SURAH AN-NAMLI : AYAT 7-14

\"\"

KISAH NABI MUSA BAWA ISTERINYA KE TUR SINA, MUSA TERIMA WAHYU & UJI MUKJIZAT TONGKAT & TANGAN.

Full video : https://youtu.be/gHzc_-gCvU0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri kali ini ayat 7 bermula dengan kisah nabi Musa a.s.
  2. Berkebetulan hari ini 10hb Muharram adalah hari Asyura yang disunatkan kita berpuasa mengikut Sunnah Nabi s.a.w. sempena selamatnya Nabi Musa a.s dari kekejaman Firaun.
  3. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya cuba untuk mengamalkan sunnah anjuran Rasulullah s.a.w ini.
  4. Kisah Nabi Musa a.s ini banyak episodnya dan banyak disebut dalam surah-surah al-Quran. Ada episod ketika kecil, ketika keluar dari Mesir, di istana Firaun, berlawan dengan ahli sihir Firaun dan lain-lain. Kita kena sambung antara ayat demi ayat supaya jadi lengkap dan bersambung. Semuanya ada kisah dan pengajaran tersendiri, tidak jemu dan bercanggah walaupun diulang.
  5. Allah s.w.t bawa kisah-kisah ini untuk:
    i- Menenang dan menguatkan hati Rasulullah s.a.w. yang ditentang oleh kaumnya.
    ii- menyatakan bahawa al-Quran ini dari Allah s.w.t, kerana itu plot ceritanya tidak bercanggah dan berubah, walaupun diulang dan datang beberapa kali. Semuanya dengan bahagian tertentu, ada faedah dan pengajaran yang tertentu
  6. Dalam surah an-Namli ini fokus kepada kisah nabi Musa a.s dan keluarganya. Kita akan ambil pengajaran dari sudut tarbiyahnya akan tugas dan tanggung-jawab seorang suami/bapa kepada anak-isterinya, yakni tarbiyah kekeluargaan.

AYAT 7- {(INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA ISTERINYA: \”SESUNGGUHNYA AKU ADA MELIHAT API; AKU AKAN BAWAKAN BERITA DARI SITU KEPADA KAMU, ATAU AKU AKAN BAWAKAN COLOK API DARIPADANYA, SUPAYA KAMU DAPAT MEMANASKAN DIRI.} (AN-NAML 27:7)

  1. Ayat sebelum ini Allah s.w.t menegaskan bahawa al-Quran ini turun dari-Nya, maka segala isi kandungannya adalah hukum-hakam dan kisahnya adalah pengajaran.
  2. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya memerhati akan kisah nabi Musa a.s dan isterinya. Bagaimana prihatin dan tanggung-jawab seorang suami untuk isterinya yang sepatutnya.
    Tunaikan hak isteri yang wajib dan jika mampu penuhilah yang tidak wajib pun selagi ia tidak melampaui batas dan bercanggah dengan Syariah. Gembirakanlah hati isteri insya\’ Allah kamu akan lebih dibahagiakn kembali.
  3. Ketika ini mereka dalam perjalanan dari Madyan untuk kembali ke Mesir. Peristiwa ini berlaku pada malam yang gelap-gelita dan sejuk. Musa a.s menyuruh isterinya menunggu untuk dia pergi mencari api supaya isterinya dapat berdiang memanaskan badan dengannya.
  4. Kisah yang panjang tentang peristiwa ini sudah ada dalam Surah Toha.

AYAT 8- {MAKA APABILA IA SAMPAI KE TEMPAT API ITU, (KEDENGARAN) IA DISERU: \”BERKAT YANG MELIMPAH-LIMPAH KEPADA ORANG YANG BERADA DEKAT API INI DAN SESIAPA YANG ADA (DI DAERAH) SEKELILINGNYA; DAN MAHA SUCILAH ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AN-NAML 27:8)

  1. Apabila Musa a.s sampai ke tempat api itu, yang tidak jauh dari tempat dia meninggalkan isterinya, ia melihat satu pemandangan yang pelik;
    i- api itu menyala di sebuah pohon yang hijau; semakin besar api itu menyala, maka semakin hijaulah pohon tersebut. Ulama\’ kata api yang menyala dipokok tetapi tidak terbakar. Bagaimana? Tidak peliklah, lihat aje lampu-lampu letrik zaman kita ini. Sebagaimana kata DAAM: Semakin tinggi teknologi, semakin kuat hujjah ke atas kita di depan Allah s.w.t nanti.
    ii- Pendapat lain mengatakan bahawa cahaya itu bukanlah nyalaan api, melainkan cahaya yang berkilauan. Menurut riwayat lain, ia adalah nur (cahaya) Tuhan semesta alam. Maka Musa a.s. terpana melihat pemandangan yang disaksikannya itu.
  2. Hadis- Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya Allah tidak tidur dan tidak layak bagi-Nya untuk tidur. Dia merendahkan dan menaikan timbangan. Hijab-Nya dari cahaya. Seandainya Dia menyingkapnya niscaya kesucian wajah-Nya akan membakar setiap sesuatu sejauh pandangan mata-Nya.\”
    Kemudian Abu Ubaidah membaca ayat, \”Bahawa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan Maha suci Allah, Tuhan semesta Alam.\” (HR. Ibnu Majah: 192)
  3. Tiba-tiba nabi Musa a.s mendengar seruan: {\”Berkat yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini dan sesiapa yang ada (di daerah) sekelilingnya; Maha Sucilah Allah Tuhan sekalian alam.}
    Ulama\’ kata berkat melimpah maksudnya ialah disucikan, sedangkan \”orang-orang yang berada di sekitarnya\” bermaksud para malaikat yang berada di sekelilingnya.
  4. Ulama\’ menafsirkan bahawa Allah s.w.t yang menyeru dan bercakap dengan Musa a.s ini, kerana itu dia digelar Musa Kalimullah. Bagaimana caranya wallahu a\’lam jangan cuba fikir, reka dan bayangkan, takut nanti kita tersasar dari jalan yang benar. Yang penting kita beriman bahawa Allah s.w.t itu berkata-kata, nelihat mendengar dan lain-lain sifat yang dinyatakan-Nya.
  5. Mahasuci Allah Tuhan Sekelian Alam, dari segala sifat kekurangan atau keburukan, bahkan Dia Maha sempurna sifat dan perbuatan-Nya.

AYAT 9- {\”WAHAI MUSA, SESUNGGUHNYA AKULAH ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NAML 27:9)

  1. Allah s.w.t perkenalkan diri-Nya kepada nabi Musa a.s. {\”Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}
  2. Allah perkenalkan siapa Dia dan sifat-Nya Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana, maka janganlah kamu risau dan takut.
  3. Kemudian Allah s.w.t bertanya lagi beberapa soalan kepada Musa a.s untuk menghilangkan gementar dan terkejutnya. Begitulah juga kita aabila mula berinteraksi akan mula hilang segan dan gemuruh.

AYAT 10- {DAN (SEKARANG) CAMPAKKANLAH TONGKATMU. MAKA APABILA IA MELIHAT TONGKATNYA ITU (MENJADI SEEKOR ULAR BESAR) BERGERAK CEPAT TANGKAS, SEOLAH-OLAH SEEKOR ULAR KECIL, BERPALINGLAH DIA MELARIKAN DIRI DAN TIDAK MENOLEH LAGI. (LALU IA DISERU): \” WAHAI MUSA, JANGANLAH TAKUT, SESUNGGUHNYA RASUL-RASUL ITU SEMASA MENGADAPKU (MENERIMA WAHYU), TIDAK SEPATUTNYA MERASA TAKUT,} (AN-NAML 27:10)

  1. Allah s.w.t menyuruh Nabi Musa a.s untuk mencampakkan tongkatnya.
  2. Tiba-tiba tongkatnya itu berubah menjadi seekor ular besar yang bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil (dek tangkas dan cepatnya).
  3. Maka apabila Musa a.s melihatnya terasa takutlah dalam dirinya berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. Inilah normal, perasaan takut manusia terhadap sesuatu yang mengerikan dan bahaya kelihatannya.
  4. Lalu Allah s.w.t menyerunya lagi: \”Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut,}.

AYAT 11- {\”TETAPI SESIAPA YANG BERBUAT SALAH, KEMUDIAN IA MENGUBAHNYA DENGAN MELAKUKAN KEBAIKAN SESUDAH BERBUAT SALAH, MAKA SESUNGGUHNYA AKU MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NAML 27:11)

  1. Kecuali orang yang zalim, dia akan takut dek kerana perbuatan dosanya yang pernah dilakukan.
  2. Tetapi jika kemudian dia mengubah dirinya dengan kebaikan setelah kejahatan, iaitu dia bertaubat. Ditukarnya kezalimannya dengan kebaikan, maka Allah akan mengampuninya.

AYAT 12- {\”DAN MASUKKANLAH TANGANMU MELALUI BELAHAN DADA BAJUMU, NESCAYA KELUARLAH IA PUTIH BERSINAR-SINAR DENGAN TIDAK ADA CACAT (INI IALAH) DI ANTARA SEMBILAN MUKJIZAT (YANG MEMBUKTIKAN KEBENARANMU), UNTUK DIBAWA KEPADA FIRAUN DAN KAUMNYA; SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH KAUM YANG FASIK – DERHAKA.} (AN-NAML 27:12)

  1. Kemudian Allah s.w.t menyuruh Nabi Musa a.s memasukkan tangannya melalui belahan dada bajunya, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat yakni putih bersinar bukan kerana penyakit seperti sopak.
  2. Tongkat dan tangan bersinar ini ialah di antara sembilan mukjizat yang Allah berikan kepada Musa a.s untuk membuktikan kebenarannya, untuk dibawa kepada Firaun dan kaumnya. 9 tanda ini dalam siri yang lepas senarainya.
  3. Allah s.w.t jatuhkan hukuman bahawa sesungguhnya Firaun dan pengikutnya adalah kaum yang fasik – derhaka.

AYAT 13- { MAKA KETIKA KETERANGAN-KETERANGAN MUKJIZAT KAMI SAMPAI KEPADA FIRAN DAN KAUMNYA DENGAN JELAS NYATA, BERKATALAH MEREKA: \” INI ADALAH SIHIR YANG TERANG NYATA!\”} (AN-NAML 27:13)

  1. Manakala walaupun keterangan-keterangan mukjizat Allah s.w.t ini sampai kepada Firan dan kaumnya dengan jelas nyata, mereka terus ingkar tidak percaya lalu berkata: {Ini adalah sihir yang terang nyata!\”}

AYAT 14- {DAN MEREKA MENGINGKARINYA SECARA ZALIM DAN SOMBONG ANGKUH SEDANG HATI MEREKA MEYAKINI KEBENARANNYA. OLEH ITU, LIHATLAH BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN.} (AN-NAML 27:14)

  1. Mereka terus menolak kebenaran walaupun kebenaran jelas di depan mata mereka, mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh ( ظُلْمًا وَعُلُوًّا ).
  2. Sedang hati mereka meyakini kebenarannya. tetapi mereka tetap menolaknya tidak mahu terima semata-mata kerana sombong dan angkuh!
  3. Maka lihatlah kesudahan Firaun dan kaumnya yang zalim ini, sebagaimana telah diterangkan dalam ayat-ayat yang lain, iaitu mereka binasa ditenggelamkan dalam air laut. Tetapi jangan lihat saja ambillah pengajaran dengan hati yang khusyuk dan insaf.

Penutup/Beberapa Faedah Ringkas :

  1. Ayat 7- Musa pergi mencari api untuk isterinya yang kesejukan. Menunjukkan bahawa seorang suami kena khidmat dan bertanggung-jawab terhadap isterinya.
    Banyak hadis yang sahih menunjukkan Rasulullah s.a.w sendiri sering berkhidmat dan membantu para isterinya di rumah.
    Khidmat kepada isteri ini akan membawa sifat ihsan dan tawadhuk, orang yang sombong dan angkuh tidak akan buat perkara ini.
  2. Ayat 8 – Allah s.w.t memberi berkat kepada orang yang berada di situ – yakni menunjukkan pentingnya untuk menenangkan orang asing yang sedangkan panik dan ketakutakan.
  3. Ayat 9- Allah s.w.t menyeru nama nabi Musa a.s secara khusus {Ya Musa} – untuk menenanngkan nabi Musa a.s jua, agar tidak panik dan takut lagi.
  4. Ayat 9 juga, Allah s.w.t memperkenalkan diri-Nya yang mulia kepada Musa a.s dengan menyebut nama dan sifat-Nya. Begitulah adab kita untuk berinteraksi sesama kita juga, perkenalkan diri jangan main suruh teka-teka pula.
  5. Ayat 12- Allah s.w.t nyatakan tangan Musa a.s akan menjadi putih tanpa nampak seperti cacat atau sakit. Ini menunjukkan pentingnya menjelaskan sesuatu khabar yang ingin disampaikan supaya tidak menimbulkan spekulasi dan teka-teki orang.
  6. Ayat 14- zalim dan sombong angkuh ( ظُلْمًا وَعُلُوًّا ). Siapa yang ada sifat ini adalah pengikut sifat Firaun!
  7. . Ayat 14 {..sedang hati mereka meyakini kebenarannya}. Menyatakan bahawa orang yang tahu tentang kebenaran tetapi tidak mahu terima adalah sifat yang amat buruk, lahir dari sifat zalim dan sombong angkuh ( ظُلْمًا وَعُلُوًّا ).
  8. Ayat ini juga mencela orang yang menolak al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang sahih, sanggup menerima yang datang dari sumber lain yang tidak sahih.
  9. Sebelum pergi meninggalkan isterinya, Musa a.s memaklum dan minta izin terlebih dahulu, supaya isterinya tidak bimbang dan tertanya-tanya.
    Jangan pergi tanpa berita atau bersembunyi di mana-mana tempat kerana merajuk kepada isteri atau jika ada tugasan di luar kawasan, balik kerja lewat sekalipun tanpa diberitahu, sehingga membuatkan isteri dan keluarga rungsing.
  10. Ayat 7: – {Ketika Nabi Musa berkata kepada isterinya: لِأَهْلِهِ} menunjukkan makna ahli keluarga adalah termasuk isteri. Sebagaimana para isteri Rasulullah s.a.w. para Ummul-Mukminin adalah ahli keluarga Baginda juga.
  11. Hari Asyura ini disambut oleh tiga kumpulan:
    i- kumpulan Syiah yang meratap kematian Husin dengan cara yang tidak betul, pukul tubuh, menyakiti diri sambil berlarak di jalanan.
    ii- kumpulan kedua, Nawasib yang bergembira dengan kematian Husin a.s, mereka berhias diri dengan memakai celak dan sebagainya.
    iii- kumpulan ketiga ahli sunnah yang berpuasa, mengikut ajaran Rasulullah s.a.w. Semoga kita menjadi pencinta SUNNAH NABI S.A.W.
    Hati-hatilah dengan amalan yang tidak sahih yang sedang viral disebarkan hari ini.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs