SURAH AL-ANBIYA\’ : AYAT 19-29

\"\"

KEKUASAAN DAN WAHDANIYAH ALLAH, KETAATAN PARA MALAIKAT & CELAAN KEPADA KAUM MUSYRIKIN

Full video: https://youtu.be/Cvk5HdnHer0

MUQADDIMAH :

1. Dalam ayat-ayat lepas Allah s.w.t telah menegaskan bahawa setiap ciptaan-Nya ada mempunyai matlamat dan tujuan, bukan main-main atau sekadar suka-suka.
2. Allah s.w.t juga sekali-kali tidak berhajat kepada makhluk bahkan merekalah yang amat berhajat kepada-Nya.
3. Allah s.w.t itu mempunyai kuasa yang penuh dan sempurna. Lalu dibawa ayat yang berikut sebagai hujjah seterusnya.

AYAT 19- {DAN (INGATLAH) SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI ADALAH MILIK KEPUNYAAN ALLAH JUA; DAN MALAIKAT-MALAIKAT YANG ADA DI SISINYA TIDAK MEMBESARKAN DIRI DAN TIDAK ENGGAN DARIPADA BERIBADAT KEPADANYA, DAN TIDAK PULA MEREKA MERASA PENAT DAN LETIH.} (AL-ANBIYAA\’ 21:19)
1. Allah s.w.t memberi peringatan sekali lagi bahawa semua yang dilangit dan di bumi, serta antara keduanya adalah milik Allah s.w.t.
2. Segalanya adalah makhluk, hamba-hamba Allah s.w.t yang Maha Berkuasa
3. Antara sifat malaikat-malaikat yang berada di sisi Allah s.w.t:
i- tidak sombong
ii- sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t mengikut tugas masing-masing.
iii- mereka juga tidak penat dan letih menunaikan segala tugas dan bertanggung-jawab ini.
iv- Sekali-kali tidak derhaka kepada Allah s.w.t dan melakukan apa yang diperintahkan.
v- Mereka adalah makhluk yang lain daripada kita manusia. mereka tidak makan, tidak minum, tidak berkahwin dan seumpamanya.

AYAT 20- {MEREKA BERIBADAT MALAM DAN SIANG, DENGAN TIDAK BERHENTI-HENTI.} (AL-ANBIYAA\’ 21:20)
1. Lagi sifat malaikat tidak berhenti-henti beribadat dan berzikir kepada Allah s.w.t. sepanjang siang dan malam.
2. Mereka sentiasa bertasbih mensucikan Allah s.w.t tanpa henti, seolah kita manusia ini bernafas.

AYAT 21- {ADAKAH BENDA-BENDA DARI BUMI YANG MEREKA JADIKAN TUHAN-TUHAN ITU, DAPAT MENGHIDUPKAN SEMULA SESUATU YANG MATI?} (AL-ANBIYAA\’ 21:21)
1. Tetapi disebalik semua itu masih ada manusia yang menjadikan benda lain sebagai sembahan.
2. Sedangkan semua berhala dan sembahan itu sekali-kali tidak berkuasa dan tidak dapat memberi apa-apa manfaat dan mudharat, apatah lagi untuk menghidupkan yang telah mati.
3. Ini adalah ciri-ciri untuk berkuasa jika tidak, tidak patut sekali dijadikan sembahan.
4. Antara perkara ajaib juga, ada orang pergi ke kubur minta orang mati itu doakan atau kabulkan doanya, Allahu al-Musta’an! Sepatutnya kita yang hidup ini medoakan kepada si mati!!!!

AYAT 22- {KALAU ADA DI LANGIT DAN DI BUMI TUHAN-TUHAN YANG LAIN DARI ALLAH, NESCAYA ROSAKLAH PENTADBIRAN KEDUA-DUANYA. MAKA (BERTAUHIDLAH KAMU KEPADA ALLAH DENGAN MENEGASKAN): MAHA SUCI ALLAH, TUHAN YANG MEMPUNYAI ARASY, DARI APA YANG MEREKA SIFATKAN.} (AL-ANBIYAA\’ 21:22)
1. Jika ada tuhan-tuhan lain selain dari Allah, yakni ada tuhan di langit serta tuhan lain pula di bumi, maka mereka akan bertelingkah maka akan rosaklah segala pentadbiran.
2. Maka berpeganglah dengan Tauhid Mengesakan Allah s.w.t, serta Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
3. Seorang ulama\’ Fakharuddin ar-Razi dalam tafsirnya, dalam menterjemahkan ayat ini membawa 22 dalil (14 ‘aqli dan 8 dalil naqli- dari al-Quran) tentang Keesaan Allah s.w.t.
i- Antara dalil aqlinya: Andaian jika ada dua saja Tuhan, darat dan laut atau Tuhan langit dan bumi, pastilah mereka saling perlu memerlukan dan akan berlawan satu sama lain.
ii- Maka dalil naqlinya ialah ayat ini sendiri. Serta firman Allah s.w.t lagi:
{Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersama-Nya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.} [Al-Mu\’minuun 23:91].

AYAT 23- {IA TIDAK BOLEH DITANYA TENTANG APA YANG IA LAKUKAN, SEDANG MEREKALAH YANG AKAN DITANYA KELAK.} (AL-ANBIYAA\’ 21:23)
1. Bagi Allah s.w.t kuasa mutlak, berkuasa melakukan apa saja yang dikehendakinya, tiada siapa yang berhak mempertikai atau mempersoalkannya.
2. Kenapa? Kerana kesempurnaan hikmah dan kekuasaan dan keadilan-Nya.
3. Tetapi kita sebagai makhluk pasti akan ditanya dan dihisab atas segala perbuatan kita kelak.
4. Allah bagi nikmat ke atas kita makhluk semata-mata dengan limpah kurnia-Nya. Jika diberi bala atau ujian, itu pula dengan keadilan-Nya. Tidak boleh dipertikai sama sekali.
5. Hadis: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ، لِيَعْزِمِ المَسْأَلَةَ، فَإِنَّهُ لاَ مُكْرِهَ لَهُ
Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, Ya Allah Ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

AYAT 24- {PATUTKAH MEREKA MENYEMBAH TUHAN-TUHAN YANG LAIN DARI ALLAH? KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”BAWALAH KETERANGAN DAN BUKTI KAMU; KANDUNGAN AL-QURAN INI MENJADI PERINGATAN DAN BUKTI TAUHID UMATKU, JUGA PERINGATAN DAN BUKTI TAUHID UMAT-UMAT YANG DAHULU DARIPADAKU\”. (KAUM MUSYRIK TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG KETERANGAN) BAHKAN KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI MANA YANG BENAR DAN MANA YANG SALAH, DENGAN SEBAB ITULAH MAKA MEREKA BERPALING INGKAR.} (AL-ANBIYAA\’ 21:24)
1. Allah s.w.t bertanya: Patutkan mereka itu menyembah tuhan yang lain selain daripada Allah? Sedangkan mereka tahu ia tidak dapat memberi apa-apa manfaat dan kuasa?
2. Lalu Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyakan bahawa kitab al-Quran adalah peringatan dan bukti tauhid. Serta tidak ada beza dengan kitab-kitab terdahulu dari sudut agama iaitu Tauhid kepada Allah, cuma berbeza dari sudut Syariat.
3. Hadis: Sabda Rasulullah s.a.w:
أَنَا أَوْلَى النَّاسِ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَالْأَنْبِيَاءُ إِخْوَةٌ لِعَلَّاتٍ، أُمَّهَاتُهُمْ شَتَّى وَدِينُهُمْ وَاحِدٌ
Maksudnya: “Aku adalah orang yang paling dekat dan paling mencintai Isa bin Maryam di dunia mahupun di akhirat. Para nabi itu adalah saudara seayah walau ibu mereka berlainan, dan agama mereka adalah satu.” [HR al-Bukhari].
4. Manakala kaum musyrik itu tidak mempunyai dalil atau hujjah yang benar, bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, kerana itulah mereka berpaling ingkar.

AYAT 25- {DAN KAMI TIDAK MENGUTUS SEBELUMMU (WAHAI MUHAMMAD) SESEORANG RASUL PUN MELAINKAN KAMI WAHYUKAN KEPADANYA: \”BAHAWA SESUNGGUHNYA TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN AKU; OLEH ITU, BERIBADATLAH KAMU KEPADAKU\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:25)
1. Ayat ini adalah tentang dasar dakwah para anbiya’. Sumber ilmu para rasul dan nabi adalah melalui wahyu dari Allah s.w.t lalu mereka menyampaikannya kepada umat masing-masing.
2. Ajaran utamanya ialah mengesakan Allah s.w.t dalam ibadat, sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t.
3. An-Nahli: 36: {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): \”Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut\”.}

AYAT 26- {DAN MEREKA (YANG MUSYRIK) BERKATA: \”(ALLAH) AR-RAHMAN MEMPUNYAI ANAK\”. MAHA SUCILAH IA. BAHKAN (MEREKA YANG DIKATAKAN MENJADI ANAK ALLAH ITU) IALAH HAMBA-HAMBANYA YANG DIMULIAKAN.} (AL-ANBIYAA\’ 21:26)
1. Dakwaan kaum kafir musyrik yang mendakwa Allah mempunyai anak serta malaikat itu anak tuhan. Kaum Yahudi pula mengatakan Uzair anak tuhan, kaum nasrani pula mendakwa Isa anak Tuhan.
2. Allah s.w.t menafikan semuanya serta menyatakan mereka semua itu adalah hamba-hamba-Nya yang dimuliakan.

AYAT 27- {MEREKA TIDAK MENDAHULUI-NYA DENGAN PERKATAAN DAN MEREKA PULA MENGERJAKAN APA YANG DIPERINTAHKAN-NYA.} (AL-ANBIYAA\’ 21:27)
1. Malaikat-malaikat dan para rasul itu beradab dan tertib. Mereka tidak akan mengata atau melakukan apa yang tidak diperintah oleh Allah s.w.t.

AYAT 28- {ALLAH MENGETAHUI APA YANG DI HADAPAN MEREKA (YANG AKAN MEREKA LAKUKAN), DAN APA YANG DI BELAKANG MEREKA (YANG TELAH MEREKA LAKUKAN); DAN MEREKA TIDAK MEMOHON SYAFAAT MELAINKAN BAGI SESIAPA YANG DIREDHAI ALLAH; DAN MEREKA PULA SENTIASA CEMAS TAKUT DARIPADA DITIMPA AZAB-NYA.} (AL-ANBIYAA\’ 21:28)
1. Allah s.w.t menyebutkan lagi sifat dan tugas malaikat serta mengatakan bahawa Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang akan mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang telah mereka lakukan).
2. Yakni Allah s.w.t Maha Mengetahui segalanya, cuma dilantik malaikat sebagai pencatannya sebagai satu bukti dan dalil keadilan kepada manusia.
3. Para malaikat ini juga tidak akan memohon syafaat dan kebaikan kecuali kepada mereka yang diredhai Allah s.w.t, mereka juga sentiasa cemas takut kepada azab Allah s.w.t.

AYAT 29- {DAN (JIKA ADA) SESIAPA DI ANTARA MEREKA BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU IALAH TUHAN SELAIN DARI ALLAH\”, MAKA YANG BERKATA SEDEMIKIAN ITU, KAMI AKAN MEMBALASNYA DENGAN (AZAB) NERAKA JAHANNAM; DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS GOLONGAN YANG ZALIM.} (AL-ANBIYAA\’ 21:29)
1. Allah s.w.t juga menegaskan jika ada sesiapa saja yang mengaku tuhan selain dari Allah pasti akan dibalas dengan (azab) neraka Jahannam. Kerana mereka adalah orang yang zalim dan syirik.

PENUTUP :
1. Sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah dan yang berkuasa melainkan Allah s.w.t.
2. Milik-Nya segala apa yang ada di bumi dan langit serta di antara keduanya.
3. Malaikat itu sejenis makhluk hamba ciptaan Allah s.w.t yang taat dan patuh serta sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs