Surah Al-Baqarah : Ayat 228-229

IDDAH ISTERI YANG DICERAIKAN, JANGAN SEMBUNYI MAKLUMAT & KHULU’ TEBUS TALAQ.

Full video : https://youtu.be/k8eI8ABicZo?si=H0Ml8GiLHQZTpwCS

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 228 sehingga ayat 229 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang hukum iddah isteri yang diceraikan, iaitu tidak boleh kahwin lain dalam tempoh bertenang dan boleh dirujuk balik oleh suaminya.
  3. Wanita juga dilarang, jangan sembunyikan maklumat tentang apa yang ada di dalam rahimnya sama ada haidh atau anak (hamil).
  4. Bagi isteri yang dianiayai suami atau sudah tidak sehaluan lagi, tidak mampu lagi hidup dengan suaminya boleh minta diceraikan dengan dengan kaedah khulu’ (خلع) iaitu tebus talaq.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang hukum suami yang telah bersumpah tidak mahu sentuh isteri.
    Apabila telah habis tempoh 4 bulan, masih tidak bersama, dia terpaksa menceraikan isterinya.
    Setelah bercerai adalah iddah, iaitu tempoh bertenang.

    ii- Maka Allah SWT bawa ayat ini untuk menejelaskan tentang iddah wanita yang bercerai hidup. Yakni peluang untuk rujuk itu masih ada, apakah hukumnya kita lihat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 228- {DAN ISTERI-ISTERI YANG DICERAIKAN ITU HENDAKLAH MENUNGGU DENGAN MENAHAN DIRI MEREKA (DARI BERKAHWIN) SELAMA TIGA KALI SUCI (DARI HAID). DAN TIDAKLAH HALAL BAGI MEREKA MENYEMBUNYIKAN (TIDAK MEMBERITAHU TENTANG) ANAK YANG DIJADIKAN OLEH ALLAH DALAM KANDUNGAN RAHIM MEREKA, JIKA BETUL MEREKA BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT. }

  1. Allah nyatakan hukum tentang seorang isteri:
    i- Yang telah digauli suaminya,

    ii- Yang diceraikan hidup oleh suaminya

    iii- Dan yang masih ada haidh.
    Maka tempoh iddahnya adalah {ثَلَـٰثَةَ قُرُوٓءٍۢ} iaitu tiga kali suci daripada haidhnya.
    Dalam feqah kita maksudnya 3x suci.
    Ada ulama’ kata maksudnya tiga kali haidh. Yakni lebih kurang saja keduanya dalam 3 bulan tempoh.
  2. Maklumat & fakta : wanita ini ada tiga jenis berdasarkan haidhnya; wanita yang belum ada haidh, yang ada haidh & sudah putus haidhnya. Semuanya berlainan tempoh iddah mereka. Dalam siri ini kita bincangkan tempoh iddah isteri yang ada haidh lagi.
  3. Iddah ini Allah adakan untuk kedua suami isteri itu berfikir & bertenang.
    Apakah mereka masih saling sayang-menyayangi ATAU rumah tangga mereka memang tidak boleh diselamatkan lagi.
    Tempoh lebih kurang 3 bulan ini cukuplah untuk menyelami hati & perasaan masing-masing.
  4. Bila habis tempoh iddah, dia tidak boleh lagi rujuk saja dengan suaminya dan barulah dia boleh kahwin lain jika ada jodohnya.
    Suami pun kena lepaskannya dengan baik.
  5. Tidak halal bagi seorang wanita itu untuk menyembunyikan apa yang terkandung rahimnya, iaitu jika dia hamil wajib menyatakannya!
    Ini kerana tempoh iddah bagi wanita hamil ialah sehingga dia melahirkan anak itu!
    Jika baru hamil maka kena tunggulah 8 atau 9 bulan lagi!
  6. Kerosakan yang berlaku akibat menyembunyikan haidh & kehamilan ini ialah:
    i- Jika hamil & cepatkan iddahnya seperti haidh maka berdosa besarlah kerana tidak habis tempoh iddah yang sepatutnya.
    Dan jika dia berkahwin lain dalam tempoh itu lagi bertambah kerosakan yang berlaku, apatah lagi jika anak itu dinasabkan pula kepada suami baru. Maka putus habis silaturrahim & nasab keturunan.

    ii- Jika sembunyikan haidh pula dengan niat nak tipu tempoh iddah juga adalah satu perbuatan dosa & boleh bawa kerosakan juga!
    Atau boleh jadi rujuk apabila sudah habis tempoh iddaa, sedangkan mereka perlu akad nikah yang baru!
  7. Di akhir ayat Allah nyatakan jika betul kamu beriman kepada Allah & hari Akhirat jangan sembunyikan perkara ini! Sama ada ada anak dalam perut atau sembunyikan kitaran haidhnya.
  8. Ini adalah perbuatan orang yang tidak mantap keimanannya kepada Allah SWT!
    Menyembunyikan sesuatu hakikat yang boleh menyebabkannya melakukan perbuatan yang melanggar hukum Syara’.
  9. Sila rujuk kepada Kuliah Kitab Fiqh Manhaji untuk penjelasan yang lebih detail tentang cerai, rujuk, iddah dan lain-lain.
    Link: https://youtu.be/9YKOoMrhzCM?si=bZ_FcUkZHaYCg18Q

AYAT 228- {DAN SUAMI-SUAMI MEREKA BERHAK MENGAMBIL KEMBALI (RUJUK AKAN) ISTERI-ISTERI ITU DALAM MASA IDAH MEREKA JIKA SUAMI-SUAMI BERTUJUAN HENDAK BERDAMAI. DAN ISTERI-ISTERI ITU MEMPUNYAI HAK YANG SAMA SEPERTI KEWAJIPAN YANG DITANGGUNG OLEH MEREKA (TERHADAP SUAMI) DENGAN CARA YANG SEPATUTNYA (DAN TIDAK DILARANG OLEH SYARAK); DALAM PADA ITU ORANG-ORANG LELAKI (SUAMI-SUAMI ITU) MEMPUNYAI SATU DARJAT KELEBIHAN ATAS ORANG-ORANG PEREMPUAN (ISTERINYA). DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-BAQARAH 2:228)

  1. Jika perkahwinan itu masih boleh diselamatkan dan mereka bertujuan untuk berdamai, keduanya mahu meneruskan perkahwinan, maka suami boleh merujuk kembali isterinya dalam tempoh iddah itu tanpa perlu akad nikah baru.
  2. Sebagaimana para isteri wajib menunaikan tanggungjawabnya ke atas suaminya dengan cara yang baik, para suami juga wajib melaksanakan tanggung-jawab kepada isterinya dengan cara yang baik!
    Yakni setiap dari pasangan, masing-masing mempunyai tanggungjawab & mempunyai hak ke atas satu sama lain!
    Tetapi ingat untuk mendapat hak kena tunaikan tanggungjawab, barulah adil dan saksama.
  3. Tetapi persamaan antara suami isteri tidak sama dalam segenap segi.
    Ini kerana orang-orang lelaki iaitu para suami itu mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan iaitu para isterinya.
  4. Ini kerana mereka mempunyai kuasa untuk mengawal talaq & rujuk serta bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak isteri sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat ini:
    {Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.} [An-Nisaa’ 4:34]
  5. Kenapa kuasa talaq di tangan lelaki?
    Ini kerana mereka yang mengahwini wanita itu dengan akad nikah & membayar maharnya, kemudian mereka juga wajib memberi nafkah sara hidup selama hidup bersama dan di dalam tempoh iddah.
  6. Tetapi walaupun kuasa cerai & rujuk di tangan kamu- jangan pula kamu para lelaki salah guna hak & kelebihan ini untuk menzalimi para wanita di bawah tanggung-jawab kamu.
    Nak bercerai cerailah dengan cara yang baik jangan gantung isteri tak bertali.
    Jangan sampai Allah jatuhkan hukuman azab atau bencana ke atas kamu- ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

AYAT 229- {TALAK (YANG BOLEH DIRUJUK KEMBALI ITU HANYA) DUA KALI. SESUDAH ITU BOLEHLAH IA (RUJUK DAN) MEMEGANG TERUS (ISTERINYA ITU) DENGAN CARA YANG SEPATUTNYA ATAU MELEPASKAN (MENCERAIKANNYA) DENGAN CARA YANG BAIK DAN TIDAKLAH HALAL BAGI KAMU MENGAMBIL BALIK SESUATU DARI APA YANG TELAH KAMU BERIKAN KEPADA MEREKA (ISTERI-ISTERI YANG DICERAIKAN ITU) KECUALI JIKA KEDUANYA (SUAMI ISTERI TAKUT TIDAK DAPAT MENEGAKKAN ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH. }

  1. Ayat ini menyatakan dengan jelas bahawa talaq yang boleh dirujuk hanya dua kali sahaja. Cerai sekali boleh rujuk, cerai kali kedua boleh rujuk lagi.
    Selepas itu jika cerai lagi kali ketiga tidak boleh lagi- jika talaq tiga putus terus; tidak boleh rujuk hatta dengan akad nikah baru pun.
  2. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah sebut bahawa kuasa rujuk di tangan suami.

    ii- Kemudian dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa kuasa untuk rujuk hanya dua kali saja. Jika lebih tidak boleh lagi.
  3. Inilah keindahan Islam dalam menghadkan bilangan rujuk. Kerana pada zaman jahiliyah kuasa rujuk tidak terhad.
    Maka jika suami berdendam dan mahu menyiksa isterinya- apabila hampir habis tempoh iddah dia rujuk kembali.
    Kemudian cerai pula- kemudian rujuk pula, tiada kesudahan bertahun-tahun.
    Semata-mata dengan niat jahat nak menyusahkan si isteri agar dia tidak lepas bebas darinya, sentiasa dalam iddah yang mengikatnya.
    Datang Islam hanya dua kali- selepas itu putus terus.
  4. Allah ajar, perintahkan kepada kaum suami:
    i- Jika kamu masih nak pegang (rujuk) isteri kamu itu; peganglah betul-betul, rujuk balik kerana kasih-sayang atau dengan niat nak selamatkan perkahwinan.
    Bukan rujuk dengan niat nak menganiaya macam tadi. {فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ}

    ii- Jika nak lepaskannya, tak dapat hidup bersama lagi- ceraikan juga isteri kamu dengan cara yang baik.
    Haram jika kamu rujuk kembali semata-mata untuk menyakitinya, seperti kerana nak balas dendam supaya dia tidak dapat kahwin lain & lain-lain tujuan yang tidak baik! {تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍۢ ۗ}
    Boleh baca dalam buku ini hikmah kenapa Islam halalkan perceraian, tentang talaq rujuk dan lain-lain yang berkaitan:
    Keindahan Islam. https://dartaibah.com/?page_id=179…
    Kezaliman yang dibuat oleh orang yang dekat & kita sayang lebih azab daripada dipukul dengan mata pedang!
  5. Kemudian Allah nyatakan jika bercerai; tidak halal untuk kamu minta balik atau mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada isteri-isteri yang diceraikan itu.
    Contoh:- mas kahwin, hadiah atau harta seperti tanah, rumah, kereta, barang perhiasan dan sebagainya.
    Tetapi Allah bagi ruang juga; kecuali jika kedua suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.
    Iaitu boleh ambil/serah balik harta dengan sebab takut tidak mampu lagi menjalankan tugas & beri hak masing-masing dalam perkahwinan itu sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum Allah.
  6. Yakni apabila si isteri itu tidak dapat lagi menerima suaminya, tidak boleh duduk bersama lagi kerana sebab-sebab tertentu yang dibolehkan Syara’- seperti suami kena penyakit menjadi busuk, perangai jahat & buruk sangat dan seumpamanya.

AYAT 229- {OLEH ITU KALAU KAMU KHUATIR BAHAWA KEDUA-DUANYA TIDAK DAPAT MENEGAKKAN ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH, MAKA TIDAKLAH MEREKA BERDOSA – MENGENAI BAYARAN (TEBUS TALAK) YANG DIBERIKAN OLEH ISTERI UNTUK MENEBUS DIRINYA (DAN MENGENAI PENGAMBILAN SUAMI AKAN BAYARAN ITU). ITULAH ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH MAKA JANGANLAH KAMU MELANGGARNYA; DAN SESIAPA YANG MELANGGAR ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH, MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-BAQARAH 2:229)

  1. Allah SWT memberi jalan & cara jika mereka memang sudah tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, yakni sudah tidak ada penyelesaian lagi, sudah tidak dapat hidup bersama lagi, tidak dapat menjalankan tanggungjawab & memberi haq masing-masing lalu si isteri minta diceraikan- adalah tidak berdosa bagi suami untuk mengambil balik harta yang telah diberikan kepada isteri dulu!
  2. Iaitu tidak berdosa:
    i- Untuk suami mengambil harta itu sebagai bayaran jika si isteri mahu membayar kepada suami bagi menebus talaq dirinya, supaya suami menceraikannya. Suami tidak berdosa jika dia ambil balik dalam kes ini!

    ii- Yakni isteri sanggup membayar sejumlah tertentu atau memulangkan kembali harta tertentu yang pernah diberikan oleh si suami dengan syarat diceraikan walaupun perkahwinan itu telah lama berlaku.
    Dibolehkan wanita itu tebus talak, minta diceraikan dengan baik dengan memberi bayaran atau pulangkan balik harta tertentu kepada si suami.
  3. Perceraian itu dibolehkan, ia adalah khulu’ (خلع)- tebus talaq yang diharuskan, tetapi kamu jangan melampaui batasan dalam aturan-aturan hukum Allah, yang telah ditetapkan ini dengan melanggarnya!
  4. Fakta & hikmah Al-Quran: Kenapa dalam firman Allah SWT ini tentang aturan-aturan hukum Allah ini berbeza hujung ayatnya?
    i- Ayat ini jangan kamu hampirinya: {تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا}
    {Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.} [Al-Baqarah: 187].

    ii- Manakala ayat kita hari ini: { تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا}
    {Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya.} (Al-Baqarah 2:229)
  5. Jawapan tentang perbezaan dua arahan ini:
    i- Yang pertama: {تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا} hukumnya haram dari asal dan selamanya, iaitu larangan dari menyetubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid- maka jangan sekali-kali kamu dekati perbuatan itu kerana ia adalah haram, tiada pengecualian.

    ii- Ayat yang kedua: { تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا} tentang keharusan suami ambil balik harta dalam kes khulu’.
    Yakni dibolehkan perbuatan tersebut tetapi jangan kamu melampaui dan berlaku zalim dalam perbuatan itu, seperti ambil balik semua harta sehingga isteri tinggal sehelai sepinggang atau menuntut bayaran yang tidak logik serta diluar kemampuan si isteri. Wallahu a’lam.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 228- {Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).}-

    Ayat ini menerangkan tentang tempoh iddah wanita yang masih ada haidh & tidak hamil, iaitu tiga kali suci daripada haidh.
    Maklumat tempoh iddah:
    i- Wanita yang tidak ada ada haidh 3 bulan.

    ii- Manakala bagi wanita hamil ialah sehingga melahirkan anak itu sama ada lebih cepat atau lebih panjang daripada tempoh iddah haidh.
    Hikmah kenapa Allah SWT letakkan hukum iddah ini:

    i- Untuk mensabitkan bahawa rahimnya memang kosong tidak ada zuriat daripada suami yang menceraikannya itu.
    Jika kahwin lain dengan anak orang lain dalam perut- tidak siram anak orang lain.

    ii- Nak jaga kehormatan wanita. Mengajarnya agar bersabar dan selamat dari tohmahan dan pandangan buruk orang ramai.

    iii- Supaya merasai nikmat ada suami atau isteri & perkahwinan.
    Memberi masa untuk berfikir akan keburukan perceraian, terhadap diri masing-masing, anak-anak terbiar, kerumitan pembahagian harta dan lain-lain.
  2. Ayat 228- {Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).}-

    Untuk menahan diri wanita itu daripada terus bernikah lain.
    Kata ulama’ kadang-kadang ada wanita ini yang semangat sangat untuk berkahwin lain- maka Allah bagi tempoh yang jelas untuk bertenang & bersabar dulu!
    Ini untuk menjaga kehormatan & nama baik wanita itu agar terjaga dari nampak tamak & gopoh sangat lalu menjadi kejian.
    Dalam ayat ini Allah SWT juga beritahu kepada kita setiap suami isteri itu ada tanggung-jawab & haq masing-masing, tetapi lelaki itu lebih tinggi darjatnya kerana kuasa akad nikah & talaq di tangannya serta tanggungjawab nafkah. Itu adalah hikmah yang ditetapkan Allah SWT!
  3. Ayat 228- {Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.}-

    Wajib ke atas isteri yang diceraikan untuk memberitahu apa yang tersembunyi dalam perutnya; sama ada hamil atau tidak, ada haidh atau tidak!
    Yakni wanita itu sebagai pemegang amanah untuk menyatakan kenyataan yang sebenar; kerana Allah katakan di akhir ayat: {jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.}.
  4. Ayat 229- {dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.}-

    Tidak halal bagi seorang suami mengambil balik pemberian & hadiah yang diberikan kepada isteri apabila bercerai KECUALI dalam kes tebus talaq atau khulu’.
    Yakni jika si isteri sanggup mengembalikan sebahagian atau semua harta pemberian suaminya dulu untuk melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan yang dia sudah tidak sanggup untuk mejalaninya lagi!
    Maka dia kena bayar balik dengan hukum khulu’ iaitu tebus talaq & suaminya hendaklah menceraikannya dengan baik!
    Walaupun ia halal tetapi ingat jangan kamu melampaui, sama ada:
    i- Si isteri jangan celupar mulut kata sanggup hantar balik semua asal cerai!
    Beringat jangan sampai hilang semua milik.

    ii- Si suami pula jangan melampaui menuntut balik segala yang pernah diberikan kepada si isteri hatta pakaian yang di pakaipun nak ambil balik!
    Yang penting jangan melampaui- halal adalah halal tetapi beringatlah jangan sampai menzalimi.
  5. Ayat 229- {Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.}-

    Allah kata jika kamu rasa sudah tidak boleh melaksanakan lagi hukum Allah dalam keluarga maka kamu boleh keluar darinya.
    Ini untuk menyatakan betapa pentingnya lafaz dalam perkahwinan Islam, sepatah jawab aku terima nikahnya terus sah, sepatah lafaz aku cerai terus jatuh talaq!
    Maka berhati-hatilah jangan main-main dengan lafaz talaq terutamanya agar tidak menyesal yang tiada kesudahan.
    Wahai kaum lelaki, walaupun kuasa talaq itu tinggi- Allah peringatkan- besar mana pun kuasa yang Allah berikan kepada kamu, kamu masih berada di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla.
    Maka ingatlah wahai kaum lelaki, kaum suami jangan melampau, jangan zalimi & khianat isteri kamu sendiri serta semua wanita-wanita Islam! Ikutlah hukum & undang-undang yang telah ditetapkan Allah SWT!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs