Surah Al-Baqarah : Ayat 164-167

BEBERAPA NIKMAT ALLAH YANG BESAR, ADA MANUSIA CINTAI MAKHLUK LEBIH DARI ALLAH & KETUA DAN PENGIKUT BERKELAHI.

Full video : https://youtu.be/DhOuHTcJgYY?si=vCg8evJLa3OY1Rqv

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 164 sehingga ayat 167 bagi surah Al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan beberapa nikmat Allah yang besar, seperti penciptaan langit & bumi, pertukaran siang & malam dan lain-lain.
    Ada 9 nikmat yang Allah sebut dalam ayat ini untuk kita renungkan.
  3. Kemudian Allah mencela bahawa ada manusia yang mencintai makhluk lain lebih daripada cintakan Allah Azza wa Jalla. Sepatutnya kita cintakan Allah, kemudian makhluk lain hanya tabi’ (ikut) iaitu kita cintakan orang yang cintakan Allah juga!
  4. Allah juga ceritakan tentang perbalahan antara ketua dan pengikut, mereka berkelahi di dalam neraka setelah melihat azabnya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 164- {SESUNGGUHNYA PADA KEJADIAN LANGIT DAN BUMI; DAN (PADA) PERTUKARAN MALAM DAN SIANG; DAN (PADA) KAPAL-KAPAL YANG BELAYAR DI LAUT DENGAN MEMBAWA BENDA-BENDA YANG BERMANFAAT KEPADA MANUSIA; DEMIKIAN JUGA (PADA) AIR HUJAN YANG ALLAH TURUNKAN DARI LANGIT LALU ALLAH HIDUPKAN DENGANNYA TUMBUH-TUMBUHAN DI BUMI SESUDAH MATINYA, SERTA IA BIAKKAN PADANYA DARI BERBAGAI-BAGAI JENIS BINATANG; DEMIKIAN JUGA (PADA) PEREDARAN ANGIN DAN AWAN YANG TUNDUK (KEPADA KUASA ALLAH) TERAPUNG-APUNG DI ANTARA LANGIT DENGAN BUMI; SESUNGGUHNYA (PADA SEMUANYA ITU) ADA TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEESAAN ALLAH KEKUASAANNYA, KEBIJAKSANAANNYA, DAN KELUASAN RAHMATNYA) BAGI KAUM YANG (MAHU) MENGGUNAKAN AKAL FIKIRAN.} (AL-BAQARAH 2:164)

  1. Allah menyebut beberapa kejadian makhluk & nikmat-Nya yang besar ke atas manusia untuk kita- semuanya itu tanda-tanda. Yakni orang ada akal fikiran akan mendapat manfaat daripada ayat-ayat Allah!
  2. Munasabah ayat:
    i- Ayat ini menjadi hujjah kepada dakwaan puak kafir. Dalam ayat yang lepas Allah telah nyatakan bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Esa tiada sekutu bagi-Nya.
    Maka manusia yang beriman terus beriman manakala manusia yang kafir terus melawan & kufur.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT bawa kepada kita ayat untuk kita berfikir.
    Apakah makhluk & alam yang besar ini berjalan dengan sendirinya tanpa pengatur & pentadbir? Sesuatu yang tidak logik.
    Maka Allah bawa tujuh nikmat yang besar untuk kita fikir & renungkan supaya kita tidak lalai & tidak lagha dalam apa yang Allah tunjukkan ini!
  3. Tujuh nikmat itu ialah:
    i- Pada kejadian langit dan bumi; langit di atas & bumi di bawah, dua kejadian makhluk Allah yang amat besar & hebat.

    ii- Dan (pada) pertukaran malam dan siang; yang membawa kepada pertukaran musim.
    Ada musim sejuk musim panas, hujan dan lain-lain.
    Ada musim siang lebih panjang, ada masa malam lebih panjang daripada siang!
    Keduanya itu bergerak dan beredar mengikut aturannya ada turun naik & perubahan mengikut yang telah Allah tetapkan!
    Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).} (Al-Furqaan 25:62)

    iii- Dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia;
    Kita lihatlah kepada kapal-kapal besar di atas lautan yang luas, belayar tanpa tenggelam, terapung dengan membawa muatan yang berat sama ada manusia (kapal penumpang, cruise) & barang-barang (kargo) kegunaan bagi manusia.
    Berhati-hatilah jika kita sekapal dengan orang yang buat maksiat atau ada maksiat atas kapal yang sama kerana kita duduk sekali dengan orang fasiq, yang mungkar, yang buat maksiat!
    Jika Allah timpakan bala ke atas kapal itu sekali dengan kita tenggelam walaupun kita tak buat maksiat bersama mereka, tetapi dok baca Al-Quran & solat. Kita elakkanlah jika tidak ada keperluan & kepentingan akhirat.

    iv- Demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, air hujan yang turun lalu menyuburkan bumi ini dengan pelbagai tumbuhan & pokok-pokok.
    Ini semua menunjukkan kekuasaan Allah menghidupkan semula bumi yang telah mati!

    v- Serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; segala jenis haiwan yang melata atas muka bumi ini sama ada terbang, berenang, berjalan dengan kaki, dengan perut dan semuanya.

    vi- Demikian juga (pada) peredaran angin- angin adalah satu tenaga yang kuat dan amat berguna jika dapat dimanfaatkan seperti menjalankan kapal layar.
    Angin juga amat besar peranannya untuk membantu pesawat-pesawat terbang di udara. Ia juga membantu dan digunakan oleh burung-burung yang berhijrah ke tempat yang jauh.
    Angin yang terlalu kuat juga boleh menjadi bala bencana kepada manusia!
    Atas langit juga ada lebuhraya angin untuk laluan ekspress bagi pesawat terbang, menurut cerita seorang pilot!
    Manusia juga banyak guna istilah angin- putus angin, naik angin, tak dok angin…

    vii- Dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sedangkan awan yang mengandungi air hujan itu begitu berat bertan-tan tapi boleh ia bergerak bak kapas ditiup angin, dibawa malaikat rahmat sehingga sampai ke tempat yang telah Allah tetapkan untuk turun hujan.
    Ini juga kuasa angin yang menolak awan itu mengikut perintah Allah SWT!
  4. Ini adalah 7 atau 9 nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita.
    Semua perkara yang kita sebut ni adalah menjadi tanda & dalil yang jelas akan kekuasaan Allah SWT, sempurnanya sifat Allah, agungnya penciptaan Allah, dalil bagi orang yang memiliki akal yang sempurna, yang berfikir, bertadabbur pada ayat-ayat Allah untuk memahami kekuasaan Allah.
  5. Orang yang ada akal tetapi tidak berfungsi, yakni tidak gunakannya untuk fikir & tadabbur ini maka ia adalah orang yang rugi & tidak memanfaatkan akalnya!
  6. Maka sama ada ia akan berterusan dalam kafir atau tidak akan meningkatkan keimanannya kepada Allah Azza wa Jalla kerana dia tidak peduli akan ayat-ayat Allah yang Allah suruh kita berfikir tentangnya.

AYAT 165- {(WALAUPUN DEMIKIAN), ADA JUGA DI ANTARA MANUSIA YANG MENGAMBIL SELAIN DARI ALLAH (UNTUK MENJADI) SEKUTU-SEKUTU (ALLAH), MEREKA MENCINTAINYA, (MEMUJA DAN MENTAATINYA) SEBAGAIMANA MEREKA MENCINTAI ALLAH; SEDANG ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU LEBIH CINTA (TAAT) KEPADA ALLAH. DAN KALAULAH ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEZALIMAN (SYIRIK) ITU MENGETAHUI KETIKA MEREKA MELIHAT AZAB PADA HARI AKHIRAT KELAK, BAHAWA SESUNGGUHNYA KEKUATAN DAN KEKUASAAN ITU SEMUANYA TERTENTU BAGI ALLAH, DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA BERAT AZAB SEKSANYA, (NESCAYA MEREKA TIDAK MELAKUKAN KEZALIMAN ITU).} (AL-BAQARAH 2:165)

  1. Munasabah ayat ini : Allah nak nyatakan dalil yang kuat bahawa ada manusia ini yang walaupun telah lihat dalil-dalil & ayat-ayat Allah ini, masih tetap tidak berfikir tidak tadabbur, masih buta mata hatinya; maka dia tidak dapat apalah faedah daripada Al-Quran ini!
  2. Allah juga nyatakan bahawa ada manusia yang cintakan makhluk lain lebih daripada cintakan Allah, yakni dia ambil makhluk sebagai sekutu, partner kepada Allah, dia samakan makhluk dengan Allah!
    Terkini ada sekumpulan manusia yang pergi berdoa di kubur pula; sepatutnya kita minta terus kepada Allah tak perlu cari orang mati atau kubur.
  3. Kita orang beriman sangat sayang & cintakan Allah; lebih daripada orang kafir sayang kepada sembahan berhala mereka!
  4. Apabila puak kafir ini tengok azab mereka di akhirat kelak barulah mereka yakin akan kekuasaan & kebesaran Allah SWT!
    Sesungguhnya azab Allah itu pula amat berat siksa-Nya. Maka ia adalah penyesalan yang tidak berguna lagi!
  5. Nak sesal- sesal sekarang, nak takut- takut loni!
    Nak beriman atau bertaubat adalah ketika masih hidup atas dunia ini!
    Jika sudah mati tiada guna lagi, ia adalah waktu untuk menerima pembalasan & Allah sudah beri amaran bahawa azab-nya amat dahsyat!

AYAT 166- {(IAITU) KETIKA KETUA-KETUA YANG MENJADI IKUTAN ITU BERLEPAS DIRI DARI ORANG-ORANG YANG MENGIKUTNYA, SEDANG KEDUA-DUA PIHAK MELIHAT BETAPA NGERINYA AZAB SEKSA ITU, DAN (KETIKA) TERPUTUSNYA SEGALA HUBUNGAN DI ANTARA MEREKA.} (AL-BAQARAH 2:166)

  1. Apabila mereka melihat azab yang ngeri itu & tahulah mereka bahawa tidak ada jalan lagi untuk selamat; maka mereka (pengikut ajaran sesat) dan ketua yang mereka ikut pun saling salah-menyalahkan & berlepas diri antara satu sama lain!
  2. Ayat ini juga ditafsir oleh firmanA Allah SWT:
    i- {Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.
    Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.
    Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?} (Maryam 19: 81-83)

    ii- {Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): “Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan”.} (Al-‘Ankabuut 29:25)
  3. Yakni apabila mereka melihat neraka Jahannam & sudah yakin bahawa mereka akan dicampakkan ke dalamnya, dan tiada lagi jalan untuk selamat darinya.
    Maka mereka saling berlepas diri & tuduh menuduh.
  4. Sebagaimana firman Allah SWT juga:
    {Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.} (Al-Kahfi 18:53)

AYAT 167- {DAN (PADA MASA YANG MENGECEWAKAN ITU) BERKATALAH ORANG-ORANG YANG MENJADI PENGIKUT: ALANGKAH ELOKNYA KALAU KAMI (DENGAN ITU DAPAT KAMI BERLEPAS DIRI DARIPADA MEREKA SEBAGAIMANA MEREKA BERLEPAS DIRI DARIPADA KAMI (PADA SAAT INI)!” DEMIKIANLAH ALLAH PERLIHATKAN KEPADA MEREKA AMAL-AMAL MEREKA (DENGAN RUPA YANG MENDATANGKAN) PENYESALAN YANG AMAT SANGAT KEPADA MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN DAPAT KELUAR DARI NERAKA.} (AL-BAQARAH 2:167)

  1. Dalam keadaan yang amat mengecewakan & huru-hara itu (menungging nyor : terlalu dahsyat sehingga seperti kaki di atas kepala di bawah) barulah mereka dapat melihat kesesatan dan kesilapan mereka dalam memilih ketua atau ajaran untuk diikuti!
  2. Sedangkan mereka pengikut itu berharap, berangan-angan jika mereka hidup kembali atas dunia mereka tidak akan ikut lagi ketua atau boss mereka itu!
    Atas dunia kena kencing oleh boss, di akhirat kena azab pula!
  3. Ingatlah kita hidup atas dunia ini tiada ketaatan mutlaq kepada sesiapa saja!
    Kita taat kepada ketua, pemimpin, ibu bapa, suami atau sesiapa saja hendaklah taat secara bersyarat!
    Iaitu hanya wajib taat selagi orang itu taat kepada Allah & tidak menyalahi hukum Allah!
    Tidak wajib taat hatta kepada suami dalam perkara mungkar atau maksiat!
  4. Kita bukan memberontak tetapi taat dengan bersyarat dan gunakan akal yang waras- bukan mengikut & taat dengan membuta-tuli, taat membabi buta- jika tidak mahu menjadi orang yang rugi & menyesal di akhirat kelak!
    Jika kita nampak ketua itu menyeleweng dari Syari’ah Allah kita jangan taat & ikut lagi!
  5. Ini kerana di akhirat kelak Allah SWT akan tunjukkan kepada kita segala amal perbuatan kita yang akan membawa kepada penyesalan yang tidak ada gunanya lagi kerana sudah terlambat; sudah mati tidak akan dapat keluar lagi!
    Penyesalan di akhirat itu sendiri sudah satu azab!
  6. Antara nikmat yang Allah anungerahkan kepada seseorang ialah kita dapat mengesan dosa-dosa kita, nampak kesilapan & kesalahan kita lalu menyesal atas dunia lagi, insaf bertaubat kembali kepada Allah!
    Penyesalan atas dunia itu satu nikmat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 164- {Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan….}-

    Dalam ayat ini Allah sebut 9 atau 7 secara pakej makhluk dan nikmat yang besar ini kerana Allah nak gerakkan otak & hati kita.
    Allah mahu kita berfikir, tadabbur mengkaji kekuasaan Allah SWT, mencipta makhluk yang begini besar & berjalan dengan lancar jadual pergerakannya- tak pernah lagi matahari bertukar dengan bulan, siang bertukar dengan malam.
    Kita kena fikir begitu besar & agung kekuasaan Allah SWT!
    Sangat rugi mana-mana orang yang Allah beri akal, tetapi dia tidak gunakan mata hatinya untuk berfikir akan keagungan & keesaan Allah SWT, tidak nampak akan tanda ayat-ayat kekuasaan Allah, maka itulah manusia yang rugi dunia & celaka akhirat.
    Yang akan menyesal yang tidak ada guna lagi kelak.
    Yakni kita kena guna akal untuk berfikir, bertadabbur & untuk meneliti kekuasaan & ayat-ayat alhh Azza wa Jalla.
  2. Ayat 164- {Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan…}-

    Dalam ayat ini Allah SWT bawa dalil-dalil keEsaan Allah SWT dalam ketuhanan-Nya (Uluhiyyah) & ketuanan-Nya (Rububiyyah).
    Allah tunjuk semua tanda-tandanya, mahu kita lihat kepada semua tanda kekuasaan yang Allah bawa ini.
    Turun naik, atas dan bawah; bumi, langit, matahari, bulan, lautan, awan, hujan, tumbuhan, siang & malam- lengkap semuanya.
    Ini supaya kita tidak mudah lupa, tidak hilang ingatan akan nikmat & kekuasaan Allah Azza wa Jalla.
  3. Ayat 165- {(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah;}-

    Ada kalangan manusia yang menjadikan makhluk juga sebagai tempat dia meletakkan kecintaan, lebih daripada kasih kepada Allah SWT.
    Inilah yang dipanggil dalam Islam syirik kepada Allah- iaitu menyamakan makhluk dengan Allah.
    Allah SWT bukan makhluk, kita makhluk pula tidak boleh sama dengan Tuhan, kita hanya makhluk yang sangat lemah & banyak kekurangan.
    Kita wajib cinta kepada Allah yang mencintai kita, kita taat & patuh kepada perintah Allah, beribadat kepada Allah sebagaimana yang diperintahkan-Nya, jangan malas-malas!
    Orang mukmin cintakan Allah melebihi daripada kecintaan orang kafir kepada berhala mereka.
    Kita wajib cintakan Allah melebihi cinta kepada segala makhluk, kecintaan inilah yang kita kena murnikan jika tidak bahaya kita!
    Kita akan jadi cari kepada perkara khurafat & bid’ah seperti berdoa di kubur, orang mati, tangkal azimat dan lain-lain.
    Semoga Allah pelihara kita daripada semua perbuatan bid’ah & khurafat ini!
  4. Ayat 165- {sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.}-

    Orang beriman sangat mencintai Allah SWT.
    Kerana itu kata ulama’; iman kita ini ada pasang surut, naik turunnya.
    Jika semakin kuat imannya semakin tinggi kecintaannya terhadap Allah SWT!
    Kerana itu kita nak ajak, kempen orang ramai untuk beribadah yang simple sahaja, bukan yang berat & tidak mampu dibuat oleh kita umat yang lemah & malas pada akhir zaman ini.
    Iaitu jaga solat jemaah di masjid, solat sunat rawatib qabliyyah & ba’diyyah, jaga solat witir & dhuha, jaga sunat dhuha, jaga bacaan Al-Quran kita biar ada setiap hari, hadiri majlis-majlis ilmu, ada harta kita infaq setakat kemampuan.
    Kita tak ajak lebih daripada itu kerana kita tahu kemampuan kita untuk beribadat terhad- sangat limited.
    Dengan cara ini terkawallah iman kita Insya’ Allah- maintain mendatar walaupun tidak mencanak naik, kita gilap setiap hari agar jangan turun ke bawah.
    Kita mahu apabila dengar haq Allah kita terus cair & akur, apabila dengar ini Sunnah Nabi, kita terus pegang & beramal.
    Ini yang Sunnah tak mahu pegang, cari rekaan & amalan yang tak sahih.
    Buat amalan yang Allah tak syari’atkan, yang Nabi tak ajar!
    Kita hendaklah sentiasa akur, taat dan patuh akan perintah & arahan Allah SWT!
    Macam mana Allah nak tolong jika kita tak buat apa yang Allah suruh, apa yang Rasulullah SAW ajar!
  5. Ayat 166- {(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.}-

    Dalam ayat ini Allah gambarkan akan berlaku perbalahan besar antara pengikut & orang yang diikutnya (ketua)!
    Sehinggakan mereka pengikut minta untuk hidup dihantar balik ke dunia, kerana tidak mahu lagi ikut orang yang menyesatkan mereka itu!
    Ini bukan lagi angan-angan mat jenin tetapi angan-angan ahli neraka yang tidak ada gunanya lagi & tidak mungkin terjadi!

    Firman Allah SWT:
    {Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.} (Al-Ahzaab 33:66)
    Maka sebelum kita berbalah di dalam neraka, menyesal di akhirat kelak, biarlah kita berbahas, bersoal jawab atas dunia ini lagi!
    Mintalah dalil, carilah bukti sebelum kita menjadi pak turut & pengikut kepada amalan atau ajaran tertentu!
    Tidak mengapa dikecam atau dimarah kerana sentiasa tanya dalil dan hujah yang sahih, agar jangan menyesal di akhirat nanti.
    Ada setengah ustaz, pendakwah ni allergic benar jika anak muridnya tanya dalil!
    Ini kerana dia tiada dalil, apa yang dia boleh cakap adalah orang ni buat orang tu buat, guru saya ajar, guru saya amal. Ada dalam kitab ni ada dalam kitab itu!
    Sedangkan sesetengah kitab itu, seperti kitab Tajul Mulk itu lebih kepada kitab perbomohan.
    Kita orang melayu ni, asal tulisan jawi, kitab agama la itu!
    Asal ada dalam kitab, bawalah hadis palsu pun terima semuanya!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs