Helah Yahudi Menangkap Ikan, Tugas Pendakwah & Si Penangkap Ikan Jadi Monyet.
Full video : https://youtu.be/eGQo9WJh1GQ?si=0nJYxMGYHi-eZyZp
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 163 sehingga 166 dalam juzuk kesembilan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah helah puak yahudi untuk menangkap ikan, pada hari tidak dibenarkan iaitu pada hari Sabtu.
Pada hari itu ikan naik melepak di pantai dengan banyaknya, inilah ujiannya!
- Apabila mereka buat helah, maksiat & mungkar; maka menjadi kewajipan & tugas pendakwah, orang yang ada ilmu untuk menegur & menasihati mereka, jangan buat begini nanti Allah murka & datang bala; tidak boleh dibiarkan & tengok saja.
- Apabila Allah turunkan balanya, mereka yang derhaka, si penangkap ikan Allah tukar rupa mereka menjadi monyet kemudian mati binasa.
Manakala mereka yang menegur & melarang sebelum ini selamat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bani Israil yang tak dengar kata; apabila Allah suruh masuk ke Baitul Maqdis dengan beristighfar & tunduk tawadhuk, mereka tukarnya dengan perlian & perbuatan pelik.
ii- Ayat ini menceritakan satu lagi episod pelanggaran perintah Allah & perbuatan ingkar dan jahat puak bani Israil.
Sebagaimana kata ulama’ : Surah ini adalah Makkiyyah, sebelum Nabi SAW bertembung dengan yahudi di Madinah.
Tetapi Allah telah suruh Nabi SAW tanya puak yahudi, yakni sebelum jumpa sudah diberi modal untuk berlawan dengan mereka yang akan dijumpainya di Madinah kelak; sebagai satu persiapan untuk menghadapi puak yahudi yang banyak karenah & helah itu!
- Allah ceritakan kisah ini kepada Rasulullah SAW peristiwa yang berlaku sebelum ini yang tidak akan diketahui kecuali dengan wahyu dari Allah Azza wa Jalla.
Sedangkan Baginda SAW seorang yang tidak membaca & menulis, maka ini menunjukkan mukjizat Nabi SAW.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 163- {DAN BERTANYALAH KEPADA MEREKA (WAHAI MUHAMMAD) MENGENAI (PENDUDUK) BANDAR YANG LETAKNYA DI TEPI LAUT, SEMASA MEREKA MELANGGAR LARANGAN PADA HARI SABTU, KETIKA DATANG KEPADA MEREKA PADA HARI SABTU ITU IKAN-IKAN (YANG MENJADI CUBAAN KEPADA) MEREKA, YANG KELIHATAN TIMBUL DI MUKA AIR; SEDANG PADA HARI-HARI LAIN, IKAN-IKAN ITU TIDAK PULA DATANG KEPADA MEREKA. DEMIKIANLAH KAMI MENGUJI MEREKA (DENGAN CUBAAN ITU) KERANA MEREKA SENTIASA BERLAKU FASIK.}
- Allah suruh Rasulullah SAW bertanya kepada puak yahudi yang ada pada zamannya di Madinah mengenai kisah datuk nenek mereka yang tinggal di sebuah bandar di tepi Laut Merah.
Nama bandar itu Ailah atau sekarang dipanggil Aqabah, dekat dengan Tursina, sempadan antara Mesir & Syam.
- Mereka itu telah ditimpa azab Allah kerana melanggar perintah Allah akibat sifat tamak & degil.
Maka kamu wahai kaum yahudi yang ada pada zaman ini, akan ditimpa bala bencana juga jika kamu tidak mendengar dan melanggar perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sama seperti datuk nenek kamu dahulu.
- Kisahnya, kaum yahudi itu telah dilarang oleh Allah dari menangkap ikan pada hari Sabtu iaitu hari kelepasan mereka, hari beribadat kepada Allah (holiday) sebagai satu ujian ke atas mereka.
Ujian kerana pada hari larangan itu ikan-ikan naik ke tepi pantai dengan banyaknya sedangkan pada hari lain tidak begitu keadaan ikan!
- Apabila ada ujian pastilah besar sekali cabaran & godaannya!
Lalu mereka membuat satu helah untuk boleh menangkap ikan itu.
Diceritakan pada hari Jumaat mereka buat lubang untuk ikan masuk dan tutup lubang itu pada petang sabtu dan pada hari Ahad mereka pergi tangkap ikan itu!
Yakni helah mereka; mereka tidak tangkap ikan pada hari Sabtu, hanya ambilnya pada hari Ahad!
- Pada awalnya mereka hanya mengambil sedikit sahaja, kemudian apabila mereka lihat tidak ada apa kesan mereka bertambah berani dan melampaui.
Begitukah maksiat itu bermula dengan benda yang kecil & sedikit dahulu kemudian akan bertambah besar dan banyak.
- Kerana itu Allah kata: Demikianlah Kami uji mereka dengan sebab mereka fasiq, jahat & tidak taat kepada Allah Azza wa Jalla.
- Hadis : sabda Nabi SAW:
لا تَرْتَكِبُوا مَا ارْتَكَبَتِ الْيَهُودُ, فَتَسْتَحِلُّوا مَحَارِمَ اللَّهِ بِأَدْنَى الْحِيَلِ.
Maksudnya: “Janganlah kamu melakukan apa yang telah dilakukan oleh golongan Yahudi, nescaya kamu akan menghalalkan apa-apa yang diharamkan oleh Allah dengan serendah-rendah helah”.
[Ini disebutkan oleh Imam Ibn Batthah di dalam kitabnya Ibthal al-Hiyal pada hadis bernombor 58. Imam Ibn Kathir menghasankan sanadnya.
- Apabila berlaku perkara fasiq, orang yang soleh & baik tidak akan berdiam diri!
Mereka akan cuba menyelamatkan masyarakat dengan cara memberi nasihat, menegur, larangan & tunjuk ajar.
Begitulah tugas pendakwah, tidak boleh diam kena usaha selalu, amar ma’ruf & nahi mungkar!
AYAT 164- {DAN (INGATLAH) KETIKA SEGOLONGAN DI ANTARA MEREKA BERKATA: “MENGAPA KAMU MENASIHATI KAUM YANG ALLAH AKAN MEMBINASAKAN MEREKA ATAU MENGAZABKAN MEREKA DENGAN AZAB YANG AMAT BERAT?” ORANG-ORANG (YANG MEMBERI NASIHAT) ITU MENJAWAB: “(NASIHAT ITU IALAH) UNTUK MELEPASKAN DIRI DARI BERSALAH KEPADA TUHAN KAMU, DAN SUPAYA MEREKA BERTAQWA”.}
- Nota: Kerana setiap seorang itu adalah bertanggungjawab untuk menyuruh perkara yang baik & menasihati daripada melakukan perkara yang buruk & keji (amar ma’ruf & nahi mungkar).
Dalam ayat ini Allah gambarkan kepada kita tentang 3 golongan manusia yang ada pada masa itu, iaitu:
i- Yang membuat maksiat & mungkar, yang mencari helah untuk buat perkara yang Allah larang dan maknanya benda haram.
ii- Yang tegas, larang, menegahi jika lihat kemungkaran.
iii- Yang relax, tunggu & lihat, play safe, bahkan bila jumpa dengan kumpulan yang melarang, mereka tegur mereka ini agar tak perlu larang & tegur!
Tak berani nak tegur orang yang buat salah & mungkar, tetapi tegur pula orang lain yang larang!!!
- Iaitu dalam ayat ini Allah ceritakan apabila:
i- Apabila terdapat sekumpulan manusia yang buat mungkar & maksiat;
ii- Maka ada sekumpulan orang soleh yang menegur puak yang menentang perintah Allah itu;
iii- Terdapat pula sekumpulan manusia lagi yang menegur & menasihati mereka yang melarang itu agar tak perlu nasihat & tegur mereka yang buat salah itu.
Biarkanlah mereka sehingga Allah sendiri turunkan pembalasan-Nya, Allah akan binasakan mereka.
- Kesimpulannya apabila kita melihat perbuatan yang tidak baik, yang kurang elok apatah lagi yang mungkar maksiat; wajib ingkarinya, kena tegur terus, jangan sampai masyarakat yang jahil menyangka ianya adalah perkara yang normal, biasa & boleh diikut buat juga!!
- Tetapi yang tak tahannya kumpulan yang ketiga itu, yang bukannya sibuk melarang mereka yang buat kemungkaran tetapi menegur & melarang pendakwah atau orang yang menegur kemungkaran itu pula!
Semata-mata kerana nak jaga pangkat kedudukan atau pengikut, play safe orang kata! Allahu al-Musta’an.
- Tetapi pendakwah yang bertegas itu tetap teguh dengan pendirian mereka- mereka menjawab kepada orang yang menegur mereka itu: Kami beri nasihat itu ialah untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka (orang yang ditegur) itu insaf bertaqwa.
Yakni tanggungjawab agama sebagai pendakwah & orang ada ilmu sudah dijalankan, mereka tidak akan bersalah lagi apabila ditanya di hadapan Allah kelak.
- Yakni tidak boleh selamatkan diri hanya dengan beribadat sendiri dalam masjid beristighfar kepada Allah; sambil melihat perbuatan mereka yang ingkar dan bermaksiat itu.
Mesti menegur, beri nasihat jika tak mampu nak larang & tegah, mudah-mudahan mereka itu insaf & menjadi orang bertaqwa!
AYAT 165- {MAKA KETIKA MEREKA MELUPAKAN (TIDAK MENGHIRAUKAN) APA YANG TELAH DIPERINGATKAN KEPADA MEREKA, KAMI SELAMATKAN ORANG-ORANG YANG MELARANG DARIPADA PERBUATAN JAHAT ITU, DAN KAMI TIMPAKAN ORANG-ORANG YANG ZALIM DENGAN AZAB SEKSA YANG AMAT BERAT, DISEBABKAN MEREKA BERLAKU FASIK (DERHAKA).}
- Allah beri amaran lagi; apabila orang yang buat maksiat & derhaka itu tidak hirau larangan yang diberikan, cakap apa saja mereka tidak peduli, royatlah rimau gajah pun tak hirau, maka:
i- Allah akan selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu,
ii- Manakala orang-orang yang zalim akan ditimpakan dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik & derhaka.
- Kata Ibnu Kathir : Allah naskan secara jelas dalam ayat ini bahawa:
i- Orang yang melarang, mengingkari perbuatan mungkar akan selamat.
ii- Mereka yang zalim buat maksiat akan binasa!
iii- Tetapi tentang orang diam tak buat apa tadi Allah tak sebut pun tentang mereka! Ini kerana balasan itu mengikut jenis amalan yang dibuat!
Oleh kerana kamu diam, kamu tak kata & tak buat apa bahkan kacau pula orang yang larang; maka Allah sembunyikan episod kisah mereka, kerana kisah mereka tak perlu disebut, puji pun tidak, keji pun tidak!
- Apakah mereka turut binasa?
Para ulama’ dalam analisa yang mereka buat : Bahawa mereka tidak binasa kerana mereka bukan buat maksiat cuma tidak melarangnya.
Tetapi Allah diam tidak sebut tentang mereka kerana mereka juga diam tidak menegur perkara mungkar & maksiat!
- Maka jika nak jadi orang baik; kena bangkit, bangun menentang kemungkaran untuk mendapat kelebihan yang besar di sisi Allah SWT.
- Walaupun mereka tidak dibinasakan bersama puak penangkap ikan pada hari Sabtu; perbuatan mereka itu tetap salah & bahaya kerana dipinggir jurang kebiasaan, berada ditengah antara yang selamat & yang binasa, Allah diam & pinggirkan tentang mereka!
AYAT 166- {MAKA SETELAH MEREKA BERLAKU SOMBONG TAKBUR (TIDAK MENGAMBIL INDAH) KEPADA APA YANG TELAH DILARANG MEREKA MELAKUKANNYA, KAMI KATAKAN KEPADA MEREKA: “JADILAH KAMU KERA YANG HINA”.}
- Apabila mereka yang berlaku sombong dan melakukan kemungkaran itu tidak hirau tetap melanggar perintah Allah walaupun telah diberi peringatan, nasihat dan amaran;
- Maka Allah tukar rupa mereka menjadi haiwan, monyet atau kera sebelum dibinasakan.
Awal peringkat jadi monyet dulu secara fizikal yang terhalang daripada segala kebaikan yang Allah sediakan kepada hamba-Nya yang baik! Allahu al-Musta’an.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 163- {Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu,…}-
Allah suruh Rasulullah SAW bertanya kepada yahudi yang ada pada zamannya tentang kisah yahudi bani Israil yang dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu ini.
Ayat ini menjadi peringatan kepada para pendakwah; kena ingat sejarah dan ambil iktibar darinya.
Walaupun yahudi pada zaman Nabi SAW ini sudah tidak ada kaitan dengan yahudi yang menangkap ikan itu dulu, tetapi keburukan itu perlu dijadikan pengajaran & iktibar supaya kebinasaan tidak datang.
Kata para pengkaji & pentadabbur al-Quran :
Kita para pendakwah kena ingatkan orang Islam:
i- Kita kena ada kesatuan ummah, kerana jika kita bersatu kita akan kuat.
ii- Tetapi jika kita berpecah & berkelahi sesama kita; kita akan mudah dikalahkan musuh lalu diganyang dan ditawan.
Sebagaimana yang terjadi kepada kerajaan Daulah Islamiyah yang besar dan berkuasa sebelum ini, telah jatuh dan musnah, jatuh terlepas ke tangan musuh yang bukan Islam kerana kita berkelahi sesama kita dan tak dengar kata.
Setiap pendakwah kena ingat; Setiap perkara atau peristiwa sejarah yang berlaku kita kena ambil iktibar pengajaran bukan biarkan ia berlaku & berlalu begitu saja.
Kena ambil iktibar pengajaran bahawa kita ini akan bertemu dengan pelbagai karenah; manusia yang cuba untuk melakukan apa yang ldiarang Allah dengan cara yang lunak & baik.
Kerana itu kita tidak boleh bermudah-mudah dan ambil ringan perkara sebegini.
Kerana itu Allah perintahkan Nabi SAW itu pergi tanya yahudi.
Sebagaimana yang dinyatakan ayat ini adalah Makkiyyah, turun di Makkah sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah & bertemu yahudi lagi, tetapi kenapa Allah sudah beri ilmu ini kepada Baginda SAW?
Inilah yang dikatakan ilmu persiapan.
Nanti kamu jumpa yahudi kelak kamu tanya!
Begitulah juga Nabi SAW ketika nak hantar Muaz bin Jabal RA ke Yaman, Baginda berpesan kepadanya bahawa di sana nanti kamu akan bertemu dengan ahli kitab nasrani yang suka berhujjah berdebat, maka kamu kena bersedia dengan hujjah yang mantap untuk berlawan dengan mereka!
Maka para pendakwah apabila mahu pergi ke mana-mana tempat, kena study kena kaji dulu apakah penyakit, pegangan & agama sesuatu tempat itu.
Apakah jenis kesyirikan yang mereka pegang untuk mudah kita tanganinya.
Ini untuk memudahkan kita berinteraksi dengan mereka dan menjalankan tugas dakwah!
- Ayat 163- {… semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;…}-
Allah kata ingat ketika mereka bani Israil dilarang daripada menangkap ikan pada hari Sabtu.
Allah SWT melarang mereka daripada menangkap ikan pada hari Sabtu sebagai suatu hukuman dan ujian buat mereka.
Namun, pada hari Sabtu, jumlah ikan yang timbul di tepi pantai sangat banyak, sedangkan pada hari lain tiada ikan begitu.
Ini membuatkan mereka tidak berjaya menahan sabar untuk menghadapi ujian tersebut.
Lalu sebagai satu kaum yang licik dan degil; mereka telah melakukan helah dengan menggali lubang & membuat laluan pada hari Jumaat untuk ikan masuk, kemudian menghalang dan menahan ikan-ikan itu hingga hari Sabtu tersebut berakhir.
Kemudian mereka menangkapnya pada keesokan harinya iaitu Ahad.
Jadi mereka tak tangkapnya pada hari Sabtu, hanya buat helah untuk perangkap ikan sebelumnya.
Kita lihat sama juga bahayanya helah yang dibuat oleh sebahagian ahli feqah untuk mengharus & menghalalkan beberapa perkara yang Allah haramkan pada asalnya.
Kata ulama’ : Antaranya helah seperti cina buta atau nikah tahlil/muhallil, kahwin dengan janji untuk bercerai.
Nikah tahlil/muhallil atau cina buta adalah pernikahan bersama suami baru yang bertujuan untuk menghalalkan bekas isteri yang ditalak tiga oleh bekas suami dengan syarat dan peraturan yang telah dipersetujui.
Perkahwinan baru itu telah ditentukan waktu atau kontrak, setelah tamat waktu maka suami perlu menceraikkan isterinya.
Mengikut jumhur ulama’ : Nikah ini tidak sah dan ia merupakan nikah fasid atau nikah batil.
Bahkan, Nabi SAW melaknat pernikahan ini dengan sabdanya:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُحِلَّ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan. (HR at-Tirmizi, No. 1120)
Serta banyak lagi helah yang dibuat oleh sebahagian manusia untuk menghalalkan yang haram atas nama panel-panel Syari’ah dan seumpamanya.
Seperti zaman sekarang seolah tiada lagi riba kerana telah dimodified ditukar nama & difatwakan halal atas dasar maslahah.
Amat bahaya bahaya sekali helah ini & jangan dipandang ringan kerana Allah telah menjadikan monyet mereka yang membuat helah untuk langgar apa yang Allah telah larang & haramkan!
Wal ‘iyazu billah!
- Ayat 163- {… Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.}-
Allah kata Dia menguji mereka. Ujian yang Allah datangkan adalah mengikut kategori & keadaan manusia itu.
Kita kena ingat ujian itu tidak sama ke atas setiap orang, mereka ini kerana tinggal di tepi laut dan pekerjaan utama mereka ialah menangkap ikan maka Allah uji mereka dengan ikan yang banyak tetapi dilarang dari menangkapnya!
Orang yang di atas bukit mungkin kain ujiannya!
Kita minta Allah selamatkan kita daripada ditimpa ujian yang kita tidak tahan & tidak sanggup untuk hadapinya!
Ada orang yang diuji dengan harta, ada dengan pangkat kedudukan, dengan kemasyhuran, pengikut dan pelbagai jenis ujian lagi!
Zaman sekarang ini ada ujian dalam bentuk selebriti, influencer yang masyhur dan ramai pengikut sehingga mereka lupa diri & takabbur.
Setiap ujian Allah itu tidak sama; ada ujian berupa kesenangan, berupa kesusahan dan pelbagai ujian.
Puak Ashabus-Sabt ini Allah uji dengan ikan-ikan pun boleh bawa binasa juga.
- Ayat 165- {Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).}-
Allah kata apabila mereka tidak dengar teguran & nasihat yang diberikan maka Allah akan turunkan bala-Nya.
Apabila bala Allah turun maka:
i- Allah akan selamatkan orang yang menegur, nahi mungkar.
ii- Orang yang ingkar langgar perintah akan dibinasakan.
Ibnu Kathir RHM membahagikan manusia ini kepada 3 kategori:
i- Yang membuat maksiat & mungkar, inilah yang akan ditimpa azab.
ii- Yang menegur & menasihati jika lihat kemungkaran, inilah yang selamat.
iii- Yang diam, play safe, tak berani nak tegur walaupun tahu perkara itu salah & mungkar, berlaku di depan mata.
Bahkan mereka marah pula kepada orang yang menegur. Ini adalah orang yang lemah dan dayus.
Inilah bahayanya apabila perkara mungkar yang tidak ikut perintah Allah menjadi satu kebiasaan yang dinormalisasikan dalam masyarakat.
Contoh seperti perempuan yang tidak menutup aurat, para ustaz pula yang tidak malu dan segan untuk berprogram bersama mereka, sepatutnya tegur atau elakkan dari bersama di atas satu pentas jika tak mampu atau lemah nak tegur mereka itu.
Ini tidak, seolah tidak ada apa, ustaz berjubah atau berkopiah berprogram bersama, seolah sesuatu yang normal saja seorang perempuan Islam itu tidak menutup auratnya!
Bahkan apabila mereka itu ditegur orang yang ditegur pula di-unfriendkan!
Allahu al-Musta’an.
Begitu juga pada hari raya melihat anak-anak orang Islam (bahkan orang tua juga) bergalak berjoget menyanyi pada hari yang mulia yang Allah jadikan perayaan untuk orang Islam, kenapa tak boleh kita nak tegur?
Apabila menegur orang yang menegur pula kena komen dan kondem, sikit-sikit tegur, tegur sikit-skit sudahlah!
Itulah golongan yang paling pelik, bukan marah & tegur orang yang buat mungkar dan maksiat tetapi marah & komen kepada orang yang menegur perbuatan maksiat itu!
Kepada orang yang buat maksiat mereka hanya diam tak berani tegur!
Mereka ini kerana mereka diam maka Allah tidak pedulikan mereka, mungkin selamat atas dunia tetapi Allah akan jadikan mereka dilupakan begitu saja atas dunia ini, tidak dikenali orang, tiada sumbangan & penghargaan.
Apabila perbuatan tidak elok itu dibuat secara publik, tidak menjadi kesalahan untuk kita menegur dan menasihatinya secara publik juga agar masyarakat & orang ramai tahu ia adalah perbuatan yang salah & tidak elok!
Mereka yang lantang & berani menegur semoga Allah akan rahmati & berkati mereka dunia Akhirat.
- Ayat 166- {Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.}-
Allah tukar mereka menjadi kera (monyet).
Kenapa Allah tukar mereka menjadi monyet ini?
Oleh kerana mereka telah menukar perjalanan agama Allah, yang haram jadi halal, dengan helah dan pelbagai alasan atas nama panel atas nama itu ini, maka Allah tukar rupa mereka!
Begitulah hukuman ke atas ummat terdahulu, Allah turunkan azab secara direct, cash atas dunia lagi.
Berlaku juga persoalan di kalangan ulama’ : Apakah di kalangan umat Nabi Muhammad SAW akan ada yang bertukar rupa sebegini???
Ada dalam hadis, Nabi SAW kata akan ada di kalangan umatnya yang menghalalkan arak & nyanyian muzik, akhirnya Allah akan tukar rupa mereka.
Ulama’ kata : Tidak akan berlaku pertukaran ini secara fizikal yang nyata kerana Nabi SAW adalah rahmatan lil-alamin.
Tetapi walaupun mereka tidak akan bertukar secara fizikal, berubah bentuk wajah & badannnya, tetapi boleh jadi dengan perangai & sifat seperti binatang!!
Contoh, lihat saja mereka yang terkinja-kinja dalam konsert muzik atau kelab hiburan, penyanyi atau penontonnya, melompat-lompat menari seperti monyet, pakaian pun seperti telanjang, bercampur bebas lelaki perempuan, tiada malu & segan silu seperti haiwan!!
Maka jangan sesekali kita cuba menormalisasikan sesuatu perkara yang mungkar!
Semoga Allah SWT teguhkan pendirian kita mengikut perjalan al-Quran, Sunnah Nabi SAW dan perjalanan ulama’ yang soleh agar kita selamat di dunia & Akhirat!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
Wallahu A’lam.