SURAH AN-NUR : AYAT 41-46

\"\"

DALIL KAUNIYYAH (UNIVERSE) KEWUJUDAN ALLAH S.W.T; MAKHLUK BERTASBIH, MENURUNKAN HUJAN, SILIH BERGANTI MALAM DAN SIANG & BERBAGAI JENIS HAIWAN MELATA ATAS BUMI.

Full video : https://youtu.be/YjP3jhleqFo

MUQADDIMAH :

  1. Siri kata hari ini akan membaca dan tadabbur ayat-ayat tentang Dalil Kauniyyah (Universe) Kewujudan Allah s.w.t.
  2. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah terangkan keadaan hati orang beriman yang terang benderang dengan keimanan dan hidayah petunjuknya; serta hati orang kafir yang berada dalam gelap dengan kekufuran dan kejahilan.
  3. Maka dalam ayat seterusnya ini dibawa dalil-dalil tanda yang membuktikan kekuasaan dan keEsaan Allah s.w.t.
  4. Dalam ayat ini dibawa 4 dalil:
    i- Semua mahkluk bertasbih. Kecuali manusia dan jin yang kufur dan ingkar.
    ii- turunnya hujan.
    iii- silih bergantinya malam dan siang.
    iv- pelbagai jenis haiwan yang melata atas muka buni ini.
  5. Dali-dalil tanda kekuaasaan Allah s.w.t itu didatangkan dalam dua jenis:
    i- Ayat manzhurah- masyhudah – yang boleh kita lihat dan saksikan dengan mata kepala dan berfikir dengan otak kita akan Allah yang Maa Berkuasa . منظوره
    ii- ayat maqru\’ah yang dibaca dalam lembaran al-Quran yang boleh kita ambil pengajaran dan iktibar. مقروءة
  6. Allah s.w.t juga buat bandingan dalam siri lepas keadaan orang kafir yang sia-sia amalannya tidak dkira seperti debu berterbangan, mereka terpedaya seperti orang dahaga yang tertipu dengan fatamorgana (aling-aling).
  7. Juga bandingan akan kaum kafir yang hanya menjadi pak turut seolah hidup dalam kegelapan yang berlapis-lapis.

AYAT 41- {TIDAKKAH ENGKAU MENGETAHUI BAHAWASANYA ALLAH (YANG MAHA ESA DAN MAHA KUASA) SENTIASA BERTASBIH KEPADANYA SEKALIAN MAKHLUK YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI SERTA BURUNG-BURUNG YANG TERBANG BERBARIS DI ANGKASA? MASING-MASING SEDIA MENGETAHUI (MENURUT KEADAAN SEMULAJADINYA) AKAN CARA MENGERJAKAN IBADATNYA KEPADA ALLAH DAN MEMUJINYA; DAN ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AN-NUUR 24:41)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bertanya kepada manusia tidakkah kamu tahu bahawa segala makhluk yang ada di langit dan di bumi, semuanya sentiasa bertasbih memuji dan mengagungkan-Nya, mensucikan Allah s.w.t dari segala kekurangan dan kelemahan.
  2. Semua sekali makhluk ini termasuk dari kalangan malaikat, manusia & jin yang beriman, haiwan seluruhnya serta burung-burung yang berterbanan, tumbuh-tumbuhan, segala benda yang berakal atau tidak, yang jumud (kaku tidak bergerak) seperti pokok batu kayu dan lain-lain.
  3. Tentang semua bertasbih ini ulama\’ tafsir Ibnu Juzair rhm. berkata ia adalah membersih dan mengagungkan Allah s.w.t.
    i- makhluk yang berakal seperti manusia akan berkata: Subhanallah dan zikir-zikir seumpamannya.
    ii- manakala bagi benda yang tidak berakal seperti haiwan, burung dan spesisnya pula majoriti ulama\’ berkata ialah adalah tasbih secara hakiki jua, mengikut cara atau suara mereka, sebagaimana yang Allah s.w.t ilhamkan kepada mereka. Kita saja yang tidak tahu dan tidak memahaminya.
    iii- ada juga ulama\’ kata tasbih itu mengakui hikmah.
  4. Kita serahkan semua ini kepada Allah s.w.t yang telah berfirman: {Dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka.} (Al-Israa\’ 17:44)
  5. Serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa juga satu tanda keajaiban dan kekuasaan Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya: {Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Mulk 67:19)
  6. Semuanya makhluk ini masing-masing sedia mengetahui menurut keadaan semulajadinya akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memuji-Nya;
  7. Allah Maha Mengetahui akan apa (cara dan bagaimana) ibadat dan maksiat yang mereka dan kita semua lakukan.

AYAT 42- {DAN BAGI ALLAH JUALAH KUASA PEMERINTAHAN LANGIT DAN BUMI DAN KEPADA ALLAH SAHAJA TEMPAT KEMBALI (SEKALIAN MAKHLUK).} (AN-NUUR 24:42)

  1. Milik Allah s.w.t segala pemerintahan dan kekuasan di langit dan bumi, maka kepada-Nya sahaja kita beriman, sembah dengan yakinnya.
  2. Ingatlah kita semua akan menemui kematian dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).
  3. Sudah bersediakah seandainya kita mati hari ini? Cukupkah sudah bekalan yang kita akan bawa ke dalam kubur nanti? Ziarahlah kubur untuk melembutkan hati dan mengingatkan kepada mati.

AYAT 43- {TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT BAHAWASANYA ALLAH MENGARAHKAN AWAN BERGERAK PERLAHAN-LAHAN, KEMUDIAN DIA MENGUMPULKAN KELOMPOK-KELOMPOKNYA, KEMUDIAN DIA MENJADIKANNYA TEBAL BERLAPIS-LAPIS? SELEPAS ITU ENGKAU MELIHAT HUJAN TURUN DARI CELAH-CELAHNYA. DAN ALLAH PULA MENURUNKAN HUJAN BATU DARI LANGIT, DARI GUNUNG-GANANG (AWAN) YANG ADA PADANYA; LALU IA MENIMPAKAN HUJAN BATU ITU KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN MENJAUHKANNYA DARI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA. SINARAN KILAT YANG TERPANCAR DARI AWAN YANG DEMIKIAN KEADAANNYA, HAMPIR-HAMPIR MENYAMBAR DAN MENGHILANGKAN PANDANGAN.} (AN-NUUR 24:43)

  1. Kemudian Allah s.w.t menunjukkan kepada kita di dalil di atas kepala kita. Yakni di langit. Lihatlah bagaimana awan itu bergerak perlahan-lahan, kemudian berkumpul kelompok-kelompoknya, yakni tebalnya berlapis-lapis. kemudian keluar titisan air hujan darinya.
  2. Firman Allah s.w.t juga: {Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;} (Ar-Ruum 30:48].
  3. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit (sebagai azab pula), dari awan yang seolah gunung-ganang; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendaki-Nya.
    Ya Allah selamatkanlah kami dari azab dan kemurkaan-Mu.

AYAT 44- {ALLAH MENUKARKAN MALAM DAN SIANG SILIH BERGANTI; SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN MENGANDUNGI PELAJARAN YANG MENDATANGKAN IKTIBAR BAGI ORANG-ORANG YANG CELIK MATA HATINYA BERFIKIR.} (AN-NUUR 24:44)

  1. Demikian juga kejadian malam dan siang yang silih berganti. Malam yang gelap meliputi siang yang cerah, kemudian bergilir lagi, ini adalah satu tanda yang amat besar.
  2. Ini adalah satu peringatan dan pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.
  3. Bermakna dengan hari yang berlalu makin bertambah usia kita, makin mendekatnya hari kematian kita. Kita akan bertukar dari muda ke tua, tidak akan sekali-kali lagi kembali muda.
  4. Jadi untuk sentiasa menjadi muda, jadilah ahli syurga, yang tidak akan bertambah usianya, kekal muda dan sebaya, kerana tiada matahari di dalam syurga maka tidak ada pertukaran siang dan malam yang menambah waktu.
  5. Bagaimana untuk jadi ahli syurga? Berfikir dan ambillah pengajaran, jadilah hamba Allah s.w.t yang beriman, taat dan bertaqwa kepada-Nya dengan mematuhi segala hukum-hakam Syariah-Nya.

AYAT 45- {DAN ALLAH MENCIPTAKAN TIAP-TIAP HAIWAN YANG BERGERAK ITU DARI AIR; MAKA SEBAHAGIAN DI ANTARA MEREKA MENJALAR ATAS PERUTNYA, DAN SEBAHAGIAN DI ANTARANYA BERJALAN DENGAN DUA KAKI, DAN SEBAHAGIAN LAGI BERJALAN DENGAN EMPAT KAKI. ALLAH MENCIPTAKAN APA SAHAJA YANG IA KEHENDAKI (SELAIN DARI YANG TERSEBUT), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AN-NUUR 24:45)

  1. Allah s.w.t menciptakan setiap makhluk yang bergerak/hidup itu dari air. Ulama\’ berpendapat ia samada:
    i- air mani iaitu tentang kejadian manusia.
    ii- memang dari air semua makhluk bukan khas untuk mani dan manusia sahaja.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al-Anbiyaa\’ 21:30).
  3. Antara jenis dan sifat haiwan yang Allah s.w.t ciptakan ialah:
    i- menjalar atas perutnya, seperti ular dan sejenisnya.
    ii- ada yang berjalan dengan dua kaki, seperti manusia, ayam, burung dan lain-lain.
    iii- sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki seperti lembu, kuda, kucing, gajah harimau dan lain-lain.
    iv- serta pelbagai jenis dan bilangan kaki yang tidak disebut, yang pastinya semuanya adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t.
  4. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki selain dari yang tersebut, ada yang kita tahu dan pasti banyak lagi yang kita tidak tahu.
  5. Ini kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

AYAT 46- {DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MENURUNKAN AYAT-AYAT YANG MENERANGKAN (HAKIKAT KEBENARAN DENGAN BERBAGAI DALIL DAN BUKTI); DAN ALLAH MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA KE JALAN YANG LURUS.} (AN-NUUR 24:46)

  1. Allah s.w.t tutup ayat hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti ini dengan mengatakan; bahawa hanya Allah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.
  2. Kita sudah belajar bahawa hidayat itu ada dua,
    i- Hidayat Isryad- membimbing kepada hidayah Allah iaitu kerja manusia, para rasul dan pendakwah semuanya. هداية الإرشاد
    ii- Hidayah taufik- manakala yang dapat memberi taufik hidayah ke dalam hati manusia hanya kuasa Allah s.w.t. semata. هداية التوفيق

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah s.w.t memberi jalan hidayah kepada kita melalui dua cara:
    i- Ayat manzhurah- masyhudah – yang boleh kita lihat dan saksikan dengan mata kepala dan berfikir dengan otak kita akan Allah yang Maha Berkuasa. منظوره/ ﻤﺸﻬﻭﺩﺓ
    ii- ayat maqru\’ah yang dibaca dalam lembaran al-Quran yang boleh kita ambil pengajaran dan iktibar. مقروءة
  2. Terdapat empat tanda kekuasan yang Allah s.w.t bawa dalam ayat-ayat ini:
    i- Semua mahkluk bertasbih. Kecuali manusia dan jin yang kufur dan ingkar.
    ii- turunnya hujan.
    iii- silih bergantinya malam dan siang.
    iv- pelbagai jenis haiwan yang melata atas muka buni ini.
  3. Jika manusia masih tidak nampak lagi akan kekuasan Allah dengan empat jenis dalil ini, maka bukan salah sesiapa lagi, bukan salah ibu mengandung tetapi tetapi salah asuhan, bukan salah nabi dan rasul serta para pendakwah lain, tapi salah diri sendiri yang tidak mahu bertadabbur dengan ayat al-Quran, berfikir mengambil pengajaran.
  4. Kepada Allah kita minta pertolongan agar termasuk dalam golongan ulul-Albab, iaitu mereka yang mempunyai pemikiran yang baik, yang sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t
  5. Sentiasalah kita berfikir dan bertadabbur bagaimana semua tanda ini menunjukkan kepada Allah s.w.t Maha Pencipta yang wajib kita beriman, taat dan minta pertolongan, wajib mengabdikan diri kepada-Nya, melalui jalan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya r.anhum.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs