Surah Ali-‘Imran : Ayat 15-17

NIKMAT ORANG BERTAQWA, KEREDHAAN ALLAH SWT & LAPAN SIFAT ORANG MUTTAQIN.

Full video : https://youtu.be/dSrSBwVwzNI?si=0Dn161DOU7xQEXIa

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 15 sehingga 17, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Kita terus membincangkan tentang persiapan kita untuk menuju alam Akhirat yang sangat panjang & menakutkan perjalanannya; kerana tidak akan ada yang menemani kita kecuali amal ibadat kita!
  1. Hari ini 10 Rajab, sekali lagi seperti biasa setiap tahun akan berlegar pertanyaan & sebaran tentang kelebihannya.
    i- Seperti yang telah kita maklumkan bulan Rajab ini adalah bulan haram yang mulia tetapi mereka-reka kelebihannya yang tidak ada dari nas yang sahih adalah salah & buruk padahnya.

    ii- Lebih-lebih lagi jika disandarkan kepada Nabi SAW satu perkara yang tidak sabit & sahih. Jangan main-main dengan nama Nabi SAW!

    iii- Hati-hatilah, nak galakkan orang berpuasa bagus, nak galakkan orang beribadat juga bagus! Tetapi nak ceritakan kepada orang tentang kelebihan-kelebihan khas yang tertentu perlu kepada dalil bukan boleh buat suka hati!
  1. Dalam siri ini Adalah merupakan sambungan kepada ayat 14 sebelumnya yang menyatakan manusia ini suka akan nikmat dunia & cintakan syahwat.
    Hiasan dunia ini jika diuruskan dengan baik akan membawa kebaikan juga di Akhirat kelak tetapi jika tidak akan menjadi bala kepada kita di Akhirat kelak. Wal-‘iyazu billah!
  1. Maka dalam ayat ini Allah nyatakan tentang nikmat Akhirat dengan syurga yang kekal abadi bagi orang yang bertaqwa serta akan mendapat keredhaan Allah SWT.
  1. Allah SWT juga bawa dan nyatakan secara terperinci lapan sifat orang muttaqin.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang enam perkara mata-benda dunia yang disukai nafsu, di cintai syahwat manusia yang boleh membawa mudharat jika tidak diurus dengan baik & ikut SOP Syari’ah!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT menggalakkan supaya kita fokuskan kepada perjalanan & bekalan kita untuk ke Akhirat yang lebih baik, tidak ternilai anugerah nikmatnya berbanding dengan dunia yang fana & kecil bagi Allah ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 15- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “MAHUKAH SUPAYA AKU KHABARKAN KEPADA KAMU AKAN YANG LEBIH BAIK DARIPADA SEMUANYA ITU? IAITU BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA DISEDIAKAN DI SISI TUHAN MEREKA BEBERAPA SYURGA, YANG MENGALIR DI BAWAHNYA SUNGAI-SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA. DISEDIAKAN JUGA PASANGAN-PASANGAN/ ISTERI-ISTERI YANG SUCI BERSIH, SERTA (BEROLEH PULA) KEREDAAN DARI ALLAH”. DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MELIHAT AKAN HAMBA-HAMBANYA;} (ALI-‘IMRAN 3:15)

  1. Dalam ayat ini ditawarkan kepada manusia sesuatu yang lebih baik daripada kesenangan dunia! Tawaran & janji Istimewa dari Allah!
  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk berkata kepada.umatnya: Apakah kamu mahu aku khabarkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang nafsu kamu sukai?
    Iaitu 6 perkara yang telah disebut dalam ayat 14 sebelum ini.
  1. Ibnu Jarir At-Tobari RHM berkata : Ulama’ bahasa Arab berbeza pendapat dimanakah soalan ini berakhir?
    i- Ada yang kata berhenti setakat: {بِخَيْرٍۢ مِّن ذَٰلِكُمْ}- {yang lebih baik daripada semuanya itu?} sahaja.
  1. Allah nyatakan bagi orang-orang yang bertaqwa (orang yang taat kepada perintah-Nya) disediakan di sisi Tuhan mereka rezeki & nikmat yang amat besar iaitu:
    i- Beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, Sungai itu pul ada pelbagai jenis air; ada susu. Madu, arak yang tidak memberi mudharta, ait mutlaq dan lain-lain.

    ii- Mereka kekal di dalamnya, tidak akan mati selamanya & tidak akan keluar-keluar lagi!

    iii- Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih. Mereka ini tidak ada cacat cela dari sudut fizikal & rohani.
    Iaitu dari segala benda zahir yang tidak baik & tidak suci atas dunia ini seperti seperti bau yang busuk, haidh, nifas, peluh, najis dan seumpamanya. Mereka juga suci dari segala akhlak & sifat buruk seperti atas dunia ini!

    iv- Serta beroleh pula nikmat yang paling besar iaitu keredhaan dari Allah.
    Nak dapat keredhaan Allah bukan main-main, kena ikut Al-Quran & Sunnah Nabi SAW dan ikhlas dalam segala amalan serta cara pelaksanaannya ikut SOP Syari’ah & ajaran Nabi SAW! Bukan dengan cara ikut ajaran tok syeikh dan mana-mana ikutan!

    Hadis riwayat dari Suhaib RA, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah berfirman: “Apakah kalian ingin tambahan sesuatu dariKu?” Kata mereka: “Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?” Lalu Allah membuka hijab-Nya, maka tidak ada pemberian yang paling mereka cintai melainkan melihat wajah Allah Azza wa Jalla. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat ini: {Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.} [Yunus: 26]. [HR Muslim].
  1. Allah tutup ayat ini berfirman : {Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;}- Sebagai ayat sentap dan amaran untuk hamba-Nya bahawa Allah lihat & tahu semua perkara perbuatan mereka. Tiada perkara yang tersembunyi dari pandangan Allah SWT & Allah lihat dengan ilmu-Nya yang amat meliputi.
  1. Maka jika betul-betul nak keredahaan Allah kita buatlah yang Allah suka & sayang bukan perkara yang disukai oleh manusia tetapi yang dimurkai Allah! Tiada nilai kita di sisi Allah walaupun seluruh dunia ini memuja & memuji kita!
    Biarlah kita merangkak dan tidak dikenali di bumi tetapi malaikat dilangit kenal kita & Allah SWT redha kepada kita!

AYAT 16- {(IAITU) ORANG-ORANG YANG BERDOA DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH BERIMAN, OLEH ITU, AMPUNKANLAH DOSA-DOSA KAMI DAN PELIHARALAH KAMI DARI AZAB NERAKA”;} (ALI-‘IMRAN 3:16)

  1. Apakah sifat orang-orang yang bertaqwa (المتقين) ini?
    Ada 8 sifat yang dijelaskan dalam ayat ini!
    Jika dapat 8/8 alhamdulillah dan inilah Impian kita! Jika tak dapat semua jangan kurang daripada separuh!
  1. Pertamanya : Mereka adalah orang yang beriman kepada Allah {{ءَامَنَّ لَنَا}}! Maka jika tidak beriman & kafir; sia-sia dan tidak ada faedah semua amal kebaikan di Akhirat kelak! Dengan sebab beriman inilah kita akan menjadi orang yang hebat, orang yang dipandang di sisi Allah SWT!
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat 15 sebelumnya:
    i- Allah sebut tentang nikmat Akhirat & siapa yang layak dapat nikmat itu.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah jelaskan, Allah perincikan siapakah mereka, apakah sifat mereka itu yang melayakkan mereka dapat syurga dengan nikmat & bidadarinya!
  1. Sifat yang kedua : sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar Allah mengampunkan segala dosa-dosa mereka {ءَامَنَّا فَٱغْفِرْ لَنَا}. Rasulullah SAW sendiri beristighfar dalam satu majlis sebanyak 70 atau 100 kali.

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
    Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [HR Bukhari (6307)]. Kita sendiri berapa banyak beristighfar dalam sehari???
  1. Sifat ketiga : Mereka juga berdoa agar dipelihara dari azab neraka {وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ}!
    Kita bukan hanya kena minta dapat syurga sahaja tapi dalam masa kena minta juga agar selamat daripada azab neraka!

AYAT 17- {(DAN JUGA) ORANG-ORANG YANG SABAR (DALAM MENJUNJUNG PERINTAH ALLAH), DAN ORANG-ORANG YANG BENAR (PERKATAAN DAN HATINYA), DAN ORANG-ORANG YANG SENTIASA TAAT (AKAN PERINTAH ALLAH), DAN ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA (PADA JALAN ALLAH), DAN ORANG-ORANG YANG BERISTIGHFAR (MEMOHON AMPUN) PADA WAKTU SAHUR.} (ALI-‘IMRAN 3:17)

  1. Sifat keempat : Mereka adalah orang yang sabar dalam mentaati perintah Allah SWT {ٱلصَّـٰبِرِين}!
  1. Sebagaimana yang selalu kita sebut, sabar ada kategori:
    i- Sabar dalam melakukan ketaatan. Kena sabar menjalankan perintah Allah.

    ii- Sabar meninggalkan larangan Allah SWT. Bukan senang juga nak tinggalkan maksiat ini apatah lagi yang telah berpuluh tahun sebati dalam diri seperti merokok!

    iii- Sabar dalam menghadapi kesusahan taqdir Allah SWT. Apa saja ujian, bala & musibah atas dunia ini!
  1. Sifat kelima : Dan orang-orang yang benar {وَٱلصَّـٰدِقِينَ} dalam segala sifatnya sama ada, perbuatan, perkataan dan hatinya.
    Biarlah kita hilang dunia kerana berjuang dalam kebenaran, biarlah dibenci manusia agar tidak dimurkai Allah SWT dalam menyampaikan kebenaran.
    Manusia cuba mencari kebenaran tetapi menjagi kabur kerana syaitan akan menghiasi apa yang tidak benar itu dengan indah dan seolah benar lebih daripada apa yang diajar oleh Rasulullah SAW!
  1. Sifat keenam : Dan orang-orang yang sentiasa taat {وَٱلْقَـٰنِتِينَ} dan kekal dalam melaksanakan ketaatan & perintah Allah.
    Berdiri melakukan solat & segala amal ibadat yang diredhai kerana Allah SWT bukan kerana orang.
  1. Sifat ketujuh : Dan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah {وَٱلْمُنفِقِينَ}. Iaitu pertamanya pada yang wajib seperti zakat, kemudian bersedekah pada kaum kerabat yang susah, bantu orang-orang miskin yang memerlukan, memberi infaq untuk pendidikan, tarbiyah agama Allah kepada masyarakat.

    Kempen AAM :
    Harta kita biar jadi milik kita juga di Akhirat kelak dengan infaqnya fi-sabilillah semasa hhisup kita ini!
    Janganlah jika waktu hidup tak dapat masuk masjid sambil berdiri akhirnya masuk masjid sambil berbaring (sebagai mayat).
  1. Sifat kelapan : Dan orang-orang yang beristighfar memohon ampun {وَٱلْمُسْتَغْفِرِين} kepada Allah SWT terutamanya pada waktu sahur {بِٱلْأَسْحَارِ}.
    Allah sbeut khas waktu ini kerana waktu sahur adalah waktu yang sangat mustajab doa.

    Rasulullah SAW telah bersabda : “Tuhan kami Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia setiap malam saat tersisa sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku kabulkan doanya, siapa yang meminta kepada-Ku maka Aku akan beri permintaannya, dan siapa yang memohon ampunan kepada-Ku nescaya Aku ampuni dia.” [HR Al-Bukhari dan Muslim].
  1. Ya Allah taufiqkan kami agar dapat bangun malam, beristighfar, beribadat dan bermunajat kepada-mu pada waktu sahur, tenang di dunia, aman di Akhirat & mendapat keredhaan-Mu. Serta menjadi orang Muttaqin yang mempunyai 8 sifat khas yang Allah sebutkan ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 15- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu..}-

    Dalam ayat ini Allah SWT gunakan uslub pertanyaan supaya kita memberi perhatian, celik mata & ambil cakna!
    Iaitu mahukah kamu Aku beritahu kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang syahwat kamu suka- iaitu 6 perkara dalam ayat 14 sebelum ini. Maka dalam dalam ayat ini diajar & dijelaskan 8 sifat orang yang bertaqwa kepada Allah yang akan mendapat kebaikan & keredhaan Allah SWT di Akhirat kelak!
  1. Allah SWT tutup ayat ini dengan: Ayat 15- {Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;}-

    Allah kata Dia lihat semuanya apa yang kita buat, cakap & fikirkan! Tiada apa yang tersembunyi dari ilmu & pandangan Allah SWT!
    Yakni sebagai amaran keras agar kita agar kita takut kepada Allah dengan tidak melanggar segala perintah-Nya bukan hanya mengaku beriman sahaja!

    Kata ulama’: Kerana itulah bukan semua orang yang mengaku beriman dikira beriman & dan bukan semua yang mengaku bertaqwa dikira al-Muttaqin.
    Ini kerana semua itu Allah yang nilai- bukan manusia yang nilainya.
    Jika manusia nilai pastilah dengan apa yang mereka nampak dengan mata zahir sahaja.
    Tetapi apabila Allah yang nilai, kita tidak tahu di mana level & tahap yang Allah nak beri- apakah nilai yang dapat melayakkan kita ke syurga & mendapat keampunan & keredhaan Allah Azza wa Jalla.
  1. Ayat 16- {(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman}-

    Sebagai orang yang beriman kita sentiasa mengaku bahawa kita orang yang beriman.
    Orang bertaqwa kena sentiasa iklankan keimanannya dengan melakukan segala ketaatan dan ikut segala perintah Allah SWT, menjauhi & meninggalkan segala larangan-Nya.
    Serta mengiktiraf dan mengakui bahawa kita ini hamba Allah yang lemah, mengabdikan diri kepada Allah, jangan bangga diri dan sombong angkuh.
    Kita kena mengakui kelemahan kita dan sentiasa menuntut keampunan Allah SWT agar kita menjadi orang yang benar-benar beriman!

    Kata ulama’ : Ini adalah tawassul yang tertinggi- iaitu bertawassul dengan keimanan & taqwa kita kepada Allah SWT mudah-mudahan kita layak ke syurga dengannya!
  1. Ayat 17- {(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah)…….} sehingga akhir ayat.

    Dalam ayat ini Allah SWT sebut 5 sifat orang yang bertaqwa iaitu :
    i- Orang yang sabar iaitu sabar dalam 3 kategori tadi- iaitu sabar dalam ketaatan, sabar meninggalkan maksiat & sabar ditimpa musibah! Yakni apabila diuji jangan banyak mengamuk, kepada mengadu kepada sesama makhluk hanya kepada.Allah SWT.

    ii- Orang mukmin tidak bohong- jika suka berbohong, khianat janji & kelentong itu sifat munafiq- wal-‘iyazu billah.

    iii- Orang yang menunaikan haq Allah dalam segala ibadatnya.

    iv- Orang infaq fi-sabilillah, biarlah duit kita masuk ke dalam semua tabung kebajikan yang ada. Ini dari segi harta, jika badan tak kuat kita ada harta gunakannya sebagai jambatan ke Akhirat.

    v- Orang meminta ampun pada waktu sahur.
    Allah sebut 8 sifat orang berimandan bertaqwa ini agar kita sedar jika nak jadi orang yang beriman, orang yang bertaqwa, orang yang hebat jangan lupakan 8 sifat yang telah diberikan Allah SWT ini!
  1. Ayat 17- {(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah),}-

    Allah susun ayat ini dengan cukup cantik; yakni pertama sekali nak jadi baik kita kena beriman kerana itu hubungan kita dengan Allah. Kemudian kita beristighfar kepada Allah untuk bersihkan hati & jiwa kita.
    Kemudian nak bersihkan jiwa kena sabar, kena bercakap benar, kemudian kena banyak ibadat, jangan mulut saja mengaku beriman tetapi tidak buat amalan.
    Kemudian kena infaq fi-sabilillah, pindah-milikkan harta kita agar jadi milik kita kekal di Akhirat kelak.
    Akhirnya Allah tutup ayat ini dengan keistimewaan meminta ampun pada waktu sahur.

    Kenapa?
    i- Ini kerana disyari’atkan setiap kali kita selesai buat benda baik & amal kebaikan kita kena istighfar. Apabila kita bangun malam, selesai baca Al-Quran, istighfar, solat tahajud, solat witir dan seumpamanya akhir sekali kita minta ampun kepada Allah- takut-takut kita tidak ikhlas dalam segala amal ibadat kita tadi!
    Apabila Allah suruh Rasulullah SAW bangun malam dan lakukan amal ibadat; akhir Allah ajar untuk beristighfar:

    Firman Allah SWT:
    ۞ إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَىٰ مِنْ ثُلُثَيِ اللَّيْلِ وَنِصْفَهُ وَثُلُثَهُ وَطَائِفَةٌ مِنَ الَّذِينَ مَعَكَ ۚ وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ ۚ عَلِمَ أَنْ لَنْ تُحْصُوهُ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۖ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ ۚ عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَىٰ ۙ وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ ۙ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ ۚ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
    {Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Muzzammil 73:20)

    Apabila Rasulullah SAW selesai mengerjakan ibadat haji begitu juga, di akhir ayat Allah suruh beristighfar juga. Firman Allah SWT:
    {Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.} (Al-Baqarah 2:198)

    {Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Baqarah 2:199)

    Selepas solat Rasulullah SAW juga beristighfar (أستغفر الله) sebanyak 3x sebagai permulaan zikirnya.
    Ini kerana Baginda SAW bimbang jika ada kesilapan & kekurangan dalam solatnya.
    Malangnya hari ini ramai orang yang tidak ikut format zikir selepas solat seperti yang diajar oleh Nabi SAW tetapi ikut apa yang diterima daripada orang lain! Alangkah ruginya!

    ii- Juga kerana bangun pada waktu sahur sebelum subuh adalah satu perkara yang bukan mudah untuk dilakukan; iaitu meninggalkan tilam yang selesa ketika orang lain sedang lena dibuai mimpi adalah sukar sekali jika tidak kuat semangat!
    Hanya kita dengan Allah; tiada orang lain yang tahu & nampak.
    Maka sesiapa yang bangun pada waktu sahur ambillah peluang ini berhubung bermunajat kepada Allah dengan segala ibadat dan tutupnya pada akhir dekat subuh dengan beristighfar meminta ampun kepada Allah SWT!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs