SURAH AL-QASAS : AYAT 68-70

\"\"

ALLAH PEMILIK KUASA MUTLAK, ILMU ALLAH MELIPUTI SEMUA PERKARA & ALLAH S.W.T YANG BERHAK DIPUJA DAN DIPUJI.

Full video : https://youtu.be/FsYoMQNWF2M

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah tentang Pemilik Kuasa yang mutlak di atas dunia ini iaitu Allah Azza wa Jalla.
  2. Dialah yang berhak memilih dengan kuasa-Nya siapa yang nak dipilih dan dilantik menjadi rasul dari kalangan manusia dan malaikat untuk memikul tugas yang mulia.
  3. Selain daripada menerima taqdir Qada\’ dan Qadar, tapi dalam perjalanan kehidupan kita juga diberi hak untuk memilih apa yang diingini, pilih untuk ke kanan atau ke kiri. Manusia bukan seperti robot yang dikawal, tiada kehendak dan kuasa memilih, seperti mana fahaman mazhab Jabariyyah dan Qodariyyah yang terpesong.
  4. Inilah rahsia tertib dan susunan ayat-ayat yang kita pilih dan baca ini.

AYAT 68- {DAN TUHANMU MENCIPTAKAN APA YANG DIRANCANGKAN BERLAKUNYA, DAN DIA LAH JUGA YANG MEMILIH (SATU-SATU DARI MAKHLUKNYA UNTUK SESUATU TUGAS ATAU KEUTAMAAN DAN KEMULIAAN); TIDAKLAH LAYAK DAN TIDAKLAH BERHAK BAGI SESIAPAPUN MEMILIH (SELAIN DARI PILIHAN ALLAH). MAHA SUCI ALLAH DAN MAHA TINGGILAH KEADAANNYA DARI APA YANG MEREKA SEKUTUKAN DENGANNYA. (AL-QASAS 28:68)

  1. Allah s.w.t mencipta apa yang Dia rancangkan untuk berlaku.
  2. Dia juga yang berkuasa memilih untuk melantik makhluk-Nya untuk melakukan sesuatu tugas yang mulia.
  3. Ayat ini kesinambungan ayat yang lepas tentang orang kafir yang syirik, memilih sekutu selain dari Allah s.w.t untuk mereka sembah dan minta manfaat dan syafaat pada pandangan dan agakan mereka. Maka Allah s.w.t nafikan di sini dan kelak di akhirat mereka akan ditanya dengan 3 soalan sebagai satu cercaan dan azab mental (torture).
  4. Allah Pemilik kuasa yang mutlak, maka Allah jualah yang memilih hamba-Nya untuk diberi sesuatu tugas, berbeza pula tingkatan dan darjat, maka kita sebagai hamba kena akur dan patuh.
    Contoh di kalangan malaikat – Jibril sebagai ketua, di kalangan rasul-rasul pula ada yang disebut ada yang tidak, tempat terpilih seperti Makkah dan masjid, waktu yang istimewa seperti Hari Arafah, Lailatul-Qadar dan sebagainya.
  5. Firman-firman Allah s.w.t:
    i- {Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).}
    (A-li\’Imraan 3:33)
    ii- {Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu.} (Al-An\’aam 6:124)
    iii- {Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} (Al-Hajj 22:75).
  6. Dalam hadis riwayat Wathilah bin al-Asqa\’ r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya Allah memilih Kinanah diantara keturunan Ismail, dan memilih Quraisy diantra keturunan Kinanah, dan memilih Bani Hasyim diantara suku Quraisy. Dan Allah memilihku diantara Bani Hasyim.\” [HR Muslim]
    Sabda Rasulullah s.a.w lagi: \”Aku lahir daripada hasil perkahwinan (yang sah) dan bukan daripada keturunan yang rosak.\” [HR Imam Ahmad].
  7. Maka tidak ada bagi orang kafir dan musyrikin pilihan untuk menyembah apa yang mereka mahu.
  8. Juga tidak patut bagi sesiapapun memilih selain dari apa yang dipilih oleh Allah s.w.t. Tetapi ini bukan bermakna seseorang itu tidak boleh menggunakan akal fikiran, kemahuan dan ikhtiar usahanya. Maka kewajipan bagi seseorang untuk berusaha, berikhtiar sedaya upayanya, kemudian serahkanlah kepada Allah s.w.t akan hasilnya.
  9. Kita disyariahkan untuk memikirkan dan menimbangkan dulu sesuatu masalah, siasat dan periksa dahulu (secara manual), kemudian baru serahkan urusannya kepada Allah s.w.t dengan berdoa dan solat sunat Istikharah. Inilah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
    Hadis riwayat daripada Jabir Bin Abdullah r.a: \”Rasulullah s.a.w. pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran.\” [HR at-Tirmizi].
    *Boleh rujuk buku Sunnahmu Amalanku ms 72 tentang solat sunat Istikharah. Link: https://youtu.be/7BKfWEj9av0
  10. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.

AYAT 69- {DAN TUHANMU MENGETAHUI AKAN APA YANG TERPENDAM DALAM HATI MEREKA DAN APA YANG MEREKA ZAHIRKAN.} (AL-QASAS 28:69)

  1. Allah s.w.t menegaskan Dia mengetahui apa yang tersembunyi, apa yang terkandung dalam hati hamba-Nya. Juga apa yang mereka zahirkan.
  2. Tetapi kita sesama manusia tidak tahu apa yang ada dalam hati orang lain, jangan sekali-kali mendakwa kita tahu, kita tidak boleh kesan apa yang ada dalam hati orang.
  3. Kenapa Allah s.w.t turut menyatakan {Apa yang mereka zahirkan} bukan setakat apa yang tersembunyi dalam hati sahaja?
    Ulama\’ kata yang zahir ini, maksudnya tentang bahasa yang pelbagai dan bercelaru kerana ramai dan bercampur baur atau dalam suasana bising hingar-bingar, seperti suasana Hari Arafah, Allah s.w.t dapat mendengar dan mengetahui semuanya. Juga semua perbuatan dan percakapan tiada yang terlepas dari-Nya.

AYAT 70- {DAN DIA LAH ALLAH TIADA TUHAN MELAINKAN DIA. SEGALA PUJI TERTENTU BAGINYA, DI DUNIA DAN DI AKHIRAT; DAN HANYALAH DIA YANG BERKUASA MENGHUKUM, SERTA KEPADANYALAH KAMU SEMUA DIKEMBALIKAN. (AL-QASAS 28:70)

  1. Ayat ini adalah kesinambungan kepada ayat 62 yang lepas apabila Allah s.w.t bertanya kepada kaum musyrikin ini tentang sembahan-sembahan mereka dulu.
  2. Allah s.w.t adalah Tuhan yang berhak disembah dan beribadat kepada-Nya, tiada Tuhan yang lain yang berhak disembah selain Allah s.w.t.
  3. Baginya segala pujian di dunia dan di akhirat.
  4. Persoalan; bagaimana pula pujian di akhirat? Firman Allah s.w.t:
    {Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: \”Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat); (Faatir 35:34)
    {Serta mereka berkata:\” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya.\”.} (Az-Zumar 39:74)
    {Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!} (Yunus 10:10)
  5. Di akhirat esok, tauhid mengesakan, memuji dan bertasbih kepada Allah s.w.t ini bukan lagi satu taklif (kewajipan) tetapi adalah semata-mata satu kelazatan, keseronokan, keindahan, tanda kita ini mengakui Allah s.w.t yang kita sudah tengok itu, insya\’ Allah.
    Hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan Allah s.w.t akan ilhamkan untuk hamba-Nya bertasbih kepada-Nya di akhirat kelak. [HR Muslim].
    Serta hadis Syafaat, riwayat Anas yang panjang tentang keadaan di Padang Mahsyar kelak. [HR Bukhari & Muslim].
    Maka apabila dengar azan kena jawab dan berdoa selepas itu untuk mendapat syafaat Rasulullah s.a.w.
    Rasulullah bersabda: \”Barangsiapa berdoa setelah mendengar azan:
    اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ
    (Ya Allah, Tuhan Pemilik seruan yang sempurna ini, dan Pemilik solat yang akan didirikan ini, berikanlah wasilah (perantara) dan keutamaan kepada Muhammad. Bangkitkanlah ia pada kedudukan yang terpuji sebagaimana Engkau telah janjikan).
    Maka ia berhak mendapatkan syafa\’atku pada hari kiamat.\” [HR Bukhari].
  6. Supaya dapat kita memuji Allah s.w.t di akhirat kelak, maka pujilah dulu Allah di dunia ini, basahkan lidah kita selalu dengan zikir kepada Allah s.w.t.
    Sebut hal atau nama orang satu bala, sebut nama Allah dapat pahala.
  7. Hanya Allah s.w.t sahajalah yang mengeluarkan segala hukum-hakam di atas dunia ini. Tetapi malangnya kita dan sebahagian besar manusia ini lebih suka memilih undang-undang ciptaan manusia daripada undang-undang Tuhan!
    Sepatutnya sebagai orang Islam dan beriman kita kena bersatu dan menyokong untuk ditegakkan hukum Syariah. Bukan turut sama bersama orangkafir menentang dan merendahkannya.
  8. Allah s.w.t mengakhiri ayat ini dengan menegaskan bahawa kepada Allah s.w.t jualah kita akan kembali. Kita akan mati dan meninggalkan dunia ini, menuju kepada Allah di akhirat.
  9. Kerana itulah kita baca doa ini apabila bangun dari tidur, agar apabila kita sedar akan tempat kembali kita adalah kepada Allah s.w.t, kita tidak akan berani buat maksiat.
    Doanya:
    اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرِ
    Ertinya: \”Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah Dia \”mematikan\” kami, dan kepada-Nyalah kami dikembalikan.\”
  10. Motivasi: Apa beza antara orang yang takut mati & orang yang ingatkan mati?
    i- jika hanya takut mati- akan berusaha memanjangkan umur dan sihat badan, ambil ubat dan pelbagai cara, tetapi belum tentu ingat bekalannya untuk akhirat nanti.
    ii- jika ingat mati ia akan menghalang kita daripada membuat maksiat dan dosa yang kita bawa bersama kematian nanti. Dia akan bersiap untuk bekalan kematiannya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 69- {Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.} –
    Ayat ini mengandungi amaran dan galakan التحذير والترغيب.
    Amaran التحذير agar jangan buat maksiat kerana Allah s.w.t tahu segalanya.
    Juga galakan الترغيب untuk membuat ibadat secara rahsia kerana Allah s.w.t juga mengetahui segalanya, malaikat akan mencatat semuanya tidak perlu kita isytiharkan.
  2. Ayat 68- {Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih} untuk membatalkan kefahaman yang didakwa oleh orang kafir tentang sembahan mereka yang ada kuasa juga.
  3. Ayat 68- {Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya,.. مَا يَشَاءُ} – APA bukan siapa (من).
    Kata ulama\’ – supaya masuk semua benda dan perkara, bukan manusia sahaja, apa saja- semua benda, makhluk dan perbuatannya, bukan makhluk yang berakal sahaja.
  4. Ayat 68- {Dan Dia lah juga yang memilih,,} menunjukkan hikmah yang besar, setiap benda itu ada hikmahnya, jika kita tahu, tahulah, jika tidak tahu maka ia di bawah kuasa Allah s.w.t.
  5. Mengisbatkan bahawa Allah s.w.t bersikap dengan Iradah (kehendak dan kemahuan-Nya).
    Iradah ini ada dua jenis:
    i- Iradah kauniyyah إرادة الكونية – semua yang Allah nak cipta boleh terjadi. Semua makhluk ini asalnya Allah mahu supaya beriman.
    ii- Iradah Syar\’iyyah إرادة الشرعية- tetapi hanya orang yang terpilih sahaja akan beriman, bukan semua manusia.
    Contoh seperti di kalangan keluarga Rasulullah s.a.w bapa saudaranya Hamzah dan Al-Abbas beriman tetapi tidak Abu Talib dan Abu Lahab tidak.
  6. Memang pilihan secara umum milik Allah s.w.t, tetapi Allah s.w.t berikan kita akal dan fikiran untuk kita timbang dan pilih. Firman Allah s.w.t – surah Aali-Imran.
    Ini menolak fahaman puak Jabariyyah dan Qadariyyah yang menyimpang dari ajaran Islam yang benar.
    Boleh tengok Kuliah AAM – Syarah Kitab Tuhfah Ar-Raghibin.
    Link: https://youtu.be/UaQ2MbXsEQs
  7. Ayat 69- {Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.} menunjukkan semuanya di bawah ilmu Allah s.w.t, maka jangan kita berani-berani buat maskiat kepada-Nya.
  8. Cara dan lafaz kepujian kepada Allah s.w.t itu mestilah diambil dari ajaran Rasulullah s.a.w yang sabit dan warid. Sebagai panduan tiada lafaz zikir yang mufrad (tunggal) yang diajar oleh nabi s.a.w. contoh seperti; Ahad-Ahad, Allah-Allah dan seumpamanya.
  9. Memuji Allah s.w.t di dunia dan akhirat menzahirkan sifat sempurna dan mulia Allah s.w.t.
  10. Semua peraturan dan hukum-hakam atas dunia ini milik Allah s.w.t. kita tidak boleh sekali-kali mereka-cipta dan memakai undang-undang lain.
    Sepatutnya kita seluruh kaum muslimin angkat tangan sokong dan bergabung untuk mengguna dan beramal dengan hukum Syari\’ah undang-undang Allah s.w.t.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs