Surah Al-Baqarah : Ayat 259

KISAH SEORANG LELAKI (UZAIR) MATI 100 TAHUN, HIDUP SEMULA & TANDANYA PADA MAKANAN DAN HIMARNYA.

Full video : https://youtu.be/w9xh52od5jA?si=_qWK9Mq4RTaR_EaD

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 259 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Ayat ini adalah salah kisah tentang tanda-tanda kekuasaan Allah SWT menghidupkan semula orang mati. Sebagaimana yang telah dinyatakan terdapat 5 ayat dalam surah Al-Baqarah ini yang menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah menghidupkan semula orang mati.
    Kisah penuh boleh baca dalam: RUKUN IMAN. https://dartaibah.com/?page_id=179…
  3. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang kisah seorang lelaki (Uzair) yang telah Allah matikan selama 100 tahun kemudian dihidupkan semula.
  4. Allah menghidupkannya semula untuk menunjukkan akan kekuasaan & kemampuan Allah untuk menghidupkan semula manusia. Ia adalah sesuatu yang mudah, senang, simple atau semesek bagi Allah SWT!
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT sebut tentang ketunggalan & keEsaan Allah SWT dalam ketuhanan-Nya. Kemudian Allah SWT nak isbatkan tentang kebangkitan semula manusia ini. Kemudian ada orang yang ingkar, antara punca utama syirik adalah ingkar kepada kebangkitan semula.

    ii- Maka ayat ini adalah dalil tentang kekuasaan Allah SWT untuk menghidupkan balik manusia, bangkit kembali selepas mati hari Kiamat nanti!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 259- {ATAU (TIDAKKAH ENGKAU PELIK MEMIKIRKAN WAHAI MUHAMMAD) TENTANG ORANG YANG MELALUI SEBUAH NEGERI YANG TELAH RUNTUH SEGALA BANGUNANNYA, ORANG ITU BERKATA: “BAGAIMANA ALLAH AKAN MENGHIDUPKAN (MEMBINA SEMULA) NEGERI INI SESUDAH MATINYA (ROSAK BINASANYA)? ” LALU IA DIMATIKAN OLEH ALLAH (DAN DIBIARKAN TIDAK BERUBAH) SELAMA SERATUS TAHUN, KEMUDIAN ALLAH HIDUPKAN DIA SEMULA LALU BERTANYA KEPADANYA: “BERAPA LAMA ENGKAU TINGGAL (DI SINI)?” IA MENJAWAB: “AKU TELAH TINGGAL (DI SINI) SEHARI ATAU SETENGAH HARI”. ALLAH BERFIRMAN:” (TIDAK BENAR), BAHKAN ENGKAU TELAH TINGGAL (BERKEADAAN DEMIKIAN) SELAMA SERATUS TAHUN. OLEH ITU, PERHATIKANLAH KEPADA MAKANAN DAN MINUMANMU, MASIH TIDAK BERUBAH KEADAANNYA, DAN PERHATIKANLAH PULA KEPADA KELDAIMU (HANYA TINGGAL TULANG-TULANGNYA BERSEPAH), } (AL-BAQARAH 2:259)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT tanya sekali kepada Rasulullah SAW, tidakkah kamu tengok & kagum dengan kisah seorang yang melalui sebuah kampung sudah rosak binasa, tidak berpenghuni, runtuh habis bangunan yang ada, terbiar terbengkalai senyap sunyi!
    Sekali lagi diingatkan! Tengok dengan mata hati, (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad).
  2. Lelaki itu terasa sunyi lalu terfikir dalam kepalanya sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT: “Bagaimanakah Allah nak hidupkan semula penduduk kampung ini yang telah mati?
    Bolehkah Allah nak makmurkan semula kampung yang telah binasa ini?”
  3. Siapakah lelaki ini?
    Dalam Al-Quran & hadis Rasulullah SAW tidak disebut secara tepat siapakah namanya, dari mana dia & bilakah berlakunya. Maka para ulama’ mencarinya berdasarkan riwayat Sejarah juga bercampur dengan kisah israiliyyat.
  4. Sebenarnya tidak perlupun kerana Allah suruh kita ambil ibrah pengajaran dari Al-Quran, bukan sibuk cari gua seperti dalam kisah Ashabul Kahfi, tetapi apa boleh buat sifat manusia suka mencari menggali yang tidak penting kerana ingin tahu!
  5. Jadi kita lihat beberapa pandangan sebagai maklumat, tetapi ingat tidak ada satupun yang sahih dari Al-Quran atau hadis Rasulullah SAW:
    i- Ada yang kata dia adalah Uzair bin Syarqiyyah dan kampung itu dekat Sungai Dajlah. Nama Uzair ada disebut dalam Al-Quran: {وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ عُزَيْرٌ ٱبْنُ ٱللَّهِ}- {Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah”} [At-Taubah: 30].
    Tetapi tidak pasti apakah dia Uzair yang sama dengan kisah ini.

    ii- Pendapat kedua adalah Armia dari keturunan nabi Harun dan berlaku di Baituil Maqdis.

    iii- Ada yang kata dia adalah Khadhir;
    iv- Ahli tafsir Imam Mujahid kata yang pasti ia adalah seorang lelaki dari Bani Israil! Wallahu a’lam.
  6. Sedangkan lelaki berfikir tentang bagaimana Allah nak hidupkan kembali kampung itu, Allah hantar malaikat maut untuk mencabut nyawanya atau matikannya. Lalu matilah dia selama 100 tahun. Kejadian itu berlaku pada waktu dhuha atau pagi.
  7. Setelah berlalu 100 tahun Allah hidupkannya kembali pada waktu petang dan bertanya kepadanya apabila dia bangun berapa lama sudah kamu berada di sini?
  8. Lelaki itu menjawab dengan agak ragu-ragu: Mungkin aku tertidur selama sehari atau setengah hari. Yakni dia masih ingat lagi akan waktu pagi yang dia tiba di kampung itu.
  9. Allah menjawab: Tidak benar! Sesungguhnya kamu telah dimatikan selama 100 tahun. Sebagai bukti atau tanda kamu berada.di sini 100 tahun, lihatlah kepada benda di sekeliling kamu:
    i- Lihat kepada bekalan makanan dan minuman yang kamu bawa dulu, masih tidak berubah keadaannya, tidak basi & segar.

    ii- Dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (himar) yang sudah mati, sudah hancur lebur bangkainya, hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah- yakni bercerai habis!

AYAT 259- {DAN KAMI (LAKUKAN INI IALAH UNTUK) MENJADIKAN ENGKAU SEBAGAI TANDA (KEKUASAAN KAMI) BAGI UMAT MANUSIA; DAN LIHATLAH KEPADA TULANG-TULANG (KELDAI) ITU, BAGAIMANA KAMI MENYUSUNNYA KEMBALI KEMUDIAN KAMI MENYALUTNYA DENGAN DAGING “. MAKA APABILA TELAH JELAS KEPADANYA (APA YANG BERLAKU ITU), BERKATALAH DIA: SEKARANG AKU MENGETAHUINYA (DENGAN YAKIN), SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU”.} (AL-BAQARAH 2:259)

  1. Allah kata kejadian ini yakni lelaki itu dimatikan dan kemudian dihidupkan balik adalah untuk menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa dan mampu untuk menghidupkan balik manusia dan mengeluarkan mereka dari kubur selepas kematian mereka yang pertama!
  2. Allah suruh lelaki itu tengok lagi kepada tulang keldainya yang berterabur tadi- macamana Allah susunnya kembali, bercantum menjadi kerangka seekor keldai yang lengkap, tumbuh daging bulu dan menjadi keldai yang lengkap & hidup semula.
  3. Yakni Allah SWT tunjukkan kepadanya di depan mata kepalanya secara lansung bagaimana Allah menghidupkan semula keldai yang telah hancur menjadi tulang!
  4. Lalu hilanglah keraguan & pertanyaan yang bermain di benaknya tadi & berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya dengan yakin, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  5. Cerita tambahan (Israiliyyat) tiada dalam Al-Quran & hadis:
    Maka dia pun naik keldainya kembali ke kampungnya. Jumpa pembantunya yang telah berumur 120 tahun lebih di rumahnya dan orang itu mengesahkan bahawa dia adalah Uzair yang telah hilang selama 100 tahun. Lalu orang kampung semua keluar berjumpanya. Maka kaum yahudi yang terlalu kagum & teruja dengan kisah Uzair yang hidup kembali ini terus mengangkatnya sebagai anak Tuhan pula! Habis rosak!
    Firman Allah SWT:
    {Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah”} [At-Taubah: 30].
  6. Imam at-Tobari mengkritik kisah ini dan mengatakan yang benarnya sebagaimana yang Allah sebut, maka kita tak perlu cari kaji apa yang Allah tak sebut dalam Al-Quran & tiada dalam hadis Rasulullah SAW, apa yang penting kita ambil ibrah pengajaran dari kisah ini yang menunjukkan akan kekuasaan Allah SWT!
  7. Antara keistimewaan Tafsir Pimpinan ar-Rahman ini ia tiada kisah Israiliyyat- ia hanya terjemahkan apa yang Allah sebut, orang itu maka orang itulah- ia tidak mencari atau menyebut siapa namanya dan lain-lain.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 259- {Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?}-

    Ayat ini menjadi dalil akan keagungan & kekuasaan Allah SWT! Yang Allah nak sampaikan adalah bahawa Allah mampu menghidupkan kita selepas mati, mengumpulkan kita pada hari Kiamat.
    Inilah balaghah Al-Quran (keindahan uslub) yang mempelbagaikan bukti dan tanda untuk menunjukkan bahawa Allah SWT mampu & berkuasa untuk menghidupkan semula manusia selepas mati & mengumpulkan semua manusia selepas keluar dari kubur di Padang Mahsyar kelak. Allah boleh saja nak buat semuanya secara kun-fayakun tetapi tidak; Allah buat & susun semuanya mengikut proses yang tertentu, seperti asal kejadian manusia yang bermula dari air mani, menjadi janin, dilahirkan dan perkembangan seterusnya. Dalam ayat ini Allah perlihatkan kepada lelaki itu proses bagaimana Allah hidupkan balik keldai itu.
    Semuanya untuk menunjukkan kepada bukti kekuasaan & keagungan Allah SWT!
  2. Ayat 259- {kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”}-

    Allah bertanya kepada lelaki itu: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”
    Ayat ini menjadi dalil kita boleh bertanya kepada seseorang tentang maklumat atau periksa keadaan seseorang itu.
    Orang yang ditanya pula boleh menjawab sekadar yang dia tahu atau rasa, yang penting dia jawab setakat yang dia faham.
    Tetapi dalam bab hukum-hakam jangan main saya rasa; jika tak tahu pergi belajar dan bertanya kepada orang yang alim & yang tahu.
    Allah suka & ajar kepada kita untuk berfikir & cari bukti. Bila jelas kepada kita dalil & bukti insya’ Allah bertambahlah keimanan kita kepada Allah SWT!
  3. Ayat 259- Dalam ayat ini Allah SWT mengajar kita untuk mengambil pengajaran dan ibrah dari kisah yang dibawa dalam Al-Quran.

    Bukan mencari yang tidak perlu dan remeh temeh seperti namanya, nama kampung itu, jenis makanan yang dia bawa, apakah jenis keldainya dan seumpamanya. Jangan jadikan Al-Quran itu seperti novel atau buku cerita.
    Jangan kamu sibuk mencari tentang tuan kisah tetapi kamu sibuklah gali cari ambil pengajaran. Inilah bahasa Al-Quran yang indah penuh balaghah.
    Allah beri kepada hamba-nya pelbagai tanda kekuasaan-Nya supaya kita boleh berfikir dan mencari sumber serta maklumat.
  4. Ayat 259- { Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula.}-

    Allah nyatakan keramat para walinya.
    Ini adalah karamah yang Allah berikan kepada para walinya : Iaitu orang beriman, soleh yang taat patuh kepada Allah, yang ikut Syari’ah-Nya.
    Bukan seperti yang disangka orang : Wali orang terbiar yang pelik.
    Allah beri kemuliaan kepada mereka dengan diberi benda pelik sebagai tanda kekuasaan Allah SWT serta mereka sendiri boleh menjadi pengajaran kepada manusia.
  5. Ayat 259- Dalam ayat ini Allah bawa beberapa mukjizat yang berlaku untuk menunjukkan kekuasaan-Nya, iaitu kuasanya mematikan orang, menghidupkannya balik:

    i- Allah matikan lelaki soleh itu selama 100 tahun.

    ii- Allah matikan juga keldainya sehingga hancur tetapi tulangnya Allah tidak hancurkan, dikumpulkan setempat untuk dihidupkan balik.

    iii- Makanan & minumannya tidak rosak lansung tetap segar seperti asal dulu. Maka apabila kita dapat melihat dengan jelas bukti & tanda kekuasaan Allah, sepatutnya bertambahlah keyakinan & keimanan kita, sebagaimana lelaki soleh ini yang telah berkata: {Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.}

Semoga bertambah mantap keyakinan & keimanan kita kepada Allah Azza wa Jalla!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs