SURAH AL-FURQAN : AYAT 4-6

\"\"

TUDUHAN JAHAT KAUM MUSYRIKIN TERHADAP AL-QURAN : AL-QURAN REKAAN NABI S.A.W DAN CERITA DONGENG & ALLAH S.W.T JAWAB TUDUHAN MEREKA.

Full video : https://youtu.be/DjOBIfe9zt0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t menyatakan tentang al-Quran sebagai al-Furqan yang diturunkan oleh-Nya yang Maha Berkat dan disebut fungsi al-Quran.
  2. Sebelum ini juga dibawa dalil-dalil akan keagungan dan keEsaan Allah s.w.t. serta membatalkan tuduhan jahat yang dibuat terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. dengan membawa 4 sifat Allah s.w.t yang berlawanan dengan tuduhan mereka.
  3. Jadi dalam ayat 4 & 5 siri ini menceritakan tentang bantahan dan tuduhan jahat dan syuhbat yang dibawa oleh golongan musyrikin terhadap al-Quran dan dakwah Rasulullah s.a.w.
  4. Dalam ayat yang ke-6 Allah s.w.t membantah dan membalas tuduhan jahat dan tuduhan bodoh mereka ini yang tidak dapat menerima al-Quran.
  5. Begitulah dalam al-Quran ini Allah s.w.t mahu kita berfikir dan bertadabbur melihat sendiri dalil-dalil ini.
  6. Inilah uslub al-Quran, mahu mematangkan fikiran, mencelikkan mata, mecerahkan dada, kerana s.w.t mahu orang yang menentang Allah suruh supaya berfikir manakala orang yang sudah terima supaya berzikir.
  7. Dalam al-Quran ada dua jenis ayat yang menjadi dalil samada:
    i- ayat-ayat yang boleh dibaca – maqru\’ah. مقروءة
    ii- ayat-ayat yang boleh dilihat – manzhurah. منظورة

AYAT 4- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU BERKATA: \”(AL-QURAN) INI HANYALAH SATU PERKARA DUSTA YANG DIREKA-REKA OLEH MUHAMMAD, DAN IA DIBANTU MEMBUATNYA OLEH KAUM YANG LAIN\”. MAKA (DENGAN KATA-KATA ITU) SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH MENDATANGKAN SATU TUDUHAN YANG ZALIM DAN DUSTA.} (AL-FURQAAN 25:4)

  1. Dalam ayat ini dinyatakan akan perkataan orang-orang kafir itu yang menuduh al-Quran ini hanyalah satu pembohongan, rekaan dan dusta yang direka-cipta oleh Rasulullah s.a.w.
  2. Inilah antara sebab dan hikmah Allah s.w.t menjadikan Rasulullah s.a.w seorang yang:
    i- tidak membaca dan menulis, maka terbatallah tuduhan utama bahawa Rasulullah sendiri yang mereka dan menulis al-Quran. Bukan seorang yang buta huruf tetapi Allah s.w.t yang menutup pintu itu, kerana Baginda s.a.w adalah seorang yang bijak akalnya, petah berbicara dan tinggi bahasanya. Sasterawan Arab pun kagum apabila mendengarnya.
    ii- bukan seorang yang banyak keluar mengembara ke luar Makkah dan berjumpa ramai orang luar. Lalu bukan Baginda terima ilmu dari orang asing. Hanya dua kali Baginda keluar dari Makkah, dibawa oleh Abu Talib ketika kecil sekali dan ketika membawa barang dagangan UM Siti Khadijah sebelum Kenabiannya.
    bertentangan dengan kaum Quraisy yang sentiasa keluar rehlah ke Syam dan Yaman pada setiap musim panas dan sejuk, melalui dan melihat dengan mata kepala sendiri kesan-kesan kemusnahan kaum Ad dan Thamud, tetapi tetap tidak beriman dan percaya.
  3. Setelah dua tuduhan itu tidak relevan, terbatal dengan sendiri dengan hakikat, lalu mereka mengatakan pula bahawa Rasulullah s.a.w membuat al-Quran itu dengan bantuan kaum lain pula (yahudi mungkin). Ini kerana kebanyakan kaum Quraisy juga tidak tahu membaca dan menulis, hanya beberapa orang saja yang berpendidikan tinggi seperti Waraqah bin Naufal yang membaca kitab Injil dan mengenali Jibril yang datang membawa wahyu kepada Rasulullah s.a.w.
  4. Allah s.w.t mengatakan tuduhan itu nampak sangat bohong dan rekaan, maka ia satu tuduhan yang zalim dan dusta. Kerana ia sangat bertentangan dengan hakikat yang mereka kenal dan tahu tentang sifat dan peribadi Rasulullah s.a.w yang sangat benar, amanah dan tidak pernah terlibat dengan benda-benda jahat secara peribadi atau kemasyrakatan.
  5. Mereka mengenalnya sejak lahir, remaja dan dewasa, bahkan menggelarkannya \”Al-Amin\”, yang bererti seorang yang benar dan amanah. Peristiwa meletak semula Hajaral-Aswad apabila pembinaan semula Ka\’bah selepas banjir. Boleh lihat dalam buku Makkah; Kelebihan & Sejarah. Terserlah sifat Baginda yang bijak, amanah dan benar.
  6. Tetapi gelaran itu telah ditarik balik apabila Baginda s.a.w memberitahu bahawa dia telah menerima wahyu dari Allah s.w.t. Gelaran al-Amin telah bertukar kepada seorang yang gila, penyair, tukang sihir dan pembohong besar!!!! Nauzubillah.
  7. Begitulah tuduhan yang sama dilempar oleh kaum musyrikin. Firman Allah s.w.t:
    { Dan mereka yang kafir itu berkata: \”Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.} (Saad 38:4) Satu lagi orang gila dan penyair.
  8. Inilah tuduhan atau syubhat pertama yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin itu.

AYAT 5- {DAN MEREKA BERKATA LAGI: \”AL-QURAN ITU ADALAH CERITA-CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU KALA, YANG DIMINTA OLEH MUHAMMAD SUPAYA DITULISKAN, KEMUDIAN PERKARA YANG DITULIS ITU DIBACAKAN KEPADANYA PAGI DAN PETANG (UNTUK DIHAFAZNYA)\”.}(AL-FURQAAN 25:5)

  1. Dalam ayat ini ialah tuduhan atau syubhat kedua yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin tentang isi kandungan al-Quran pula.
  2. Yakni mereka berkata bahawa al-Quran adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala,rekaan yang diminta oleh Rasulullah s.a.w supaya dituliskan (اكْتَتَبَهَا) untuknya. Yakni mereka tidak lagi mengatakan Rasulullah s.a.w menulisnya sendiri kerana telah menyalahi fakta.
  3. Kemudian mereka mengatakan lagi penulis itu membacakan tulisannya kepada Baginda pagi dan petang untuk dihafaznya.
  4. Tetapi siapakah yang dikatakan menulis dan membaca untuk Nabi s.a.w itu? Mereka tidak dapat menyatakannya kerana ia adalah tuduhan palsu.
  5. Al-Quran diturunkan kepada kita untuk dibaca, ditadabbur, difahami dihayati kemudian diamalkan dalam hidup kita dalam segenap aspek kehidupan.
  6. Sabda Rasulullah s.a.w: \”Ahli Quran adalah ahli Allah yang istimewa.\”

AYAT 6- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”AL-QURAN ITU DITURUNKAN OLEH ALLAH YANG MENGETAHUI SEGALA RAHSIA DI LANGIT DAN DI BUMI; SESUNGGUHNYA ADALAH IA MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-FURQAAN 25:6)

  1. Allah s.w.t perintahkan agar Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; dan segala apa yang terdetik dalam diri dan jiwa manusia. Dia sebagai Pencipta segala makhluk.
  2. Kisah Huyai bin Akhtab, seorang ketua yahudi di Madinah yang keluar menemui Rasulullah s.a.w untuk menyiasat dan memastikan kenabian Rasulullah s.a.w. Setelah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dia mendapati bahawa tepat dan benar sekali sifat dan ciri-ciri nabi akhir zaman dengan apa yang dinyatakan dalam Kitab Taurat mereka. Bahkan mereka mengembara sehingga ke Madinah dulu pun kerana mengikut apa yang dinyatakan dalam kitab itu juga. Tetapi malangnya kerana nafsu dan hasad dengki mereka terus tutup mata dan hati untuk menerima kebenaran ini dan mengambil pendirian untuk terus menentang dan memusuhi Rasulullah s.a.w dan Islam.
  3. Golongan kafir musyrik itu telah melemparkan pelbagai tuduhan dusta dan jahat terhadap al-Quran dan Rasulullah s.a.w., sepatutnya mereka ditimpa azab serta-merta selepas perbuatan zalim mereka itu. Tetapi tidak begitu yang belaku, kenapa? ليش؟
  4. Ini kerana Rasulullah s.a.w sebagai Rahmatan-lil-Alamin, lalu mereka diberi tempoh agar ada yang bertaubat dan beriman, maka akan mendapat rahmat dan keampunan Allah. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
  5. Kisah Rasulullah s.a.w pergi berdakwah ke Taif, tetapi ditolak serta diejek oleh penduduknya, Bani Thaqif. Allah hantar malaikat untuk terus menurunkan azab ke atas penduduk Taif, tetapi Rasulullah s.a.w menolaknya dan berkata Baginda berharap akan ada dari keturunan mereka yang beriman. Perkara ini berlaku sungguh, tidak lama kemudian selepas 10 tahun peristiwa tersebut berlakunya Pembukaan Makkah, bukan hanya kaum Quraisy Makkah yang berduyun-duyun masuk Islam bahkan bani Thaqif, penduduk Taif juga majoritinya memeluk Islam. Alhamdulillah.
  6. Beberapa kezaliman tuduhan besar yang mereka buat terhadap Rasulullah s.a.w:
    i- menuduhnya sebagai pembohong dan pendusta sedangkan mereka amat kenal dan tahu sifat dan peribadi Baginda yang amat baik dan benar.
    ii- tuduhan terhadap al-Quran sebagai rekaan manusia sedangkan mereka tahu dan sedar ia adalah datang dari Allah s.w.t.
    iii- kezaliman ketiga tidak mengakui kelemahan diri.
    iv- mereka kenal Rasulullah semenjak dari kecil tetapi tetap tergamak melemparkan pelbagai tuduhan jahat kepada Baginda.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Insya\’ Allah kita akan sambung dalam siri yang akan datang tentang beberapa lagi tuduhan jahat kaum musyrikin ini terhadap Rasulullah s.a.w.
  2. Peringatan tentang Hari Arafah/Hari Wuquf, tingkatkan amal ibadat kita pada hari terbaik dunia ini. Jam 5.30 petang ini insya\’ Allah ada live bersama DDAAM.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs