SURAH AN-NUR : AYAT 47-50

\"\"

MENDEDAHKAN SIFAT MUNAFIQIN, KEKAL DI ATAS KEKUFURAN WALAUPUN SUDAH JELAS KEBENARAN & AMALAN ZAHIR MESTI SELARI DENGAN BATIN.

Full video : https://youtu.be/Hrb8rdtfSGE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang sebelumnya kita telah membincangkan 4 dalil tentang tanda Ketuhanan dan kekuasan Allah s.w.t. iaitu:
    i- Semua mahkluk bertasbih. Kecuali manusia dan jin yang kufur dan ingkar.
    ii- turunnya hujan.
    iii- silih bergantinya malam dan siang.
    iv- pelbagai jenis haiwan yang melata atas muka bumi ini.
  2. Kemudian Allah s.w.t menyatakan bahawa al-Quran telah diturunkan dan Dia memberi petunjuk hidayah kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
  3. Dalam siri kali ini Allah s.w.t menceritakan tentang golongan ketiga dalam negara Islam iaitu kaum munafiqin.
  4. Allah s.w.t akan dedahkan sifat mereka, iaitu golongan yang tidak mendapat hidayah di dalam Islam walaupun mereka bersolat di belakang Rasulullah s.a.w.
  5. Tetapi hati mereka penuh kepalsuan hanya mulut mereka yang berdusta dan berwajah manis berpura beriman. Kita tengok lagi sifatnya dalam ayat-ayat berikut.

AYAT 47- {DAN (DI ANTARA ORANG-ORANG YANG TIDAK DIKEHENDAKINYA KE JALAN YANG LURUS IALAH) MEREKA YANG BERKATA: \”KAMI BERIMAN KEPADA ALLAH DAN KEPADA RASULNYA SERTA KAMI TAAT\”; KEMUDIAN SEPUAK DARI MEREKA BERPALING (MEMBELAKANGKAN PERINTAH ALLAH DAN RASUL) SESUDAH PENGAKUAN ITU, DAN (KERANA BERPALINGNYA) TIDAKLAH MEREKA ITU MENJADI ORANG-ORANG YANG SEBENARNYA BERIMAN.} (AN-NUUR 24:47)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan antara orang yang tidak mendapat hidayah iaitu golongan munafik yang hanya beriman dimulut tetapi hati mereka tetap penuh dengan kekufuran dan kebencian kepada Rasulullah s.a.w dan kaum mukmin.
  2. Firman Allah s.w.t lagi dalam menceritakan sifat mereka ini:
    i- {Dan di antara manusia ada yang berkata: \”Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat\”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.} {Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.} (Al-Baqarah: 8-9).
    ii- {Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: \”Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah\”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.} (Al-Munaafiqun: 1)
  3. Bilakah munculnya munafik ini? Semasa di Makkah hanya ada dua golongan mukmin; yang kuat dan berani, sanggup menghadapi kejahatan kaum musyrikin Makkah dan mukmin yang lemah terpaksa menyembunyikan keIslaman mereka. Antara yang berani ini ialah Sayyidina Umar al-Khattab dan Hamzah bapa saudaranya r.a manakala yang lemah ialah golongan hamba yang tertindas.
  4. Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah maka muncullah golongan ketiga ini apabila Islam itu kuat. Ini kerana mereka tidak mahu beriman tetapi tetap mahu kelebihan duniawi yang dapat dikaut jika mereka mengaku Islam.
  5. Ini juga kerana ketua mereka Abdullah bin Ubai bin Salul hampir ditabal menajdi ketua di Madinah tetapi terbatal dek ketibaan Rasulullah s.a.w di Madinah, lalu membawa kepada dendam sehingga ke hujung nyawanya.
  6. Jadi di depan Rasulullah dan orang mukmin lain mereka mengaku beriman dan taat tetapi hati mereka berpaling, luaran menerima tetapi dalaman mereka ingkar dan membelakangkan perintah Allah dan Rasul-Nya. -berpaling – يَتَوَلَّى
  7. Begitulah orang munafik mereka menolak apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, maka Allah s.w.t jatuhkan hukuman- bukanlah mereka itu orang yang beriman sebenarnya, yakni hanya beriman di mulut dan kufur di hati.

AYAT 48- {DAN (BUKTI BERPALINGNYA MEREKA IALAH) APABILA MEREKA DIAJAK KEPADA KITAB ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA SUPAYA MENJADI HAKIM MEMUTUSKAN SESUATU DI ANTARA MEREKA, MAKA DENGAN SERTA-MERTA SEPUAK DARI MEREKA BERPALING INGKAR (MENOLAK AJAKAN ITU JIKA KEPUTUSAN TIDAK MENGUNTUNGKAN MEREKA).} (AN-NUUR 24:48)

  1. Allah s.w.t zahirkan lagi sifat mereka ini iaitu bukti berpalingnya mereka ini; apabila diajak berhukum kepada Kitab Allah dan sunnah Rasulullah mereka menolaknya dengan ingkar – مُعْرِضُونَ .
  2. Mereka ingkar dan tolak untuk berhakim dengan Rasulullah jika nampak keputusan yang akan didapati tidak akan menguntungkan mereka.
  3. Firman Allah s.w.t: {Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
    (An-Nisaa\’ 4:65)

AYAT 49- {DAN (SEBALIKNYA) JIKA KEPUTUSAN ITU MEMBERI HAK KEPADA MEREKA, MEREKA SEGERA DATANG KEPADANYA DENGAN TUNDUK TAAT (MENERIMA HUKUMNYA).} (AN-NUUR 24:49)

  1. Jika keputusan itu memihak kepada mereka terus mereka datang untuk menerima dan taat kepadanynya.
  2. Kenapa mereka jadi begini? Kita lihat ayat seterusnya.

AYAT 50- {(MENGAPA MEREKA BERSIKAP DEMIKIAN), ADAKAH KERANA HATI MEREKA MENGANDUNGI PENYAKIT (KUFUR), ATAU KERANA MEREKA RAGU-RAGU (TERHADAP KEBENARAN HUKUMAN), ATAUPUN KERANA MEREKA TAKUT BAHAWA ALLAH DAN RASULNYA AKAN BERLAKU ZALIM KEPADA MEREKA? (ALLAH DAN RASULNYA TIDAK SEKALI-KALI AKAN BERLAKU ZALIM) BAHKAN MEREKALAH SENDIRI ORANG-ORANG YANG ZALIM (DISEBABKAN KERAGUAN DAN KEKUFURAN MEREKA).} (AN-NUUR 24:50)

  1. Allah s.w.t bertanya kenapa mereka jadi begini?
    i- adakah kerana dalam hati mereka ada penyakit? فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ
    ii- atau kerana mereka memang tidak yakin, syak, goyah kepercayaan, terumbang-ambing dan menolak? {ارْتَابُوا}
    iii- atau kerana mereka takut Allah dan Rasul-Nya akan berlaku zalim kepada mereka? أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ
  2. Sedangkan sebenarnya merekalah yang zalim kepada diri sendiri, dengan sebab keraguan dan kekufuran mereka. Allah s.w.t tidak akan sekali-kali menzalimi hamba-hamba-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Kaum munafik akan menerima hukum jika memihak kepada mereka sahaja.
  2. Mereka berkata وَيَقُولُونَ itulah sifat munafik berkata dengan mulut/lidah saja bukan dengan hati.
  3. Sedangkan iman yg hakiki itu wajib ada tiga peringkat:
    i- mengucap dengan lidah (kalimah syahadah)
    ii- Yakin dengan hati akan Allah s.w.t.
    iii- beramal dengan anggotannya yakni mengamalkan rukun-rukun Islam.
  4. Mengakui dengan lidah sahaja tanpa hati – sifat munafik.
  5. Ada satu kumpulan lagi, beriman dengan hati, tasdiq (membenarkan) dengan lidah tetapi tidak mahu beramal dengan anggota. Inilah kumpulan Murji\’ah, yang memisahkan antara iman dan amal. مرجأة
  6. Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut bahawa mereka lari dan berpaling, مُعْرِضُونَ & يَتَوَلَّى
    ini adalah orang yang berdusta dalam dakwaannya beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
  7. Malangnya kita hari ini yang menentang undang-undang Islam ialah anak orang Islam sendiri, bukan orang kafir atau munafik. Ini adalah antara perkara ajaib yang berlaku.
  8. Inilah kejayaan penjajah kafir untuk membuatkan orang Islam memisahkan antara agama dan kehidupan, inilah fahaman sekular!
  9. Kata Imam al-Bukhari rhm.: \”Orang muslim yang terbaik ialah lelaki yang berani bangun menghidupkan semula Sunnah Nabi s.a.w yang sudah mati atau ditinggalkan orang ramai! Maka semoga rahmat Allah ke atas mereka kerana mereka ini akan menjadi golongan yang sedikit dan terpinggir, maka bersabarlah wahai para pejuang Sunnah.\”
  10. Berdoalah semoga kita dapat melakasanakan undang-undang Islam setakat termampu dalam hidup kita, keluarga kita dan masyarakat kita.
  11. Allah s.w.t kata mereka tidak mahu menerima ini kerana ada penyakit dalam hati mereka. Penyakit hati ini ada dua:
    i- penyakit hati syubhat, ragu syak kecelaruan dan kekeliruan. Ini ada dalam hati munafiqin disebabkan keraguan dan kekufuran mereka.
    Dalilnya firman Allah s.w.t: {Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; (Al-Baqarah 2:10). (dalil kedua ayat ini).
    ii- Penyakit hati kedua ialah penyakit syahwat, iaitu nafsu yang gilakan dunia, harta, wanita dan segalanya. Ini ada dalam hati semua manusia.
    Dalilnya firman Allah s.w.t: {Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).} (Al-Ahzaab 33:32)
  12. Bagaimana mahu tahu kita ini ada penyakit syahwat atau tidak? Tengok jika nampak maksiat bagaimana hati kita, suka atau tenang, tiada rasa apa-apa? Atau rasa tidak tenang, tidak suka atau terus benci dan tidak tenang hati. Itu sajalah yang kita dapat buat untuk periksa.
  13. Diriwayatkan dari Ummi Ma\’bad: Aku mendengar Nabi saw berdoa dengan doa ini:
    اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ
    \”Wahai Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.\” (HR. Hakim (2/227),

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs