SURAH AS-SAJDAH : AYAT 1-5

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, AL-QURAN DITURUNKAN DARI ALLAH S.W.T & KUASA ALLAH MENCIPTAN DUNIA INI 6 MASA.

Full video : https://youtu.be/jqEm8oPG-Ps

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini Khamis 21 Rabi\’ul Awawl 1443H bersamaan 28hb Oktober 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah As-Sajdah.
  2. Surah As-Sajdah, surah ke-32 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 21 dan mengandungi 30 ayat.
  3. Walaupun surahnya pendek, ia mengandungi banyak hikmat, pengajaran, dari As-Sajdah. Ayat-ayatnya biasa kita dengar pada setiap waktu solat Subuh pagi Jumaat.
  4. Ittifaq ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah.
    Ada ulama\’ kata Makkiyyah melainkan:
    i- 3 ayat iaitu ayat 18, 19 & 20 yang turun di Madinah.
    ii- kecuali 5 ayat – ayat 16, 17, 18, 19 & 20.
    Yang penting asas atau tapak ini adalah Makkiyyah.
  5. Dinamakan surah ini Surah As-Sajdah – perihal sujud kerana pada ayat ke15 ada diceritakan perihal orang yang beriman dan sifat mereka yang terpuji apabila mereka mendengar ajaran Kitab al-Quran mereka segera menerima dan beramal denganya lalu bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t yang atas nikmat Islam yang tiada bandingannya.
    Ayat ini juga dipanggil ayat Sajadah yang perlu sujud apabila kita membaca atau mendengarnya.
  6. Ada juga yang menamakannya sebagai الم , تَنْزِيلُ السجدة berdasarkan hadis Abu Hurairah r.a: [HR Bukhri & Muslim].
    Kata Syeikh Ibnu Asyur nama yang paling masyhur bagi surah ini ialah As-Sajdah iaitu nama yang paling ringkas dan pendek, dan inilah yang tertulis dalam Mushaf. Imam at-Tirmizi juga menamakannya sebagai surah As-Sajdah dalam Sahihnya.
  7. Ini juga namanya yang paling sesuai kerana ayat-ayatnya mengajak kita tunduk kepada Allah s.w.t dan jangan sombong atas dunia ini.

KELEBIHAN SURAH & KEISTIMEWAANNYA :

  1. Disunatkan dibaca pada waktu solat Subuh pada hari Jumaat. Hadis Abu Hurairah ini jelas. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ،
وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ

Maksudnya: \”Adalah Nabi S.A.W membaca pada hari Jumaat di dalam solat Fajar dengan الم تَنْزِيلُ al-Sajadah dan هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا.\” [Riwayat al-Bukhari (891), Muslim (879)]

  1. Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak akan tidur sehingga Baginda membaca Surah Sajadah dan Surah al-Mulk. [HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi- Hasan, Sahih li-ghairihi].
    Maka insya\’ Allah kita amalkannya, jika dah baca al-Mulk kekalkan, cuma boleh tambah surah ini juga.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Pada awal surah Allah s.w.t menerangkan tentang:
    i- benarnya dakwah Nabi s.a.w dan benarnya al-Quran yang diwahyukan. Maka ditegaskan dasar tauhid, dibawanya dalil yang membuktikan kekuasan Allah s.w.t yang mencipta alam yang terbentang luas ini dalam 6 masa.

ii- Allah s.w.t menegaskan bahawa DIA memberikan taufiq dan hidayahnya hanya kepada orang yang sedia berusaha beriman dan beramal soleh, maka Allah campakkan iman ke dalam hati mereka. Manakala orang yang tetap kufur dan ingkar dengan pilihan dan ikhtiar mereka sendiri, setelah diterangkan mana yang benar dan mana yang salah, maka azab siksa yang tidak terperi balasan bagi mereka.

iii- Ditegaskan bahawa turunnya wahyu kepada para nabi-nabi bukan perkara baru, ia telah berlaku sejak zaman dahulu lagi.

  1. Kitab al-Quran adalah wahyu yang diturunkan untuk menjadi hidayah petunjuk.
  2. Sesiapa yang menerima kitab ini dengan sempurna berhaklah dia menjadi pemimpin jika dia berusaha dan bersabar.
    Allah setelah itu menegur kaum kafir musyrikin kenapa masih berdegil dan ingkar akan agama Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w sedangkan mereka dapat melihat peninggalan kaum derhaka yang telah dibinasakan akibat keingkaran mereka dalam perjalanan kafilah dagangan mereka setiap tahun dalam Rehlah musim sejuk dan musim panas- rujuk Surah Quraisy.
    (Ingat tempat kebinasaan adalah tempat pengajaran buka untuk melancong suka-suka.)
  3. Apabila orang kafir bertanya dengan mengejek-ngejek bilakah akan datang hari kemenangan orang Islam- Allah s.w.t memerintahkan Nabi s.a.w menjawab bahawa ia akan tiba tidak lama lagi!
    Pada hari Kiamat itu nanti tidak berguna lagi keimanan kaum kafir jika mereka nak beriman pun. Sudah habis masa dan tempoh untuk mereka bertaubat.

OBJEKTIF SURAH :

1- Menjelaskan akan sifat keagungan Allah s.w.t dan sempurna kudrat kuasa-Nya dalam penciptaan segala makhluk, dalam arahan-Nya untuk bangkit semula dan memberi balasan kepada makhluk.

  1. Menyebut tentang kedudukan al-Quran. Ia menggumpul semua jalan petunjuk yang terkandung dalam surah ini dan surah-surah yang lainnya.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Menyatakan bahawa al-Quran itu turun dari Allah Azza wa Jalla, dari Lauh al-Mahfuz ke langit dunia dan kepada Rasulullah s.a.w.
    Ini sekaligus menolak tuduhan kaum musyrikin yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w yang mereka-cipta al-Quran.
  2. Menyebut tentang keesaan Allah s.w.t dalam penciptaan langit dan bumi dan mejelaskan terzahirnya tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t dan keindahan penciptaaan-Nya, serta bagaimana manusia dicipta begitu cantik dan indah.
    Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).} (At-Tiin 95:4)
  3. Menerangkan tentang keraguan dan putar belit yang dibawa oleh puak kafir musyrikin tentang hari Kiamat dan jawapan balik yang mantap dari Allah s.w.t tentangnya.
  4. Membentangkan suasana yang akan berlaku pada hari Kiamat, bagaimana keadaan orang kafir di hadapan Allah s.w.t kelak.
  5. Diceritakan sifat orang mukmin yang sentiasa bangun dari tempat tidur untuk beribadat kepada Allah s.w.t, serta pula tentang azab yang disediakan untuk orang fasik di neraka Jahim.
  6. Isyarat kepada kisah Nabi Musa a.s dan nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya melalui Kitab Taurat dan Bani Israil yang mejadi pemimpin.
  7. Menyeru supaya tafakkur dan tadabbur dengan melihat kepada ayat yang dibaca dan yang dapat dilihat dengan mata.
    ايات مقروءة وايات منظورة
  8. Menceritakan tentang kebodohkan dakwaan kaum musyrikin dan Allah menyuruh Rasulullah s.a.w menolak tuduhan mereka dan ancaman jangan sombong atas dunia ini.
  9. Allah s.w.t perintahkan agar Rasulullah s.a.w tinggalkan mereka selepas habis berdakwah dan tidak dengar juga.
    Allah telah janjikan kepada orang Islam akan kemenangan maka sama-sama kita tunggunya, insya\’ Allah.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

AYAT 1- {ALIF, LAM, MIIM.} الم (AS-SAJDAH 31:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ahالمقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م (Alif, Lam. Mim)
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  3. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2- { DITURUNKAN AL-QURAN INI, DENGAN TIDAK ADA SEBARANG SYAK PADANYA, DARI TUHAN YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM.} (AS-SAJDAH 31:2)

  1. Allah s.w.t menyatakan ayat al-Quran adalah kitab yang datang dari-Nya serta tiada keraguan dan syak padanya, tiada yang dapat mencabar dan melawan hujjah al-Quran.
  2. Al-Quran itu juga datang dari Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Malaikat hanya sebagai perantaraan kepada Rasulullah s.a.w.

AYAT 3- {(ORANG-ORANG KAFIR TIDAK MENGAKUI HAKIKAT YANG DEMIKIAN) BAHKAN MEREKA MENGATAKAN: \”DIA LAH (MUHAMMAD) YANG MENGADA-ADAKAN AL-QURAN MENURUT REKAANNYA\”. (DAKWAAN MEREKA ITU TIDAKLAH BENAR) BAHKAN AL-QURAN IALAH PERKARA YANG BENAR DARI TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD), SUPAYA ENGKAU MEMBERI INGATAN DAN AMARAN KEPADA KAUM (MU) YANG TELAH LAMA TIDAK DIDATANGI SEBARANG PEMBERI INGATAN DAN AMARAN SEBELUMMU, SEMOGA MEREKA BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK.} (AS-SAJDAH 31:3)

  1. Orang-orang kafir itu menuduh dan tidak mengakui hakikat akan al-Quran itu, mendakwa ia rekaan dan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w.

2, Allah s.w.t menafikan dakwaan mereka ini dengan menegaskan sekali lagi bahawa al-Quran adalah sesuatu yang benar dari Tuhan-mu wahai Muhammad s.a.w.

  1. Tugas al-Quran ini antaranya datang sebagai pemberi ingatan dan amaran kepada kaum manusia, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.
  2. Al-Quran ini datang selepas terputusnya kitab dari langit buat beberapa lama, selepas nabi Isa a.s terdapat tempoh masa yang panjang sebelum Rasulullah s.a.w diutuskan.
    Ulama\’ kata manusia berada dalam tempoh fitrah pada masa itu, satu gap terputus antara rasul dan rasul. Kaum Quraisy juga tidak pernah didatangi atau diutuskan seorang nabi atau rasul kepada mereka sebelum itu.
  3. Maka al-Quran ini datang untuk mengajak manusia Tauhid kepada Allah dan memberi hidayah petunjuk kepada mereka, serta amaran dari terpesong.
  4. Firman Allah s.w.t: {Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.} (Yaa Siin 36:6).

AYAT 4- {ALLAH TUHAN YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA DALAM ENAM MASA, KEMUDIAN IA BERSEMAYAM DI ATAS ARASY; KAMU TIDAK AKAN BEROLEH SEBARANG PENOLONG DAN PEMBERI SYAFAAT SELAIN DARI ALLAH; OLEH ITU TIDAKKAH KAMU MAHU INSAF DAN MENGAMBIL IKTIBAR (UNTUK MENCAPAI KEREDAANNYA)?} (AS-SAJDAH 32:4)

  1. Selepas menerangkan tentang Nabi Muhammad s.a.w dan tentang kebenaran al-Quran yang dibawanya, Allah s.w.t bawa pula dalil yang membuktikan tentang keesaan dan kekuasaa-Nya melalui alam yang terbentang luas ini, yang dicipta-Nya dalam ENAM (6) masa.
  2. Ulama\’ tidak bercakap panjang akan apa yang dimaksudkan dengan 6 masa ini, adakah 6 jam atau 6 hari atau 6 apa, wallahu a\’lam hanya Allah yang mengetahuinya.
  3. Tetapi ulama\’ tafsir cuba juga agar kita tidak tertanya-tanya:
    i- Kata al-Qurtubhi – 6 hari itu adalah 6 hari yang biasa, bermula dari hari Ahad sehingga Jumaat.
    ii- Kata Al-Hasan – 6 hari itu adalah 6 hari dunia yang biasa seperti sekarang ini.
    iii- Ibnu Abbas r.a berkata – masa 6 hari itu mengambil masa selama 1000 tahun bagi setiap satu hari jika manusia yang buatnya tetapi bagi Allah adalah 6 masa.
  4. Allah s.w.t ciptakan segala makhluk ini dengan segala sistem pentadbiran, susun-atur yang sempurna dan lengkap, yang sudah ditetapkan-Nya.
  5. Kemudian Allah bersemayam (istiwa\’) di atas Arasy-Nya. Bagaimana caranya kita tidak perlu tanya dan tidak perlu fikir, ianya sebagaimana yang layak bagi kedudukan Allah s.w.t.
    Kita beriman dengan sifat sebagaimana yang disebut-Nya sendiri, tidak perlu bincang banyak sebagaimana yang dibuat oleh ulama\’ Salaf. Tidak perlu kita takwil, bagi contoh, bagi sifat dan sebagainya.
    Ini kerana Allah telah ajar kepada kita dengan berfirman:
    { لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ} [الشورى: 11]
    {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} [Asy-Syura: 11].
    Inilah kaedah yang kita kena pegang, jangan banding atau buat contoh dengan sifat makhluk barulah kita tenang.
    Sebagaimana kita terima sifat Allah s.w.t Melihat, Mendengar & Mengetahui, kita tak korek bagaimana caranya atau bandingkannya, maka begitulah juga sepatutnya dengan sifat-sifat lain yang sebutkan sendiri oleh Allah s.w.t tentangnya.
  6. Manusia tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu mestilah kita kena insaf dan mengambil iktibar untuk mencapai keredhaan-Nya!
    Siapa ambil wali penolong selain daripada Allah maka terpesonglah dia!
    Hanya Allah yang layak disembah dan dipuja.

AYAT 5- {ALLAH MENTADBIRKAN MAKHLUK-MAKHLUKNYA; (BAGI MELAKSANAKAN TADBIRNYA ITU IA MENURUNKAN SEGALA SEBAB DAN PERATURAN) DARI LANGIT KE BUMI; KEMUDIAN DIANGKAT NAIK KEPADA PENGETAHUANNYA (SEGALA YANG BERLAKU DARI PERLAKSANAAN TADBIRNYA ITU UNTUK DIHAKIMINYA) PADA SUATU MASA YANG (DIRASAI OLEH ORANG-ORANG YANG BERSALAH) BANYAK BILANGAN TAHUNNYA MENURUT HITUNGAN MASA KAMU YANG BIASA.} (AS-SAJDAH 32:5)

  1. Allah s.w.t perkenalkan lagi sifat-Nya, Dialah yang mentadbir segala makhluk yang ada di langit dan di bumi ini, tiada yang terlepas satu pun dari pengetahuan-Nya.
  2. Kemudian segala perbuatan dan amalan manusia itu akan diangkat kepada-Nya.
  3. Ini menunjukkan taqdir itu turun dari sisi Allah s.w.t di langit kemudian turun ke bumi kepada manusia. Kemudian laporan itu akan diangkat naik kepada Allah s.w.t pula dari bumi ke atas langit.
  4. Apa atau siapa yang naik ini? Kata ulama\’ samada:
    i- malaikat yang bawa naik laporan amalan kita. Malaikat yang jaga kita, penulis maklumat.
    ii- malaikat yang bertugas tukar syiftnya pada setiap hari dalam dua waktu iaitu waktu subuh dan asar.
    *Yang penting naik turun wahyu, amalan manusia, para malaikat dan semuanya adalah dengan kuasa dan kehendak Allah s.w.t.
  5. Allah s.w.t juga gambarkan pada hari Kiamat itu, satu hari seumpama setahun yang biasa kamu lalui di atas dunia ini dulu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 2- {Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.} – ayat ini menjadi isyarat bahawa al-Quran ini mesti diterima oleh semua makhluk, manusia yang ada di bumi. Kafir atau tidak, jika tidak terima maka balalah baginya.
  2. Ayat 3- {((Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), – Allah s.w.t menyokong hujjah bahawa al-Quran itu bukan direka, menegaskan al-Quran adalah daripada-Nya bukan rekaan Rasulullah s.a.w. Membatalkan dakwaan orang kafir itu.
  3. Ayat 4- {oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?} – ayat ini mencela, mencerca, sesiapa yang tidak mengambil pengajaran dan iktibar, selepas keterangan dan dalil-dalil ini. Maka untuk selamat dari celaan ini kita kena keluar dari kelompok ini dan ambil iktibar.
  4. Ayat 4- {Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa,} – kenapa Allah s.w.t sebut dalam; 6 masa? Sedangkan Allah s.w.t bersifat \”Kun\” fayakun?
    Ini kerana Allah s.w.t mahu mendidik makhluk-Nya agar jangan goppoh. Buatlah kerja dan tugas yang diberi dengan berhati-hati dan cermat. Semuanya ada tempoh. Allah tidak gunakan kuasa \”kun-fayakun\”-Nya itu semata untuk mendidik hamba-Nya agar jangan \”lorat\”.
  5. Ayat 4- {Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa,} – membatalkan dakwaan puak mulhid (atheis) yang tidak beriman dan tidak percaya adanya Tuhan, mereka kata alam ini sudah lama dan wujud dengan sendiri. Allah tegaskan Dia yang menciptanya, dengan kuasa dan kehendak-Nya Allah s.w.t.
  6. Ayat 4- {Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya} – dalam ayat ini Allah s.w.t sebut juga alam yang ketiga selain dari di langit dan di bumi iaitu: {apa yang ada di antara keduanya}. Apa yang ada seperti awan, angin dan lain-lain, kita boleh cuba kaji untuk meningkatkan keimanan kepada Allah.
  7. Ayat 4- {Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy;} – ayat ini menjadi dalil bahawa ARASY itu sudah ada dan dicipta sebelum ada langit dan bumi lagi. Serta dalil-dalil dari hadis lain tentangnya.
  8. Ayat 4- {Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy;} – ayat ini boleh membawa kepada 2 kefahaman dan 2 mazhab:
    i- ulama\’ salaf tidak menafsirkannya dan kekalkan lafaznya sebagai istawa\’ (bersemayam), tanpa membawa contoh atau menukar maknanya atau mengosongkan Allah s.w.t itu sendiri dari sifatnya.
    ii- ada kefahaman ulama\’ yang terkemudian (ulama\’ khalaf – Asyairah & Maturidi) mentakwilkan maksudnya dengan menukar perkataan istawa\’ kepada istaula\’ yang bermaksud \”berkuasa\’ atas alasan supaya orang ramai tidak keliru.

Kita kata: kenapa nak kelirunya jika sudah dijelaskan dengan elok dan baik, sepatutnya tidak perlu tukar lafaz atau maknanya lagi, kerana pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat dulu tidak ada yang menafsirkan sedemikian.
Insya\’ Allah jelas elok-elok, ghoyat mmolek, tidak ada kekeliruan, masyarakat boleh faham bahawa itu sifat Allah s.w.t, tidak sama seperti makhluk.
Kerana itu kena belajar dan mengajar tentang kedua fahaman ini agar tidak menjadi sesuatu yang asing dan menakutkan bagi masyarakat.
Akal manusia ini cerdik tidak akan keliru jika diberi penerangan dan penjelasan yang baik.

  • Untuk rekod; Allah s.w.t sebut perkataan istawa\’ ini dalam 7 ayat dalam al-Quran; surah al-A\’raf, Yunus, ar-Ra\’du, Toha, al-Hadid, al-Furqan dan as-Sajdah ini. Selepas sebut sifat ini Allah akan tunjukkan keagungan dan kehebatan-Nya!
  1. Ayat 5- {Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi;} – ayat ini menunjukkan Allah menyusun semua perkara juga menolak kefahaman golongan al-Qadariah yang mengatakan semuanya hasil perbuatan manusia. Ayat ini mengajar kita walaupun Allah s.w.t yang menurunkan taqdir itu tetapi kita sendiri yang memilih amalan yang baik atau jahat. Sesungguhnya semua benda yang kita buat adalah usaha kita dengan taqdir Allah s.w.t.
    Maka jika kita buat jahat jangan cuba nak berlepas diri dan menyalahkan taqdir pula.
  2. Ayat 5- { pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya seperti 1000 tahun menurut hitungan masa kamu} – cuba kita tengok kepada beberapa ayat yang menyebut kadar tempoh ini:
    i- {Sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.} (Al-Hajj: 47)
    ii- {banyak bilangan tahunnya seperti 1000 tahun menurut hitungan masa kamu} – [as-Sajdah: 5].
    iii- {Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) seperti 50 ribu tahun, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).} (Al-Ma\’aarij: 4)

Macamana cara kita nak gabungkan semua masa yang disebut ini?
i- Dalam surah al-Hajj Allah sebut apa yang Dia buat dalam masa yang ringkas, dalam 6 masa yang setiap masanya digambarkan selama 1000 tahun, untuk kita bayangkan betapa cepat dan lajunya kuasa Allah buat semua itu. Yakni nak gambarkan hari yang kamu hitung 1000 tahun Allah buat dalam masa sehari! 1000 tahun ini kadar hari dan masa.

ii- dalam surah as-Sajdah ayat 5 pula menunjukkan jarak dan masa turun naik malaikat dari langit dan bumi itu jika dikira masa perjalanan manusia yang betul seolah seribu 1000, tetapi dengan kuasa yang Allah s.w.t berikan kepada malaikat maka ia hanya seolah sekelip mata saja.
Jarak sebenarnya jauh, seolah seribu tahun perjalanan bagi manusia bias, tetapi dengan kuasa Allah boleh cepat. 1000 tahun ini jarak perjalanan.

iii- ayat 4 surah al-Ma\’arij pula bandingan untuk waktu pada hari Kiamat. Hari Kiamat Allah s.w.t dapat selesaikan segalanya, perhimpunan, hisab hitung amalan, pembentangan dan pengadilan dan segalanya dalam masa 1 hari. Jika dihitung hari dunia ini ia seolah akan mengambil masa selama 50,000 tahun. Tetapi pada hari kiamat dapat selesai dalam satu hari. 50,000 tahun ini adalah kadar hari Kiamat.

Maka dapat kita fahamilah bahawa 3 ayat ni tidak bertentangan maknanya antara satu lain kerana setiap satunya menunjukkan kepada suasana dan keadaanya yang tersendiri.

Powered by BetterDocs