SUARH AL-ANBIYA\’ : AYAT 85-88

\"\"

KISAH KE: 8-11: KISAH NABI ISMAIL, IDRIS DAN ZULKIFLI YANG PENYABAR, KISAH NABI YUNUS DITELAN OLEH IKAN. BEBERAPA IBRAH KEPENTINGAN DOA.

Full video: https://youtu.be/QJYXyCSkKSU

MUQADDIMAH :

1. Siri yang lepas Allah s.w.t menceritakan kisah nabi Ayub a.s yang diberi ujian penyakit dan ditinggalkan keluarganya kecuali dua orang kawan dan isterinya yang setia. Awas banyak cerita israiliyyat yang tidak sahih tentang kisahnya.
2. Tentang betapa sabar dan tingginya kekuatan jiwa nabi Ayub a.s dalam banyak hadis-hadis Nabi s.a.w dan kitab tafsir.
3. Kisah kali ini tentang 3 orang lagi nabi yang digabung sekali iaitu Kisah Nabi Ismail, Idris dan Zulkifli Yang Penyabar, sama juga seperti nabi Ayub a.s.
4. Kemudian kisah Nabi Yunus, Zun-Nun yang ditelan ikan.
5. Para anbiya’ itu berbeza ujian dan bentuk ujiannya. Begitu juga empat orang nabi ini kita akan melihatnya satu persatu, kisah Nabi Ayub telah a.s selesai.

AYAT 85- {DAN (DEMIKIANLAH PULA) NABI-NABI ISMAIL DAN IDRIS SERTA ZUL-KIFLI; SEMUANYA ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG SABAR.} (AL-ANBIYAA\’ 21:85)
1. Allah s.w.t sebut lagi selepas nabi Ayub a.s kisah 3 orang lagi nabi yang tinggi kesabarannya iaitu Nabi Ismail, Idris dan Zulkifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
2. Bacaan nama Zul-kifli – boleh jadi: za, zi dan zu- ذا, ذي, ذو bergantung kepada kedudukannya dalam satu-satu ayat, ini kaedah bahasa Arab. Zu- maksudnya tuan (sohibu), yang mempunyai. Yang asasnya Zul-Kifli jika nama biasa.
3. Pertama tentang nabi Ismail a.s anak Nabi Ibrahim a.s dengan Hajar. Beberapa ujian dan kesabarannya:
i- Ujian sejak dari bayi. Ditinggalkan bapanya semasa kecil di Makkah bersama ibunya saja, di lembah yang tiada penghuni dan pokok, serta kering kontang dengan perintah Allah s.w.t. Kerana Ismail alhamdulillah munculnya telaga Zamzam.
ii- Apabila besar bapanya datang berjumpanya, kemudian diwahyukan Allah dalam mimpi bapanya Ibrahim untuk disembelih. Ismail akur dan sabar menerimanya.
iii- Ujian rumah-tangga juga, apabila diminta oleh bapanya untuk bercerai dengan isteri yang tidak sesuai, buruk akhlaknya. Dengan sabar dan redha Ismail ikut.
iv- Diperintahkan membina Ka\’bah dengan bapanya dan lain-lain.
v- Akhirnya Allah s.w.t anugerahkan lahir dari zuriatnya Khatimul-Anbiya’, Nabi Muhammad s.a.w.
4. Kesabaran nabi Ismail ini adalah menghadapi ujian yang berlaku dalam keluarganya, dengan ayahnya.
5. Kisah Nabi Idris a.s –
i- yang diutuskan kepada kaumnya yang ingkar lalu mereka dibinasakan di hadapannya. Begitulah umat dahulu satu negeri atau bandar akan binasa kerana tidak beriman Dia pula akan di angkat ke langit ke 4 sebagaimana Rasulullah s.a.w lihat pada malam Isra\’ dan Mi\’raj .
ii- Idris orang pertama yang menjahit pakaian, sedangkan sebelum itu manusia memakai kulit. Dia juga pelopor dalam menggunakan senjata sebagai alat peperangan.
6. Nabi Zulkifli pula terkenal sebagai seorang yang sabar dari sudut:
i- seorang nabi yang kuat beribadat (‘abid), solat malam dan sentiasa berpuasa,
ii- seorang hakim yang menjatuhkan hukum dan tidak mudah marah.
iii- seorang yang suka menjamin orang, kerana itu digelar Zu- (tuan) al-kifli- (jaminan), orang yang suka membuat jaminan.
7. Timbul juga perbincangan adakah dia nabi atau tidak?
i- Ada kata bukan nabi, seperti al-Wahidi dan asy-Syaukani, hanya seorang hamba yang soleh
ii- tetapi ramai ulama\’ kata termasuk Ibnu Kathir dia adalah seorang nabi. Ini jelas dari susunan ayat al-Quran dalam ayat ini, dikembarkan namanya bersama para nabi-nabi a.s lain. Takkanlah dia seorang yang ganjil, bukan nabi.
8. Inilah para nabi yang sabar dalam menjalankan tugas dakwah kenabian, melakukan perintah Allah s.w.t dan menjauhkan larangan-Nya.
9. Lalu dari sifat sabar itu diberi kepada mereka sebagaimana ayat berikut.

AYAT 86- {DAN KAMI MASUKKAN MEREKA DALAM (KUMPULAN YANG DILIMPAHI) RAHMAT KAMI: SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH.} (AL-ANBIYAA\’ 21:86)
1. Mereka semua ini Allah s.w.t masukkan dalam golongan yang soleh dan mendapat limpahan rahmat dengan mendapat jawatan nabi.
2. Serta mendapat rahmat syurga Allah s.w.t di akhirat kelak dengan ketaatan dan kesabaran mereka. Yakni nabi dan ahli syurga.

AYAT 87- {DAN (SEBUTKANLAH PERISTIWA) ZUN-NUN, KETIKA IA PERGI (MENINGGALKAN KAUMNYA) DALAM KEADAAN MARAH, YANG MENYEBABKAN IA MENYANGKA BAHAWA KAMI TIDAK AKAN MENGENAKANNYA KESUSAHAN ATAU UJIAN; (SETELAH BERLAKU KEPADANYA APA YANG BERLAKU) MAKA IA PUN MENYERU DALAM KEADAAN YANG GELAP-GELITA DENGAN BERKATA: \”SESUNGGUHNYA TIADA TUHAN (YANG DAPAT MENOLONG) MELAINKAN ENGKAU (YA ALLAH)! MAHA SUCI ENGKAU (DARIPADA MELAKUKAN ANIAYA, TOLONGKANLAH DAKU)! SESUNGGUHNYA AKU ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:87)
1. Tersebut pula kisah Zin-Nun. Bacaan Za zi dan zu- bergantung kepada kedudukannya dalam satu-satu ayat sama seperti kaedah Zulkifli tadi.
2. Dia adalah Nabi Yunus bin Matta, di gelar tuan ikan, kerana dia ditelan ikan paus.
3. Ini terjadi apabila dia meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah, kerana mereka ingkar dan tidak mahu beriman. Marah kerana Allah bukan marah kepada Allah dan menyangka tidak akan berlaku apa-apa peristiwa ke atasnya.
4. Kisahnya yang dicampakkan dari sebuah kapal, lalu jatuh ke laut dan ditelan ikan.
5. Maksud dia menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita, ulama\’ kata:
i- gelap dalam perut ikan,
ii- dalam gelap malam,
iii- gelap dalam kebuntuan fikiran. Boleh jadi ketiga-tiganya.
6. Lalu dia berzikir kepada Allah s.w.t dengan zikir ini:
لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.
7. Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ
Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”. [Riwayat al-Tirmizi]
8. Nabi Yunus diutus kepada kaumnya Ninawa, Mausil, satu daerah di Iraq. Kaumnya ingkar lalu dia berjanji kepada kaumnya jika masih tidak beriman, selepas 3 hari akan dibinasakan. Janji para nabi adalah benar.
9. Kaumnya ini berasa takut dan insaf lalu segera beriman, bertaubat sungguh hati dan bermunajat agar diampunkan. Lalu mereka terselamat, satu-satunya kaum dahulu yang terselamat selepas dijanjikan azab oleh nabi mereka.
10. Nabi Yunus tidak tahu hal ini, dia sangka mereka akan binasa seperti kaum lain, lalu dia keluar meninggalkan mereka sebelum tempoh yang dijanjikan itu.
11. Yunus keluar ke tepi pantai lalu menumpang sebuah kapal, lalu terjadilah kisahnya yang dicampak ke laut sehingga ditelan ikan. Ikan itu telah diberi perintah Allah s.w.t, perutnya luas dan gelap.
12. Di dalam tafsir Ibn Kathir ada menceritakan kisah bagaimana Nabi Yunus AS ditelan oleh ikan paus. Nabi Yunus AS telah pergi dengan menaiki kapal bersama kaumnya. Kapal tersebut dipukul ombak besar lalu mereka merasa takut kapal itu akan karam. Lalu, mereka mengundi salah seorang di antara mereka yang harus dibuang ke laut untuk meringankan bebanan kapal tersebut. Maka undian pun terkena kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya dan undian tersebut terkena lagi kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka juga enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya untuk kali yang ketiga dan undian tersebut terkena juga kepada Nabi Yunus AS. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 321/5]
13. Nabi Yunus mulai menyesal dan mengakui kesalahannya dan bertaubat kepada Allah s.w.t dengan membaca zikirnya itu. Lalu apa yang terjadi dalam ayat seterusnya.

AYAT 88- {MAKA KAMI KABULKAN PERMOHONAN DOANYA, DAN KAMI SELAMATKAN DIA DARI KESUSAHAN YANG MENYELUBUNGINYA; DAN SEBAGAIMANA KAMI MENYELAMATKANNYA KAMI AKAN SELAMATKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN (KETIKA MEREKA MERAYU KEPADA KAMI).} (AL-ANBIYAA\’ 21:88)
1. Lalu Allah s.w.t kabulkan doanya dan selamatkan Yunus dengan sebab keinsafan dan doa munajatnya. Jika tidak dia akan berada dalam perut ikan itu sehingga ke hari Kiamat.
2. Lalu Allah s.w.t juga bagi jaminan untuk kita semua dengan firman-Nya ini: {…dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).}
3. Maka jika ingin selamat, kita hendaklah sentiasa bertaubat dan bermunajat kepada Allah s.w.t.
4. Kisah nabi Yunus yang panjang ada dalam surah Saad.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

1. Ambillah pengajaran dari Nabi Yunus a.s dan juga kaumnya yang insaf dan terus berdoa kepada Allah s.w.t.
2. Marilah kita tukar gaya hidup kita, dari banyak komen, mengkritik, dengan memperbanyakkan munajat, doa yang sahih seperti doa Zun-Nun ini.
3. Pihak berkuasa yang berkenaan boleh cetak dan sebarkanlah doa-doa dan zikir yang sahih untuk disebarkan kepada masyarakat.
4. Doa Nabi Yunus antara doa yang sempurna dari segi:
i-Tauhid- “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau.”
ii- Membersihkan (tanzih) Allah s.w.t dari sebarang bentuk kelemahan. Maha Suci Engkau!
iii- mengakui kesilapan dan dosanya. Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. (mengakui kehambaan dan kesalahannya).
iv- Nabi Yunus tidak minta apa-apa.
Kita jika mahu selepas 3 akuan itu mintalah apa yang kita perlu dan mahu.
5. Selepas nabi Yunus bermunajat dengan doa ini, maka Allah s.w.t kabulkan doanya dan selamatkannya. Lalu memerintahkan ikan itu untuk memuntahkannya di tepi laut dalam keadaan selamat.
6. Firman Allah s.w.t ini: {..dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).} adalah satu khabar gembira kepada kita kaum mukmin untuk sentiasa yakin dan berdoa kepada Allah s.w.t dalam apa jua keadaan.
7. Doa itu ada dalam pelbagai bentuk, ada gaya minta terus, ada gaya cerita, ada gaya aduan, ada gaya nyatakan keadaan, ada gaya insaf nyatakan penyesalan dan lain-lain. Apa yang penting, kita hendaklah sentiasa berdoa.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs