SURAH AN-NAMLI : AYAT 45-53

\"\"

KISAH NABI SOLEH DENGAN KAUM THAMUD, 9 ORANG SAMSENG CUBA NAK BUNUH NABI SOLEH & ALLAH BINASAKAN MEREKA SEMUANYA.

Full video : https://youtu.be/hrXQmcKSYFo

MUQADDIMAH :

  1. Hari ini kita akan mendengar kembali tentang kisah Nabi Soleh a.s dan kaumnya, iaitu kaum Thamud yang berlawan dengannya.
  2. Dalam siri ini adalah episod yang lain pula walaupun telah diceritakan tentang mereka dalam surah asy-Syua\’ra\’ sebelum ini. Ianya ada tambahan dan berbeza episod. Kali ini apa yang berlaku selepas mereka menyembelih unta, mereka membuat konspirasi untuk membunuh Nabi Soleh pula!!!
  3. Begitulah uslub al-Quran yang indah, tidak sesekali bercanggah dan walaupun ada ulangan, tidak akan jemu membacanya. Dalam setiap surah ada beberapa kisah manakala dalam setiap kisah itu pula ada beberapa siri atau episod yang berbeza.
  4. Kisah nabi sebelum ini adalah tentang nabi Allah Musa, Nabi Daud dan Sulaiman a.s, ketiga-tiga mereka ini adalah nabi dari kaum Bani Israil yang berpusat di Palestin, Syam.
  5. Lalu dibawa pula kisah Nabi Soleh a.s yang berketurunan Arab. Ini untuk mengingatkan kaum Quraisy dan golongan Arab yang lain, bahawa ada juga nabi terdahulu dari keturunan Arab yang dakwahnya sama dengan Rasulullah s.a.w. yang semuanya mengajarkan kepada tauhid menyembah Allah s.w.t, melarang dari syirik penyembahan berhala dan semua selain dari-Nya.
  6. Dari siri yang lepas juga, antara pengajaran yang kita boleh ambil dari penutup kisah Ratu Balqis, pemerintah kerajaan yang besar itu, walaupun dia pada awalnya tersasar dari landasan fitrah lalu menyembah matahari kerana membesar dalam persekitaran yang sesat dan rosak. Tetapi dia masih ada fitrah yang baik dan diberi akal yang bijak, apabila melihat satu demi satu kebenaran dan mukjizat yang ditunjukkan oleh nabi Sulaiman a.s. Lalu dia terus berfikir menggunakan akalnya akan ayat dalil-dalil tentang kebenaran agama tauhid yang murni dan keagungan Allah s.w.t, beliau terus beriman selepas didakwah oleh Sulaiman a.s.
    Jika Balqis raja yang besar dan asal kafir itu dapat menerima kebenaran kenapa kita yang sudah beriman dan sudah tahu ada Allah s.w.t yang Berkuasa ini tidak menggunakan ayat-ayat yang menunjukkan keagungan Allah s.w.t untuk meningkatkan tauhid dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan tauhid yang murni yang tidak bercampur dengan sesuatu yang tidak baik!!!
  7. Kata Ibnu Asyur rhm.: Selepas episod Kerajaan Saba\’ dalam kisah Nabi Sulaiman a.s ini, disebut terus tentang kisah Kaum Thamud tanpa menyebut kisah kaum \’Ad yang biasanya berkembar itu. Ini kerana kerajaan Saba\’ di Yaman adalah berjiran dengan kaum Ad. Manakala al-Hijr, penempatan kaum Thamud pula adalah dekat dengan kerajaan Sulaiman, di mana mereka terpaksa melaluinya dalam perjalanan mereka ke Palestin. Selepas Thamud ini akan disebut pula kisah kaum Lut di Palestin yang dekat dengan kerajaan Sulaiman a.s juga.
    Ini adalah munasabah tertib susunan ayat berdasarkan kedudukan tempat pula, iaitu sempena munasabah perjalanan dari negeri Yaman ke Palestin.

AYAT 45- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MENGUTUS KEPADA KAUM THAMUD, SAUDARA MEREKA NABI SOLEH (MENYERU MEREKA DENGAN BERKATA): \”SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH!\” MAKA TIBA-TIBA MEREKA MENJADI DUA PUAK (MUKMIN DAN KAFIR) YANG BERBALAH.} (AN-NAML 27:45)

  1. Diceritakan pula tentang Nabi Soleh a.s yang diutus kepada kaumnya, Thamud. Dakwahnya supaya mereka menyembah Allah s.w.t tanpa menyekutukan-Nya.
  2. Lalu terpecah menjadi dua kumpulan kaumnya, ada yang beriman dan ada yang tetap kufur. Kedua golongan ini saling berbalah mengaku mereka yang benar.

AYAT 46- {NABI SOLEH BERKATA (KEPADA PUAK KAFIR): \”WAHAI KAUMKU, MENGAPA KAMU SEGERAKAN KUFUR INGKAR YANG MENDATANGKAN KEBURUKAN KEPADA KAMU, (TIDAK) MENDAHULUKAN IMAN YANG MENDATANGKAN KEBAIKAN KEPADA KAMU? ALANGKAH BAIKNYA KALAU KAMU MEMOHON AMPUN KEPADA ALLAH SUPAYA KAMU DIBERI RAHMAT.\”} (AN-NAML 27:46)

  1. Nabi Soleh a.s masih menegur kaumnya dengan lembut lagi, kenapa mereka minta segerakan kekufuran dan ingkar yang boleh membawa keburukan kepada mereka? Kenapa mereka tidak beriman dan memohon ampun yang boleh membawa kebaikan dan rahmat Allah s.w.t.
    2, Ulama\’ kata gopoh ini ada dua cara yang mereka buat:
    i- dengan perkataan sahaja, meminta-minta azab setiap kali jumpa nabi.
    ii- dengan perkataan dan perbuatan sekali, meminta dan berterusan buat maksiat dan kufur, seperti membunuh unta.

AYAT 47- {MEREKA MENJAWAB: \”KAMI MERASA NAHAS DAN MALANG DENGAN SEBABMU, DAN JUGA DENGAN SEBAB PENGIKUT-PENGIKUTMU!\” NABI SOLEH BERKATA: PERKARA YANG MENYEBABKAN BAIK DAN MALANG KAMU ADALAH DI SISI ALLAH (DAN DIA LAH YANG MENENTUKANNYA, BUKANNYA AKU), SEBENARNYA KAMU ADALAH KAUM YANG DISESATKAN (OLEH HAWA NAFSU)\”.} (AN-NAML 27:47)

  1. Selepas Nabi Soleh memberi tazkirah itu, kaumnya menjawab dengan mengatakan mereka menjadi sial dan malang kerana sebab Nabi Soleh dan pengikutnya yang beriman, yakni mereka menyalahkan nabi Soleh.
  2. Nabi Soleh menjawab ini semua bukan kerananya tetapi akibat perbuatan kufur dan sesat mereka yang menurut hawa-nafsu.
  3. Fitnah ke atas mereka ini ulama\’ kata kerana:
    i- mereka menganggap Nabi Soleh dan pengikutnya membawa malang ke atas mereka.
    ii- semua bala yang menimpa mereka kerana Soleh a.s.

AYAT 48- {DAN DI BANDAR (TEMPAT TINGGAL KAUM THAMUD) ITU, ADA SEMBILAN ORANG YANG SEMATA-MATA MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (DENGAN BERBAGAI-BAGAI MAKSIAT) DAN TIDAK MELAKUKAN KEBAIKAN SEDIKITPUN.} (AN-NAML 27:48)

  1. Di bandar tempat tinggal kaum Thamud itu, ada sembilan orang yang terkenal jahat dan zalim, mereka melakukan kerosakan di bumi dengan berbagai-bagai maksiat dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun.
  2. Kata Ibnu Kathir; disebut khas 9 orang ini kerana mereka dianggap sebagai ketua penjahat yang utama dalam kaum Thamud. Diketuai oleh Qudar bin Salif, merekalah yang membunuh unta Nabi Soleh a.s itu serta yang berpakat pula untuk membunuh Nabi Soleh a.s.

AYAT 49- {MEREKA BERKATA (SESAMA SENDIRI): \”HENDAKLAH KAMU MASING-MASING BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, BAHAWA SESUNGGUHNYA KITA AKAN MEMBUNUH SOLEH DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA SECARA MENGEJUT PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN KITA AKAN BERKATA KEPADA WARISNYA: ` KAMI TIDAK HADIR (DI TEMPAT) PEMBUNUHAN (SOLEH APALAGI MEMBUNUHNYA ATAU MEMBUNUH) PENGIKUT-PENGIKUTNYA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH BERKATA BENAR \’. \”} (AN-NAML 27:49)

  1. Mereka bermesyuarat dan memaksa setiap mereka bersumpah untuk:
    i- membunuh Nabi Soleh a.s ketika dia sedangkan tidur, pada waktu malam.
    ii- mencari alasan untuk membuat penafian untuk diberi kepada kaum keluarga Nabi Soleh nanti.
    iii- bersumpah mereka adalah golongan yang benar.

AYAT 50- {DAN (DENGAN DEMIKIAN) MEREKA TELAH MERANCANGKAN RANCANGAN JAHAT, DAN KAMI PULA RANCANGKAN BALASANNYA DENGAN SEBURUK-BURUK BALASAN, SEDANG MEREKA TIDAK MENYEDARINYA.} (AN-NAML 27:50)

  1. Sedang mereka membuat perancangan jahat itu, Allah s.w.t juga sudah rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan.
  2. Iaitu dengan memberikan pertolongan dan menyelamatkan Nabi Soleh a.s., lalu membinasakan kaumnya yang mendustakan. Sedangkan mereka tidak menyedarinya.

AYAT 51- {MAKA LIHATLAH BAGAIMANA AKIBAT RANCANGAN JAHAT MEREKA, IAITU KAMI TELAH HANCURKAN MEREKA DAN KAUM MEREKA SEMUANYA.} (AN-NAML 27:51)

  1. Maka lihatlah (فَانْظُر) kerana akibat perancangan jahat mereka untuk membunuh Nabi Soleh dan pengikutnya yang beriman, Allah s.w.t binasakan mereka terlebih dahulu sebelum mereka dapat melakukannya.
  2. Beberapa ayat yang Allah perintahkan untuk kita tengok dan perhatikan: فَانْظُرْ
    i- {فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ}
    {Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.} [An-Namli: 14]
    ii- {فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ مَكْرِهِمْ أَنَّا دَمَّرْنَاهُمْ وَقَوْمَهُمْ أَجْمَعِينَ }
    {Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya}. (An-Naml 27:51)
    iii- {فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ }
    {Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.} (Al-A\’raaf 7:84)
    iv- {فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ }
    {Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.} (Al-A\’raaf 7:103)
    v- { فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الظَّالِمِينَ}
    {Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).} (Yunus 10:39)
    vi- { فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنْذَرِينَ }
    ]Yunus: 73].
    vii- { فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الظَّالِمِينَ }
    {Maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim.}[Al-Qosas: 40].
    viii- { فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنْذَرِينَ }
    { Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran, } As-Sofaat: 73
    ix- {فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ }
    {Maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.} (Az-Zukhruf 43:25)

AYAT 52- {KESUDAHANNYA RUMAH-RUMAH MEREKA ITU TELAH RUNTUH RANAP, DENGAN SEBAB MEREKA BERLAKU ZALIM; SESUNGGUHNYA KEJADIAN YANG DEMIKIAN MENGANDUNGI PELAJARAN YANG MENDATANGKAN IKTIBAR BAGI ORANG-ORANG YANG MAHU MENGETAHUI (AKAN SEBAB DAN MUSABABNYA).} (AN-NAML 27:52)

  1. Kesudahan akibat kezaliman mereka yang syirik dan mendustakan rasul, mereka musnah binasa serta rumah-rumah mereka juga telah hancur binasa.
  2. Ini semua mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui dan mengkaji akan sebab dan musababnya.
  3. Rumah ukiran mereka dari bukit yang megah dan teguh itu, hancur binasa seperti makanan yang dikisar dalam pengisar (blender).
  4. Semakin tinggi teknologi, semakin besar hujjah Allah s.w.t ke atas kita!!!
  5. Allah s.w.t terangkan kejadian ini dalam surah Hud: 66-68.
    {Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
    Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
    (Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.} (Hud: 66-68)

AYAT 53- {DAN KAMI SELAMATKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, SERTA YANG SELALU BERTAQWA.} (AN-NAML 27:53)

  1. Allah s.w.t selamatkan orang-orang yang beriman, iaitu Nabi Soleh a.s. dan orang-orang yang beriman bersamanya.
  2. Mereka itu sentiasa bertaqwa, iaitu menjaga diri dari syirik dan perbuatan maksiat, serta mengerjakan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah s.w.t mulakan ayat 45 ini dengan perkataan { وَلَقَدْ} – dan Kami telah – Apabila mahu menceritakan sesuatu yang serius dan besar kita kena gunakan uslub perkataan yang kuat dengan bahasa ta\’kid (penekanan).
  2. 9 orang penjahat itu telah bermesyuarat untuk membuat sumpah bagi penyaksian palsu serta bersumpah bahawa mereka adalah orang benar. وَإِنَّا لَصَادِقُونَ
    Ulama\’ kata ini menunjukkan dalam kalangan orang kafir pun perbuatan bohong dan menipu itu adalah sesuatu yang tidak baik, kerana itu mereka bersumpah bahawa mereka adalah orang yang benar, supaya orang percaya.
  3. Dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan supaya kita perhatikan: فَانْظُرْ Yakni dari setiap kisah dan kejadian yang berlaku kita kena teliti dan perhatikan untuk mengambil pengajaran dan iktibar darinya, bukan sekadar dengar dan berlalu begitu sahaja ceritanya.
  4. Azab atau bala itu akan turun secara umum dan terkena kepada semua yang ada dalam kawasan itu, kemudian apabila dibangkitkan nanti akan dihisab semula. Kecuali sesiapa yang Allah mahu selamatkan dari kalangan Nabi-nabi-Nya.
  5. Semua bala itu berlaku kerana kezaliman mereka sendiri, seperti syirik dan ingkar. Biasanya jika syirik saja tanpa melawan, bala itu lambat sikit, tetapi jika syirik dengan ingkar dan melawan akan cepat balanya.
  6. Allah s.w.t berfirman: {..mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui} ulama\’ kata ini menunjukkan kelebihan ilmu dan galakan untuk kita belajar dan berfikir.
  7. Ayat 53- {Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, serta yang selalu bertaqwa.} Ayat ini menunjukkan orang yang beriman dan bertaqwa akan selamat, maka kita digalakkan untuk beriman dan bertaqwa. Wajib kita ingkar akan kemungkaran, amar ma\’ruf dan nahi mungkar semampu mungkin.
  8. Ayat 45- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh}. Ayat ini bermakna boleh kita mengaku keturunan dan nasab walaupun dengan orang kafir, tidak perlu dinafikan dari sudut keturunan.
  9. Ayat 45- {Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah}. Begitulah realiti dalam setiap perjuangan dakwah pasti kita akan bertemu dan mendapat penyokong dan penentang, samada ramai atau sedikit, maka bersabarlah dan teruskan perjuangan.
  10. Ayat 46- { Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat.\”}. Kata ulama\’ ini menunjukkan istighfar dan minta ampun akan menjadi penyebab hilangnya azab dan datangnya rahmat.
  11. Setiap kisah itu kita wajib ambil pengajaran, kerana itulah yang Allah s.w.t mahu sampaikan kepada kita.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs