PAKAIAN ELOK KE MASJID, JANGAN BOROS MAKAN MINUM & ALLAH SEDIAKAN PERHIASAN BAGI MUKMIN.
Full video : https://youtu.be/zoREhx-IH9g?si=UREh_r-84fLKNTGF
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 31 sehingga 32 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT perintahkan supaya memakai pakaian yang elok apabila ke masjid dan mahu beribadat kepada Allah.
- Juga jangan boros dalam makan dan minum, berpada untuk halau lapar sahaja kerana lapar ini akan datang kembali walaupun sebanyak mana kita makan.
- Kemudian Allah nyatakan antara rahmat Allah terhadap hamba-Nya ialah Dia sediakan rezeki yang baik & perhiasan yang elok bagi mukmin.
Hatta orang yang tidak beriman menumpang sama rezeki atas dunia ini tetapi di Akhirat kelak mereka tidak ada bahagiannya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan supaya kita berlaku adil, telus, jangan zalim & sombong.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan antara perkara yang kita kena berlaku adil ialah masalah pakaian, kena jaga aurat kita selain jaga halal-haram dalam makanan & minuman.
Malang sekali masih terdapat ramai kaum muslimat & muslimin yang cuai dalam bab aurat ini!
Muslimat terutamanya kaki & lengan sering terabai.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 31- {WAHAI ANAK-ANAK ADAM! PAKAILAH PAKAIAN KAMU YANG INDAH BERHIAS PADA TIAP-TIAP KALI KAMU KE TEMPAT IBADAT (ATAU MENGERJAKAN SEMBAHYANG), DAN MAKANLAH SERTA MINUMLAH, DAN JANGAN PULA KAMU MELAMPAU; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA AKAN ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.} (AL-A’RAF 7:31)
- Sekali lagi Allah SWT menyeru manusia anak cucu keturunan Nabi Adam AS untuk mengambil berat bab pakaian dan menjaga aurat dengan sempurna.
Nak jaga solat wajib kena jaga aurat, ia adalah sinonim.
- Dalam ayat ini Allah SWT perintahkan kepada kita untuk berhias, memakai pakaian yang indah & elok untuk beribadat ke masjid sama ada untuk solat, tawaf dan lain-lain.
Ingat, kecuali wanita, boleh kemas & bersih tanpa tabarruj berlebihan & berwangian yang boleh dihidu oleh lelaki ajnabi.
- Dalam hadis Nabi SAW juga ada diterangkan supaya kita berhias dengan pakaian yang indah apabila hendak ke masjid terutama sekali pada hari Jumaat & hari Raya dengan memakai pakaian yang indah & berwangian.
- Perhatian: Ayat ini khas untuk kaum muslimin.
Adapun wanita ada SOP-nya, kena ikut Syari’ah, tidak boleh berhias (tabarruj) dan berwangian sehingga boleh dihidu baunya oleh lelaki asing!
Wanita hanya boleh berhias & berwangian untuk suaminya sahaja.
Tetapi manusia hari ini terbalik, di rumah tidak berhias & berwangi tetapi apabila mahu keluar rumah bak ratu!
Hati-hati perangkap syaitan kepada kaum wanita!
- Sabab nuzul ayat ini:
Riwayat dari Ibnu Abbas RA : Dulu pada zaman jahiliyyah para wanita bertawaf dalam keadaan telanjang (kerana mereka kata pakaian mereka itu kotor tidak layak untuk dibawa tawaf). Dia berkata: “Siapa yang mahu meminjamkan aku kain untuk tawaf?” Maksudnya untuk menutup kemaluannya. Maka hanya kemaluannya yang ditutupi dengan secarik kain. Sambil bertawaf dia pun berqasidah: “Hari ini sebahagian atau seluruhnya kelihatan, dan bahagian yang kelihatan tidak aku halalkan.” Maka turunlah ayat al-Quran ini: {… Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid,….} [HR Bukhari & Muslim].
- Kata ulama’ tafsir seperti Ibnu Rajab : Ayat ini turun dengan sebab puak kafir tawaf di Ka’bah dalam keadaan telanjang.
- Riwayat dari Urwah Ibnu az-Zubair RA juga: Orang jahiliyyah yang datang ke Makkah akan tawaf dalam keadaan telanjang belaka kecuali hums (حُمُس) iaitu Quraisy dan keturunannya yang pakai baju. [HR Bukhari & Muslim].
- Kata Ibnu Kathir HM : Puak Arab kecuali Quraisy akan tawaf tanpa memakai baju kerana mereka mengatakan pakaian mereka itu kotor dan ada dosa maksiat, ini adalah permainan syaitan yang jahat.
Maka pihak Quraisy akan beri pinjam pakaian untuk mereka tawaf atau mereka beli baju baru untuk tawaf atau jika tiada telanjang terus.
- Hadis: Pada bulan Zulqa’dah dan Zulhijah tahun kesembilan Hijriyah, Nabi Muhammad SAW mengutus Abu Bakar as-Siddiq RA sebagai pemimpin haji (amirul hajj) bagi seluruh kaum Muslimin.
Kemudian, turunlah wahyu kepada Rasulullah SAW, iaitu permulaan Surah Bara’ah atau At-Taubah. Isinya mengenai pembatalan perjanjian damai dengan kaum musyrikin atau mengabaikannya sekaligus.
Maka, Nabi SAW mengirim Ali bin Abi Talib RA untuk menyusul rombongan Abu Bakar demi menyampaikan ehwal surah tersebut.
Lalu apabila 10 Zulhijah tiba, Ali berdiri di dekat jamarat dan dia mengumumkan kepada orang ramai tentang apa-apa yang diperintahkan Nabi SAW iaitu tentang perlepasan diri Rasulullah SAW dan umat Islam dari orang-orang musyrik selesai Perang Tabuk dan lain-lain maklumat.
Abu Bakar juga mengutus beberapa orang untuk memberitakan kepada orang ramai bahawa tidak dibenarkan lagi bagi seorang musyrik untuk datang haji mulai pada tahun itu. Dan tidak lagi dibenarkan melakukan tawaf dalam keadaan telanjang. [HR Bukhari & Muslim].
- Kemudian Allah perintahkan lagi agar kita makanlah serta minumlah, dengan sederhana, biar cukup & ikut keperluan!
Berpada, jangan pula kamu melampau, boros sehingga membazir!
- Ini kerana sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas & membazir.
- Hadis : Dari Abdullah bin Amr RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah dan minumlah, berpakaianlah, bersedekahlah tanpa kesombongan atau berlebihan. Sesungguhnya, Allah ingin melihat Kesan nikmat-Nya pada hamba-Nya.” (HR Imam Ahmad)
AYAT 32- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SIAPAKAH YANG (BERANI) MENGHARAMKAN PERHIASAN ALLAH YANG TELAH DIKELUARKANNYA UNTUK HAMBA-HAMBANYA, DAN DEMIKIAN JUGA BENDA-BENDA YANG BAIK LAGI HALAL DARI REZEKI YANG DIKURNIAKANNYA?” KATAKANLAH: “SEMUANYA ITU IALAH (NIKMAT-NIKMAT) UNTUK ORANG-ORANG YANG BERIMAN (DAN JUGA YANG TIDAK BERIMAN) DALAM KEHIDUPAN DUNIA; (NIKMAT-NIKMAT ITU PULA) HANYA TERTENTU (BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN SAHAJA) PADA HARI KIAMAT”. DEMIKIANLAH KAMI JELASKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SATU PERSATU BAGI ORANG-ORANG YANG (MAHU) MENGETAHUI.} (AL-A’RAF 7:32)
- Nota [203] “Perhiasan Allah” {زِينَةَ ٱللَّهِ} maksudnya: Pakaian dan benda-benda yang indah.
Manakala “benda-benda yang baik lagi halal” pula ialah makanan dan minuman.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa orang kafir jahiliyyah mengharamkan pakaian atas diri mereka apabila nak tawaf.
Maka datang ayat al-Quran yang menyuruh kita memakai pakaian yang elok & indah apabila mahu ke masjid & beribadat kepada Allah.
ii- Mereka juga mengharamkan beberapa jenis haiwan yang asalnya halal ke atas diri mereka.
Maka datang ayat ini Allah perintahkan supaya kita menggunakan rezeki & nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sama ada perhiasan atau makanan.
Terdapat orang yang mengaku wali atau ditabal wali, tetapi pakaiannya selekeh dan kusut masai, tidak menutup aurat dengan sempurna, merokok atas minbar dan lain-lain, ini adalah satu kekarutan dan kekeliruan fahaman.
Islam tidak begitu, Islam adalah indah, kemas & bersih.
- Sebab itu apabila datang tiga orang pemuda datang menyiasat ibadat Nabi SAW dan mereka mengambil keputusan; seorang dari mereka berkata, aku akan solat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, aku akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, aku tidak akan menikah dengan wanita. Apabila mendengarnya, Nabi SAW menegur tindakan ketiga-tiga mereka.
Sabda Nabi SAW: أنا أصوم وأفطر، وأقوم وأنام، وأتزوج النساء، فمن رغب عن سنتي فليس مني.
“Aku solat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
- Allah nyatakan bahawa nikmat & rezeki Allah itu:
i- Atas dunia ini semua manusia akan dapat menikmatinya sama ada orang yang beriman atau tidak; bahkan orang kafir kadang-kadang lebih berjaya, kaya & banyak rezekinya atas dunia ini.
ii- Manakala nikmat Akhirat, Allah hanya sediakan khas & tertentu untuk orang yang beriman sahaja!
- Kata ar-Razi RHM maksudnya perhiasan (الزينة) ialah : Apa saja jenis penjagaan diri & penampilan termasuk dalam perhiasan untuk manusia.
- Allah akhiri ayat ini dengan menegaskan bahawa, Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang mahu mengetahui.
Yakni orang yang nak tahu dia akan tahu, orang yang tidak mahu tahu, bacalah kepadanya ayat al-Quran & hadis atau syarah 3-4 jam dia tetap tidak akan tahu & faham!
- Jadi kita orang beriman wajib tahu batasan halal-haram, hukum-hakam dalam agama, apa yang elok dan buruk baik kita kena ada garis panduan.
- Kita menyokong untuk pihak berkuasa agama zahirkan garis panduan & SOP yang tegas apa yang boleh & apa yang tidak boleh agar terjaga aqidah umat Islam dalam negara kita ini!!
Jangan lunak dalam masalah Aqidah.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 31- {Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang),…}-
Kata ulama’ pakaian kita ini ada dua kategori:
i- Pakaian asas yang wajib, yang menutup aurat dan jaga keselamatam.
ii- Pakaian perhiasan sebagai tambahan.
Maka dalam ayat ini Allah perintah supaya kita ambil pakaian yang elok kerana mahu beri nilai tambah kepada kita.
Galakan untuk memakai pakaian perhiasan yang indah apabila mahu ke masjid!
Jangan hanya memakai singlet atau baju pagoda ke masjid!
Sebagai daripada para ulama’ salaf, mereka ini walaupun pada kebiasaannya zuhud mereka akan berhias dengan elok apabila mahu ke masjid & beribadat, mereka ada pakaian cantik khas untuk ke masjid.
Ini kerana Allah suka kita menggunakan nikmat yang diberinya dengan tepat.
Apa guna kaya & banyak duit tetapi pakaian serebeh (selekeh) dan kusut masai, tidak jaga kekemasan penampilan diri.
Kata ulama’ tafsir : Dalam ayat ini Allah kumpulkan usul ahkam iaitu asas kepada hukum Syari’ah, ada arahan ada larangan!
Ambil perhiasan kamu- arahan, jangan boros & membazir, larangan.
Kemudian harus (ibahah) untuk mengambil perhiasan ke masjid.
- Ayat 31- {Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang),….}-
Ayat ini ditafsirkan dengan hadis Nabi SAW ini tentang adab solat Jumaat:
Daripada Ibn As-Sabaq RA (menceritakan), bahawa pada suatu hari jumaat Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي جُمُعَةٍ مِنَ الْجُمَعِ: يَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ جَعَلَهُ اللَّهُ عِيدًا لِلْمُسْلِمِينَ فَاغْتَسِلُوا، وَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ طِيبٌ فَلا يَضُرُّهُ أَنْ يَمَسَّ مِنْهُ وَعَلَيْكُمْ بِالسِّوَاكِ.
“Wahai kaum muslimin! Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan hari ini sebagai hari Eid (hari kebesaran), maka hendaklah kamu sekalian mandi. Barangsiapa memiliki wangian, maka tidaklah mengapa jika kamu berwangian dengannya dan hendaklah kamu bersiwak.” [HR Ibnu Majah dan Al-Baihaqi].
Yakni antara sunat hari Jumaat ialah mandi, bersiwak, memakai pakaian yang elok dan berwangi-wangian.
Tetapi jangan pula melampaui batas dan boros membazir.
Seperti memakai pakaian yang melampau pelik & mahal sehingga menarik tumpuan orang ramai, mempunyai logo kurang sopan seperti tengkorak atau perkataan yang melaghakan dan tidak elok, contoh seperti: (Biar putus cinta asal jangan putus rokok!!??) dan seumpamanya. Jadi ayat ini sekaligus membawa hukum bahawa wajib kita menutup aurat ketika solat, tawaf & iktikaf.
- Ayat 31- {… dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.}-
Ayat ini mutlaq menunjukkan keharusan untuk makan dan minum apa yang halal.
Makan & minumlah tetapi dengan SOPnya, jangan membazir, boros dan melampaui!
Ini kerana orang yang membazir adalah saudara syaitan!
Ayat ini juga menunjukkan kepada diet yang betul sebagaimana dalam ilmu perubatan.
Kata Ali ibnu al-Husin bin Waqid (علي بن الحسين بن واقد) : Allah kumpulkan tips ilmu perubatan dalam ayat ini, makan dan minumlah tetapi jangan melampaui sehingga boleh membawa kepada kemudharatan dan penyakit pula.
Jika melampaui tak ikut Sunnah hatta makanan Sunnah sekalipun.
Seorang ulama’ masyhur iaitu Syeikh Ibnul Qayyim (ابن قيم الجوزية) telah menulis sebuah kitab tentang perubatan cara Islam atau Nabi SAW bertajuk “At-Tibb an-Nabawi (الطب النبوي)- iaitu dikumpulkan hadis-hadis tentang perubatan.
- Ayat 32- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”…}-
Ayat ini mengingkari sebahagian perbuatan kaum jahiliyyah dulu yang mengharamkan apa yang telah Allah halalkan seperti haiwan dan pakaian tertentu.
Begitu juga amaran kepada sebahagian ahli ibadat yang melampau dalam zuhud, duit ada tetapi tidak menjaga penampilan, selekeh, serebeh, tidak jaga kebersihan & pengurusan diri.
Ini bukan cara yang diajar oleh Syari’ah.
Syari’ah ajar kita untuk menjaga kebersihan, kesihatan & penampilan diri, semua perkara dibuat dalam keadaan sederhana & ikut keperluan, jangan melampau, boros & membazir.
- Ayat 32- {… Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”.}-
Allah nyatakan bahawa Dia telah menyediakan semua nikmat bagi kehidupan dunia ini untuk orang-orang yang beriman dan juga yang tidak beriman.
Semuanya akan dapat atas dunia ini.
Tetapi nikmat & rezeki kebahagiaan di Akhirat hanyalah khas untuk orang yang beriman!
Seperti nikmat syurga yang kekal abadi dan tidak putus hanya untuk kita orang yang beriman insya’ Allah!
Kerana itu kita tidak perlu dengki, iri-hati dengan orang kafir yang nampak berjaya & kaya raya atas dunia ini.
Tempat mereka hanya atas dunia yang sementara ini sahaja manakala di Akhirat yang kekal abadi kelak; mereka tidak ada bahagiannya; bahkan azab siksa neraka yang pedih menunggu mereka! Wal- ‘iyazu billah!
Alhamdulillah tamatlah tafsir ringkas kita untuk pagi ini semoga mendapat manfaatnya.
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.