Surah Al-Anbiya\’ : Ayat 51-70

\"\"

KISAH 2 NABI IBRAHIM, DIALOG DENGAN BAPANYA TENTANG BERHALA, IBRAHIM PECAHKAN BERHALA & OBRAHIM DIJATUHKAN HUKUMAN BAKAR.


Full video: https://youtu.be/W_YybMdEDyE

MUQADDIMAH :

1. Pada siri ini kita akan masuk kepada kisah yang kedua iaitu tentang Nabi Ibrahim a.s, pertama tentang dialog dan dakwahnya kepada bapa dan kaumnya.

AYAT 51- {(DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MEMBERI KEPADA NABI IBRAHIM SEBELUM ITU JALAN YANG BENAR DALAM BERTAUHID, DAN KAMI ADALAH MENGETAHUI AKAN HALNYA.} (AL-ANBIYAA\’ 21:51)
1. Iaitu kisah Ibrahim a.s sebelum itu, yakni sebelum Musa dan Harun a.s atau sebelum dia mula berdakwah kepada kaumnya.
2. Allah s.w.t telah menjaganya dari kecil dan memberi petunjuk Tauhid kepadanya, lalu dipilih menjadi nabi dan rasul.

AYAT 52- {(KETIKA IA BERKATA KEPADA BAPANYA DAN KAUMNYA: \”APAKAH HAKIKATNYA PATUNG-PATUNG INI YANG KAMU BERSUNGGUH-SUNGGUH MEMUJANYA?\” (AL-ANBIYAA\’ 21:52)
1. Ibrahim berdakwah kepada bapa dan kaumnya dengan berdialog guna logik akal. Bertanya tentang hakikat patung-patung yang disembah itu.

AYAT 53- {(MEREKA MENJAWAB: \”KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI SELALU MENYEMBAHNYA\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:53)
1. Kaumnya menjawab dengan hujjah yang menjadi alasan turun temurun bagi orang yang sesat, jangan pertikai amalan orang tua-tua, amalan sebati dengan masyarakat dan lain-lain, maka kita ikut sajalah.
2. Kita jangan jadi seperti mereka, mungkin orang tua-tua telah tersilap pada awalnya, maka kita perbetulkan di akhirnya sebelum terlambat.

AYAT 54- {(IA BERKATA: \”SESUNGGUHNYA KAMU DAN DATUK-NENEK KAMU ADALAH DALAM KESESATAN YANG NYATA\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:54)
1. Ibrahim bagi kata putus; maka jika kita begitu kamu dan semua datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata.

AYAT 55- {(MEREKA BERTANYA: \”ADAKAH ENGKAU MEMBAWA KEPADA KAMI SESUATU YANG BENAR (SEBAGAI SEORANG RASUL), ATAU ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BERMAIN-MAIN SAHAJA?\”} (AL-ANBIYAA\’ 21:55)
1. Kaumnya membalasa balik dengan bertanya adakah Ibrahim benar-benar serius membawa sesuatu yang lain, yang disangkanya benar atau hanya bermain-main sahaja?
2. Nabi Ibrahim a.s adalah dikenali sebagai bapa anbiya’, yang membawa tauhid dan berdakwah kepada kaum keluarganya dulu, jadi Ibrahim membawa pendekatan yang lembut.
3. Dakwah Nabi Musa a.s agak agresuf dan kuat kerana dia perlu melawan Firaun seorang raja dan pemerintah yang zalim.
4. Manakala Nabi Muhammad s.a.w berhadapan dengan kedua-dua keadaan ini, kaum kerabatnya serta kaumnya

AYAT 56- {(IA MENJAWAB: \”(BUKAN BERMAIN-MAIN) BAHKAN (UNTUK MENEGASKAN BAHAWA) TUHAN KAMU IALAH TUHAN YANG MENTADBIRKAN LANGIT DAN BUMI, DIA LAH YANG MENCIPTANYA; DAN AKU ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG BOLEH MEMBERI KETERANGAN MENGESAHKAN YANG DEMIKIAN ITU.} (AL-ANBIYAA\’ 21:56)
1. Ibrahim menjawab dengan yakin bahawa dia bukan main-main, dengan jelas untuk menegakkan agama Tauhid bahawa Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya.
2. Ibrahim menegaskan lagi bahawa adalah orang yang menyaksikan dan mengesahkan yang demikian itu.

AYAT 57- {(\”DAN DEMI ALLAH, AKU AKAN JALANKAN RANCANGAN TERHADAP BERHALA-BERHALA KAMU, SESUDAH KAMU PERGI MENINGGALKAN (RUMAH BERHALA INI)\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:57)
1. Selepas tidak berjaya berdakwah secara baik dan lembut, secara dialog dan mulut maka Ibrahim terpaksa menukar uslub dakwahnya sekarang.
2. Dia membuat rancangan untuk memusnahkan berhala mereka, apabila kaumnya keluar ke satu pesta dan meninggalkan kawasan itu. Untuk menunjukkan kepada mereka bahawa berhala-berhala itu tidak berkuasa lansung.
3. Peringkat dakwah apabila melihat kemungkaran:
i- ingkar dengan hati, ii- dengan lidah. Iii- dengan tangan.
Ibrahim telah lakukan semua ini peringkat demi peringkat.

AYAT 58- {(LALU IA MEMECAHKAN SEMUANYA BERKETUL-KETUL, KECUALI SEBUAH BERHALA MEREKA YANG BESAR (DIBIARKANNYA), SUPAYA MEREKA KEMBALI KEPADANYA.} (AL-ANBIYAA\’ 21:58)
1. Lalu pada hari itu nabi Ibrahim memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar, dibiarkannya selamat. Tafsir al-Munir mengatakan terdapat 70 ketul berhala semuanya.
2. Maksud ayat: {..supaya mereka kembali kepadanya}, siapa nya itu?
i- Yakni supaya mereka datang bertanya kepada berhala besar itu tentang apa yang telah berlaku. Pada saat itu akan ternyata kebodohan mereka menyembahnya, kerana berhala itu bukan sahaja tidak dapat memberikan sebarang pertolongan tetapi juga tidak dapat menjawab pertanyaan mereka.
ii- Mudah-mudahan mereka kaumnya akan kembali berjumpa semula dengan Ibrahim untuk berdebat. Ibrahim a.s bersedia untuk berdakwah lagi kepada mereka.

AYAT 59- {( (SETELAH MELIHAT KEJADIAN ITU) MEREKA BERTANYA: \”SIAPAKAH YANG MELAKUKAN PERBUATAN YANG DEMIKIAN TERHADAP TUHAN-TUHAN KAMI? SESUNGGUHNYA ADALAH IA DARI ORANG-ORANG YANG ZALIM\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:59)
1. Apabila mereka kembali dan melihat apa yang berlaku, mereka amat terkejut dan marah!!!
2. Siapakah orang yang zalim melakukan ini? Kelam-kabut dan bising mereka.

AYAT 60- {( (SETENGAH DARI) MEREKA BERKATA: \”KAMI ADA MENDENGAR SEORANG ANAK MUDA BERNAMA IBRAHIM, MENCACINYA\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:60)
1. Mereka terus mengesyaki Ibrahim berdasarkan perbuatannya sebelum ini yang suka mencaci dan mengutuk berhala mereka itu. Ada dalil (qarinah) yang boleh disyaki.

AYAT 61- { (KETUA-KETUA) MEREKA BERKATA: \”JIKA DEMIKIAN, BAWALAH DIA DI HADAPAN ORANG RAMAI SUPAYA MEREKA MENYAKSIKAN (TINDAKAN MENGENAINYA).} (AL-ANBIYAA\’ 21:61)
1. Lalu ketua mereka memerintahkan agar Ibrahim ditangkap dan dibawa ke hadapan orang ramai untuk dihukum. Supaya mereka dapat mengambil pengajaran.

BEBERAPA PENGAJARAN DARI AYAT 50-62 INI :

1. Hujjah bahawa yang batil ini tidak akan menjadi benar dengan ramainya pengikut. Yakni golongan yang ramai tak semestinya golongan yang benar.
2. Ibrahim menunjukkan kecerdikan akalnya dengan berhujjah tentang kelemahan berhala mereka itu dan salah perbuatan itu.
3. Tidak boleh kita buat amal ibadat dan dalam agama ikut2 apa yang orang terdahulu buat.
4. Jika kita mahu membesarkan sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t, kena hadkan atau sandarkannya kepada persekitarannya. Uslub penjagaan bahasa supaya tidak menjadi seolah syirik. Dalam kes Ibrahim dia kata (berhala) yang besar – di antara mereka. Contoh juga apabila Rasulullah s.a.w mengutus surat kepada pemimpin dan raja-raja yang masih kafir, Baginda menulisnya; kepada pembesar yang mulia Rom atau Yahudi atau Parsi– yakni di kalangan kaumnya. Kena ada had,atau sandaran bukan terbuka begitu sahaja.

AYAT 62- {(SETELAH IA DIBAWA KE SITU) MEREKA BERTANYA: \”ENGKAUKAH YANG MELAKUKAN DEMIKIAN KEPADA TUHAN-TUHAN KAMI, HAI IBRAHIM?\”} (AL-ANBIYAA\’ 21:62)
1. Mereka lalu menyoal Ibrahim apakah dia yang melakukan semua itu?

AYAT 63- {IA MENJAWAB: \”(TIDAK) BAHKAN YANG MELAKUKANNYA IALAH (BERHALA) YANG BESAR DI ANTARA MEREKA INI! MAKA BERTANYALAH KAMU KEPADA MEREKA KALAU-KALAU MEREKA DAPAT BERKATA-KATA\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:63)
1. Ibrahim tidak gelabah dan takut. Bahkan membawa keraguan, permainan psikologi kepada mereka dengan mengatakan mungkin berhala yang besar itu melakukannnya. Tanyalah berhala itu jika dia dapat bercakap.
2. Hadis Rasulullah s.a.w: Nabi Ibrahim a.s ini tidak berbohong kecuali tiga kali, dua kali untuk menjaga agama dan kemulian Allah s.w.t, sekali untuk keluarganya.
i- bila di ajak untuk ke pesta dia kata sakit dan tidak dapat pergi. [As-Saafat: 89].
ii- Tidak mengaku memecahkan berhala itu, bahkan mengatakan berhala yang besar itu buat. [Al-Anbiya’: 63].
iii- kali ke3 apabila Ibrahim masuk ke Mesir dengan isterinya Sarah, penguasanya pada masa itu seorang yang jahat, jika perempuan yang disukainya akan diambil. Lalu Ibrahim mengatakan Sarah adalah adik beradiknya (maksudnya dalam Islam) sebagai cara untuk menyelamatkan nyawa mereka berdua.
3. Sebenarnya bukan penipuan atau pembohongan, tetapi satu tauriyah (dusta atau helah yang dibolehkan dalam keadaan darurat) untuk menyelamatkn diri dan menyedarkan kaumnya.

AYAT 64- {MAKA MEREKA (PENYEMBAH BERHALA) KEMBALI KEPADA DIRI MEREKA (MEMIKIRKAN HAL ITU) LALU BERKATA (SESAMA SENDIRI): \”SESUNGGUHNYA KAMULAH SENDIRI ORANG-ORANG YANG ZALIM\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:64)
1. Apabila dicuit oleh Ibrahim ini, mereka kembali kepada diri mereka yakni memikirkan bahawa berhala itu memang lemah dan tidak dapat bercakap pun.
2. lalu berkata (sesama sendiri): \”Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim\”. Yakni tidak betul menyembah sesuatu yang tidak sepatutnya.

AYAT 65- {KEMUDIAN MEREKA TERBALIK FIKIRANNYA KEPADA KESESATAN, LALU BERKATA: \”SESUNGGUHNYA ENGKAU (HAI IBRAHIM), TELAH SEDIA MENGETAHUI BAHAWA BERHALA-BERHALA ITU TIDAK DAPAT BERKATA-KATA (MAKA BETAPA ENGKAU MENYURUH KAMI BERTANYA KEPADANYA)?\”} (AL-ANBIYAA\’ 21:65)
1. Tetapi kesedaran dan keinsafan ini tidak lama. Mereka kembali ke dalam kesesatan dan bersoal balik dengan Ibrahim.

AYAT 66- {NABI IBRAHIM BERKATA: \”JIKA DEMIKIAN, PATUTKAH KAMU MENYEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH SESUATU YANG TIDAK DAPAT MENDATANGKAN FAEDAH SEDIKITPUN KEPADA KAMU, DAN JUGA TIDAK DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA KAMU? (AL-ANBIYAA\’ 21:66)
1. Ibrahim terus berhujjah dan berdakwah, jika sudah tahu kenapa masih menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?

AYAT 67- {\”JIJIK PERASAANKU TERHADAP KAMU DAN APA YANG KAMU SEMBAH SELAIN ALLAH! MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU MENGGUNAKAN AKAL FIKIRAN KAMU?\”} (AL-ANBIYAA\’ 21:67)
1. Ibrahim sudah tidak dapat bersabar lagi lalu melahirkan perasaan jijiknya terhadap perbuatan kufur dan bodoh mereka yang tidak menggunakan akal itu.

AYAT 68- {(SETELAH TIDAK DAPAT BERHUJAH LAGI, KETUA-KETUA) MEREKA BERKATA: \”BAKARLAH DIA DAN BELALAH TUHAN-TUHAN KAMU, JIKA BETUL KAMU MAHU BERTINDAK MEMBELANYA!\”} (AL-ANBIYAA\’ 21:68)
1. Begitula mereka yang zalim dan berkuasa, bila sudah kehabisan dan kalah dalam hujjah mereka akan guna kuasa.
2. Mula-mula guna hujjah, bila kalah guna akta, maka mereka buat keputusan untuk membakar nabi Ibrahim sebagai membela tuhan mereka.
3. Kaum nabi Ibrahim adalah penduduk Babylon, negara Iraq sekarang ini dan pemerintah mereka adalah Raja Namrud.

AYAT 69- {KAMI BERFIRMAN: \”HAI API, JADILAH ENGKAU SEJUK SERTA SELAMAT SEJAHTERA KEPADA IBRAHIM! \”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:69)
1. Mereka ini pun membuat sebuah unggun api yang besar lalu mahu membakar Ibrahim hidup-hidup dengan mencampaknya ke dalam api yang menjulang-julang itu.
2. Lalu Allah s.w.t berfirman kepada api supaya sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim. Inilah mukjizat nabi Ibrahim, api bukan hanya sejuk tetapi selamat, jika tidak mati beku pula!!
3. Ibnu Abbas r.a berkata; Jika ada apa-apa masalah ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan nabi Ibrahim ketika mahu dicampakkan ke dalam api:
: “,حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ
\”Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.\” Rasulullah s.a.w juga mengucapkan ini apabila dibertahu tentang kedatangan tentera kafir yang besar mahu datang menyerang Madinah. [Riwayat al-Bukhari].
4. Riwayat dari Ummu Syarik: “Sesungguhnya Nabi S.A.W menyuruh kami membunuh cicak”. Dan Baginda bersabda “Sesungguhnya cicak itu meniup (menyemarakkan) api yang membakar Ibrahim AS” (Sahih al-Bukhari, no.3359)
5. Yakni cicak ini pergi juga untuk menyokong perbuatan Namrud, walaupun tiupannya tidak memberi apa-apa kesanpun. Kena ingat sebarang bentuk kezaliman jika kita menyokongnya akan mendapat balasan dosa yang sama.
6. Seperti suasana pada hari ini ini, tunjukkan solidariti dan sokongan kita kepada Palestin serta tunjukkan kebencian dan boikot kepada Israel dan sekutunya.

AYAT 70- {DAN MEREKA (DENGAN PERBUATAN MEMBAKARNYA ITU) HENDAK MELAKUKAN ANGKARA YANG MENYAKITINYA, LALU KAMI JADIKAN MEREKA ORANG-ORANG YANG AMAT RUGI, (KALAH DENGAN HINANYA).} (AL-ANBIYAA\’ 21:70)
1. Mereka membakar nabi Ibrahim untuk menyakitinya, tetapi sebaliknya yang berlaku.
2. Ibrahim selamat dan menang, mereka pula menjadi orang yang amat rugi, iaitu kalah dan terhina.
3. Tamatlah kisah Ibrahim dalam episod berdakwah kepada kaumnya sehingga dia dijatuhkan hukuman bakar.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs