SURAH ASY-SYU\’ARA\’ : AYAT 69-82

\"\"

KISAH NABI IBRAHIM BERHUJJAH DENGAN BAPANYA, PEGANGAN MEREKA SEMATA-MATA IKUT AMALAN ORANG DAHULU & IBRAHIM PERKENAL 5 SIFAT TUHANNYA.

Full video : https://youtu.be/3GaWccy2JOo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini bermula kisah Nabi Ibrahim a.s berdakwah kepada keluarga dan kaumnya.
  2. Ibrahim a.s berhujjah tentang keesaan Allah s.w.t kepada bapanya Azar.
  3. Episod kaum keluarga sendiri yang menentang dakwah ini akan berlaku pada sepanjang zaman.
  4. Allah s.w.t menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim a.s. kepada Rasulullah s.a.w untuk memberi semangat dan motivasi yang rasul-rasul lain juga menghadapi tentangan dari kaum keluarganya sendiri. Baginda s.a.w menghadapi tentangan yang hebat dari kaum keluarganya terutama bapa saudaranya sendiri Abu Lahab dan lain-lain.

AYAT 69- {DAN BACAKANLAH PULA KEPADA MEREKA PERIHAL NABI IBRAHIM. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:69)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim a.s. kepada Rasulullah s.a.w untuk memberi semangat dan motivasi kepada Baginda s.a.w.
  2. Pada awal surah diceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w amat sedih akan kaumnya yang ingkar dan tidak mahu beriman. Lalu Allah s.w.t bawa kisah Nabi Musa a.s yang mana pengikutnya kaum yahudi dekat di Madinah yang menyelewengkan kitab mereka. Musa a.s juga menghadapi tentangan yang amat besar.
  3. Manakala nabi Ibrahim a.s pula lebih menyedihkan kerana bapanya adalah pembuat dan penjual berhala.
  4. Manakala penduduk Makkah Quraisy adalah daripada keturunan Ibrahim a.s melalui anaknya Ismail a.s, maka lebih dekat kaitan dan pertaliannya.
  5. Tentang kisah nabi Ibrahim a.s ini Allah perintahkan Rasulullah s.a.w bacakan kisahnya kepada kaumnya Quraisy dengan berfirman: { وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ إِبْرَاهِيمَ} berlainan dengan kisah Musa a.s dan nabi lain yang Allah s.w.t kisahkan terus.

AYAT 70- {KETIKA IA BERKATA KEPADA BAPANYA DAN KAUMNYA: \”APA YANG KAMU SEMBAH?\”} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:70)

  1. Iaitu kisah nabi Ibrahim a.s apabila dia bertanya kepada bapanya dan kaumnya apa yang mereka sembah?
  2. Yakni isu di sini ialah isu tauhid, di mana Ibrahim a.s mula berdakwah kepada keluarga dan kaumnya tentang tauhid.

AYAT 71- {MEREKA MENJAWAB: \”KAMI MENYEMBAH BERHALA-BERHALA, MAKA (KERANA MEMULIAKANNYA) KAMI BERKEKALAN MENYEMBAHNYA\”.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:71)

  1. Mereka menjawab terus bahawa menyembah berhala-berhala, kerana memuliakannya, mereka akan berkekalan menyembahnya.
  2. Mereka menggunakan kalimah { فَنَظَلُّ لَهَا } yang bererti kami mengambil bayang darinya kerana mereka menyembahnya pada waktu siang sahaja. Kerana pada waktu malam mereka menyembah bintang, yang dianggap tuhan asal mereka, berhala hanya sebagai simbol kepada bintang yang disembah itu.

AYAT 72- {NABI IBRAHIM BERTANYA: \”ADAKAH BERHALA-BERHALA ITU MENDENGAR KAMU SEMASA KAMU MENYERUNYA?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:72)

  1. Ibrahim mula memberi isu dan tekanan kepada mereka; Dapatkah berhala-berhala itu mendengar doa kamu kepadanya lalu mengabulkan doa, menghilangkan derita dan menghilangkan segala musibah yang menimpa kamu?

AYAT 73- {\”ATAU MEREKA DAPAT MEMBERIKAN SESUATU YANG ADA MANFAATNYA KEPADA KAMU ATAUPUN MENIMPAKAN SESUATU BAHAYA?\”} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:73)

  1. Tekan Ibrahim lagi: Dapatkah berhala-berhala itu memberi kebaikan jika kamu menyembahnya, atau menimpakan keburukan jika kamu tidak menyembahnya?

AYAT 74- {MEREKA MENJAWAB: \”(TIDAK SATUPUN!) BAHKAN KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI BERBUAT DEMIKIAN\”.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:74)

  1. Mereka mengakui bahawa itu bukanlah sebabnya, berhala-berhala mereka tidak dapat melakukan sesuatu pun dari hal tersebut, tidak dapat mendengar, memberi manfaat dan menghilangkan mudarat.
  2. Tetapi mereka berbuat demikianlah kerana atas dasar budaya, mereka hanya melihat nenek moyang mereka yang sama sesatnya berbuat begitu, lalu mereka bersegera mengikuti jejaknya.

AYAT 75- {NABI IBRAHIM BERKATA: \”SUDAHKAH KAMU BERFIKIR SEHINGGA NAMPAK GUNANYA BENDA-BENDA YANG KAMU SEMBAH ITU?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:75)

  1. Nabi Ibrahim mengasak lagi: Sudahkan kamu berfikir sehingga kamu nampak apa gunanya berhala-berhala yang kamu sembah itu?

AYAT 76- {\”(YANG SEKIAN LAMA DISEMBAH OLEH) KAMU DAN DATUK NENEK KAMU YANG DAHULU?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:76)

  1. Yang sekian lama disembah oleh kamu dan nenek moyang kamu, yakni terus menerus dalam kesesatan.

AYAT 77- {\”(AKU BERTANYA DEMIKIAN) KERANA SESUNGGUHNYA BERHALA-BERHALA ITU IALAH MUSUHKU, (AKU TIDAK MENYEMBAH) MELAINKAN ALLAH TUHAN SEKAMU ALAM;} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:77)

  1. Nabi Ibrahim a.s terus menyatakan bahawa dia bertanya demikian kerana dia adalah musuh berhala-berhala itu, yakni tidak akan menyembahnya.
  2. Lalu nabi Ibrahim a.s mula memperkenalkan Allah s.w.t Tuhan yang layak disembah.

AYAT 78- {\”TUHAN YANG MENCIPTAKAN DAKU (DARI TIADA KEPADA ADA), MAKA DIA LAH YANG MEMIMPIN DAN MEMBERI PETUNJUK KEPADAKU;} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:78)

  1. Sifat pertamanya: Allah s.w.t yang mencipta segalanya dari tiada kepada ada.
  2. Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepaa hamba-Nya.

AYAT 79- {\”DAN TUHAN YANG DIA LAH JUA MEMBERIKU MAKAN DAN MEMBERI MINUM,} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:79)

  1. Yakni Allah jua yang memberi rezeki, beri makan dan minum, bukan berhala yang tidak dapat bergerak itu pun.

AYAT 80- {\”DAN APABILA AKU SAKIT, MAKA DIA LAH YANG MENYEMBUHKAN PENYAKITKU;} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:80)

  1. Allah s.w.t jua yang menyembuhkan apabila kita sakit.
  2. Dalam ayat ini Ibrahim a.s menggunalah sighah lafaz yang lain, bila aku sakit, bukan apabila Allah beri sakit, yakni beradab dengan Allah, tidak menyandarkan benda buruk/negatif kepada Allah s.w.t. kita kena belajar adab ini.

AYAT 81- {\”DAN (DIA LAH) YANG MEMATIKAN DAKU, KEMUDIAN IA MENGHIDUPKAN DAKU;} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:81)

  1. Allah s.w.t jua yang berkuasa memati dan menghidupkan seluruh manusia dan makhluk.

AYAT 82- {\”DAN (DIA LAH) YANG AKU HARAP-HARAPKAN SUPAYA MENGAMPUNKAN DOSAKU PADA HARI KIAMAT; (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:82)

  1. Sifat kelima yang dinyatakan oleh Ibrahim a.s, Allah s.w.t Tuhan yang diharap-harapkan supaya mengampunkan dosanya pada hari kiamat;
  2. Kenapa Ibrahim berharap supaya Allah s.w.t mengampunkan dosanya pada hari kiamat kelak, apakah dosanya?
    Ulama\’ kata:
    i- Kata Ibnu Atiyah, ramai ulama\’ tafsir kata Nabi Ibrahim a.s pernah membuat helah dengan berbohong tiga kali dalam hidupnya:
    a. Ketika tiba di Mesir, mengaku isterinya Sarah sebagai adik-beradiknya untuk mengelakkan dari kena rampas oleh Raja Mesir yang zalim merampas isteri orang pada waktu itu. Hujjah Ibrahim a.s – adik beradik seagama.
    b. Berpura sakit dan tolak jemputan untuk ke pesta, bila kaumnya tiada tinggal dia sorang hancurkan berhala-berhala sembahan mereka. Surah as-Soffaat: 89: { Lalu berkata: \”Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)\”.
    c- Apabila ditangkap dan ditanya siapa yang hancurkan berhala, Ibrahim kata berhala besar yang buat. Firman Allah s.w.t: { Ia menjawab: \”(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata\”.} (Al-Anbiyaa\’ 21:63)
    ii- Ibrahim a.s hanya beradab kepada Allah s.w.t dan merendahkan dirinya dengan berkata demikian dan meminta ampun secara umum dari segala jenis kesalahan. Sebagaimana Rasulullah s.a.w yang maksum pun beristighfar setiap hari sebanyak 70 kali.
    Inilah yang menjadi pilihan Ibnu \’Atiyah.
  3. Inilah yang menunjukkan kelebihan Rasulullah s.a.w yang telah dimaklumkan oleh Allah s.w.t bahawa dia adalah maksum tidak berdosa, manakala nabi dan rasul-rasul lain tidak sedemikian.
  4. Sebuah hadis sebagai pengajaran:
    Aisyah r.a suatu hari pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang Abdullah bin Jud\’an yang mati dalam keadaan syirik pada masa jahiliyah, akan tetapi dia orang yang baik, suka memberi makan, suka menolong orang yang teraniaya dan punya kebaikan yang banyak.
    Rasulullah s.a.w menjawab: \”Semua amalan itu tidak memberinya manfaat sedikitpun, kerana dia tidak pernah mengatakan: \’Wahai Rabbku, berilah ampunan atas kesalahan-kesalahanku pada hari kiamat kelak.\” (HR. Muslim no. 214)
    Ini menunjukkan betapa pentingnya keimanan kepada Allah s.w.t.
  5. Kita berhenti dulu setakat ayat ini dan Insya\’ Allah dalam siri akan depan kita tengok pula doa Nabi Ibrahim yang menarik indah untuk turut diamalkan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Apabila Ibrahim mengisytiharkan kepada kaumnya bahawa semua berhala-berhala itu adalah musuhnya (Ayat 77). Bahawa dalam bab tauhid dan akidah kadang-kadang kita kena bertegas dan menjelaskan fahaman dan pendirian kita yang benar agar orang faham.
  2. Dalam (ayat 80), Ibrahim sandarkan sakit kepada dia sendiri, menunjukkan Ibrahim beradab kepada Allah s.w.t, kita pun begitulah, bukan lemah akidah kerana semua itu, sakit dan penawar datang dari Allah s.w.t, cuma jangan kita sandarkan yang buruk dan negatif kepada Allah s.w.t, kita kena beradab dengan Allah.
  3. Nabi Ibrahim a.s berkata dalam ayat (82)- {\”Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;} sedangkan tidak terbukti lagi apa dosanya. Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w yang sentiasa beristighfar. Ini untuk mengajar umat manusia yang memang berdosa ini untuk awal-awal lagi tinggalkan dosa dan maksiat serta kembali kepada Allah s.w.t.
  4. Ayat 82 ini juga mengingatkan supaya ada sifat khauf (takut) sentiasa berhati-hati dan beramal, jangan semata-mata mengharapkan rahmat Allah s.w.t. Mesti ada sifat \”khauf\”-takut dan raja\’ (harapkan) pengampunan Allah s.w.t. kena ada dua2 baru seimbang.
  5. Allah s.w.t berfirman: { وَاتْلُ عَلَيْهِمْ} kamu bacakan kepada mereka, yakni Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w bacakan kisah kaum nabi Ibrahim kepada Quraisy sebagai isyarat akan rahmat Allah ke atas mereka dengan diberi tempoh, tidak akan segera dibinasakan di atas dunia ini. Ini kerana kaum nabi Ibrahim tiada kisah mereka dibinasakan bukan seperti kaum nabi Musa a.s, Ad, Tahmud dan kaum nabi-nabi lain.
    Kaum Quraisy tidak pernah dimusnahkan beramai-ramai dengan bala kecuali dalam peperangan Badar paling ramai terbunuh. Inilah kelebihan Rasulullah s.a.w sebagai Rahmatan lil-\’Alamin, kaumnya pun tidak binasa mudah-mudah.
  6. Nabi Ibrahim menyatakan bahawa mereka dan datuk nenek moyang yang mereka ikut itu tidak semestinya betul. Yakni lamanya sesuatu bukan menunjukkan ia benar dan betul. Dengan tarikh tidak akan membenarkan yang salah. Beginilah juga dalam masyarakat kita, guna hujjah lama dan ramai dah orang buat. Agama ini berpaksikan kepada dalil dari al-Quran dan sunnah bukan perbuatan orang dulu. التقدم لا يدل على الصحة
  7. Penyembahan berhala ini bermula dari zaman dulu lagi. Nama-nama berhala zaman dahulu, seperti kisah kaum Nabi Nuh a.s. bermula dengan nama orang soleh yang dimuliakan, kemudian akhirnya disembah kerana ikut ajaran iblis.
  8. Ibrahim kata berhala itu musuhnya, kenapa sedangkan berhala itu patung yang tidak bernyawa? Yakni tidak mahu sembah berhala dan berhala adalah musuhnya di akhirat nanti, segala sembahan yang tidak hak.
  9. Asal kebaikan dan keburukan berasal dari sifat terlalu cinta dan sayangkan sesuatu. Apabila kita cintakan sesuatu yang benar dan kerana Allah maka kita akan beroleh kebaikan dan tidak sesat, begitu juga jika cintakan sesuatu yang tidak benar, maksiat dan mungkar, maka kita akan sesat dan bawa kepada keburukan.
  10. Allah s.w.t-lah yang Maha Esa dan Tunggal, Yang Berkuasa memberi kita rezeki, makan,sihat, nikmat dan segala kurnia-Nya.
    11.Nabi Ibrahim a.s menyebut bahawa Allah s.w.t-lah yang mencipta, menghidup dan mematikan, memberi makan minum, menyembuhkan dan lain-lain. Inilah akidah ahli sunnah wal- Jamaah bahawa perbuatan kita ini kita yang pilih dan buat mana yang baik dan buruk untuk kita ikuti. Berlainan dengan ajaran sesat puak Qadariyah dan Jabariah yang mengatakan manusia ini seperti robot yang telah ditentukan segala perbuatan dan nasibnya, ini adalah fahaman dan ajaran sesat. Allah s.w.t bagi kita pilihan untuk ikut yang mana selepas diberi akal dan petunjuk ke arahnya dengan di hantar rasul dan kitab-kitab.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs