View Categories

(13) Surah Al-An’am : Ayat 36-39

KAFIR MINTA TANDA MUKJIZAT, SEMUA HAIWAN DAN BURUNG SEBAGAI TANDA & QURAN MENYATAKAN SEMUA PERKARA.

Full video : https://youtu.be/mo2g-hrfyBA?si=9mPAeeU7ylYBazre

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am, dengan ayat 36 sehingga 39 dalam juzu’ ketujuh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan bahawa orang yang mendengar & menerima Islam ini ialah orang yang hatinya hidup.
    Manakala orang yang hatinya mati, cakaplah apa pun tak jadi.
  1. Kemudian Allah ceritakan tentang puak kafir yang keras kepala datang jumpa Nabi SAW minta tanda mukjizat yang pelik-pelik, padahal cukup sudah tanda yang Allah hantar. 
    Allah juga nyatakan bahawa semua haiwan yang melata di bumi dan burung yang terbang di udara adalah makhluk seperti kamu manusia juga cuma mereka tidak ada taklif iaitu tanggungjawab Syari’ah. 
  1. Juga bahawa al-Quran menyatakan semua perkara. Tidak ada satu perkara pun dalam tulisan di Lauh Mahfuz atau al-Quran kecuali Allah nyatakan semuanya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Nabi SAW tidak perlu bersedih, susah hati jika kaumnya tidak menerima dakwahnya.
    Ini kerana yang menerima dakwah itu orang yang ada telinga serta hatinya terbuka! 
    Orang yang mati hati walaupun dia kaum kerabat Nabi SAW, tidak akan terbuka mata hatinya untuk menerima hidayah taufik kecuali dengan kehendak Allah.

    ii- Maka ayat ini menjadi dalil, munasabahnya Allah nak ceritakan ada dua kategori manusia iaitu: yang mendengar, yang dapat petunjuk, mahu menyahut seruan Allah & yang tidak mahu dengar tertutup telinga & hatinya!
    Munasabah ayat, kita semua akan dibangkitkan, termasuk haiwan. 
    Jangan dikhianati haiwan yang berterbangan atau yang melata di bumi, mereka juga akan dibangkitkan. 
    Semua makhluk Allah, ada rezeki mereka, hidup berpasangan seperti manusia juga. 
    Allah halalkan yang baik-baik, haram yang tidak baik pada hamba-Nya. 
    Al-Quran menjadi panduan, yang tertulis di lauh al-mahfuz, satu ketetapan perjalanan hidup manusia.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 36- {HANYASANYA ORANG-ORANG YANG MENYAHUT SERUANMU ITU IALAH MEREKA YANG MENDENGAR (YANG MAHU MENURUT KEBENARAN); SEDANG ORANG-ORANG YANG MATI ALLAH BANGKITKAN MEREKA SEMULA (PADA HARI KIAMAT KELAK), KEMUDIAN MEREKA DIKEMBALIKAN KEPADANYA UNTUK MENERIMA BALASAN.} (AL-AN’AM 6:36)

  1. Allah menyatakan bahawa manusia yang menyahut seruan dakwah Nabi SAW ialah mereka yang mendengar lalu faham dan yang mahu menurut kebenaran.

    Manakala orang mendengar, yang tahu saja tentang Islam tapi tidak mahu menerima Islam; maka tak boleh nak buat apa juga, tidak boleh paksa mereka untuk masuk Islam kerana tiada paksaan dalam agama.
  1. Golongan kedua ialah puak kafir yang lari terus dari dakwah Nabi SAW, ialah seperti orang mati iaitu hati mereka mati, tiada harapan masuk Islam.
    Mati di sini ialah mati hati, mereka tidak akan menyahut seruan lagi seperti orang yang mati sungguh.
  1. Mereka itu tunggulah pembalasannya. Di mana kemudian mereka akan dikembalikan kepada Allah untuk menerima balasan yang setimpal.

AYAT 37- {DAN MEREKA (GOLONGAN KAFIR MUSYRIK) BERKATA: “ALANGKAH ELOKNYA KALAU DITURUNKAN KEPADA MUHAMMAD SATU MUKJIZAT DARI TUHANNYA?” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA ALLAH BERKUASA MENURUNKAN MUKJIZAT”, AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (BALASAN YANG AKAN MENIMPA MEREKA KALAU MEREKA ENGGAN BERIMAN).} (AL-AN’AM 6:37)

  1. Allah ceritakan: Selepas dinyatakan tentang penentangan mereka, puak kafir ini menuntut yang pelik-pelik dari Nabi Muhammad SAW. dan mengatakan eloknya jika Allah berikan mukjizat kepada Baginda, baru mereka nak percaya. 
  1. Sedangkan memang Allah SWT telah turunkan mukjizat kepada Nabi SAW sebelum ini. 
    Apa yang ada di depan mata mereka tidak mahu lihat ambil sebagai dalil tetapi minta yang bukan-bukan pula dek kerana keras kepala mereka! 
  1. Allah SWT jelaskan permintaan mereka dalam firman-Nya ini:
    {وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا}
    90. “Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami”

    {أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِنْ نَخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا}
    91. “atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya”

    {أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا}
    92. “atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami”.

    { أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِنْ زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِي السَّمَاءِ وَلَنْ نُؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَقْرَؤُهُ ۗ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنْتُ إِلَّا بَشَرًا رَسُولًا}
    93. “Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?” [Surat Al-Isra’: ayat 90-93].

    Tetapi Allah tidak menurunkan mukjizat seperti yang mereka pinta itu walaupun Allah amat berkuasa untuk melakukannya. 
    Ini kerana ada hikmahnya!
  1. Ini kerana telah menjadi Sunnatullah, jika ada permintaan dari umat manusia dan Allah kabulkan permintaan itu tetapi mereka tetap tidak beriman; maka Allah akan turunkan azab ke atas mereka sebagaimana yang telah terjadi kepada umat nabi-nabi terdahulu! 
    Yakni Allah akan mempercepatkan hukuman kepada mereka, sebagaimana yang telah dilakukan kepada umat-umat terdahulu.
  1. Firman Allah SWT juga:
    Maksudnya: {Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).} (Al-Isra’ 17:59)
  1. Manakala umat Nabi Muhammad SAW tidak akan ada kebinasaan secara total sebagaimana umat terdahulu kerana kita adalah umat yang dirahmati. 
    Maka Allah tidak tunaikan permintaan karut mereka itu!

AYAT 38- {DAN TIDAK SEEKOR PUN BINATANG YANG MELATA DI BUMI, DAN TIDAK SEEKOR PUN BURUNG YANG TERBANG DENGAN KEDUA SAYAPNYA, MELAINKAN MEREKA UMAT-UMAT SEPERTI KAMU. TIADA KAMI TINGGALKAN SESUATU PUN DI DALAM KITAB AL-QURAN INI; KEMUDIAN MEREKA SEMUANYA AKAN DIHIMPUNKAN KEPADA TUHAN MEREKA (UNTUK DIHISAB DAN MENERIMA BALASAN).} (AL-AN’AM 6:38)

  1. Munasabah ayat:
    Allah nyatakan kita semua ini akan dibangkitkan oleh Allah SWT termasuk juga haiwan! 
    Kata ulama’ : Ini kerana haiwan juga ada perasaan seperti manusia juga, maka ada perhitungan sesama mereka yang kena zalim & menzalimi dan dengan manusia juga.
  1. Allah nyatakan semua binatang yang melata atas muka bumi ini & segala jenis burung yang berterbangan di langit dengan sayapnya adalah umat, makhluk Allah seperti manusia juga!
    Mereka juga dapat rezeki dari Allah, kenal sesama mereka, membiak dan akhirnya mati juga!
  1. Segala yang diperlukan di dunia & di Akhirat ada disebut dalam kitab al-Quran secara asas & intisarinya! 
    Contoh dari segi makanan: Allah berfirman Dia halalkan bagi kamu yang baik. Tidak perlu disebut satu persatu nama buah, binatang dan lain-lain yang boleh dimakan jika tidak akan terlalu besar al-Quran. 
  1. Ada ulama’ berpandangan maksudnya kitab {ٱلْكِتَـٰبِ} ini ialah Lauh Mahfuz, Allah telah tulis & catatkan semuanya di situ sebelum 50 ribu tahun dicipta langit & bumi ini.
  1. Kemudian Allah tegaskan bahawa manusia semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka untuk dihisab dan menerima balasan atas segala perbuatan & amalan mereka atas dunia ini! 
    Yakni kita akan melalui proses yang adil di hadapan Allah SWT. Siapa yang buat, baik akan dibalas baik, siapa yang buat jahat pastilah balasan buruk menantinya.
  1. Maka kita kena sentiasa sedar & insaf bahawa kita berada di bawah pengawasan Allah, semua perbuatan & perkataan kita dicatat oleh malaikat dan ianya akan dibentangkan di hadapan Allah, dalam mahkamah Allah di Akhirat kelak!

AYAT 39- {DAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MEREKA ADALAH BISU DAN TULI, DI DALAM GELAP-GELITA. SESIAPA YANG ALLAH KEHENDAKI: AKAN DISESATKANNYA (MENURUT PERATURAN TETAPNYA), DAN SESIAPA YANG IA KEHENDAKI: AKAN DIJADIKANNYA ATAS JALAN YANG BETUL LURUS.} (AL-AN’AM 6:39)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat yang sebelumnya:
    i- Allah nyatakan dalam ayat sebelum ini bahawa orang yang mati hati ialah orang yang tak dengar kata.

    ii- Maka datang ayat ini menegaskan bahawa sesungguhnya orang yang mendustakan ayat-ayat Allah itu ialah orang buta & tuli, tak dengar & tak nampak apa-apa kebenaran lagi!
  1. Allah nyatakan orang yang mendustakan ayat-ayat Allah yang dilihat dan yang dibaca, mereka adalah makhluk yang bisu dan tuli, yang berada di dalam gelap-gelita.
  1. Perhatian: Bila sebut bab kufur & kegelapan; Allah sebut secara jamak (plural) – iaitu {ٱلظُّلُمَـٰتِ}, Iaitu dalam pelbagai kegelapan, gelap kufur, gelap maksiat, tidak nampak kebenaran & tidak dapat hidayah.
  1. Allah nyatakan lagi sesiapa yang Dia kehendaki:
    i- Akan disesatkannya menurut peraturan tetap-Nya,

    ii- Akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.
    Ya Allah jadikan kami & semua orang yang kami sayangi berada di landasan-Mu yang benar & masuk ke dalam syurga-Mu.
  1. Ini kerana hidayah memberi taufiq itu milik Allah dan di bawah kuasa-Nya. 
    Jika di tangan manusia pastilah Abu Lahab & Abu Talib bapa saudara kesayangan Nabi SAW yang akan pertama sekali memeluk Islam. Tetapi hakikatnya tidak begitu.
  1. Manusia termasuk para nabi & rasul hanya boleh memberi hidayah irsyad; iaitu memberi bimbingan, maklumat & tunjuk ajar sahaja!
    Maka kita tidak boleh pilih siapa yang akan mendapat hidayah taufiq & menerima kebenaran.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 36- {Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran);…}-

    Orang yang menyahut seruan Allah adalah orang yang mendengar.
    Lagi kuat mengaji al-Quran & tadabburnya lagi kuat & mantap keimanan kita kepada Allah SWT.
    Ikutlah langkah yang diajar oleh Rasulullah SAW itulah yang terbaik, tak perlu kita cari mekanisma lain.
    Manakala orang yang mati hatinya, mati perasaan tak perlu kita habiskan masa untuk mereka.
    Jika nampak mereka amat degil, pekak, keras kepala tak ada harapan nak terima, kita tak perlu rugikan masa & tenaga untuk mereka. 
    Jika nampak orang nak terima dakwah kita teruskan, jika nampak tidak akan terima, kita brake dulu. 
    Kerana di mana bumi subur, di situ benih ditabur. 
    Buat apa kita nak menunggu buah yang tidak akan gugur!
  1. Ayat 37- {Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata: “Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat dari Tuhannya?”…}-

    Puak kafir datang minta;
    Wahai Muhammad (SAW) jika benar kamu ini Nabi, mintalah dengan Tuhan bawa tanda-tanda yang menunjukkan kebenaran kamu!
    Yakni mereka meminta yang pelik-pelik sebagai bukti kerasulan, inilah orang tolol atau tak ppok.
    Kerana mereka minta perkara yang sudah ada, pelbagai mukjizat sudah Allah turunkan kepada Nabi SAW, minta apa laginya!
    Tetapi kerana mereka degil keras kepala & hati sombong lalu mereka meminta yang pelik-pelik dan tidak logik. 
    Lalu Allah kata tak usahlah kamu layan sangat mereka itu, tak ada faedahnya.
    Sedangkan segala bukti sudah ada di depan mata mereka tetapi kerana sombong, hasad dengki & keras kepala tak dengar kata; yang akan menyebabkan mereka akan ditimpa kebinasaan dari Allah SWT.
  1. Ayat 38- {Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi,…}-

    Dalam ayat ini Allah sebut binatang di bumi dan burung yang berterbangan.
    Persoalan satu: Tetapi Allah tidak sebut binatang di langit, apakah tiada haiwan di langit???
    Jawapan:
    Ulama’ tafsir kata : Walaupun ada binatang di langit pun bukan kita nampaknya! 
    Jadi benda yang kita nampak tidak ada faedah untuk dibuat contoh bandingan. 
    Sedangkan benda yang ada di depan mata lebih mudah untuk diterima orang.
    Jadi kita bercakap dan buat contoh dengan realiti lebih mudah dilihat dan difahami orang! 

    Persoalan kedua: Allah tidak sebut juga binatang di dalam laut, kenapa??
    Jawapan:
    Allah sebut secara umum, binatang yang melata termasuklah juga yang melata di atas & di dalam air! 
    Termasuk semua yang terbang di udara, berjalan atas muka bumi, berenang di dalam air laut & sungai semuanya.
    Allah juga mengatakan bahawa binatang itu adalah umat atau makhluk Allah seperti manusia juga! 
    Ulama’ kata : Ayat ini juga memberi peringatan kepada orang Islam untuk berbuat baik & jangan menzalimi, menyiksa haiwan! 
    Betapa al-Quran & Sunnah Nabi SAW sudah ada semuanya, tidak perlu kepada undang-undang pencinta haiwan ciptaan manusia. Islam sudah mengajar agar jangan berlaku penganiyaan kerana semuanya makhluk Allah.

    Sebuah hadis riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar RAnhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
    Maksudnya: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya”. [HR Bukhari].
  1. Ayat 38- {Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini;…}-

    Allah kata semua benda ditulis & tak ada yang ditinggalkan di dalam al-Quran ini.
    Atau ada juga ulama’ yang berpendapat maksudnya di dalam Lauh al-Mahfuz, Allah tulis segala benda yang akan berlaku atas dunia ini dalamnya.
    Kerana itu ulama’ kata : Taqdir Allah SWT itu ada empat martabat iaitu:
    i- Ilmu Allah SWT yang lengkap dalam semua perkara.

    ii- Tulisan (kitabah- كتابة) yang meliputi semua perkara.

    iii- Kehendak Allah SWT untuk melaksanakan apa yang telah tertulis.

    iv- Allah SWT ciptakan semua makhluk.

    Allah kata Dia tak tinggalkan sesuatu perkara pun dalam al-Quran:
    i- Dalam bab ilmu yang diperlukan di dunia & Akhirat ada dalam al-Quran.

    ii- Dalam bab penulisan taqdir qadha’ & qadar sudah tertulis di Lauh al-Mahfuz.
  1. Ayat 39- {Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita…}-

    Allah kata orang yang mendustakan ayat Allah ini adalah orang yang tuli & bisu, yang rosak pendengaran & penglihatan. 
    Mereka berada dalam kegelapan, keraguan & kesesatan.
    Kata ulama’ : Pancaindera, alat untuk menerima hidayah mereka ini telah rosak, kerana itu mereka tidak dapat menerima hidayah.
    Kerana kerosakan yang teruk maka kafirlah mereka, jika rosak sedikit mungkn akan beriman tetapi tidak beramal dengan sempurna!
    Dalam ayat ini Allah guna perkataan gelap-gelita {ٱلظُّلُمَـٰتِ} secara jamak (plural) – ini kerana kegelapan atau kesesatan itu banyak dan pelbagai lorongnya.
    Ia boleh datang melalui syubhat, syahwat, maksiat, nafsu, syaitan dan seumpamamnya.

    Manakala lorong yang benar, Allah hanya sebut satu iaitu: {وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا} 
    {Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus}- (Al-An’am 6:153)
    Ini kerana lorong yang benar itu hanya satu iaitu yang diajar oleh Allah SWT & yang dibawa oleh Nabi SAW.
    Kita minta Allah lindungi kita daripada terjebak dengan ajaran-ajaran sesat, perkara mungkar & maksiat.

Alhamdulillah, tamatlah perbincangan kali ini dalam tadabbur & menghayati dan mencari faedah dari ayat-ayat yang kita baca.
Sekarang ini musim tengkujuh, maka keadaan agak gawat untuk negeri-negeri di Pantai Timur ini. 
Ramalan cuaca mengatakan hujan akan berterusan sehingga ke 29hb November untuk gelombang ini.
Maka kita berdoa kepada Allah agar selamatkan kita dari semua bala bencana & kerosakan dan dari dilanda air banjir dan seumpamanya. 

Bacaan Doa Ketika Takut Bahaya Hujan Lebat: اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ.
Ertinya: “Ya Allah turunkan hujan ini di sekitar kami jangan di atas kami. 
Ya Allah curahkanlah hujan ini di atas bukit-bukit, di hutan-hutan lebat, di gunung-gunung kecil, di lembah-lembah, dan tempat-tempat tumbuhnya pepohonan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs