SURAH LUQMAN : AYAT 12-13

\"\"

KENALI LUQMAN AL-HAKIM, KELEBIHAN SYUKUR DI ATAS SEGALA NIKMAT & AMALAN SYIRIK MERUPAKAN SUATU KEZALIMAN YANG BESAR..

Full video : https://youtu.be/a4_jTtZTQVw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah kisah yang menarik tentang seorang hamba yang bernama Luqman. Dia dikenalli sebagai Luqman al-Hakim (yang bijak dan mempunyai hikmah}.
  2. Kita akan kenali siapakah Luqman Al-Hakim yang namanya menjadi nama surah ini. Inilah uslub cerita, di mana Luqman adalah pencerita yang memberi nasihat kepada anaknya dalam isu aqidah, ibadat, akhlak, muamalat serta beberapa episod yang panjang.
  3. Dalam al-Quran ada beberapa uslub yang digunakan seperti Uslub debat antara Ibrahim dan bapanya, uslub pertanyaan dan seumpamanya.
  4. Allah s.w.t menyatakan kelebihan bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan.
  5. Serta amalan syirik adalah satu kezaliman yang amat besar ke atas diri sendiri kerana akan menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t dan mendapat azab.

AYAT 12- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMBERI KEPADA LUQMAN, HIKMAT KEBIJAKSANAAN, (SERTA KAMI PERINTAHKAN KEPADANYA): BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH (AKAN SEGALA NIKMATNYA KEPADAMU)\”. DAN SESIAPA YANG BERSYUKUR MAKA FAEDAHNYA ITU HANYALAH TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI, DAN SESIAPA YANG TIDAK BERSYUKUR (MAKA TIDAKLAH MENJADI HAL KEPADA ALLAH), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KAYA, LAGI MAHA TERPUJI.} (LUQMAN 31:12)

  1. Allah s.w.t. telah berikan hikmah kepada hamba-Nya yang mulia, Luqman. Makna hikmah, iaitu kebijaksanaan, pengetahuan tentang agama Islam, pengetahuan tentang hukum-hukum, pengetahuan terhadap kebenaran sesuai keadaan yang sebenarnya, pemahaman, ilmu, ungkapan dan mengetahui rahsia yang terkandung di dalamnya.
  2. Allah s.w.t sebut perkataan hikmah الْحِكْمَةَ ini di dalam al-Quran sebanyak 20 kali. Hikmah itu datang dari Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah.
  3. Hikmah dicampur dengan syukur. Kenapa? Kata ulama\’ kerana hikmah itu syukur, sesiapa yang bersyukur maka itulah orang yang bijak.
  4. Allah s.w.t tidak menceritakan dengan detail siapakah dia ini, dari mana dan seumpamanya.
    Kata Ibnu Kathir rhm. ini kerana yang penting adalah pengajaran yang terdapat dalam kisah dan nasihatnya.
  5. Kebanyakan ulama mengatakan bahawa Luqman adalah seorang hamba yang soleh (wali), bukan seorang nabi. Inilah pendapat jumhur ulama\’.
  6. Nasihat pertama Luqman kepada anaknya ialah: Bersyukurlah kepada Allah s.w.t, ini kerana sesiapa yang bersyukur, dia sendiri yang akan mendapat nikmatnya kembali.
    Syukur itu akan menjaga nikmat yang sedia ada dan akan menarik nikmat yang baru.
  7. Manakala sesiapa yang tidak bersyukur, tidak akan memberi apa-apa kesan kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya Allah s.w.t maha Kaya lagi amat terpuji!
  8. Syukur adalah agenda terbesar dalam hidup seorang hamba kerana ia akan meletakkan semua perkara pada tempatnya.
  9. Sebuah athar (kisah) riwayat dari Anas r.a: \”Luqman ini berada dekat (pada zaman) Nabi Daud a.s. Sedang Nabi Daud buat baju besi, Luqman datang dan ingin bertanya sesuatu, tetapi kerana dia seorang yang bijak, maka dia diam dan bersabar dulu sehinggalah Nabi Daud selesai dan memberitahu bahawa dia buat baju besi yang paling baik untuk berperang. Maka terjawablah apa yang ingin ditanya oleh Luqman. Lalu Luqman pun berkata: \”Sesungguhnya diam itu suatu hikmah kebijaksanaan\”.
  10. Cerita selingan: Ada seorang pelajar yang selalu diam tidak pernah bercakap dalam kelasnya. Pada suatu hari ustaznya mengajar bab Feqah tentang puasa, yang boleh berbuka apabila matahari jatuh! Lalu tiba-tiba pelajar ini angkat tangan mahu bertanya. Lalu ustaznya memberi peluang. Dia bertanya: Ustaz jika matahari tidak jatuh, bagaimana?
    Ustaznya menepuk kepala, sambil berkata, baiklah kamu diam seperti sebelum ini! Bila bersuara nampak sangat kebodohan dan tiada faedah soalannya.
  11. Cuma ada juga dikatakan namanya Luqmanul Hakim atau Luqman ibnu Anqa ibnu Sadun, tetapi kita tetap tidak kenal atau tahu.
    Kisah Luqman ini antara kisah yang tidak disebut detail tokohnya sebagaimana kisah Khidir dan Zulqarnain dalam surah al-Kahfi. Allah s.w.t tidak jelaskan juga, yang tepatnya wallahu a\’lam.
  12. Kisah Luqman al-Hakim banyak dinukilkan oleh sebahagian ulama\’ Tafsir tetapi kebanyakan sumbernya adalah berasal dari Israiliyyat. Untuk bcaan sendiri pula lihat Kitab QASAS AS-SABIQIN, susunan Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, hafizahullah.
  13. Yang penting kita tengok kepada apa yang dikatakan (nasihat atau maklumat), bukan kepada siapa yang mengatakannya.

AYAT 13- {DAN (INGATLAH) KETIKA LUQMAN BERKATA KEPADA ANAKNYA, SEMASA IA MEMBERI NASIHAT KEPADANYA: \”WAHAI ANAK KESAYANGANKU, JANGANLAH ENGKAU MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN), SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR\”.} (LUQMAN 31:13)

  1. Nasihat kedua Luqman kepada anaknya pula:
    Wahai anakku, sembahlah Allah s.w.t semata, jangan syirik kepada Allah dengan sesuatu apapun!
  2. Ini kerana syirik kepada Allah s.w.t adalah satu perbuatan zalim yang amat besar kepada diri sendiri, orang yang syirik tidak akan mendapat keampunan Allah s.w.t tidak seperti dosa-dosa lain.
    Pintu taubat itu dibuka kepada semua hamba-Nya selagi pintu taubat tidak tertutup, kecuali orang yang syirik.
  3. Hadis tentang ayat 82, Surah al-An\’am: {Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan} – yakni tidak mencampurkan (keimanan mereka dengan kezaliman) yakni kemusyrikan demikianlah menurut penafsiran yang tersebutkan di dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim (mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan) dari siksaan (dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.)
  4. Syirik adalah satu bahaya yang amat besar, ia boleh terjadi melalui percakapan, perbuatan dan iktikad, kena sangat berhati-hati kerana terdapat pelbagai pendapat ulama\’.
    Maka untuk mengambil jalan selamat, maka kita tinggalkan semua yang meragukan, yang khilaf kerana ia amat berisiko. Kenapa ambil jalan yang sangat bahaya jika jalan selamat ada. Maka yang baik seorang muslim berpegang dengan hadis 40. sabda Rasulullah s.a.w: \”Tinggalkan yang meragukanmu lalu ambillah yang tidak meragukanmu. (HR Tirmizi & An-Nasa\’i.)
  5. Menjelaskan kepada orang tentang batasan iman, kufur dan syirik bukan bererti kita mensyirikkan seseorang!
    Menjelaskan batas sunnah, Syari\’ah, bid\’ah dan khurafat bukan bermakna kita membid\’ahkan seseorang, INI HUKUM.
    Ini satu perkara besar yang perlu kita jelaskan kepada para Jemaah tentang bahaya syirik ini. Boleh tengok Kuliah AAM Syarah Kitab Mustika Hadis, Bab; Menjaga Iman.
  6. Ini juga menunjukkan cara kita mahu memberi nasihat kepada anak atau sesiapa saja dengan menggunakan panggilan yang mesra dan lembut, wahai anakku! يَابُنَيَّ
    Sebagai mana nabi Ibrahim ketika berdakwah, memanggil bapanya; wahai bapaku.
    Cara kita berinteraksi kena dua hala.
  7. Pesanan dan nasihat mesra kepada para asatizah pendakwah, jika hendak bercerita kena ada filter penapis, jangan suka-suka ambil cerita yang tidak sahih entah sumber dari mana. Agama kita ini ada landasan dan paksinya, bukan boleh cerita ikut logik akal sahaja. Jangan jadi ustaz Rafflesia pula.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 12- {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)\”- peringatan dari Allah s.w.t bahawa hikmah yang asli, ilmu yang hakiki ialah yang kita faham tentang Allah dan Rasul, beriman dan beribadat beramal dengan syukur.
    Manakala nikmat besar ialah bersyukur kepada Allah s.w.t, tandanya ialah dengan mengiktiraf dengan hati, mulut mengucapkannya alhamdulillah dan anggota kita merealisasikannya dengan selalu melakukan ibadat kepada Allah.
  2. Ayat 12- {Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri} – yakni syukur itu faedah dan manfaatnya untuk diri kita sendiri bukan untuk orang lain. Syukur itu akan menjaga nikmat yang sedia ada dan akan menarik nikmat yang baru, Allah akan tambahnya.
  3. Ayat 13- {Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: \”Wahai anak kesayanganku,} – mulakan percakapan kita dengan panggilan dan ayat yang lembut dan mesra sebelum memberi nasihat, teguran atau apa saja percakapan. Maka orang akan buka telinga dan masuk ke hati, insya\’ Allah.
  4. Ayat 13 juga – Luqman bercakap baik dan sentiasa memberi nasihat kepada anaknya. Galakan kepada kita untuk bersifat seperti Luqman, banyak memberi teguran, ajaran dan nasihat kepada anak-anak.
  5. Ayat 13 juga – seorang bapa itu kena sentiasa memberi nasihat dan mengambil berat tentang anaknya. Tunjukkan kecaknaan dan perhatian kita kepada mereka.
  6. Ayat 12- {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan,} – kata ulama\’ setiap orang yang dapat hikmah dan ilmu wajib bersyukur kepada Allah s.w.t. Syukur dengan hati, lidah dan anggota, dengan ketiga-tiganya.
  7. Ayat 13 juga – {Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.} – tidak bermanfaat orang yang syukur dan baik itu kepada Allah, bukan untuk Allah, Dia tidak memerlukannya lansung, bahkan taat dan syukur itu untuk diri hamba itu sendiri.
  8. Ayat 13- {Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: \”Wahai anak kesayanganku,} – dalam ayat ini Allah s.w.t puji Luqman kerana ia memberi nasihat kepada anaknya.
    Maka bagaimana dengan Nabi kita yang menyampaikan dakwah dan nasihatnya kepada semua ummat manusia? bukan hanya setakat keluarga nya, maka pastilah lebih besar dan afdhal manfaat dan ganjarannya. Sesiapa yang menanggung kesusahan menyampaikan ilmu dan dakwah maka ia akan mendapat balasan lebih daripada Luqman.
  9. Ayat 13- {janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar\”.} – ayat ini menunjukkan wajib kita tauhid, mengajar anak kita tauhid khasnya dan berdakwah masyarakat umumnya agar tauhid kepada Allah. Kerana itu kita hendak memurnikan masyarakat jauhilah diri daripada syirik jangan berani-berani langar SOP atas nama khilaf.
    Jalan yang selamat ada ada, kenapa kita mahu pilih jalan yang berliku dan bahaya?
    Wajib kita murnikan aqidah jangan cari yang bahaya bawa kepada syirik.
  10. Ayat 13- {sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar\”.} – Kenapa syirik itu dianggap zalim?
    Ulama\’ kata yang paling jelasnya ialah kerana ia menyamakan hamba/makhluk dengan Pencipta!
    Mana mungkin dapat diterima, jika sesama manusia yang tidak sama taraf pun akan marah dan terasa, jika boss disamakan dengan pekerja bawahan.
    Apatah lagi menyamakan makhluk ciptaan kepada Tuhan Pencipta segala alam ini.

SEKIAN SEMOGA ALLAH S.W.T MENJAGA AQIDAH KITA DARI TERPESONG DAN TERGELINCIR DARI JALAN YANG BENAR.

Powered by BetterDocs