SURAH AN-NUR : AYAT 36-38

\"\"

KEDUDUKAN MASJID DAN IMARAHKANNYA, GALAKAN ZIKIR WAKTU PAGI DAN PETANG & AHLI PERNIAGAAN YANG SENTIASA INGAT ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/gDVDPFLnQNA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri lepas Allah s.w.t buat bandingan cahaya petunjuk Allah dengan lampu kaca yang bersinar dan cerah, yang membawa petunjuk hidayah kepada manusia.
  2. Di manakah cahaya itu biasanya berada? Maka dalam siri ini akan diceritakan tempatnya iaitu masjid, rumah-rumah Allah.
  3. Dengan keadaan kita hari ini akibat pandemic Covid-19, masjid-masjid terpaksa ditutup buat sementara, walaupun sesuatu yang menyedihkan tetapi kita akur untuk keselamatan dan sebagai satu ikhtiar.
  4. Moga cahaya ini dapat digilap dengan menghadiri kelas-kelas on9, meningkatkan bacaan dan tadabbur al-Quran mengambil faedah dan pengajarannya.
  5. Tetapi dalam masa yang sama kita berdoa agar masjid kembali dibuka (dengan SOP dan penjagaan yang ketat dan rapi) agar cahaya lampu di rumah-rumah Allah s.w.t ini akan kembali dapat menyinari sampai ke hati orang-orang mukmin yang mungkin sudah gundah-gulana.
  6. Dalam siri ini juga tentang adab dan peraturan (SOP) masuk ke masjid.

AYAT 36- {(NUR HIDAYAH PETUNJUK ALLAH ITU BERSINAR DENGAN NYATANYA TERUTAMA SEKALI) DI RUMAH-RUMAH IBADAT YANG DIPERINTAHKAN OLEH ALLAH SUPAYA DIMULIAKAN KEADAANNYA DAN DISEBUT SERTA DIPERINGAT NAMA ALLAH PADANYA; DI SITU JUGA DIKERJAKAN IBADAT MENSUCI DAN MEMUJI ALLAH PADA WAKTU PAGI DAN PETANG.} (AN-NUUR 24:36)

  1. Cahaya petunjuk Allah s.w.t yang menerangi hati orang mukmin seperti lampu dalam bekas kaca yang terang benderang, sentiasa gemerlapan memantulkan balik cahayanya.
  2. Lampu ini dikatakan berada di dalam lubang dinding masjid yang pasti lebih besar dan luas, maka lampu kacanya lebih kuat sinar cahanya.
  3. Maka masjid adalah tempat sumber hidayah untuk kita menyebarkan cahayanya kepada umat. Ia adalah tempat yang mulia dan tempat ibadat utama yang terjaga kemuliaan dan kehormatannya.
  4. Allah s.w.t juga menyuruh kita mengangkat darjat masjid dengan binaan yang menarik dan sesuai.
  5. Hari ini Alhamdulillah majoriti masjid di akhir zaman ini begitu indah dan besar tetapi malangnya jemaahnya pula tidak sehebat atau se-gah binaan masjid itu.
  6. Tetapi dalam masa yang sama wajib menjaga kesucian dan kebersihannya dari benda/aktiviti yang tidak sepatutnya. Bukan sekadar kebersihan fizikal tetapi jagalah kesucian maknawi masjid, tunaikan hak dan SOP masjid, jika nak masuk tunaikan haknya.
  7. Masjid ada peraturan dan adabnya; contohnya- masuk kaki kanan, baca doa, suci dari najis dan hadas besar, pakaian menutup aurat, solat tahiyyatul-masjid.
  8. Jauhkan dari masjid suara-suara dan perkataan yang tidak baik. Termasuk juga ceramah dan kuliah yang tidak menghormati adab dan agama.
  9. Adab & Hadis SOP Masjid:
    i- Ikhlas – nak bina masjid wajib ikhlas kerana Allah s.w.t.
    Daripada Jabir bin Abdullah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Sesiapa yang membina masjid kerana Allah sekalipun hanya seperti sarang burung atau lebih kecil maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga. [HR Bukhari dan Muslim].
    ii- Jaga kebersihan masjid- hadis Badwi kencing dalam masjid.
    Dari Anas bin Malik r.a, beliau berkata, Seorang Arab Badui pernah memasuki masjid, kemudian dia kencing di salah satu sudut masjid. Lalu para sahabat mengherdik orang ini. Namun Nabi s.a.w melarang tindakan para sahabat tersebut. Apabila orang tadi telah menyelesaikan hajatnya, Nabi s.a.w lantas memerintah para sahabat untuk mengambil air, kemudian bekas kencing itu pun disirami. (HR. Bukhari no. 221 dan Muslim no. 284)
    iii- Jangan buat iklan atau pengumuman yang tiada kaitan dengan dengan ibadat atau keperluan dalam masjid. Sebuah hadis: Seorang lelaki mengumumkan maklumat kehilangan di dalam masjid. Dia mengatakan, \”Siapakah yang menemukan unta merah(ku)?\” Maka Nabi s.a.w. bersabda, \”Semoga kamu tidak menemukan (barang hilangmu). Sesungguhnya masjid-masjid itu dibangun hanyalah untuk kegunaan yang sesuai dengan fungsinya (tempat untuk ibadah).\” [Hadis Riwayat Bukhari].
    iv- Jangan ke masjid dengan bauan dan pakaian yang tidak sesuai. Hadis –
    Rasulullah s.a.w bersabda:
    مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ لِيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا وَلْيَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ
    \”Barangsiapa makan bawang putih atau bawang merah, maka janganlah ia mendekati masjid kami dan hendaklah ia solat di rumahnya.\” [HR Al-Bukhari].
    Ini kerana dia bukan saja mengganggu jemaah solat disebelahnya tetapi juga menyakiti malaikat. Sabda Rasulullah s.a.w:
    فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ الْإِنْسُ
    \”Sesungguhnya para malaikat itu juga terganggu dengan apa-apa yang mengganggu manusia\” [Al-Bukhari, kitab Al-Azan 854, Muslim, kitab Al-Masajid 564]

Semua yang berbau busuk, hukumnya sama dengan hukum bawang putih dan bawang merah, seperti mengisap rokok, bau badan atau ketiak, pakaian kotor atau seumpamanya maka ia dimakruhkan untuk ke masjid berjamaah, sehingga ia dapat menghilangkan bau tersebut.

v- Siapa yang boleh pergi ke masjid? Hadis – Susunan Saf. [HR Muslim].
Sof depan bukan hak orang tua sahaja, wajib tua dan ada ilmu. Boleh bawa anak ke masjid, tetapi para bapa/penjaganya kena bertanggung-jawab dan memantau mereka. Jika kita tak bawa, bila mereka nak belajar solat Jemaah dan menjinakkan hati mereka dengan masjid.
vi- Larangan mengadakan pertandingan syair dan seumpamanya dalam masjid. Hadis – Rasulullah s.a.w. melarang saling mendendangkan sya\’ir di dalam masjid.

vii- juga larangan berjual-beli dalam masjid. Tidak boleh menjadikan masjid sebagai pasar (melakukan transaksi jual beli). Dalam sebuah hadis disebutkan, \”Dan (hindarkanlah masjid-masjid kalian dari) jual beli kalian.\” [HR Muslim No [432].

viii- berbual dan buat halaqh majlis sebelum solat Jumaat dalam masjid. Hadis –
Allah s.w.t. melarang dilakukan percakapan yang tidak ada gunanya di dalamnya dan juga semua perbuatan yang tidak layak bagi kesuciannya. Sesungguhnya masjid itu dibangun hanya untuk menyebut nama Allah dan solat di dalamnya.
Dalam sebuah hadis disebutkan, \”Dan (hindarkanlah masjid kalian dari) suara keras kalian.\” Suara keras termasuk meninggikan suara kerana bertengkar dan sebagainya.

B- Firman Allah s.w.t: {..disebut serta diperingat nama Allah padanya.}

1. Yakni apa saja zikir dan bacaan yang boleh mengingatkan kita kepada Allah s.w.t. termasuk juga tazkirah dan kuliah.

2.Firman Allah s.w.t – Surah Jin.

3.Hadis kelebihan majlis ilmu dalam masjid.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: \”Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur\’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya\”. [Riwayat Muslim (4867)].

4.Begitu besarnya pahala menghadiri majlis ilmu di masjid, tidak sama dengan keadaan menghadiri majlis on9 atau secara live dan rekod saja. Kita akan dapat ilmu dan pahala juga insya\’ Allah tetapi tidak sama seperti yang diceritakan dalam hadis ini.

5.Ya Allah, angkat dan hilangkanlah wabak dan musibah bencana ini agar kami dapt menghadiri dan mengimarahkan kembali masjid-masjidmu.

C- Firman Allah s.w.t: {Dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.}

1.Ulama\’ mengatakan ini adalah zikir pagi dan petang atau solat subuh pada pagi dan asarnya pada waktu petang.

AYAT 37- {(IBADAT ITU DIKERJAKAN OLEH) ORANG-ORANG YANG KUAT IMANNYA YANG TIDAK DILALAIKAN OLEH PERNIAGAAN ATAU BERJUAL-BELI DARIPADA MENYEBUT SERTA MENGINGATI ALLAH, DAN MENDIRIKAN SEMBAHYANG SERTA MEMBERI ZAKAT; MEREKA TAKUTKAN HARI (KIAMAT) YANG PADANYA BERBALIK-BALIK HATI DAN PANDANGAN.} (AN-NUUR 24:37)

  1. Siapakah mereka yang disebutkan sentiasa beribadat mengingatkan Allah pada setiap waktu pagi dan petang dan itu?
  2. Merekalah orang-orang yang kuat imannya, walaupun sibuk dengan kerja dan perniagaan besar, istiqomah dalam ibadat dan solat jemaahnnya.
  3. Walaupun sibuk dan besar perniagaan atau jual-belinya, kaya raya dan besar bisnis, mereka sekali-kali tidak dilalaikan oleh urusan duniawi ini.
  4. Sifat mereka lagi – Sentiasa mendirikan solat serta memberi zakat; mereka juga takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan manusia.
  5. Cadangan Abu Anas AAM- Agar diadakan kursus dan latihan khas sebelum dikeluarkan lesen perniagaan dan kontrak, agar masyarakat kita faham dan jelas hukum Syariah dalam perniagaan dan jual-beli, agar tidak terjadi riba, rasuah dan pelbagai urusan syubhat yang boleh membawa kepada haram. Insya\’ Allah, Allah akan berkati dan luaskan lagi rezekinya.

AYAT 38- {(MEREKA MENGERJAKAN SEMUANYA ITU) SUPAYA ALLAH MEMBALAS MEREKA DENGAN SEBAIK-BAIK BALASAN BAGI APA YANG MEREKA KERJAKAN, DAN MENAMBAHI MEREKA LAGI DARI LIMPAH KURNIANYA; DAN SEMEMANGNYA ALLAH MEMBERI REZEKI KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DENGAN TIDAK TERHITUNG.} (AN-NUUR 24:38)

  1. Balasan bagi mereka yang melakukan semua ini, ikhlas dan jaga hukum halal-haram, Allah akan membalas mereka dengan sebaik-baik balasan.
  2. Allah s.w.t akan menambah rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Bersihkan masjid dari segala kotoran, fizikal dan maknawi. Jaga adab dan peraturannya.
  2. Perniagaan besar atau kecil tidak harus menjadi halangan manusia untuk terus mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan mempertingkatkan amal ibadat.
  3. Kita kena sentiasa ada sifat takut akan ancaman melanggar hukum Allah dan dalam masa yang sama mengharapkan pengampunan, rahmat dan nikmat-Nya, insya\’ Allah.
  4. Kepada sesiapa yang sudah dapat ke masjid, alhamdulillah ambil peluang ini sepenuhnya. Jangan masa masjid tutup kita bising tetapi bila dibuka kita tidak pergi dan menghiraukannya pula.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs