Surah Al-Nahl : Ayat 91-93

\"\"

Live Pagi Sabtu 08 Rajab 1442H = 20/02/2021 Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (17) Ayat [91-93];
-Arahan agar menunaikan janji.
-Sebab terjadinya perpecahan umat.

Full Video:
https://fb.watch/3NtJZV7gTC/

Muqaddimah:
1. Kuliah sebelum ini Allah s.w.t menyuruh kita melakukan keadilan yakni menunaikan segala tanggung-jawab dan hak yang wajib.
2. Kemudian berlaku ihsan yakni melakukan kebaikan yang sunat melebihi yang wajib.
3. Juga melarang daripada melakukan tiga perbuatan buruk yang utama.
4. Serta mengutamakan kaum kerabat dulu dalam menyampaikan kebaikan.
5. Ulama\’ mengatakan terkumpul dalam ayat 90 ini, segala ajaran untuk melakukan kebaikan dan segala perintah larangan bagi meninggalkan perbuatan buruk.

*Al-Nahl 16:91. {Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.}
1- Janji itu:
a. Merangkumi semua jenis perjanjian manusia dengan Allah untuk menjauhi syirik dan melakukan ketaatan.
b. Dikatakan janji para mukmin (sumpah/ikat setia/bai\’ah) dengan Rasulullah s.a.w dulu.
c. Segala janji/sumpah kita menggunakan nama Alla.h dengan sesama makhluk.
d. Janji/sumpah ke atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu jika mendapat sesuatu hajat. Dalam feqah janji ini dipanggil nazar.
e. Janji kita secara umum dalam segala muamalat sesama insan.

2- Allah s.w.t mengingatkan agar jangan sewenang-wenang membatal, mencabul/ mengkhianati janji atau sumpah, samada bersumpah dengan nama Allah atau tidak. Terutamanya jika janji yang telah digunakan nama Allah s.w.t sebagai penjaminnya itu.

3- Contoh, kisah Nabi Musa a.s dengan bapa mertuanya di Madyan:
Musa menjawab: \”Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu\”. (Al-Qasas 28:28)

4- Amaran: Jagalah janji itu kerana sesungguhnya Allah mengetahui setiap apa yang kamu lakukan.

KISAH ORANG YANG BERHUTANG SERIBU DINAR:
Imam Bukhari meriwayatkan dalam Sahih-nya dari Abu Hurairah dari Rasulullah s.a.w bahawa beliau menyebutkan seorang lelaki dari kalangan Bani Israil yang berhutang seribu dinar kepada lelaki lain yang juga dari Bani Israil. Pemilik wang berkata, \”Datangkan saksi-saksi kepadaku.\”
Lelaki itu menjawab, \”Cukuplah Allah sebagai Saksi.\” Pemilik wang berkata, \”Datangkanlah seorang penjamin.\” Lelaki itu berkata, \”Cukuplah Allah sebagai Penjamin.\” Pemilik wang berkata, \”Kamu benar.\” Lalu pemilik wang memberikan kepadanya untuk jangka waktu tertentu.
Penghutang inipun pulang. Setelah tiba waktu yang disepakati untuk membayar, dia mencari perahu untuk menyeberang ke tempat si pemberi hutang. Dia tidak mendapatkan perahu, maka dia mengambil sebatang kayu dan melubanginya. Dia memasukkan seribu dinar ke dalamnya dan sepucuk surat kepada temannya, kemudian dia menghanyutkannya ke laut. Dia berkata, \”Ya Allah sungguh Engkau mengetahui bahawa aku berhutang kepada fulan seribu dinar. Dia meminta seorang penjamin kepadaku, lalu aku menjawabnya, \’Cukuplah Allah sebagai Penjamin.\’ Dia rela dengan-Mu. Dia meminta seorang saksi kepadaku, maka aku menjawabnya, \’Cukuplah Allah sebagai Saksi.\’ Lalu dia rela dengan-Mu. Dan aku telah berusaha menemukan perahu, tetapi tidak menemukannya.
Dan sekarang aku menitipkannya kepada-Mu.\” dia melemparkannya ke laut kemudian kembali ke rumahnya.
Sementara si pemberi hutang keluar melihat-lihat, menunggu wangnya dikembalikan akan tetapi tidak menjumpai temannya tersebut. Malah menemukan kayu yang diambilnya sebagai kayu bakar untuk keluarganya.
Lalu dia menggergaji kayu itu, dia menemui wang dan sepucuk surat.
Suatu hari, lelaki yang berhutang itu datang dengan membawa seribu dinar. Dia berkata kepada pemilik wang, \”Aku telah berusaha mencari perahu untuk membawa wangmu, tetapi aku tidak menemukannya.\” Pemilik wang bertanya, \”Apakah kamu mengirim sesuatu kepadaku?\” Dia menjawab, \”Aku katakan kepadamu bahawa aku tidak mendapatkan perahu sebelum aku datang saat ini.\” Pemilik wang berkata, \”Sesungguhnya Allah telah menunaikannya untukmu dengan apa yang kamu kirim di kayu itu. Sekarang, ambillah seribu dinarmu ini.\”

*(Al-Nahl 16:92)- {Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.}
Penjelasan an-Nahli-ayat 92.
1- Allah mengingatkan sekali lagi agar jangan membatalkan janji dan sumpah kamu sebagaimana seorang perempuan yang telah memerombak semula satu persatu tali yang telah dipintalnya dengan kukuh. (Yakni kerja sia-sia dan
2. Kisah ini diambil sempena seorang perempuan yang Bernama Ritthoh di Ja’ranah, Makkah yang pandai memintal tali dan kerjanya pagi-pagi memintal tali kemudian merungkainya semula.
3. Juga peringatan tentang puak Arab yang mengkhianati janji mereka dengan Nabi s.a.w apabila mendapati tidak ramai penyokong Baginda s.a.w. Berani khianati janji apabila puak mereka lebih ramai.
4. Semua ini semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia. Maka janji hanyalah permainan dan olok-olok.
5. Allah s.w.t mengatakan semua ini (tukar-tukar janji) untuk menguji keimanan kaum muslimin, samada teguh berpegang padanya.
6. Semua perselisihan atas dunia ini akan diperjelasakan di akhirat nanti. Maka kembalilah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w.

*Al-Nahl 16:93 {Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.}
Semuanya di bawah kuasa dan kehendak Allah s.w.t:
1. Untuk memberi petunjuk dan menyesatkan sesiapa sahaja.
2. Jika Allah mahu Dia boleh jadikan semua manusia itu beriman dalam agama yang
Satu. Tetapi manusia itu tetap akan berikhilaf.
(Hud: 118 -Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.}
3. Tetapi Allah s.w.t memberi manusia kuasa memilih, maka yang baik akan mendapat balasan baik, yang jahat akan mendapat balasan buruk.

Kesimpulan:
1, Allah s.w.t ajar agar jaga perjanjian. Jangan khianati janji walaupun dengan sesiapa saja.
2. Jangan mudah-mudah menggunakan nama Allah samada dalam bersumpah atau perjanjian.
3. Jangan jadikan nama Allah sebagai permaianan sesiapa saja kita, ahli perniagaan, ahli politik atau apa saja.

Wallahu a’lam.
#UAM Catatan Kuliah Subuh. Sabtu, 20 Feb 2021.

Powered by BetterDocs