SURAH AL-ANBIYA\’ : AYAT 6-18

\"\"

PARA RASUL ADALAH MANUSIA, KEDUDUKAN AHLI ZIKRI (ULAMA\’) & AMARAN AZAB KEPADA PARA PENENTANG ISLAM

Live pagi Ahad 4 Syawwal = 16/05/2021.
Full video: https://youtu.be/y1oCsBlrEaI

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri ini beberapa perbincangan yang berkait dengan rasul, para pendakwah serta keadaan para alim ulama\’ yang di panggil ahliz-zikr serta masyarakat awam.
2. Al-Quran sentiasa memberi peringatan kepada mereka yang menentang Islam bahawa akibat buruk akan menunggu mereka, jika terlepas di atas dunia, tetapi tidak akan selamat di akhirat dan tidak akan terlepas daripada azab,

AYAT 6- {TIDAK ADA PENDUDUK SESEBUAH NEGERI PUN YANG KAMI BINASAKAN SEBELUM MEREKA, YANG TELAH BERIMAN KEPADA MUKJIZAT YANG DIBERI KEPADANYA; MAKA BENARKAH MEREKA YANG MEMINTA MUKJIZAT ITU MAHU BERIMAN?} (AL-ANBIYAA\’ 21:6)
1. Begitulah telah ceritakan bagaimana telah dimusnahkan semua mereka yang tidak beriman dari kalangan umat terdahulu. Semua negeri ini disebut secara umum samada kaum Saba’, Ad dan Thamud dan lain-lain.
2. Mereka kaum-kaum yang telah lalu ini meminta kepada nabi mereka untuk membawa tanda-tanda mukjizat, tetapi bila dibawa mukjizat tidak juga mereka beriman lalu mereka dibinasakan.
3. Demikian hal kaum musyrik Quraisy yang meminta dan mencabar Rasulullah s.a.w. Maka ayat ini sebagai jawapan kepada permintaan dan cadangan kaum Quraisy itu, adakah kamu mahu menjadi seperti mereka itu?
4.Tetapi kerana rahmatnya Rasulullah s.a.w tangguhkan dan tidak melayan permintaan mereka supaya mereka tidak terkena azab yang segera seperti kaum terdahulu.

AYAT 7- {DAN KAMI TIDAK MENGUTUS RASUL-RASUL SEBELUMMU (WAHAI MUHAMMAD) MELAINKAN ORANG-ORANG LELAKI YANG KAMI WAHYUKAN KEPADA MEREKA (BUKAN MALAIKAT); MAKA BERTANYALAH KAMU KEPADA AHLUZZIKRI\” JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI.} (AL-ANBIYAA\’ 21:7)
1. Seperti kaum dulu juga mereka meminta malaikat sebagai rasul, tetapi Allah tegaskan tidak pernah mengutus Rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w pun melainkan orang-orang lelaki yang Allah s.w.t wahyukan kepada mereka, yakni bukan malaikat.
2. Yakni manusia biasa, lelaki yang makan minum berkahwin tetapi dipilih dan diberi wahyu. Tidak ada nabi atau rasul dari kalangan wanita.
3. Kemudian Allah s.w.t perintahkan kepada masyarakat untuk bertanya kepada Ahluz-Zikri (orang yang ada ilmu), jika kamu tidak tahu. Ini dalil untuk merujuk kepada yang mahir jika tidak tahu.
4. Siapakah ahliz-zikri? Iaitu alim ulama\’ yang mengetahui kitab Allah. Jika kamu tidak tahu kena bertanya kepada orang yang ada ilmu, iaitu ahli Kitab, kerana mereka ada ilmu melalui Kitab mereka.
5. Mereka ini dinamakan ahli-zikri kerana mereka mengetahui cerita, maklumat dan kisah nabi-nabi dan umat yang terdahulu, yang tidak diketahui oleh Arab Quraisy. Arab Quraisy sering merujuk dan bertanya kepada mereka tentang nabi Muhammad s.a.w.
6. Tetapi malangnya, mereka ini jahat, menyembunyikan fakta sebenar dan menolak kebenaran Rasulullah s.a.w kerana kepentingan duniawi. Kebanyakan daripada mereka tidak beriman dan hanya sedikit sekali mereka yang beriman dan ikhlas seperti Abdullah bin Salam r.a.
7. Maka menjadi kewajipan orang awam untuk bertanya kepada alim ulama\’ yang mengetahui. Dalam negara kita rujukan tertinggi bagi sesebuah negeri ialah Pejabat Mufti, bagi masyarakat awam pula boleh bertanya kepada ustaz-ustaz yang memahami masalah dan hukum-hakam.

AYAT 8- {DAN KAMI TIDAK MENJADIKAN RASUL-RASUL ITU BERTUBUH BADAN YANG TIDAK MAKAN MINUM, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN KEKAL HIDUP SELAMA-LAMANYA (DI DUNIA).} (AL-ANBIYAA\’ 21:8)
1. Allah s.w.t tegaskan lagi bahawa rasul-rasul itu manusia biasa seperti kamu juga, mereka makan minum, beranak pinak, sakit demam dan akhirnya wafat meninggal dunia ini.
2. Mereka tidak kekal hidup kecuali nabi Isa a.s sebagaimana jelas dalam nas al-Quran.
3. Bezanya mereka mendapat wahyu dan dipimpin terus oleh Allah s.w.t. rasul-rasul dan nabi-nabi itu satu jawatan khas dan istimewa.

AYAT 9- {KEMUDIAN KAMI TEPATI JANJI KAMI KEPADA MEREKA, LALU KAMI SELAMATKAN MEREKA DAN SESIAPA YANG KAMI KEHENDAKI, DAN (SEBALIKNYA) KAMI BINASAKAN ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.} (AL-ANBIYAA\’ 21:9)
1. Janji Allah s.w.t ialah semua rasul-rasul itu akan mendapat kemenangan dan mereka yang menentangnya akan binasa, ini terbukti sebagaimana binasanya kaum-kaum kafir yang terdahulu itu.

AYAT 10- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN KEPADA KAMU SEBUAH KITAB (AL-QURAN) YANG MENGANDUNGI PERKARA YANG MENIMBULKAN SEBUTAN BAIK DAN KELEBIHAN UNTUK KAMU, MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MEMAHAMINYA (DAN BERSYUKUR AKAN NIKMAT YANG BESAR ITU)?} (AL-ANBIYAA\’ 21:10)
1. Allah s.w.t telah laksanakan risalah Rasulullah s.a.w dan menurunkan al-Quran yang mengandungi peringatan nasihat dan sebutan yang baik bagi kamu.
2. {Sebutan yang baik bagi kamu} yakni mendapat kemuliaan dengan sebab al-Quran bagi yang mengambilnya sebagai petunjuk.
3. Semuanya sifat al-Quran mengandungi peringatan, nasihat yang baik, dan kemuliaan.
4. Maka anak-anak huffaz, ahlu al-Quran jagalah akhlak sebagai orang yang mendapat kemuliaan dan keistimewaan ini. Kamu semua tidak sama dengan orang biasa.

BEBERAPA FAEDAH DARIPADA AYAT:

{Maka bertanyalah kamu kepada Ahluz-Zikri jika kamu tidak mengetahui.}
1. Allah s.w.t perintahkan kita untuk bertanya dan merujuk kepada ahlinya yang pakar dan mahir dalam masalah agama. Sama seperti dalam masalah dunia juga, kenapa dalam bidang agama kita nak rempuh??? Jika kita mahir dalam bab Feqah, dalam bab hadis sila rujuk kepada pakarnya, begitu juga sebaliknya. Saling lengkap-melengkapi.
2. Bagi orang awam boleh bertaqlid (ikut) kepada ustaz atau alim ulama\’nya. Manakala bagi penuntut ilmu kena duduk antara taqlid dan ittiba’. Iaitu ikut gurunya beserta melihat dan menilai kepada dalil-dalil yang ada, jangan ikut buta seperti orang awam, juga jangan terlalu taksub kepada gurunya. Ini kerana mereka ada ilmu yang boleh menilai pandangan-pandangan beserta dalil yang menyokongnya.
Kata Syeikh Izzudin bin Abd Salam rhm yang terkenal dengan gelaran penjual raja-raja: “Antara perkara sangat pelik dan ajaib ialah mereka yang tahu lemahnya dalil bagi pandangan syeikh mereka, tetapi mereka masih mahu taqlid (ikut) pandangan yang lemah itu.” Sedangkan mereka ada alat, ilmu untuk menilainya.
3. Apa faedah Allah s.w.t kekalkan ahli kitab? Ini kerana mereka ada ilmu dan tahu apa yang ada pada Rasulullah s.a.w, cuma kesilapan mereka menyembunyikan sebahagian kebenaran dan tetap tidak beriman.

AYAT 11- {DAN BERAPA BANYAK KAMI TELAH PECAH-BELAHKAN DAN BINASAKAN PENDUDUK NEGERI YANG MELAKUKAN KEZALIMAN, DAN KAMI TELAH MENJADIKAN SESUDAH MEREKA, KAUM YANG LAIN SEBAGAI GANTINYA.} (AL-ANBIYAA\’ 21:11)
1. Selepas itu Allah s.w.t terangkan tentang bagaimana telah dibinasakan penduduk dan kaum negeri-negeri yang zalim iaitu zalim dalam akidah, tidak beriman dan kufuur.
2. Lalu Allah s.w.t gantikan mereka dengan golongan yang lain pula selepas itu.

AYAT 12- {MAKA KETIKA MEREKA MERASAI (KEDATANGAN) AZAB KAMI, MEREKA DENGAN SERTA-MERTA LARI KELUAR DARI NEGERI ITU.} (AL-ANBIYAA\’ 21:12)
1. Apabila melihat tanda-tanda azab akan datang mereka cuba melarikan diri, keluar meninggalkan negeri tempat tinggal mereka.

AYAT 13- {(LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”JANGANLAH KAMU LARI, DAN SEBALIKNYA KEMBALILAH KEPADA KEMEWAHAN HIDUP YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA KAMU, DAN KE TEMPAT-TEMPAT TINGGAL KAMU, SUPAYA KAMU DAPAT DITANYA MENGENAI APA YANG BERLAKU\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:13)
1. Lalu mereka dihalang daripada lari yakni pasti sekali mereka tidak akan dapat melepaskan diri daripada azab yang mendatang itu.
2. Mereka juga pasti akan ditanya tentang apa yang mereka dustakan dulu.

AYAT 14- {(AKHIRNYA) MEREKA BERKATA: \”ADUHAI CELAKANYA KAMI! SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM!\”} (AL-ANBIYAA\’ 21:14)
1. Akhirnya mereka akur serta mengakui kezaliman dan kekufuran mereka.
2. Tetapi tiada gunanya lagi taubat apabila azab sudah di depan mata. Ini seperti Firaun yang mengaku beriman apabila sudah tenggelam di dalam laut, tidak diterima lagi.

AYAT 15- {MAKA DEMIKIANLAH SETERUSNYA JERITAN DAN KELUHAN MEREKA, SEHINGGA KAMI JADIKAN MEREKA HANCUR LEBUR DAN SUNYI-SEPI.} (AL-ANBIYAA\’ 21:15)
1. Lalu mereka diazab sehingga mati bergelimpangan dan senyap sunyi kerana telah musnah binasa semuanya.
2. Begitulah umat-umat terdahulu yang binasa di hadapan nabi mereka. Tetapi tidak umat nabi Muhammad s.a.w, sebagai rahmatan lil-‘Alamin.

AYAT 16- {DAN (INGATLAH) TIDAKLAH KAMI MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARANYA, SECARA MAIN-MAIN.} (AL-ANBIYAA\’ 21:16)
1. Allah s.w.t menciptakan alam yang begitu indah dan menakjubkan ini bukan hanya sia-sia dan main-main. Tetapi sebagai satu peringatan dan hikmah untuk manusia berfikir dan beriman dengan kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t Pencipta yang Maha Agung.
2. Ayat ini untuk menyatakan kebenaran Rasulullah s.a.w dan untuk menolak hujjah mereka yang mengingkarinya.

AYAT 17- {SEKIRANYA KAMI HENDAK MENGAMBIL SESUATU UNTUK HIBURAN, TENTULAH KAMI AKAN MENGAMBILNYA DARI SISI KAMI; KAMI TIDAK MELAKUKANNYA.} (AL-ANBIYAA\’ 21:17)
1. Jika Allah s.w.t hanya mahu buatnya hanya untuk suka-suka atau hiburan sahaja, boleh sahaja dilakukan, tetapi tidak sekali-sekali begitu.
2. Semua penciptann Allah s.w.t ada hikmah dan faedah tersendiri hatta kejadiaan iblis dan syaitan, atau seekor nyamuk yang kecil.

AYAT 18- {BAHKAN KAMI SENTIASA MENGARAHKAN YANG BENAR MENENTANG YANG SALAH, LALU IA MENGHANCURKANNYA, MAKA DENGAN SERTA-MERTA HILANG LENYAPLAH DIA. DAN (TETAPLAH) KECELAKAAN AKAN MENIMPA KAMU DISEBABKAN APA YANG KAMU SIFATKAN (TERHADAP KAMI).} (AL-ANBIYAA\’ 21:18)
1. Yakni Maha Suci Allah s.w.t dari melakukan sesuatu yang sia-sia dan tiada faedah. Atau tidak sekali-sekali Dia bersifat dengan sesuatu kekurangan.
2. Bahkan peraturan undang-undang Allah s.w.t akan menegakkan yang hak dan memunsnahkan yang batil. Walaupun kadang-kadang mereka yang melampaui batas itu diberikan kekuasaan sementara sebelum dimusnahkan jua akhirnya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

1. Hukum Islam adalah menegakkan yang hak dan memusnahkan yang batil.
2. Allah s.w.t tidak menciptas sesuatu dengan sisa-sia dan tiada faedah, semuanya ada hikmah samada kita tahu atau tidak. Hatta seekor nyamuk pun.
3. Arahan untuk bertanya kepada yang ahlinya adalah sesuatu yang perlu diamalkan dalam segenap aspek terutamnya dalam bab agama dan hukum hakam.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs