ke syurga-Mu!
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ وَصَلَّى اللهُ عَلى نبينَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ ِللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.