SURAH AL-HAJJ : AYAT 55-62

\"\"

GOLONGAN RAGU KEBENARAN NABI S.A.W, KELEBIHAN MATI PADA JALAN ALLAH & KUASA ALLAH SILIH BERGANTI MALAM DAN SIANG.

Full video: https://youtu.be/iSY4KbYlJZA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas kita telah bincangkan tentang beberapa sifat orang kafir yang hatinya telah keras dan mati dari menerima kebenaran.
  2. Dinyatakan bahawa salah satu tugas Rasulullah s.a.w adalah sebagai pemberi amaran (nazir -( نَذِيرٌ yang menjelaskan keterangan-keterangan tanpa keraguan.
  3. Kemudian diceritakan pula tentang keadaan orang mukmin dan nikmat balasan pahala yang menanti mereka di akhirat.
  4. Kemudian dalam ayat 55 dalam siri ini kembali menceritakan tentang sifat orang kafir yang keras kepala dan masih ragu-ragu tentang kebenaran al-Quran.

AYAT 55- {DAN ORANG-ORANG KAFIR TETAP DI DALAM KERAGUAN TERHADAP AL-QURAN HINGGA DATANG KEPADA MEREKA SAAT KIAMAT SECARA MENGEJUT, ATAU DATANG KEPADA MEREKA AZAB HARI YANG TIDAK ADA KEBAIKAN UNTUK MEREKA.} (AL-HAJJ 22:55)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa orang kafir tetap dalam keraguan tentang al-Quran, kerana itu mereka tidak beriman. Walaupun sudah dibawa pelbagai dalil dan bukti, bila hati sudah tertutup tiada gunanya.
  2. Maka kita mesti minta pedoman dan petunjuk dari Allah s.w.t agar kita dapat melihat kebenaran dan memilih yang terbaik lalu menjadi baik, insya\’ Allah.
    Doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:
    ،اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ. ،وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً، وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
    \’\’Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami kebenaran sebagai kebenaran dan kuatkanlah kami untuk mengikutinya. Serta tunjukkanlah kepada kami kesalahan sebagai kesalahan dan berikanlah kekuatan untuk menjauininya.\’\’ (HR Imam Ahmad).
  3. Jangan seperti kafir yang sombong dan keras kepala, عناداً واستكباراً walaupun sudah nampak kebenaran. Jika ada dua sifat ini rosak binasalah manusia.
  4. Sampai bila mereka mahu menjadi begini? Sehinggalah tiba hari Kiamat yang datang secara mengejut. Samada Kiamat dunia yang hakiki atau Kiamat individu iaitu mati. Pada hari ini banyak sekali berlaku mati mengejut & gempa bumi antara tanda-tanda Kiamat.
  5. Jika mati mengejut sedang buat kebaikan maka itu husnuk-khatimah, alhamdulillah. Tetapi jika sebaliknya amat malang sekali.
  6. Allah s.w.t sebut: {… azab hari yang tidak ada kebaikan ((عقيم untuk mereka.}
    Ulama\’ berselisih pendapat tentang makna ((عقيم \’aqim ini:
    i- di sini diterjemah – hari yang tidak ada kebaikan, iaitu bagi orang tidak beriman.
    ii- ada juga kata \’aqim – dengan makna mandul atau terputus keturunan.
    iii- kerana itu ada kata hari peperangan Badar sebagai hari \’aqim. Kerana selepas kekalahan mereka orang kafir itu sudah terputus/kosong kerana ramai ketua-ketua mereka yang mati terbunuh.
    v- Majoriti ulama\’ kata yang dikehendaki ialah Hari berlakunya Kiamat. Ia dikatakan hari yang mandul kerana pada hari itu tiada lagi pertukaran waktu siang dan malam kerana matahari & bulan sudah musnah. Hari itu begitu saja, panjang dan statik, lamanya terasa seperti 1000 tahun.

AYAT 56- {KUASA PEMERINTAHAN PADA HARI KIAMAT ITU TERTENTU BAGI ALLAH. IA AKAN MENGHUKUM DI ANTARA MEREKA. MAKA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH DITEMPATKAN DI DALAM SYURGA YANG PENUH DENGAN SEGALA NIKMAT DAN KESENANGAN;} (AL-HAJJ 22:56)

  1. Kuasa pemerintahan pada hari Kiamat itu tertentu yakni khas bagi Allah s.w.t.
  2. Itulah janji Allah s.w.t, setiap orang akan diadili, dipersoal dan dipertanggung-jawabkan dengan perbuatannya.
  3. Maka orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan.
  4. Amal soleh itu hanya akan diterima jika seseorang itu beriman, jika tidak sia-sia sahaja.

AYAT 57- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MAKA MEREKA BEROLEH AZAB SEKSA YANG MENGHINA.} (AL-HAJJ 22:57)

  1. Manakala orang yang tidak beriman dan mendustakan walaupun mereka tahu semua itu benar, maka bagi mereka azab yang hina dan pedih tidak terperi sakitnya.

BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Allah s.w.t sebut: {..orang-orang yang beriman dan beramal soleh}.
    Inilah asas atau tapak untuk bina amal soleh, kerana jika tidak sama seperti orang munafik yang buat banyak kebaikan, tetapi mereka tidak beriman.
  2. Pengakuan beriman sahaja tidak cukup, mesti diikuti dengan amal soleh.
  3. Kesimpulannya: Apabila seseorang itu beramal tetapi tidak beriman maka tidak ada nilai amalnya di sisi Allah, begitu juga jika beriman sahaja tanpa beramal.
  4. Hikmah kenapa Allah s.w.t sentiasa menyebut bersama dua perkara atau cerita yang berkembar serta ada ada yang sebaliknya? Seperti tentang Nabi & penentangnya, orang kafir & orang mukmin, tentang syurga dan neraka, wali Allah dan wali syaitan dan lain-lain. Kata ulama\’ dalam al-Quran itu ada kisah berkembar (Mathani).
    i- Supaya manusia tidak jemu dan bosan mendengar kisah pengajaran dari al-Quran.
    ii- manusia ini sedang berjalan kepada Allah s.w.t. mesti berada dalam dua keadaan, al-khauf iaitu takut apabila mendengar kisah orang jahat neraka dan lain-lain. Yang buruk manakala apabila mendengar tentang kisah nabi-nabi dan orang soleh, tentang nikmat syurga; maka kita menjadi berharap -ar-Raja\’- agar kita termasuk dalam golongan ini.

AYAT 58- {DAN ORANG-ORANG YANG BERHIJRAH PADA JALAN ALLAH, KEMUDIAN MEREKA TERBUNUH ATAU MATI, SUDAH TENTU ALLAH AKAN MENGURNIAKAN KEPADA MEREKA LIMPAH KURNIA YANG BAIK. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PEMBERI LIMPAH KURNIA.} (AL-HAJJ 22:58)

  1. Allah sebut pula tentang orang yang berhijrah pada jalan Allah, keluar dari rumahnya semata-mata untuk berjuang di jalan Allah lalu terbunuh atau mati.
  2. Samada mati terbunuh atau mati biasa, maka Allah s.w.t akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik, yakni balasan rezeki yang baik-baik. Jika tidak dapat di atas dunia ini, di akhirat esok insya\’ Allah, di dalam syurga yang abadi.
  3. Sebelum ini Allah s.w.t sebut balasan rezeki (limpah kurnia) dari Tuhan Yang Pemurah, yakni unlimited, tidak terbatas.
  4. Hijrah ada dua-
    i- secara fizikal seperti keluar berhijrah meninggalkan tanah air seperti Rasulullah s.a.w dan para sahabat, dari makhluk ke Madinah, demi agama.
    ii- Hijrah dengan hati- yakni meninggalkan segala perbuatan syirik, mungkar dan maksiat. Kita sekarang ini hanya berpeluang untuk melakukan hijrah hati, tinggalkan dan buang.
  5. Hadis – sabda Rasulullah s.a.w :
    رباط يوم وليلة خير من صيام شهر وقيامه وإن مات أجزى عليه عمله الذي كان يعمله وأجري عليه رزقه وأمن الفتان
    Maksudnya :\” Berjaga satu hari dan satu malam (kerana menjaga sempadan negara) adalah terlebih baik daripada puasa sunat sebulan dan Qiyammullail pada malamnya, dan jikalau dia mati akan diberikan kepadanya pahala amalan ( berkawal tersebut ) yang dilakukannya dan juga dikurniakan rezeki padanya dan di selamatkan daripada fitnah.\” [HR Muslim].
  6. Firman Allah s.w.t: {\”Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;}. [Al-Baqarah: 154].
  7. Allah sudahi ayat ini dengan mengingtakan bahawa sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
  8. Kata Imam Sayuthi: Kematian yang terbaik adalah mati syahid di medan peperangan, kerana itu Rasulullah beritahu tidak perlu dimandikan.

AYAT 59- {SUDAH TENTU ALLAH AKAN MEMASUKKAN MEREKA (YANG TERSEBUT ITU) KE TEMPAT YANG MEREKA SUKAI (SYURGA), DAN SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA PENYABAR.} (AL-HAJJ 22:59)

  1. Yakni mereka diberi balasan syurga yang amat diingini oleh semua manusia.
  2. Allah s.w.t itu yang Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar, semasa di atas dunia ini semua hamba-Nya yang beriman atau tidak semuanya mendapat rezeki nikmat hidup.

AYAT 60- {DEMIKIANLAH (JANJI BALASAN ALLAH YANG MELIMPAH-LIMPAH ITU). DAN SESIAPA YANG MEMBALAS KEJAHATAN ORANG, SAMA SEPERTI YANG DILAKUKAN KEPADANYA, KEMUDIAN IA DIANIAYA LAGI, DEMI SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENOLONGNYA. (DALAM PADA ITU INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PEMAAF, LAGI MAHA PENGAMPUN.} (AL-HAJJ 22:60)

  1. Janji Allah s.w.t untuk memberi segala pahala kebaikan kepada hamba-Nya adalah melimpah-limpah yakni tidak terbatas.
  2. Sesiapa yang membalas kejahatan orang ke atasnya dengan ikut hukum qisas (balasan setimpal mengikut hukum Syariah), kemudian dia dianiayai lagi, samada oleh orang jahat itu sendiri atau keluarganya, pasti Allah s.w.t akan menolongnya untuk mendapatkan keadilan semula.
  3. Dalam masa yang sama ingatlah Allah itu Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun, selagi ada ruang, sebelum mati jika seseorang itu bertaubat Allah akan terima!!

AYAT 61- { (PERTOLONGAN YANG DIJANJIKAN ALLAH TETAP BERLAKU) KERANA ALLAH BERKUASA MENUKAR GANTIKAN SESUATU KEADAAN SEBAGAIMANA KUASANYA MEMASUKKAN MALAM PADA SIANG DAN MEMASUKKAN SIANG PADA MALAM (SILIH BERGANTI); DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MELIHAT.} (AL-HAJJ 22:61)

  1. Apa saja yang Allah s.w.t janjikan akan berlaku, kerana Allah s.w.t itu Maha Berkuasa untuk membuat dan menukar semua keadaan sebagaimana pertukaran siang dan malam yang silih berganti.
  2. Allah s.w.t itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat . سميع بصير
    Inilah dua sifat Allah yang amat besar, jika kita yakin dengan dua sifat ini maka kita tidak akan berani untuk melakukan dosa dan maksiat.

AYAT 62- {BERSIFATNYA ALLAH DENGAN KEKUASAAN DAN LUAS ILMU PENGETAHUAN ITU KERANA BAHAWASANYA ALLAH, DIA LAH SAHAJA TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA, DAN BAHAWA SEGALA YANG MEREKA SEMBAH SELAIN DARI ALLAH ITULAH YANG NYATA PALSUNYA. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH YANG MAHA TINGGI KEADAANNYA, LAGI MAHA BESAR (KEKUASAANNYA)} (AL-HAJJ 22:62)

  1. Sifat Allah s.w.t itu juga Maha Berkuasa dan luas ilmu pengetahuan-Nya, kerana itu dalam ayat sebelum ini dinyatakan Allah akan menunaikan segala janji-Nya.
  2. Tuhan yang berhak disembah dan dipuji hanya Allah, segala yang disembah selain Allah s.w.t itu jelas palsu dan batil.
  3. Di akhir ayat ini disebut pula sifat Allah Yang Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Besar kekuasaan-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Dari sudut pendidikannya Allah s.w.t sebut nama-Nya- Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat . سميع بصير :
    i- bahawa tiada apa yang tersembunyi dari penglihatan Allah s.w.t walaupun seumpama semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang gelap gelita.
    ii- Begitu juga pendengaran Allah s.w.t itu merangkumi semua suara, samada kita bercakap waktu terang atau gelap, secara rahsia atau terang-terangan.
  2. Jika ada manusia yang merasa dia selamat dari dua sifat Allah s.w.t ini maka dia akan berani melakukan dosa dan melanggar perintah Allah.
  3. Kata ulama\’ salafus-soleh, kami dididik oleh datuk nenek kami dengan 3 sifat Allah s.w.t ini maka kami menjadi manusia yang baik. Iaitu Allah s.w.t Maha Mendengar lagi Maha Melihat & Maha Mengetahui. سميع , بصير,عليم
  4. Maka kita perlu beriman dan memahami sifat-sifat Allah s.w.t ini dengan sebenarnya, sebagai satu pelajaran dan ilmu, bukan dijadikan polemik dan isu untuk berselisih pendapat. Berlainan pemahaman itu normal.
  5. Ini kerana akal manusia itu berbeza dalam memahami dalil dan maklumat yang disampaikan oleh al-Quran maka perlu kepada penjelasan dari orang yang alim kepada orang awam.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs