Surah Al-Baqarah : Ayat 260

NABI IBRAHIM AS MINTA LIHAT BENDA MATI HIDUP SEMULA, BUKAN SYAK TAPI SUATU PENYAKSIAN & EMPAT EKOR BURUNG DI SEMBELIH.

Full video : https://youtu.be/LFxMrTg5V0I?si=2wwuYBQxO9ae10_2

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 260 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan tentang Nabi Ibrahim AS minta dengan Allah nak lihat bagaimana cara Allah SWT menghidupkan baliki makhluk yang sudah mati.
  3. Allah tanya apakah kamu tidak percaya akan kekuasaan-Ku? Ibrahim kata bukan kerana syak tapi untuk satu kajian & penyaksian.
    Hatta ahli tafsir katakan bahawa nabi Ibrahim ini seorang yang suka mengkaji, untuk dia lihat & saksi sendiri.
  4. Sebagaimana kisahnya dari awal ketika mencari Tuhan, lihat bintang, bulan & matahari kemudian semuanya tidak diterima sebagai Tuhan. Begitu juga kisah perdebatannya dengan Raja Namruz, sehingga kematian hujjah si raja yang kafir.
  5. Allah lalu memerintah Nabi Ibrahim untuk menyembelih empat ekor burung, dipisahkan dan diletakkan atas 4 buah bukit pula. Kita lihat kisah sepenuhnya dalam tafsir ayat ini.
  6. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang bahawa Allah yang berkuasa mengeluarkan manusia daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman. Kemudian Allah SWT bawa tiga dalil dalam ayat berdekatan ini tentang kekuasaan Allah menghidupkan semula makhluk yang sudah mati.
    Sekali lagi boleh rujuk buku Rukun Iman untuk bacaan lengkap 5 kisah dalam surah al-Baqarah: Buku RUKUN IMAN. https://dartaibah.com/?page_id=179…

    ii- Maka ayat ini dan sebelum darinya ada kaitan:
    a- ayat pertama Ibrahim apabila berdebat dengan Namrud, dia mengatakan: {“Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”.}

    b- Selepas itu Allah bawa dalil orang yang berjalan melalui sebuah kampung yang telah hancur, lalu dia sendiri mati & dihidupkan balik, dia tengok kepada makanannya yang tidak rosak, dia lihat kepada keldainya yang hancur menjadi tulang dihidupkan kembali. Yakni dia hadapi pengalamannya sendiri.

    iii- Kemudian kisah Ibrahim pula, dia sendiri tidak mati tetapi Allah suruh tengok kepada kekuasaan Allah SWT menghidupkan semula burung yang telah disembelihnya sendiri, dicincangnya dan diagihkannya atas setiap puncak gunung, kemudian dia panggilnya semula.

    iv- Yakni ada pelbagai dimensi atau versi cara Allah SWT bawa dalil akan kekuasaan dan kemampuannya untuk menghidupkan semula makhluk yang telah mati! Sangat lengkap & sangat besar dalil atas kebangkitan semula.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 260- {DAN (INGATLAH) KETIKA NABI IBRAHIM (MERAYU DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHANKU! PERLIHATKANLAH KEPADAKU BAGAIMANA ENGKAU MENGHIDUPKAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG MATI?” ALLAH BERFIRMAN: “ADAKAH ENGKAU BELUM PERCAYA (KEPADA KEKUASAANKU)?” NABI IBRAHIM MENJAWAB: “BAHKAN (AKU PERCAYA DAN YAKIN), AKAN TETAPI (AKU MEMOHON YANG DEMIKIAN IALAH) SUPAYA TENTERAM HATIKU (YANG AMAT INGIN MENYAKSIKANNYA)”.} (AL-BAQARAH 2:260)

  1. Ingatlah peristiwa ketika Nabi Ibrahim AS minta kepada Allah nak tengok cara Allah hidupkan makhluk yang telah mati. Di sini nampak kebijakan nabi Ibrahim, dia tidak tanya bolehkah Allah buat tetapi hanya nak tengok macamana Allah buat!
  2. Lalu Allah SWT bertanya kepada kekasihnya: Bukankah kamu sudah beriman & sudah yakin? Kenapa minta lagi? Allah SWT guna uslub pertanyaan di sini.
  3. Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan aku percaya dan yakin), akan tetapi aku memohon yang demikian ialah supaya tenteram hatiku yang amat ingin menyaksikannya.”
    Yakni sebagaimana dikatakan tadi Nabi Ibrahim ini seorang yang suka buat kajian eksperimen, untuk melihat bukti-bukti di Depan matanya.
  4. Lalu Allah SWT layan permintaan Ibrahim ini dengan perintahnya untuk melakukan sekian-sekian dalam ayat ini.
  5. Rasulullah SAW sendiri telah memberi jaminan bahawa Nabi Ibrahim ini seorang yang beriman tetapi Ibrahim ingin menyaksikannya sendiri untuk naik darjat lagi.
  6. Ada tiga martabat yakin:
    i- Ilmu al-Yakin, kita dengar dan tahu, yakni sudah yakin (علم اليقين).

    ii- Kita lihat dengan mata kepala kita sendiri-,ainu al-Yakin (عين اليقين)- maka bertambahlah keimanan.

    iii- Mengalami & melaluinya sendiri, itu adalah haq al-Yakin (حق اليقين).
  7. Ilmu dengar saja dengan tengok sendiri dengan mata tidak sama! Manakala tengok saja dengan mengalaminya sendiri juag tidak sama! Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
  8. Rasulullah SAW mempertahankan Nabi Ibrahim & menafikan bahawa dia syak dan ragu dalam imannya dengan sabdanya dalam hadis: Jika (kalaulah) Nabi Ibrahim AS ragu (syak akan kekuasaan Allah), pastilah kita lebih berhak untuk syak & ragu daripada Ibrahim! [HR Bukhari & Muslim].
    Tetapi kerana Ibrahim tidak syak, kita pun tidak syak juga, alhamdulillah! Ini ayat untuk memantapkan dan menafikan bahawa Ibrahim ada keraguan.
  9. Rasulullah SAW juga mempertahankan beberapa orang saudaranya para rasul lain selepas nabi Ibrahim:
    i- Semoga Allah beri rahmat kepada Nabi Lut kerana dia telah bersandar pada tiang yang kukuh (yakni hanya pada kekuasaan Allah dia berpegang apabila mahu diserang oleh kaumnya apabila malaikat menjadi tetamunya).

    ii- Jika aku telah duduk lama di dalam penjara seperti Nabi Yusuf AS, apabila raja panggil aku keluar dari penjara; akan aku segera berlari keluar. (Tetapi tidak nabi Yusuf, dia minta Raja bersihkanlah namanya dulu dengan bertanya kepada wanita-wanita yang yang telah memotong tangan mereka dulu, inilah orang yang bermaruah). [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 260- {ALLAH BERFIRMAN: “(JIKA DEMIKIAN), AMBILAH EMPAT EKOR BURUNG, KEMUDIAN KUMPULKANLAH OLEHMU (DAN CINCANGLAH SEMUANYA). SETELAH ITU LETAKKANLAH DI ATAS TIAP-TIAP SEBUAH BUKIT SEBAHAGIAN DARIPADANYA. KEMUDIAN SERULAH BURUNG-BURUNG ITU NESCAYA SEMUANYA AKAN DATANG KEPADAMU DENGAN SEGERA”. DAN KETAHUILAH SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-BAQARAH 2:260)

  1. Lalu Allah SWT perkenankan permintaan Ibrahim ini. Allah perintahkannya untuk mengambil empat ekor burung, kemudian kumpulkannya dan cincanglah semuanya dengan tangannya sendiri agar dia yakin & pasti bahawa ia telah mati dan hancur.
  2. Mengikut cerita Israiliyyat burung-burung itu adalah 4 jenis – merak, helang (atau merpati), gagak & ayam jantan. Yang pasti Al-Quran & hadis Rasulullah SAW tiada menyebutnya!
  3. Setelah itu Allah perintahkan Nabi Ibrahim AS:
    i- Untuk cerai-ceraikan burung yang telah mati itu,
    ii- Kemudian letakkan sebahagian daripadanya di atas tiap-tiap sebuah bukit, iaitu cerai-beraikan anggotanya dan agih-agihkan pada setiap tempat.
    iii- Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera. Panggil sekarang terus datang- yakni hidup balik!
  4. Firman Allah SWT tentang kisah ini juga:
    {Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.} (Al-An’aam 6:75)
  5. Setelah nabi Ibrahim AS melihat ini Allah SWT pun berfirman kepadanya: {Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} Tiada siapa boleh lawan boleh cabar Allah SWT, maka jangan cari yang lain!
  6. Nabi Ibrahim memang seorang yang yakin beriman dan mantap keimanannya kepada Allah SWT. Buktinya sebelum ini pun:
    i- Apabila mahu dicampakkan ke dalam api- Nabi Ibrahim berkata: حسبي الله ونعم الوكيل {Cukuplah kepada aku hanya Allah sebagai Pelindung}.

    ii- Nabi Ibrahim ini adalah ummat dengan seorang dirinya dalam perjuangan dakwahnya. Dia tidak meminta pembantu atau penolong, taqwa & tawakkalnya kepada Allah begitu tinggi.

    iii- Nabi Ibrahim ini adalah seseorang yang suka mencari bukti dan tanda-tanda untuk menguatkan lagi keyakinannya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 260- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”}-

    Kisah ini adalah kisah yang mantap tentang bukti kekuasaan Allah SWT. Nabi Ibrahim menyaksikannya sendiri untuk menguatkan i’tiqad & keyakinannya terhadap kekuasaan Allah SWT.
    Seperti lelaki yang melihat himarnya dihidupkan di depan matanya sendiri! Kita boleh mengguatkan i’tiqad kita dengan melihat kepada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT!
    Syak & ragu tidak sama sekali. Nabi Ibrahim pun tidak ragu & syak, hanya mahu memantapkan keyakinnnya.
  2. Ayat 260- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”}-

    Nabi Ibrahim AS meminta kepada Allah: {Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku}.
    Beginilah adab berdoa yang amat baik yang ditunjukkan oleh para nabi AS iaitu bertawasul dengan nama-nama Allah SWT yang indah.
    Kita pun apabila nak berdoa, mintalah dengan nama Allah ikut kesesuaian & apa jenis doa yang kita minta.
    Inilah tawassul yang dibenarkan iaitu berdoa dengan nama Allah yang indah, dengan sifat-Nya yang tinggi & dengan amalan soleh kita yang baik!
    Bukan bertawassul dengan nama-nama orang atau ulama’ yang telah mati- ini yang dilarang!
    Kita kena ajar ilmu yang benar kepada masyarakat iaitu tawasul yang dibenarkan ialah bertawassul kepada Allah & amal soleh kita sendiri.
  3. Ayat 260- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”}-

    Nabi Ibrahim telah guna kajian secara fizikal (علم التجربة) untuk memantapkan lagi imannya! Jadi tidak salah untuk kita membuat kajian, eksperimen dalam kehidupan untuk mencari kekuatan dan memastikan sesuatu keyakinan & ilmu. Memantapkan iman dengan membuat kajian adalah dibenarkan.
    Ibrahim sekali-kali tidak ada keraguan dalam dirinya, hanya mahu memantapkan lagi keyakinannya.
    Contoh:
    i- Seperti para pelajar perubatan nak jadi doktor, mereka bukan hanya belajar secara teori, mereka kena buatnya secara amali & praktikal, belajar pembedahan melalui mayat, organ yang asli dan seumpamanya!

    ii- Para saintis juga sentiasa melakukan eksperimen bagi membuktikan sesuatu teori yang dipelajarinya

    iii- Di Makkah, Arab Saudi terdapat satu badan antarabangsa (الهيئة العالمية للإعجاز العلمي في القرآن والسنة)- Commission on Scientific Signs in the Quran and Sunnah- yakni mereka buat kajian ayat-ayat yang disebut dalam Al-Quran yang berkait dengan sains & perubatan berdasarkan kajian saintifik.
    Boleh baca artikel penuhnya: https://en.wikipedia.org/…/Commission_on_Scientific…
    Satu kisah yang sangat memberi inspirasi iaitu kisah Professor Dr. Maurice Bucaille, seorang saintis dari Perancis yang mendapat keizinan untuk membedah mayat Firaun.
    i- Mayat Firaun diterbangkan ke Perancis khas untuknya. Mumia Firaun disambut dengan karpet merah dan penuh penghormatan.

    ii- Hasil dari bedah siasat itu dia berasa gembira kerana dapat memastikan punca kematin Firaun iaitu lemas dalam laut kerana terdapat kesan itu dalam paru-parunya! Dia merasakan bahawa penemuannya sudah cukup hebat dan mendapat anugerah tertinggi kerajaan Peranchis atas penemuan yang menakjubkan tentang mumia Firaun.

    iii- Ketika dia bersiap sedia untuk membentangkan hasil kajiannya itu, seorang fellow doktor muslim memberitahunya perkara itu bukan pelik bagi orang Islam kerana dalam Al-Quran, 1400 tahun dulu Allah telah menceritakan perkara ini!
    Firman Allah SWT: {Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.} [Yunus: ayat 92].

    iv- Apabila mendengarnya, ayat ini amat mengejutkan Profesor Dr Bucaille.
    Bagaimana nabi Muhammad tahu tentang semua ini tanpa peralatan yang canggih! Siapa yang beritahu Muhammad!
    Bagaimana Al-Quran dengan tepat dan benar dalam menjelaskan tentang mayat Firaun yang berlaku ribuan tahun selepas tenggelamnya Firaun dalam laut Merah itu dan hal mayat Firaun ini tidak disebutkan dalam kitab lainnya.

    v- Beliau pun terus membaca terjemahan & mengkaji Al-Quran. Dipendekkan cerita, dengan hidayah & petunjuk Allah, dia masuk Islam & menulis sebuah buku yang terjual laris di seluruh dunia: “The Bible, The Qur’an and Science, The Holy Scriptures Examined In The Light Of Modern Knowledge.”. Cerita penuh boleh baca di sini: https://www.arabnews.com/news/443500
    Inilah dikatakan ilmu kajian (علم التجربة). Kerana itu dikatakan orang bukan Islam mengkaji dulu sebelum mengaji. Dia kaji tentang Islam, masuk Islam & baru dia baca Al-Quran.
    Kita mengaji Al-Quran sejak dari kecil sehingga tua beruban; tetapi jika ditanya tentang terjemahan Al-Fatihah pun masih gagal! Oleh itu, marilah sama-sama kita kembali kepada Al-Quran dengan mempelajarinya, mengkajinya dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam seluruh kehidupan kita.
  4. Ayat 260- {Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin),}-

    Bahasa Al-Quran itu amat mantap dan sempurna.
    Soalan boleh dijawab dengan banyak perkataan atau hanya sepatah perkataan sahaja!
    Apabila Allah SWT bertanya kepada nabi Ibrahim AS: {Apakah kamu tidak beriman?} Nabi Ibrahim menjawabnya: {Bahkan (بَلَىٰ), aku beriman!} Nabi Ibrahim tidak menjawab; Ya. Kerana jika jawab ya bermakna: Ya, benar tidak beriman! Jika jawab tidak pun tidak kena juga- kena jawab: Bahkan (بَلَىٰ) baru betul. Huruf atau cara jawapan itu mengikut uslub soalan yang ditanya.
    Contoh jika ditanya: Apakah kamu terima? Kena jawab direct ya. Baru bererti terima.
  5. Ayat 260- {Allah berfirman: “(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya.}-

    Yakni Allah SWT perintahkan Nabi Ibrahim untuk ambil burung & cincang burung itu dengan tangannya sendiri. Kemudian Allah akan tunjukkan bukti kekuasaan itu! Maka bertambahlah kemantapan iman nabi Ibrahim AS, naik taraf bertambah dari ilmu Al-Yaqin kepada ainul-yaqin & haqqul yakin!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs