SURAH TO-HA : AYAT 42-55

\"\"

MUSA DAN HARUN DIAJAR CARA BERDAKWAH KEPADA FIRAUN & BERLAKU DIALOG TENTANG KETUHANAN ANTARA MUSA DAN FIRAUN
Full video: https://youtu.be/AEA9KxTmyWg

MUQADDIMAH :
1. Hari ini kita akan masuk kisah ke 5 dalam episod dakwah nabi Musa a.s. iaitu Allah s.w.t mengajar kepada Musa dan Harun a.s, uslub dan teknik dakwah.
2. Kisah ini masih lagi berlaku di Bukit Tursina, di mana Musa a.s meminta dari Allah s.w.t 8 perkara untuk menguatkan dakwahnya.
3. Kemudian Allah sebutkan pula 8 nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada Musa a.s sejak dia kecil lagi.
4. Kemudian datanglah perintah tentang arahan dan larangan.
5. Kemudian kisah seterusnya adalah tentang dialog antara Musa a.s dan Firaun yang berdebat tentang ketuhanan, dan dakwah ajaran yang dibawa oleh Musa a.s.

AYAT 42- {\”PERGILAH, ENGKAU DAN SAUDARAMU, MEMBAWA MUKJIZAT-MUKJIZAT PENGURNIAANKU DAN JANGANLAH KAMU BERDUA LEMAH DAN CUAI DALAM MENYEBUT SERTA MENGINGATI DAKU.} (TAHA 20:42)
1. Perintah Allah s.w.t terhadap Musa a.s dan Harun untuk memulakan kerja dakwahnya selepas diberikan bekalan mukjizat sebagai tanda-tanda kebenaran yang akan membuktikan Musa a.s sebagai pesuruh Allah s.w.t.
2. Mukjizat dan tanda-tanda kekuasan itu adalah hujjah dari sudut fizikal iaitu tongkat dan tangan, serta hujjah-hujjah ilmiah.
3. Pesanan besar Allah s.w.t kepada Musa dan Harun serta semua pejuang-pejuang Islam agar jangan sekali-kali lemah, lupa, lalai dan cuai dalam berzikir mengingati Allah.
4. Ini adalah tarbiyyah ruhiyyah, sebagai persiapan dalam menghadapi cabaran dakwah. Jangan lupa perisai kita iaitu zikir pagi-petang, zikir selepas solat, zikir pergerakan dan semuanya. Didikan dan amalan ini jangan dilupakan.

AYAT 43- {\”PERGILAH KAMU BERDUA KEPADA FIRAUN, SESUNGGUHNYA IA TELAH MELAMPAUI BATAS DALAM KEKUFURANNYA\”.} (TAHA 20:43)
1. Allah s.w.t memerintah Musa dan Harun a.s untuk pergi berdakwah kepada Firaun.
2. Sesungguhnya Firaun telah melampaui batas (Taghut) iaitu pemimpin yang amat zalim, jahat, tidak mahu menjalankan hukum Allah, melampaui batas dalam segenap hal, hatta mengaku tuhan dan syaitan yang disembah.
3. Firaun adalah gelaran terhadap raja-raja Mesir. Yang menjadi persoalan adalah raja Firaun mana yang berlawan dengan Musa a.s ini?
i-Ahli sejarah mengatakan Firaun pertama yang menyiksa bani Israil adalah adalah Firaun Ittihad, Firaun bapa yang dipanggil barat Ramses I, kemudian dia mati dan digantikan oleh anaknya.
ii- Firaun anak ini dikenali sebagai Firaun al-Khuruj (Yang keluar) yakni yang keluar dari Mesir ke dalam laut. Di panggil barat sebagai Ramses II. Wallahu a’lam, yang pasti kedua-duanya, bapa dan anak sama taghut dan kufur.

AYAT 44- {\”KEMUDIAN HENDAKLAH KAMU BERKATA KEPADANYA, DENGAN KATA-KATA YANG LEMAH-LEMBUT, SEMOGA IA BERINGAT ATAU TAKUT\”.} (TAHA 20:44)
1. Kemudian Allah s.w.t mengajar uslub/cara dakwah kepada Musa a.s, walaupun menghadapi Firaun yang taghut ini, Allah s.w.t ajar Musa a.s agar menggunakan kata-kata yang lemah-lembut.
2. Yakni bahasa interaksi yang digunakan boleh lembut tetapi isi kandungan mesej yang hendak disampaikan mestilah tegas dan jelas.
3. Ini mudah-mudahan agar Firaun menjadi lembut hati juga, lalu semoga ia beringat atau takut juga kepada ancaman Allah s.w.t.

AYAT 45- {MEREKA BERDUA BERKATA: \”WAHAI TUHAN KAMI! SESUNGGUHNYA KAMI TAKUT BAHAWA IA AKAN SEGERA MENYEKSA KAMI, ATAU IA AKAN MELAMPAU BATAS\”.} (TAHA 20:45)
1. Musa a.s dan Harun membuat rayuan lagi bahawa mereka takut jika Firaun yang zalim dan jahat itu akan marah dan terus menyeksa mereka berdua.

AYAT 46- {ALLAH BERFIRMAN: \”JANGANLAH KAMU TAKUT, SESUNGGUHNYA AKU ADA BERSAMA-SAMA KAMU; AKU MENDENGAR DAN MELIHAT SEGALA-GALANYA.} (TAHA 20:46)
1. Allah s.w.t memberi jaminan agar jangan takut, Dia akan memberi perlindungan dan penjagaan.
2. Perlindungan Allah s.w.t terhadap makhluk-Nya ada dua:
i- Secara umumnya, Allah s.w.t mengetahui dan melihat semua apa yang kamu buat, malaikat mencatat semua apa yang lakukan.
ii. Perlindungan secara khas, seperti jaminan Allah s.w.t terhadap Musa a.s ini. Allah akan bersama dalam memberi pertolongan, taufik dan hidayah.

AYAT 47- {\”OLEH ITU, PERGILAH KAMU BERDUA KEPADANYA, KEMUDIAN KATAKANLAH: \”BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI INI RASUL-RASUL DARI TUHANMU, MAKA BEBASKANLAH KAUM BANI LSRAIL MENGIKUT KAMI, DAN JANGANLAH ENGKAU MENYEKSAKAN MEREKA. SESUNGGUHNYA KAMI TELAH DATANG KEPADAMU MEMBAWA SATU TANDA (MUKJIZAT) DARI TUHANMU! DAN SELAMAT SEJAHTERA ITU ADALAH UNTUK ORANG-ORANG YANG MENURUT PETUNJUK AGAMA ALLAH.} (TAHA 20:47)
1. Allah s.w.t perintahkan Musa a.s untuk berkata kepada Firaun:
i- Kami adalah rasul, utusan dari Tuhanmu. Membawa dakwah Tauhid tentang Allah sebagai Tuhan Yang Esa.
ii- Minta bebaskan bani Israil dari siksaan dan perhambaan yang zalim. Satu perjuangan pembebasan dan hak asasi manusia.
2. Allah s.w.t juga menyuruh Musa a.s menunjukkan tanda (mukjizat) yang diterimanya dari Tuhannya, Allah s.w.t kepada Firaun.
3. Maka sesiapa yang mahu selamat maka ikutlah apa yang dibawa oleh kami kerana ia adalah petunjuk dari Allah.

AYAT 48- {\”SESUNGGUHNYA TELAH DIWAHYUKAN KEPADA KAMI BAHAWA AZAB SEKSA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT DITIMPAKAN KEPADA ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT ALLAH DAN BERPALING DARIPADANYA\”.} (TAHA 20:48)
1. Maka sesiapa yang melawan dan tidak mahu ikut petunjuk Allah s.w.t, maka tunggulah, dia akan kena azab-Nya.
2. Azab seksa akan kena kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya, samada azab di dunia algi atau di akhirat kelak.

AYAT 49- {(SETELAH MEREKA MENYAMPAIKAN PERINTAH ALLAH ITU), FIRAUN BERKATA: \”JIKA DEMIKIAN, SIAPAKAH TUHAN KAMU BERDUA, HAI MUSA?\”} (TAHA 20:49)
1. Dalam ayat ini bermulanya dialog antara Musa a.s dan Firaun tentang ketuhanan Allah Azza wa Jalla. Dia bertanya: “Siapakah Tuhan kamu berdua, wahai Musa?\”
2. Walaupun Firaun berkuasa dan zalim dia tidak terus menggunakan akta dan kekuasaanya, bahkan dia guna fakta untuk berdebat dan berhujjah dengan Musa a.s.

AYAT 50- {NABI MUSA MENJAWAB: \”TUHAN KAMI IALAH YANG TELAH MEMBERIKAN KEPADA TIAP-TIAP SESUATU: KEJADIAN SEMULAJADINYA YANG SESUAI DENGANNYA, KEMUDIAN IA MEMBERI PETUNJUK KEPADANYA AKAN CARA MENGGUNAKANNYA\”.} (TAHA 20:50)
1. Jawapan mantap dari Musa a.s: Tuhan kami ialah yang membuat dan mencipta setiap sesuatu sesuai dengan keadaan dan tabi’inya.
2. Yakni setiap sesuatu dicipta ikut Ilmu dan Kekuasan Allah, kemudian diberi alat/anggota yang sesuai dengan cara kejadiannya dan ditunjukkan cara penggunannya.
Contoh bagi haiwan cara penggunaan dan manfaat anggota masing-masing yang ada, manakala manusia diberikan akal untuk membezakan yang baik dan buruk pula.

AYAT 51- {FIRAUN BERTANYA LAGI: \”JIKA DEMIKIAN, BAGAIMANA PULA KEADAAN KAUM-KAUM YANG TELAH LALU?\”} (TAHA 20:51)
1. Firaun guna ayat provokasi, ayat debat. Firaun cuba patahkan hujjah Musa dengan bertanya bagaimana keadaan kaum sebelum ini? Yang tidak sembah Tuhan Musa a.s ini? Yakni yang telah mati sebelum Musa a.s datang bawa dakwahnya.

AYAT 52- {NABI MUSA MENJAWAB: \”PENGETAHUAN MENGENAINYA ADA DI SISI TUHANKU, TERTULIS DI DALAM SEBUAH KITAB; TUHANKU TIDAK PERNAH KELIRU DAN IA JUGA TIDAK PERNAH LUPA\”.} (TAHA 20:52)
1. Musa a.s menjawab jangan bimbang kerana soal ini termasuk dalam perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t.
2. Semuanya telah tertulis dalam sebuah kitab yang khas, (tentang keadaan dan nasib mereka itu, tidak akan dizalimi). Allah s.w.t tidak akan pernah keliru dan Dia juga tidak pernah lupa

AYAT 53- { (DIA LAH TUHAN) YANG TELAH MENJADIKAN BUMI BAGI KAMU SEBAGAI HAMPARAN, DAN IA TELAH MENGADAKAN BAGI KAMU PADANYA JALAN-JALAN LALU-LALANG; DAN IA JUGA TELAH MENURUNKAN HUJAN DARI LANGIT. MAKA KAMI KELUARKAN DENGANNYA BERJENIS-JENIS TANAMAN DAN BUAH-BUAHAN YANG BERLAINAN KEADAANNYA.} (TAHA 20:53)
1. Musa a.s memperkenalkan Allah s.w.t kepada Firaun, pertamanya dengan hujjah tabiin yang ada dan nampak di depan mata manusia tentang kekuasan Allah.
2. Dalam ayat ini dibilang segala keEsaan, dan keagungan Allah s.w.t yang mencipta segala kejadian ini: menjadikan bumi bagi manusia sebagai hamparan, mengadakan pula padanya jalan-jalan lalu-lalang; menurunkan hujan dari langit, kemudian keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan jenisnya.

AYAT 54- {MAKANLAH KAMU DARIPADANYA DAN BERILAH MAKAN BINATANG-BINATANG TERNAK KAMU; SESUNGGUHNYA SEMUANYA ITU MENGANDUNGI TANDA-TANDA YANG MEMBUKTIKAN KEMURAHAN ALLAH, BAGI ORANG-ORANG YANG BERAKAL FIKIRAN.} (TAHA 20:54)
1. Maka semua nikmat yang kamu guna, makan dan minum ini mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.

AYAT 55- {DARI BUMILAH KAMI CIPTAKAN KAMU, DAN KE DALAMNYA KAMI AKAN MENGEMBALIKAN KAMU, DAN DARIPADANYA PULA KAMI AKAN MENGELUARKAN KAMU SEKALI LAGI.} (TAHA 20:55)
1. Allah s.w.t menjadikan manusia berasal dari bumi dan hidup di bumi.
2. Yakni Kita ini dicipta dari unsur bumi, berasal dari air mani yang terjadi dengan makanan dan minuman kita berasal dari bumi, hidup kita di atas bumi sehinggalah kita mati dan akan ditanam di dalam bumi pula.
3. Kemudian selepas itu Allah s.w.t akan menghidupkan kita dan keluar dari bumi sekali lagi!!!

PENGAJARAN/FAEDAH TARBAWIYYAH:
1. Arahan Allah s.w.t agar Musa a.s: Ayat 44– {\”Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut\”.}
i- Ulama\’ kata ayat ini menjadi dalil bahawa amar ma’ruf dan nahi munkar itu kena ada hikmah dan uslub yang lembut. Tidak boleh ikut suka hati.
Dalam ayat lain Allah s.w.t juga berfirman: {Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik;} [Al-Baqarah: 83].
ii- Seorang ulama salaf Yazid ar-Raqqasyi rhm. apabila membaca ayat ini katanya: “Betapa Allah s.w.t menyuruh bercakap baik dengan musuh kita, apatah lagi dengan orang yang baik dengan kita.”
iii- Seorang lagi ulama salaf Yahya bin Muaz rhm. apabila mendengar seseorang membaca ayat ini dekatnya terus dia menangis sambil berkata: “Ya Allah, betapa baik dan lemah-lembutnya Engkau dengan manusia yang mengaku: “Aku tuhan!” , bagaimana pula kebaikan dan kelembutan-Mu terhadap mereka yang berkata:” Engkaulah Tuhan aku!”
2. Ayat ini sangat perlu ditadabbur difahami dan dihayati oleh semua pada saat manusia sudah hilang adab dan akhlak, terlupa dengan sifat lemah lembut dan tiada etika dan hemah.
i- Bahasa para netizen pada hari ini amat kasar dan tidak beradab hatta kepada para pendakwah, jika ada perbezaan pendapat terus hentam.
ii- Para penyokong sesuatu kumpulan yang taksub kepada pemimpinya tidak teragak-agak akan menghentam mereka yang tidak sebulu dengannya.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs