Surah Al-Baqarah : Ayat 256-257

TIDAK ADA PAKSAAN MEMELUK ISLAM, AGAMA INI SANGAT JELAS & ALLAH SWT WALI BAGI MUKMIN.

Full video : https://youtu.be/wAsgJibq4Iw?si=hFr3bIK_GRgcBKv3

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 256 sehingga ayat 257 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Islam ini agama anutan bukan agama paksaan.
    Jika orang yakin dengan Islam, terima dasar tauhid, Syari’ah & ibadatnya mereka anut Islam. Jika mereka tidak terima dasarnya, tidak ada paksaan memeluk Islam nanti mereka akan masuk Islam dengan pura-pura sahaja.
  3. Kerana itu munafiq tidak muncul di Makkah tetapi muncul di Madinah selepas Islam berkuasa.
    Mereka berpura-pura untuk ambil kesempatan, jaga kepentingan diri, itulah talam dua muka, yang luarannya seolah beriman sedangkan dalam hati mereka penuh kekufuran & kebencian terhadap Islam.
  4. Kerana itu kena jaga selalu aqidah kita, mantap dan gilapkannya sentiasa jangan ada sifat munafiq dalam hati kita, serta baca doa ini selalu:
    اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ
    “Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.”
  5. Allah kata agama Islam ini sangat jelas bagi orang yang belajar & yang ikutnya.
  6. Kemudian dalam ayat kedua Allah nyatakan bahawa Dia adalah WALI bagi mukmin, iaitu Allah sebagai pengawal, pemimpin & pembimbing bagi orang yang beriman. Adapun orang yang kafir wali mereka adalah taghut!
  7. Munasabah ayat:
    i- Sebelum ini adalah tentang ayat al-Kursi dan tentang kelebihanya. Ia menunjukkan kepada tauhid, wahdaniyyah, adalah tentang keagungan & kekuasaan Allah SWT.
    Allah juga nyatakan tentang perkara yang tidak baik disandarkan kepada Allah SWT seperti Tuhan lemah, mengantuk & tidur. Maka Allah nafikan semua itu, Allah yang berkuasa penuh atas alam ini, kita semua adalah milik Allah. Jangan sesiapa mencari-cari selain Islam sebagai agama!

    ii- Orang yang berfikir tentang Islam, akalnya akan mencari-cari mana yang benar, mana yang lurus. Maka Allah nyatakan kepada kita dengan nyata, apa yang benar & yang salah, telah nyata tentang petunjuk & penyelewengana. Maka apabila telah ada penjelasan yang nyata- tinggal lagi kepada orang yang akalnya waras untuk terima Islam dengan hati yang tenang, dada yang lapang.

    iii- Tidak ada paksaan dalam agama ini kerana Islam adalah agama fitrah; iaitu sifat semula jadi manusia ini ia akan mengakui adanya Allah. Maka tidak perlu kita paksa & tarik mereka dengan kekerasan. Maknanya tidak ada paksaan dalam agama.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 256- {TIDAK ADA PAKSAAN DALAM AGAMA (ISLAM), KERANA SESUNGGUHNYA TELAH NYATA KEBENARAN (ISLAM) DARI KESESATAN (KUFUR).} (AL-BAQARAH 2:256)

  1. Salah satu daripada asas agama Islam ialah
    { لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّين}:
    i- Tidak ada sesuatu paksaan untuk memeluk atau menganut agama Islam. Tidak patut kita paksa sesiapa sekalipun untuk memeluk agama Islam.

    ii- Yang perlu adalah memberikan penerangan & dakwah Islam kepada orang ramai dengan cara yang baik dan bijaksana. Serta memberi contoh amlan yang baik mengikut ajaran Islam yang sebenar.

    iii- Ada juga yang tempel ajaran yang tidak sebenar kepada Islam & mendakwanya adalah ajaran agama Islam sedangkan ia bukan begitu! Ia hanyalah satu tempelan!
  2. Adapun peperangan atau jihad hanyalah didasarkan untuk mempertahankan kebenaran & perkembangan agama Islam jika ia diancam atau dinodai oleh para penceroboh yang menganiayai & durjana. Yakni jika dikacau; jihad adalah jalan yang terbaik untuk mempertahankan agama!
  3. Ini kerana telah Islam adalah ajaran yang jelas, yang nyata, yang boleh membezakan apa yang sesat, apa benar, antara haq & batil! Maka sesiapa yang Allah cerahkan hatinya, lapangkan dadanya dia akan menerima Islam. Manakala sesiapa yang Allah butakan hatinya, jika dia masuk Islam pun tiada faedah kerana Islam ini adalah agama anutan bukan agama paksaan!
  4. Maka kewajipan kepada para pendakwah, ulama’, ustaz untuk menyatakan dengan jelas batasan antara iman & kufur!
    Kerana sayangkan umat Islam ini agar tidak terlanggar atau melampaui garis batasan sempadan Syari’ah.
  5. Wahai umat Islam:
    i- Bila dinyatakan yang ini iman, ini batasan kufur- jangan mudah koyak & melenting- jangan terus kata ustaz ini suka mengkafirkan orang pula! Kita bukan nak kafirkan orang tetapi kerana sayang kamu. Jika tidak dinyatakan ramai yang tidak jelas lalu ramai yang langar.

    ii- Sabar tuan-tuan, bila dinyatakan yang ini Sunnah-yang ini bid’ah- jangan mudah melenting- jangan terus tuduh kata ustaz ini suka membid’ahkan orang pula!

    iii- Kita menyatakan undang-undang, kamu nak ikut yang Sunnah ini amalannya atau jika kamu langar batasan ini bid’ah namanya, maka hati-hatilah. Agama ini agama yang mudah & jelas tidak ada paksaan untuk orang masuk Islam, dia nak dia datang- dia tak nak, dia kekal atas agamanya. Maka pilihlah yang jelas, yang nyata kesahihannya!
  6. Perhatian : Ayat ini iaitu tidak boleh paksa khas untuk orang kafir yang belum memeluk agama Islam. Tetapi apabila sudah menganut Islam wajib taat & patuh kepada segala hukum-hakam Syari’ah.
  7. Seperti juga kita kempen & dakwah orang untuk datang solat jemaah di masjid, mereka tidak juga datang kita tidak boleh paksa lagi. Tetapi kempen & dakwah tetap kena teruskan.
  8. Tetapi kita boleh paksa & suruh anak isteri dan sesiapa saja di bawah jagaan kita untuk solat, tutup aurat dan beramal dengan semua ajaran Islam. Wajib paksa untuk jaga Syari’ah, jaga aurat dan amal ibadat. Jangan pula baca ayat ini- ayat ini untuk orang kafir! Orang Islam wajib ikut perintah Allah dan Rasul.
  9. Sabab Nuzul ayat:
    Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa: Ada di kalangan wanita Ansar yang tidak ramai anaknya (tidak subur) lalu mereka bernazar jika anaknya kali ini hidup; dia akan hantar belajar dengan yahudi atau letakkan anaknya di kalangan yahudi. Ini berlaku sebelum Islam.
    Maka ketika peristiwa Rasulullah SAW halau keluar yahudi Bani Nadhir dari Madinah, dan di antara mereka terdapat anak-anak kaum Ansar, maka mereka berkata: “Kami tidak akan membiarkan anak-anak kami.”

    Maka Allah SWT menurunkan ayat ini: { لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ ۖ}- sebagai teguran bahwa tidak ada paksaan dalam Islam.” [Diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasai dan Ibnu Hibban, yang bersumber dari Ibnu Abbas]
    Yakni Allah nyatakan dengan jelas bahawa tiada paksaan dalam agama, jika anak-anak itu mahu keluar ikut yahudi biarkan mereka, atau jika mereka nak masuk Islam dan tetap berada di Madinah- atas pilihan mereka juga.
    Ini kerana mereka sudah besar & boleh memilih apa yang mereka mahu anut!
  10. Sempena hari ini 25hb Disember:
    Kita kena ingat agama & budaya berbeza- jika ia adalah sambutan agama maka kita jangan ikut serta terjebak, tak perlu ucap jika tidak ada keperluan- jangan sampai kita turut bergenbira & seolah mengiktiraf perayaan yang mengatakan Nabi Isa adalah Tuhan atau anak Tuhan!

AYAT 256- {OLEH ITU, SESIAPA YANG TIDAK PERCAYAKAN TAGHUT, DAN IA PULA BERIMAN KEPADA ALLAH, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH BERPEGANG KEPADA SIMPULAN (TALI AGAMA) YANG TEGUH YANG TIDAK AKAN PUTUS. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:256)

  1. Sesiapa yang kufur dengan taghut, lawan & menentang taghut, berlepas diri daripada ikut taghut & beriman kepada Allah maka dia akan selamat!
  2. Taghut maknanya:
    i- Semua perbuatan yang melanggar batasan agama Allah, semua orang yang langar batasan agama yang telah Allah buat maka dia adalah taghut.

    ii- Syaitan

    iii- Patung, berhala atau apa saja yang disembah selain daripada Allah.

    iv- Ahli sihir, bomoh, ahli nujum atau dukun yang mengaku tahu benda ghaib itu taghut.

    v- Orang yang membenarkan dirinya disembah oleh pengikutnya maka dia taghut! Tok syeikh, pak kiai mahaguru yang membenarkan pengikutnya taksub sehingga menyambahnya maka itu adalah taghut.

    v-. Mana-mana Kerajaan yang tidak mahu melaksanakan undang-undang Syari’ah Allah SWT maka termasuk dalam taghut juga!
  3. Lagi firman Allah SWT tentang taghut ini:
    i- {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.} (Al-Nahl 16:36)

    ii- {Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu .} (Az-Zumar 39:17)

    iii- {Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.} (An-Nisaa’ 4:60)
  4. Mereka yang kufur dengan taghut & beriman dengan Allah ini dia akan selamat kerana dia berpegang dengan tali yang teguh yang tidak akan putus.
  5. Hadis: Sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Qais bin Abbad dan lainnya: Aku berada di sebuah halaqah (majlis ilmu) di masjid Rasulullah SAW di Madinah, bersama beberapa orang termasuk sahabat Nabi SAW. Di dalam halaqah tersebut terdapat seorang tua yang begitu tenang &khusyuk. Kemudian orang tua tersebut menyampaikan tazkirah kepada orang yang hadir dengan begitu indah dan membekas. Apabila dia bangun dari tempatnya maka orang ramai berkata: “Siapa yang ingin melihat seorang penghuni syurga maka lihatlah orang ini!” Aku pun bertanya: “Siapakah dia?” Mereka menjawab: “Dialah Abdullah bin Salam!” Aku berkata dalam hati: “Demi Allah, aku akan mengikutinya!” Aku pun mulai mengikutinya. Kemudian ia pergi sehingga hampir keluar dari kota Madinah. Kemudian ia masuk ke dalam rumahnya, lalu aku pun meminta izin untuk masuk. Lalu ia mengizinkan aku. Ia bertanya: “Apa yang engkau mahu, wahai anakku?” Aku berkata kepadanya: “Aku mendengar orang ramai bercakap tentangmu – ketika engkau keluar dari masjid-: “Siapa yang ingin melihat seorang ahli syurga, maka lihatlah orang ini! Maka aku pun mengikutimu untuk mengetahui kebenaran berita ini, dan agar aku mengetahui bagaimana mereka tahu bahawa engkau adalah ahli syurga.” Dia berkata: “Allah lebih mengetahui tentang ahli syurga, wahai anakanda!” Aku berkata: “Benar, akan tetapi pasti ada sebab yang membuat mereka berkata demikian.” Dia berkata: “Aku akan menceritakan kepadamu mengenai penyebabnya.” Aku berkata: “Ceritakanlah! Semoga Allah akan membalas kebaikanmu.” Diriwayatkan daripada Abdullah bin Salam RA, katanya: رَأَيْتُ كَأَنِّي فِي رَوْضَةٍ، وَوَسَطَ الرَّوْضَةِ عَمُودٌ، فِي أَعْلَى العَمُودِ عُرْوَةٌ، فَقِيلَ لِي: ارْقَهْ. قُلْتُ: لاَ أَسْتَطِيعُ، فَأَتَانِي وَصِيفٌ فَرَفَعَ ثِيَابِي فَرَقِيتُ، فَاسْتَمْسَكْتُ بِالعُرْوَةِ، فَانْتَبَهْتُ وَأَنَا مُسْتَمْسِكٌ بِهَا، فَقَصَصْتُهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «تِلْكَ الرَّوْضَةُ رَوْضَةُ الإِسْلاَمِ، وَذَلِكَ العَمُودُ عَمُودُ الإِسْلاَمِ، وَتِلْكَ العُرْوَةُ عُرْوَةُ الوُثْقَى، لاَ تَزَالُ مُسْتَمْسِكًا بِالإِسْلاَمِ حَتَّى تَمُوتَ».
    Maksudnya: Aku bermimpi seolah-olah aku berada di sebuah taman yang di tengahnya ada sebuah tiang. Di atas tiang itu ada tali. Lalu dikatakan kepadaku: “Naiklah.” Aku menjawab: “Aku tidak mampu.” Lalu seorang pelayan datang kepadaku dan mengangkat pakaianku, maka aku pun naik lalu memegang tali itu dengan kuat. Aku tersedar daripada tidurku dalam keadaan aku memegangnya. Setelah itu aku menceritakannya kepada Nabi SAW, maka Baginda pun bersabda: “Taman itu adalah taman Islam, tiang itu adalah tiang Islam dan tali itu adalah tali yang sangat utuh (agama Islam). Engkau akan tetap berpegang dengan Islam sehingga engkau meninggal dunia.”
    [HR al-Bukhari (7014)].
    Ini adalah kerana Rasulullah SAW sendiri yang memberi khabar gembira itu, kita hari ini jangan pandai-pandai memberi title kepada orang ahli syurga atau sebaliknya kerana, kerana syurga neraka ini hak Allah- Allah yang menentukannya dan Rasulullah SAW saja yang berhak menyampaikannya.
  6. Allah tutup ayat ini dengan mengingatkan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Iaitu Allah tahu sama ada benar dalwaan kamu kufur dengan taghut & benar-benar beriman kepada Allah atau hanya munafiq yang mengaku di mulut sahaja.

AYAT 257- {ALLAH PELINDUNG (YANG MENGAWAL DAN MENOLONG) ORANG-ORANG YANG BERIMAN. IA MENGELUARKAN MEREKA DARI KEGELAPAN (KUFUR) KEPADA CAHAYA (IMAN). DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR, PENOLONG-PENOLONG MEREKA IALAH TAGHUT YANG MENGELUARKAN MEREKA DARI CAHAYA (IMAN) KEPADA KEGELAPAN (KUFUR). MEREKA ITULAH AHLI NERAKA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-BAQARAH 2:257)

  1. Allah nyatakan bahawa Dia adalah wali : Iaitu penjaga, penolong, pengawal & pembimbing bagi orang Islam. Allah akan jaga kamu jika kamu beriman & benar-benar kufur kepada taghut! Taghut tidak akan dapat kacau kamu lagi!
  2. Sebagaimana ayah atau bapa adalah wali kepada anak-anak perempuannya. Kerana mereka boleh kawal dan pilih siapa yang nak dikahwinkan dengan anak perempuan mereka! Jika tiada wali huru-hara anak perempuan kita- akan kahwin ikut suka mereka di tepi jalan!
  3. Allah akan keluarkan kamu daripada kegelapan {ٱلظُّلُمَـٰتِ} yang begitu banyak- gelap kufur, gelap dosa & maksiat, gelap taghut dan lain-lain; kepada cahaya petunjuk {ٱلنُّورِ} iaitu cahaya Islam yang hanya satu!
  4. Manakala pekerjaan taghut adalah sebaliknya; dia akan keluarkan kamu daripada cahaya {ٱلنُّورِ} Islam yang hanya satu kepada kegelapan {ٱلظُّلُمَـٰتِ} yang begitu banyak.
    Maklumat : Kerana itu perkataan kegelapan {ٱلظُّلُمَـٰتِ} digunakan lafaz jamak (plural) kerana cahaya kegelapan banyak sekali, manakala perkataan cahaya {ٱلنُّورِ} hanya lafaz mufrad (singular)- kerana cahaya kebenaran hanyalah satu, iaitu agama Islam.
  5. Maka hati-hatilah jangan kita turut bergembira, turut mengucapkan selamat untuk mereka yang syirik dan menderhaka kepada Allah. Iaitu yang mendakwa Allah ada anak, yang mendakwa Nabi Isa adalah anak Tuhan atau Tuhan juga! Walaupun kita tidak percaya begitu tetapi seolah turut merai & menerima kepercayaan mereka itu!
  6. Sedangkan jelas firman Allah SWT ini tentang kemurkaan-Nya:
    {Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”} (Maryam 19:88)
    {Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!} (Maryam 19:89)
    {Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap.} (Maryam 19:90)

    Langit, bumi dan gunung semuanya murka, manusia boleh buat suka-suka dengan meniru atau menyambut perayaan mereka. Semoga Allah selamatkan rantau ini dari sebarang bencana kemurkaan-Nya.
    Berhati-hati dengan ucapan anda!
    Kita hormati kaum dan pegangan mereka tapi tidak mengakui kesesatan kepercayaan mereka, oleh itu berhati-hatilah dengan ucapan anda, jangan sampai tergadai aqidah dan keimanan.
  7. Semua orang bukan Islam, orang yang tidak beriman- sama ada yahudi Kristian Nasrani, majusi; selain daripada Islam- semua yang ikut taghut; mereka ini akan ke neraka Jahannam kekal di dalamnya- wal-‘iayazu billah.
  8. Maka semua adalah jelas, jangan kita main-main jaga aqidah kita, jaga aqidah anak-cucu kita, mantapkan aqidah kita dan semua orang yang kita sayangi, jangan kita terumbang-ambing dalam agama.
  9. Jelas bahawa orang Kristian hari ini ini bukan lagi penganut agama yang dibawa oleh Nabi Isa, mereka tidak beriman dengan Allah yang Esa, bukan mereka yang berpegang dengan ajaran & kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa AS.
    Orang Kristian hari ini ialah mereka yang mengatakan Tuhan ada anak dan Isa itu adalah anak Tuhan atau Tuhan sendiri. Hari ini ini mereka bergembira kita jangan turut bergembira dengan mereka yang dimurkai Allah SWT!
  10. Semua para nabi dahulu bawa agama & ajaran Islam- Allah sebagai Tuhan yang Esa. Mereka adalah muslimin, Allah namakan mereka sebagai orang Islam (muslim).
    Allah nafikan bahawa nabi Ibrahim itu yahudi atau Nasrani, hanya Islam agama yang diterima Allah!
  11. Jelas dalam firman Allah SWT ini:
    {Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.} (Al-Hajj 22:78)
  12. Jangan kita ikut pluralisma dengan mengatakan semua agama itu sama- kerana ulama’ telah memutuskan bahawa siapa yang kata semua agama ini sama seolah dia tiada agama!
    Inilah batas iman & kufur yang wajib dijelaskan oleh para pendakwah kepada masyarakat.
  13. Tetapi kita jangan menghukum orang ini kufur, orang ini sesat, taghut atau sebagainya! Kerja para pendakwah wajib menjelaskannya!
    Kebetulan ayat kita hari ini tentang aqidah dan hari ini pula hari orang yang mengatakan Tuhan ada anak bergembira!
  14. Teguran juga janganlah buat majlis yang kita bergembira padanya seperti majlis kahwin, aqiqah anak dan seumpamanya pada tarikh yang sama dengan hari ini. Walaupun tujuan sambutan kita berbeza tetapi ada kegembiraan pada hari yang sama, munasabahnya sekali- tak kiralah hari Kristian ke, hindu atau budha! Banyak lagi hari atas dunia ini kenapa pilih hari ini!
  15. Kita bukan extremist, kita bukan terrorist, kita bukan pengganas tetapi kita nak jaga aqidah ummah! Mesti ada orang yang akan kritik kata ustaz ini orang pondok, kolot, konservatif dan primitif- lawan kepada kumpulan ini ialah kapitalis, sosialis dan yang paling dahsyat lagi ialah kumpulan Iblis. Kenapa sibuk dengan benda lain tetapi kita tidak sibuk jaga aqidah kita!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 256- {Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).}-

    Tidak ada paksaan untuk menyuruh orang kafir memeluk Islam.
    Tetapi apabila kamu sudah jadi orang Islam- kamu wajib akur, wajib taat kepada undang-undang & peraturan Syari’ah!
    Tidak ada pilihan bagi orang Islam kecuali mesti akur taat kepada perintah Allah!
    Tidak boleh tidak solat, ambil riba dan lain-lain.

    Firman Allah SWT:
    {Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?} (Yunus 10:99)
    Kita tidak boleh paksa mereka tetapi kita boleh nyatakan kepada mereka tentang Islam sehingga jelas kepada mereka tentang kebaikan Islam.
    Ini menolak sangkaan buruk bahawa Islam ini tersebar dengan pedang semata-mata!
    Ingat 13 tahun Rasulullah SAW di Madinah, usahkan nak angkat senjata nak angkat pen pun tidak boleh! Tetapi dakwah tetap berjalan.
    Peperangan yang berlaku pula adalah semata-mata untuk jaga agama daripada di ceroboh atau disekat oleh puak kafir!
  2. Ayat 256- {kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)}-

    Allah kata Dia sudah jelaskan perbezaan antara jalan kebenaran Islam dari kesesatan kufur. Atas dunia ini hanya ada dua jalan; sama ada jalan yang betul iaitu Islam atau jalan yang bengkok iaitu semua yang selain Islam. Kamu pilihlah nak ikut yang mana!
    Tiada jalan yang ketiga atau atas pagar; sama ada kamu Islam atau kamu kufur!
    Cuma Islam ada tingkatannya, ada yang solid Islam & imannya, ada yang beriman tetapi bercampur dengan maksiat perbuatannya.
    Islam mungkin dicampur oleh pengikutnya dengan maksiat tetapi iman sekali-kali tidak boleh bercampur dengan kufur- tidak sekali-kali!
    Islam dengan syirik tidak ada kompromi. Contohnya:
    i- Pagi ni solat petangnya buka aurat atau ambil riba! Mungkin terjadi.

    ii- Tetapi tidak mungkin pagi ini sembah Allah petangnya sembah taghut! Tetapi jika ada umat Islam yang buat dosa atau maksiat; Allah buka pintu taubat untuknya sebelum mati. Ini berbeza. Jangan keras tak kena tempat, akan jadi Khawarij mengkafirkan orang, Jangan berlembut tak kena tempat- akan jadi liberal atau pluralisma.
    Berhati-hatilah orang yang ada kuasa & ada pengaruh bercakap apabila mengeluarkan kenyataan tentang agama yang menyentuh aqidah umat Islam, jangan sampai mempengaruhi atau menyesatkan kehidupan agama masyarakat!
    Jelaskan aqidah mantapkan kefahaman, jangan cuba-cuba nak bawa liberal, pluralisma dalam kehidupan beragama.
  3. Ayat 256- {Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah,}-

    Tidak mungkin orang yang beriman dalam masa yang sama tidak kufur kepada taghut!
    Firman Allah SWT:
    {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.} (Al-Nahl 16:36)
    Mesti berjalan serentak keduanya; ajak orang beriman serta menjauhkan taghut!
    Jika tidak akan rosak masyarakat, dia beriman tetapi percaya kepada juga kepada taghut. Inilaha bahayanya orang yang tak kenal taghut.
  4. Ayat 256- {maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.}-

    Maka orang itu adalah yang berpegang dengan tali agama yang kukuh.
    Kata ulama’ tadabbur : Iman kita ini tidak sama, amalan kita bertingkat-tingkat.
    Ada orang yang pegang dengan teguh dengan sungguh-sungguh, mantap aqidah dan amalannya ikut Al-Quran & Sunnah.
    Berbeza dengan orang yang pegang tali tetapi tanganya licin, maka akan gelonsor juga sikit jika tak banyak pun.
    Berpegang dengan Sunnah tetapi pergi juga kepada bid’ah kerana imannya tidak mantap!
    Kerana itu Allah kata cahaya Iman itu satu (mufrad), kegelapan taghut itu banyak (jamak), jalan iman itu hanya satu manakala jalan maksiat itu banyak sekali! Jalan kekufuran & maksiat itu banyak manakala jalan iman itu hanya satu!
  5. Ayat 257- {Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman.}-

    Allah kata dia adalah wali { ٱللَّهُ وَلِىُّ}- iaitu pelindung, pengawal, pemimpin bagi orang yang beriman!
    Syarat untuk dapat jagaan & kawalan ini adalah beriman kepada Allah SWT!
    Yang paling besar sekali ialah Allah jaga aqidah kita, tidak kufur & maksiat kepada Allah!
    Wali orang yang beriman adalah Allah.
    Wali orang kafir adalah taghut.
    Maka kuatkan iman kita, mantapkan aqidah untuk sentiasa mendapat penjagaan Allah SWT, supaya Allah menjadi wali kita!
    Hati-hati dengan Aqidah kita- kita orang Islam jangan terpengaruh.
    Boleh baca buku ini sebagai panduan: RUKUN IMAN. https://dartaibah.com/?page_id=179…
    Atau ikuti siri kuliah ini: Mestika Hadis Jilid 1 Bab Aqidah Tauhid. https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs