SURAH AN-NUR : AYAT 55-57

\"\"

JANJI ALLAH AKAN BERI KEKUASAAN KEPADA ORANG MU\’MIN, BEBERAPA ASAS NEGARA ISLAM & KELEMAHAN GOLONGAN KAFIR.

Full video : https://youtu.be/Nr986QR-BbE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri hari ini Allah s.w.t menjanjikan pertolongan, kemenangan dan kekuasaan bagi orang mukmin yang tertindas sebelum ini.
  2. Tetapi untuk mendapat pertolongan Allah ini bukan senang, ada syarat dan kriterianya yang tertentu.
  3. Diceritakan juga tentang ciri-ciri daulah (kerajaan) Islamiyyah.
  4. Juga tentang sifat golongan kafir yang ingkar, yang akan sentiasa menentang. Begitulah selagi di atas dunia ini, tidak akan habis pertentangan antara yang hak dan batil, keimanan dan kekufuran.
  5. Tetapi kita mesti berjuang menegakkan kebenaran jangan pernah putus-asa, kerana pendakwah kita mengatakakan; Allah s.w.t tidak akan tanya kita:
    \”Apakah kamu sudah menang? Tetapi apakah kamu sudah berjuang atau berusaha?\”
  6. Maka teruskan dakwah dan perjuangan kita dalam keluarga, masyarakat, negara dan seluas mungkin yang mampu, insya\’ Allah pertolongan Allah s.w.t akan datang.

AYAT 55- {ALLAH MENJANJIKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH DARI KALANGAN KAMU (WAHAI UMAT MUHAMMAD) BAHAWA IA AKAN MENJADIKAN MEREKA KHALIFAH-KHALIFAH YANG MEMEGANG KUASA PEMERINTAHAN DI BUMI, SEBAGAIMANA IA TELAH MENJADIKAN ORANG-ORANG YANG SEBELUM MEREKA: KHALIFAH-KHALIFAH YANG BERKUASA; DAN IA AKAN MENGUATKAN DAN MENGEMBANGKAN AGAMA MEREKA (AGAMA ISLAM) YANG TELAH DIREDHAI-NYA UNTUK MEREKA; DAN IA JUGA AKAN MENGGANTIKAN BAGI MEREKA KEAMANAN SETELAH MEREKA MENGALAMI KETAKUTAN (DARI ANCAMAN MUSUH). MEREKA TERUS BERIBADAT KEPADA-KU DENGAN TIDAK MEMPERSEKUTUKAN SESUATU YANG LAIN DENGAN-KU. DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG KUFUR INGKAR SESUDAH ITU, MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DERHAKA.} (AN-NUUR 24:55)

  1. Allah s.w.t menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w dengan pertolongan dan kuasa pemerintahan. Islam akan berkembang dan berkuasa di muka bumi.
  2. Ayat ini datang selepas diceritakan tentang keadaan golongan munafik yang terumbang-ambing tidak beriman dan tidak yakin dengan kebenaran Rasulullah s.a.w.
  3. Jadi ayat ini pesanan untuk kaum mukmin agar istiqomah, agar tidak terpengaruh dengan golongan yang tiada pendirian itu! Allah akan memberi hidayah petunjuk dan ketenangan hati kepada kamu serta pertolongan-Nya yang tiada bandingan.
  4. Maksud perkataan khalifah adalah pengganti, seperti para sahabat yang menjadi khalifah mengganti Rasulullah selepas ketiadaan Baginda s.a.w. Jadi penggunaan ayat bahawa kita (manusia) sebagai khalifah Allah di muka bumi adalah tidak tepat kerana kita bukan pengganti Allah tetapi hanya dilantik sebagai khalifah, jadi sekadar pemimpin.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: \”Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh\”.} (Al-Anbiyaa\’ 21:105)
  6. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, \”Sesungguhnya Allah melipat bumi untukku sehingga aku dapat melihat belahan timur dan baratnya, dan kelak kerajaan umatku akan mencapai batas apa yang dilipatkan untukku itu.\” [HR Muslim].
  7. Sejarah pemerintahan Islam- Selepas pemerintahan Rasulullah s.a.w di Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa\’ ar-Rasyidin empat orang itu kemudian disambung oleh Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah di mana Islam sampai sehingga ke Andalusia dan Hindi. Kemudian disambung oleh kerajaan Uthmaniyyah yang memerintah hampir seluruh timur-barat dunia, sehingga ke Eropah dan China. Jatuhnya daulah Islamiyyah dengan jatuhnya Kerajaan Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924M.
  8. Semasa zaman Rasulullah sendiri sebahagian janji itu telah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada Baginda, alhamdulillah.
    i- Sebelum Nabi s.a.w. wafat, telah menakluk Makkah, Khaibar, Bahrain, dan semua kawasan Jazirah Arabia serta negeri Yaman seluruhnya.
    ii- Baginda s.a.w. sempat memungut jizyah dari orang-orang Majusi Hajar dan juga dari para penduduk yang ada di pinggiran negeri Syam (yang berada di dekat negeri Arab).
    iii- Begitu juga hubungan diplomasi luar negara. Berbagai hadiah datang kepada Baginda s.a.w. dari Heraklius (Kaisar Romawi), penguasa negeri Mesir dan Iskandariah (iaitu raja Muqauqis), raja-raja negeri Oman, dan Raja Negus (raja negeri Abbysinia (Habsyah) yang bertakhta sesudah As-hamah rahimahullah).
    iv- Begitu juga semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab, mereka menghantar tentera dan delegasi ke luar negara juga.
    v- Semasa Umar, buka Baitul-Maqdis, bahkan mahkota Kaisar Parsi pernah sampai kepada Umar di Madinah. Dalam masa pemerintahannya telah berjaya ditakluki seluruh negeri Syam dan negeri Mesir serta sebahagian besar dari kawasan Persia. Beliau telah mematahkan Kisra (Raja Parsi) dan mengalahkannya dengan kekalahan yang binasa memaksa Raja Parsi mundur sampai ke bahagian pedalaman negerinya.
  9. Inilah yang dimaksudkan dengan firman-Nya: {Khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka;}.
  10. Firman-Nya: {dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).} Ini untuk menggambarkan keadaan kaum muslimin semasa di Makkah dulu dimana mereka ditindas dan dizalimi oleh kaum musyrikin, akhirnya berjaya menakluk dunia.
  11. Hadis Tamim ad-Dahri: Islam akan sampai ke semua rumah samada dengan kemuliaan atau kehinaan. [HR Ahmad, Hakim dan lain-lain.]
  12. Hadis Miqdad – Islam akan sampai ke segenap penjuru bumi. [HR Ahmad].
  13. Kisah seorang sahabat Khabbab bin al-Art r.a yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang tidak sanggup lagi menghadapi kezaliaman di tindas oleh kaum Quraisy.
    Beliau berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah S.A.W ketika Baginda S.A.W beralaskan sehelai kain di sisi Ka\’bah. Kami berkata: Tidakkah Baginda S.A.W memohon pertolongan kepada kami? Tidakkah Baginda S.A.W berdoa kepada kami?. Lalu Baginda S.A.W bersabda:
    قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ، يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ، فَيُجْعَلُ فِيهَا، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الحَدِيدِ، مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ، فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيَتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرُ، حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ، وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Maksudnya: \”Sesungguhnya sebelum daripada kamu, diambil lelaki lalu digali baginya lubang kemudian dihumbankan dia ke dalamnya.Terdapat juga yang dibawa padanya dengan gergaji lalu gergaji tersebut diletakkan di kepalanya, kemudian digergajikan kepala tersebut sehingga terbelah kepada dua. Ada juga yang dicakar dengan cakaran besi sehingga memisahkan daging dan tulangnya. Ini semua tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam). Demi Allah, akan sempurna perkara ini (Islam) sehingga seseorang pengembara itu mampu berjalan dari San\’a hingga ke Hadharmaut dan dia tidak takut melainkan Allah S.W.T dan tidak risau serigala akan menerkam kambingnya. Akan tetapi kamu tergesa-gesa (inginkan kemenangan atau hasil)\”. [Riwayat al-Bukhari (6943)]

  1. Hadis Adiy bin Hatim r.a datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w juga.
    Sabda Rasulullah S.a.w. kepada Adiy ibnu Hatim r.a ketika menjadi utusan kaumnya: \”Tahukah kamu Hirah?\” Adiy ibnu Hatim menjawab, \”Belum, tetapi saya pernah mendengarnya.\”
    Rasulullah S.a.w bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sungguh Allah benar-benar akan menyempurnakan urusan (Islam) ini
    i- sehingga wanita pengendara unta berangkat dari Hirah, lalu melakukan tawaf di Baitullah tanpa ada seorang lelaki pun yang menemaninya (keadaannya aman sekali).
    ii- Dan sungguh Allah akan membuka perbendaharaan Kisra ibnu Hurmuz. Aku bertanya, \”Benarkah dia adalah Kisra ibnu Hurmuz?\” Nabi S.a.w. bersabda: Ya, Kisra ibnu Hurmuz.
    iii- Dan sungguh harta benda akan diabelanjakan (zakat) tanpa ada seorang pun yang mahu menerimanya (kerana semuanya sudah berkecukupan).
    Adiy ibnu Hatim r.a mengatakan, \”Wanita pengendara unta ini berangkat dari Hirah, lalu melakukan tawaf di Baitullah tanpa ada seorang laki-lakipun yang mengawalnya, dan sesungguhnya aku termasuk orang yang menaklukkan perbendaharaan Kisra ibnu Hurmuz. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sungguh akan ada peristiwa yang ketiga, kerana Rasulullah s.a.w telah mengatakannya.\” [HR Al-Bukhari No. 3595].
  2. Adiy ditakdirkan panjang umur. Beliau sempat melihat dua dari tiga yang dijanjikan oleh Rasulullah itu benar-benar berlaku. Dan beliau bersumpah bahawa janji satu lagi pasti akan berlaku juga.
    i- Beliau sempat melihat suasana keamanan yang disebut oleh Rasulullah, bahawa perempuan bebas mengembara dari Hirah ke Makkah tanpa sebarang ancaman.
    ii- Beliau juga antara yang terlibat dalam pembukaan kota Parsi dan antara yang pertama menjumpai harta Kisra.
    iii- Adapun harta yang melimpah ruah itu berlaku di zaman Umar bin Abdul Aziz rhm. Pada zaman itu memang umat Islam mewah, sehingga tidak ada lagi orang yang layak menerima zakat. Benarlah janji Rasulullah s.a.w.
  3. Seterusnya Allah s.w.t nyatakan pula ciri-ciri negara Islam: {Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.}
    i- beriman dan beribadat kepada Allah s.w.t jangan mensyirikkan-Nya.
    ii- jangan kufur samada menjadi kafir atau ingkar akan perintah-Nya.
    iii- atau kufur nikmat dengan tidak menjalankan hukum-hakam Syariah Allah s.w.t, atau pemimpinnya khianat, zalim atau rasuah.
  4. Ingatlah jika ini berlaku maka akan hilang nikmat semua itu, kekuasaan pemerintahan dan segalnyna dan mereka akan menjadi orang yang derhaka.

AYAT 56- {DAN DIRIKANLAH KAMU AKAN SEMBAHYANG SERTA BERILAH ZAKAT; DAN TAATLAH KAMU KEPADA RASUL ALLAH; SUPAYA KAMU BEROLEH RAHMAT.} (AN-NUUR 24:56)

  1. Selepas diberikan segala nikmat ini, maka umat Islam diperintahkan untuk melaksanakan segala perintah Allah dengan menunaikan solat dan mengeluarkan zakat, serta taat kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Maka barulah kita akan mendapat rahmat yang berterusan dari Allah s.w.t.

AYAT 57- {JANGANLAH ENGKAU MENYANGKA ORANG-ORANG KAFIR ITU AKAN DAPAT MELEMAHKAN KEKUASAAN ALLAH (DARIPADA MENIMPAKAN AZAB KEPADA MEREKA) DI DUNIA, SEDANG TEMPAT KEMBALI MEREKA IALAH NERAKA; DAN SESUNGGUHNYA NERAKA ITU ADALAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.} (AN-NUUR 24:57)

  1. Peringatan untuk orang Islam agar jangan kagum dan terpesona melihat kekuasaan dan kemewahan yang diberi kepada orang kafir di atas dunia ini.
    2.juga jangan sekali-kali sangka mereka dapat melemahkan kekuasaan Allah, yakni selamat daripada ditimpakan azab kepada mereka di dunia ini.
  2. Jika selamat di dunia pun mereka pasti sekali akan mendapat azab di akhirat kelak dan sesungguhnya neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Keimanan yang jitu kepada Allah s.w.t dan amal soleh menjadi sebab utama kemenangan dan kejayaan umat Islam di muka bumi ini.
  2. Janji Allah s.w.t ini semasa mereka berada dalam keadaan lemah, yakni mereka belum menyaksikannya.
  3. Walaupun kita tidak dapat ke masjid pada musim ini, tetapi jangan lupa jadikan rumah-rumah kita sebagai masjid dengan perbanyakkan solat, zikir, takbir, bacaan al-Quran dan lain-lain ibadat.
  4. Sebahagian kejayaan yang Allah s.w.t janjikan ini telahpun berlaku semasa pemerintahan Khulafa\’ur-Rasyidin al-Muhtadin.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs