Surah Al-Baqarah : Ayat 243-245

RAMAI ORANG LARI TAKUT MATI, GALAKAN BERANI BERPERANG & INFAQ HARTA.

Full video : https://youtu.be/nJ67rj6HUSU?si=l7NgiLgdTN0OMOfy

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 243 sehingga ayat 245 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa ramai orang lari takut mati kerana penakut & bakhil.
  3. Hidup mereka pula ialah kerana berani berperang- maka Allah galakkan untuk keluar berjihad.
    Kerana mati itu ada di mana-mana maka baiklah kamu mati syahid kerana amat besar pahalanya.
  4. Serta Allah memberi galakan & nyatakan tentang kelebihan infaq harta fi sabilillah.
  5. Munasabah ayat 1:
    i- Di akhir ayat yang lepas (ayat 242) demikianlah Allah nyatakan bahawa Dia telah bawa tanda-tanda kekuasaan, keagungan-Nya yang jelas.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa satu tanda yang amat besar & jelas tanda kekuasaan Allah SWT yang tidak dapat dipertikaikan lagi.
  6. Munasabah ayat 2:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT bawa hukum tentang undang-undang kekeluargaan. Nikah cerai, nafkah anak isteri, yakni tentang kekeluargaan.

    iii- Dalam ayat ini hukum mempertahankan diri, harta, keluarga & negara iaitu dengan berjihad bagi menegakkan agama Allah!
    Apabila agama Allah tertegak anak isteri & keluarga kita akan selamat & aman daripada ancaman kafir sama ada secara fizikal atau ancaman aqidah & budaya.
    Inilah yang kita takut; negara kita sekarang mungkin aman dari sudut ketenteraan tetapi kita tidak aman dari sudut ancaman aqidah.
    Manusia hari ini tidak tahu malu, dedah & pamerkan dosa dan maksiat sendiri serta akal diperbodohkan dengan mudah.
  7. Yakni Allah ajar kepada kita untuk mempertahankan agama ini dengan ketenteraan & senjata jika diancam secara fizikal. Jika diancam secara mental & aqidah pula lawan secara hujjah dan dalil yang mantap serta pelaksanaan Syari’ah Islam & menegakkan Sunnah Nabi SAW.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 243- {TIDAKKAH ENGKAU KETAHUI (WAHAI MUHAMMAD) TENTANG ORANG-ORANG YANG KELUAR (MELARIKAN DIRI) DARI KAMPUNG HALAMANNYA KERANA TAKUTKAN MATI, SEDANG MEREKA BERIBU-RIBU RAMAINYA? MAKA ALLAH BERFIRMAN KEPADA MEREKA:” MATILAH KAMU ” KEMUDIAN ALLAH MENGHIDUPKAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MELIMPAH-LIMPAH KURNIANYA KEPADA MANUSIA (SELURUHNYA), TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK BERSYUKUR.} (AL-BAQARAH 2:243)

  1. Allah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah Baginda tahu tentang khabar satu peristiwa satu kumpulan orang ramai yang lari keluar dari kampung atau negeri mereka.
  2. Terdapat beberapa riwayat tentang sebab kenapa mereka lari:
    i- Menurut riwayat Ibnu Abbas RA : Kerana sebab wabak taun yang menyerang negeri mereka- mereka lari keluar sedangkan mereka sudah membawa wabak itu bersama mereka- tak ikut SOP Syari’ah, patut tak boleh keluar dari negeri yang ada wabak sebagaimana hadis Rasulullah SAW.

    ii- Ada riwayat kata musuh (tentera) datang nak serang negeri mereka- kerana mereka penakut & bakhil tidak mahu berjihad melawan musuh sedangkan mereka beribu-ribu ramainya- mereka tetap lari keluar meninggalkan negeri mereka. Maka senanglah musuh masuk menawan negeri mereka!
  3. Fakta : Negeri & bangsa mana Allah tak sebut, berapa ramai bilangan mereka Allah tak sebut, sebab apa mereka lari, serta bila pula & bagaimana mereka mati semula beramai-ramai itu? Semua itu Allah tak sebut!
    Apa yang Allah mahu adalah kita ambil iktibar pengajaran dari perbuatan mereka dan apa akibat hukuman Allah ke atas mereka.
  4. Ada kisah Israiliyyat : Kisah ini terjadi pada zaman bani Israil- satu kaum dari bani Israil, nama negeri mereka Dawardan & mereka lari daripada wabak taun yang menyerang negeri mereka, kemudian Allah matikan juga mereka semuanya. Wallahu a’lam.
  5. Oleh kerana mereka lari kerana takutkan mati, maka Allah berfirman kepada mereka:” Matilah kamu ” lalu matilah mereka semuanya!
  6. Ayat ini sekaligus memberi pengajaran kepada orang beriman, jika musuh datang jangan lari- lawan tetap lawan tidak kira menang atau kalah!
  7. Sesungguhnya segala langkah persediaaan, lari setara mana pun tidak akan dapat melepaskan kita daripada taqdir (إن الحذر لا يغني من القدر).
    Tetapi ini tidak bermakna kita tidak perlu berhati-hati, tidak payah buat persiapan atau usaha ikhtiar, yang penting selepas usaha kita tawakkal serahkan kepada qadha’ qadar Allah, baru kita tidak akan kecewa.
    Hatta Rasulullah SAW ambil langkah persediaan dengan merancang strategi & memakai baju besi untuk pergi berperang!
  8. Sama seperti orang yang lari dari pergi berjihad kerana taku mati, dia tetap akan mati. Jadi baiklah kita mati dalam medan perang, dalam keadaan jihad fi sabilillah, yang mendapat pahala & kelebihan yang besar daripada mati akibat lari dari medan perjuangan!
  9. Dalil daripada Al-Quran yang menunjukkan Allah SWT berkuasa menghidupkan orang yang sudah mati, daripada buku Rukun Iman terjemahan DAAM.
    Terdapat lima kisah dalam surah Al-Baqarah tentang kekuasaan Allah SWT menghidupkan semula makhluk yang telah mati atas dunia ini. Ianya mudah dan tiada masalah untuk Allah menjadikannya.

    Iaitu:
    i- Pertama: Surah Al-Baqarah ayat 56, Allah SWT berfirman: ثُمَّ بَعَثْنٰكُمْ مِّنْۢ بَعْدِ مَوْتِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ
    {Kemudian, Kami membangkitkan kamu setelah kematianmu agar kamu bersyukur.}
    Dalam ayat ini adalah tentang satu kumpulan Bani Israil yang telah pengsan atau mati kerana disambar petir kemudian Allah hidupkan semula mereka.

    ii- Kedua: Al-Baqarah ayat 73, Allah SWT berfirman: فَقُلْنَا اضْرِبُوْهُ بِبَعْضِهَاۗ كَذٰلِكَ يُحْيِ اللّٰهُ الْمَوْتٰى وَيُرِيْكُمْ اٰيٰتِهٖ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُوْنَ
    {Lalu, Kami berfirman, “Pukullah (mayat) itu dengan bahagian dari (lembu) itu!” Demikianlah Allah menghidupkan (orang) yang telah mati, dan Dia memperlihatkan kepadamu tanda-tanda (kekuasaan-Nya) agar kamu mengerti.}
    Ini adalah kisah tentang seorang telah dibunuh di kalangan bani Israil, lalu mereka saling tuduh menuduh.
    Allah memerintahkan mereka agar menyembelih seekor lembu & orang yang terbunuh itu dipukul dengan sebahagian anggota tubuh lembu itu supaya orang itu hidup kembali. Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan menjadi saksi atas kematiannya sehingga si pembunuh dihukum”.

    iii- Ketiga: Al-Baqarah ayat 243, Allah SWT berfirman:
    اَلَمْ تَرَ اِلَى الَّذِيْنَ خَرَجُوْا مِنْ دِيَارِهِمْ وَهُمْ اُلُوْفٌ حَذَرَ الْمَوْتِۖ فَقَالَ لَهُمُ اللّٰهُ مُوْتُوْا ۗ ثُمَّ اَحْيَاهُمْ ۗ اِنَّ اللّٰهَ لَذُوْ فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلٰكِنَّ اَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُوْنَ
    {Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang keluar dari kampung halamannya dalam jumlah ribuan kerana takut mati? Lalu, Allah berfirman kepada mereka, “Matilah kamu!” Kemudian, Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah Pemberi kurnia kepada manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.}
    Kisah ayat kita hari ini.

    iv- Keempat: Al-Baqarah ayat 259, tentang seorang yang melalui satu kampung yang telah ditinggalkan lalu dia berfikir bagaimanlah Allah nak hidupkan semula semua ini.
    Allah SWT berfirman:
    اَوْ كَالَّذِيْ مَرَّ عَلٰى قَرْيَةٍ وَّهِيَ خَاوِيَةٌ عَلٰى عُرُوْشِهَاۚ قَالَ اَنّٰى يُحْيٖ هٰذِهِ اللّٰهُ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ
    فَاَمَاتَهُ اللّٰهُ مِائَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهٗ ۗ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۗ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا اَوْ بَعْضَ يَوْمٍۗ قَالَ بَلْ لَّبِثْتَ مِائَةَ عَامٍ
    فَانْظُرْ اِلٰى طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ ۚ وَانْظُرْ اِلٰى حِمَارِكَۗ وَلِنَجْعَلَكَ اٰيَةً لِّلنَّاسِ وَانْظُرْ اِلَى الْعِظَامِ كَيْفَ نُنْشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوْهَا لَحْمًا ۗ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهٗ ۙ قَالَ اَعْلَمُ اَنَّ اللّٰهَ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
    {Atau, seperti orang yang melalui suatu negeri yang (bangunan-bangunannya) telah roboh menutupi (reruntuhan) atap-atapnya. Dia berkata, “Bagaimana Allah menghidupkan kembali (negeri) ini setelah kehancurannya?” Lalu, Allah mematikannya selama seratus tahun, kemudian membangkitkannya (kembali). Dia (Allah) bertanya, “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab, “Aku tinggal (di sini) sehari atau setengah hari.” Allah berfirman, “Sebenarnya engkau telah tinggal selama seratus tahun. Lihatlah makanan dan minumanmu yang belum berubah, (tetapi) lihatlah keledaimu (yang telah menjadi tulang-belulang) dan Kami akan menjadikanmu sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi manusia. Lihatlah tulang-belulang (keledai itu), bagaimana Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging (sehingga hidup kembali).” Maka, ketika telah nyata baginya, dia pun berkata, “Aku mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”}

    v- Kelima: Al-Baqarah ayat 260, tentang burung yang dicincang oleh Nabi Ibrahim AS dihidupkan semula.
    Allah SWT berfirman:
    وَاِذْ قَالَ اِبْرٰهٖمُ رَبِّ اَرِنِيْ كَيْفَ تُحْيِ الْمَوْتٰىۗ قَالَ اَوَلَمْ تُؤْمِنْ ۗقَالَ بَلٰى وَلٰكِنْ لِّيَطْمَىِٕنَّ قَلْبِيْ ۗقَالَ فَخُذْ اَرْبَعَةً مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ اِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلٰى كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِيْنَكَ سَعْيًا ۗ وَاعْلَمْ اَنَّ اللّٰهَ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ ࣖ
    {(Ingatlah) ketika Ibrahim berkata, “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.” Dia (Allah) berfirman, “Belum percayakah engkau?” Dia (Ibrahim) menjawab, “Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang.” Dia (Allah) berfirman, “Kalau begitu, ambillah empat ekor burung, lalu dekatkanlah kepadamu (potong-potonglah). Kemudian, letakkanlah di atas setiap bukit satu bahagian dari tiap-tiap burung. Selanjutnya, panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera.” Ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.}

    Untuk bacaan lanjut sila dapatkan buku “Rukun Iman ini di: https://dartaibah.com/?page_id=179…
    Terutamanya perbincangan tentang beriman dengan qadha’ & qadar amat elok untuk fahami.
  10. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia seluruhnya.
    i- Antara nikmat Allah untuk kita yang amat besar ialah nikmat Islam, nikmat iman, dapat beramal dengan amal soleh yang nyata Allah pilih kita untuk belajar Al-Quran bertalaqqi, tadabbur untuk faham ayat Allah SWT.

    ii- Allah juga pilih kita untuk mengikuti kuliah tafsir Al-Quran ini pada setiap pagi, memulakan waktu pagi kita dengan mencari ilmu & tadabbur Al-Quran.
    Alhamdulillah Allah beri rezeki-Nya kepada sesiapa yang dia pilih!
    Bukan semua yang bernasib baik memilih jalan begini.
    Tetapi malangnya kebanyakan manusia tidak bersyukur, hanya sedikit yang bersyukur!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan yang sedikit ini!

AYAT 244- {DAN BERPERANGLAH KAMU PADA JALAN ALLAH (KERANA MEMPERTAHANKAN KEBENARAN AGAMANYA); DAN KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:244)

  1. Allah perintahkan kamu untuk pergi berjihad fi sabilillah untuk mempertahankan kebenaran agama, mempertahankan negara, keluarga & harta kamu juga.
  2. Munasabah ayat pertama:
    i- Allah sebut dalam ayat 243 sebelum ini bahawa tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada mati, maka;

    ii- Dalam ayat ini Allah perintahkan pula untuk pergi berperang.
    Kerana jika kamu akan mati baiklah kamu mati dalam jihad fi sabilillah. Jika mati kamu mati syahid- jika tidak mati kamu akan dapat kemenangan dunia. Bukan semua orang yang pergi berjihad itu akan mati di medan peperangan; Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq RA menyertai semua peperangan bersama Rasulullah SAW, begitu juga Umar al-Khattab, Usman RA yang hanya tidak pergi Badar, mereka tidak mati dalam peperangan. Begitu Khalid al-Walid RA seorang panglima perang yang terkenal, buka negara-negara yang banyak, juga mati di rumahnya.
  3. Munasabah ayat kedua:
    i- Dalam ayat sebelum ini juga Allah sebut hukum perkahwinan.
    Sebab apa berkahwin; kerana nak jaga agama, jaga keturunan & nak ramaikan zuriat. Maka niat utama berkahwin ialah kerana nak ramaikan zuriat untuk berjuang jaga agama Islam, bukan nak lepaskan nafsu semata-mata.

    ii- Maka disebut pula dalam ayat ini hukum tentang jihad, sesiapa nak jaga nyawa, nak jaga harta, nak jaga keluarga, nak jaga keturunan kena berperang berjihad fi sabilillah.
  4. Berjihadlah dengan harta & tubuh badan kita, dengan lidah & tenaga kita!
    Tidak semestinya pergi jihad akan mati, jangan takut, berapa orang yang tidak pergi berjihad tetapi tetap mati juga di atas tilam di rumah mereka!
  5. Semoga Islam ini berkembang dan Sunnah tertegak ada juga dengan sebab hasil usaha perjuangan kita walaupun tidak besar! Juga semoga ada anak cucu zuriat keturunan yang meneruskan jihad ini agar mata rantai perjuangan tidak putus di tengah jalan!
  6. Berjihadlah dengan apa saja, berilah apa jua sumbangan demi agama- sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui!
    Dunia ini kecil sahaja.
    Akhiratlah tempat yang kita kembali selamanya!

AYAT 245- {SIAPAKAH ORANGNYA YANG (MAHU) MEMBERIKAN PINJAMAN KEPADA ALLAH SEBAGAI PINJAMAN YANG BAIK (YANG IKHLAS) SUPAYA ALLAH MELIPATGANDAKAN BALASANNYA DENGAN BERGANDA-GANDA BANYAKNYA? DAN (INGATLAH), ALLAH JUALAH YANG MENYEMPIT DAN YANG MELUASKAN (PEMBERIAN REZEKI) DAN KEPADANYALAH KAMU SEMUA DIKEMBALIKAN.} (AL-BAQARAH 2:245)

  1. Allah tanya siapakah yang mahu memberi pinjaman, beri hutang kepada Allah yakni memberi infaq sedekah fi sabilillah. Sebagai pinjaman yang baik (قَرْضًا حَسَنًۭا ) yang Allah akan bayarnya dengan berlipat kali ganda!
  2. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat 244 Allah SWT perintah atau gerakkan untuk berjihad dengan tenaga & senjata.

    ii- Dalam ayat ini pula galakan untuk berjihad dengan harta yakni infaq fi sabilillah. Ini kerana untuk menggerakkan tentera & senjata perlukan harta sebagai belanjanya! Ini susunan tertib yang cukup cantik!
  3. Maka datang ayat ini Allah tanya siapa yang nak nafkahkan hartanya untuk mencari keredhaan Allah SWT sama ada berjihad dalam peperangan ataupun jihad dakwah dengan lisan atau menyekat sebaran-sebaran yang jahat; semuanya kita buat!
  4. Firman Allah SWT juga:
    {Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.} (Al-Baqarah 2:261)

    {Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.} (Al-Baqarah 2:262)
  5. Begitu sekali tawaran pahala yang Allah berikan maka sesiapa yang tidak mahu terima lagi itulah orang yang tidak cerdik. Banyak sekali Allah beri galakan dengan gandaan pahala yang begitu besar agar kita boleh faham, boleh tahu & ingat bahawa apa yang kita lakukan semua ini dalam ilmu Allah SWT!
  6. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa segalanya adalah kerja Allah sama ada untuk menyempitkan atau meluaskan rezeki seseorang hamba-Nya! Ada orang yang rezekinya luas, ada yang sempit walaupun pun bisnis/perkerjaannya sama! Semua ini di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla.
  7. Tetapi ingat; Sesiapa yang Allah luaskan rezekinya jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT, sesiapa yang sempit rezekinya tetapi dia sabar- maka amat besar pahalanya!
  8. Ya Allah jadikan kami dari golongan yang sedikit, iaitu orang yang bersyukur dan sabar atas segala taqdir Allah. Maka kami akan menjadi orang yang aman di dunia & Akhirat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 243- {Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya?}-

    Cerita ini adalah berita tentang orang yang terdahulu- umat yang telah tiada pada zaman Rasulullah SAW.
    Mereka ini lari kerana takut mati sedangkan bilangan mereka ramai sekali, maka rugilah mereka.
    Ataupun tentang orang yang lari kerana takut taun, mereka juga telah lawan perundangan Syari’ah, kita tidak boleh keluar dari negeri yang ada wabak jika sudah berada di situ.
    Orang dari luar pula tidak boleh masuk, sebagai satu ikhtiar & pencegahan dari merebak!
    Ingatlah umur kita, rezeki & taqdir kita semua di bawah kuasa Allah SWT!
  2. Ayat 243- {Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati,}-

    Mereka lari kerana takutkan mati!
    Ulama’ kata : Punca kebinasaan sesuatu kaum itu ialah sifat penakut (الجُبْنِ) & sifat bakhil (لبُخْلِ)!
    Taqdir kita ini di bawah kekuasaan Allah SWT, larilah ke mana pun jika sudah ajal tetap akan mati, sedekahlah banyak mana pun tidak akan miskin, kerjalah banyak mana pun tidak akan kaya jika Allah STW tidak kehendaki-Nya.
    Contoh- orang meniaga yang sayang nak tutup kedai sekejap demi untuk solat jemaah kerana kedai sedang laku ketika itu! Sedangkan rezeki itu dari Allah SWT.
    Doa yang amat baik & indah untuk kita amalkan, kita minta berlindung dengan lima perkara ini:
    اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ ، وَأَعوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَ عَذَابِ القَبْرِ
    “Ya Allah! Aku berlindung kepada Engkau dari sikap pengecut, kebakhilan, dan aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan di masa tua. Aku berlindung kepada-Mu dari ujian dunia dan siksa kubur.” (HR Bukhari)
    Doa ini ada dalam zikir setiap pagi & petang, juga bacalah setiap kali selepas solat!
  3. Ayat 245- {Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas)}-

    Ayat ini adalah ayat tanya yang berbentuk arahan. Allah tanya “Man = Siapa” tetapi dalam masa sebagai perintah untuk orang yang ditanya itu.
    Orang yang dengar yang hatinya akan terus berinfaq.
    Inilah uslub galakan bukan dengan suruh tetapi dengan pertanyaan.
    Allah tak suruh tapi Allah tanya siapa yang nak!
  4. Ayat 243- {Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.}-

    Dalam ayat ini Allah kata dia pilih beri limpah kurnianya kepada sebahagian manusia yang dia pilih.
    Ingat ada orang di kalangan manusia yang Allah pilih nak beri kelebihan.
    Ada yang senang, tak kaya tak apa tapi hidup senang, sihat & aman untuk beribadat kepada Allah SWT, tenang untuk ke masjid, bercakap benar & tidak menzalimi orang lain.
    Tetapi jika hidup dihimpit kesempitan, dalam ketakutan, hidup dalam hutang, bercakap bohong, pergi masjid tidak mahu, kerjanya asyik mengata, memfitnah orang, hidup dok makan daging beracun orang lain!
    Maka tunggulah sampai saatnya mereka akan menyesal yang tidak sudah!
  5. Ayat 245- {Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.}-

    Allah nyatakan kuasa Allah untuk beri orang senang atau orang yang susah.
    Tetapi ingat keduanya; yang senang atau susah akan kembali kepada Allah:
    i- Maka ketika senang jangan lupa bersyukur kepada Allah, jangan sombong & angkuh- jangan lupa & khianat kawan, menzalimi orang dan lupakan undang-undang Allah!

    ii- Ketika susah pula bersabar dan tenang atas ujian Allah. Jangan koyak dan menyalahkan taqdir Allah.
    Yakni jangan sedih & jangan sombong; ingatlah kita akan kembali kepada Allah, di sana ada keadilan & pembalasan yang setimpal bagi segala dosa & pahala.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs