Surah Al-Baqarah : Ayat 253-254

PARA RASUL BERBEZA DARJAT, SUDAH KETETAPAN MANUSIA BERIKHTILAF & GALAKAN BERINFAQ SEBELUM TERLAMBAT.

Full video : https://youtu.be/Vwwdv-zDObw?si=vHzZuyef9WmLz_Wh

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 253 sehingga ayat 254 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua yang panjang. Hari ini kita akan mula masuk dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa para rasul berbeza darjat dan kedudukannya. Ada tingkatannya yang tersendiri.
  3. Allah juga nyatakan sudah ketetapan manusia berikhtilaf; sama ada Islam dengan kafir atau Islam sesama Islam yang bertelagah bahkan sehingga pertumpahan darah!
  4. Pada ayat akhir Allah bawa galakan untuk berinfaq sebelum terlambat.
  5. Munasabah ayat:
    i- Allah SWT telah sebut dalam ayat yang lepas tentang kisah Talut, Jalut & Nabi Daud AS yang diberi kelebihan untuk membunuh Jalut. Allah katakan semua kisah ini dibawa sebagai tanda-tanda dalil akan kebenaran Nabi Muhammad SAW yang dapat bawa kisah semua rasul dan umat terdahulu dengan fakta yang tepat & maklumat yang lengkap.

    ii- Kemudian dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa bukan semua rasul itu sama darjatnya. Ada rasul yang mempunyai keistimewaan yang tinggi, ada rasul yang ramai pengikut ada yang sedikit, ada yang kuat menghadapi cabaran dari kaumnya ada yang biasa saja. Maka ada sekumpulan rasul yang menghadapi ujian & cabara yang besar iaitu Rasul Ulul-Azmi.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 253- {RASUL-RASUL KAMI LEBIHKAN SEBAHAGIAN DARIPADA MEREKA ATAS SEBAHAGIAN YANG LAIN (DENGAN KELEBIHAN-KELEBIHAN YANG TERTENTU). DI ANTARA MEREKA ADA YANG ALLAH BERKATA-KATA DENGANNYA, DAN DITINGGIKANNYA (PANGKAT) SEBAHAGIAN DARIPADA MEREKA BEBERAPA DARJAT KELEBIHAN. DAN KAMI BERIKAN NABI ISA IBNI MARYAM BEBERAPA KETERANGAN KEBENARAN (MUKJIZAT), SERTA KAMI KUATKAN DIA DENGAN RUHUL-QUDUS (JIBRIL).} (AL-BAQARAH 2:253)

  1. Allah SWT nyatakan bahawa antara para rasul itu tidak sama darjat & tingkatnya. Ada yang Allah beri kelebihan kepada mereka lebih daripada sebahagian yang lain.
  2. Para nabi itu semua darjatnya sama cuma para rasul yang tidak sama kelebihannya, Allah muliakan mereka dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu).
  3. Antara kelebihan yang Allah berikan itu ialah seperti:
    i- Ada antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya secara direct, iaitu Nabi Musa AS.

    ii- Dan Allah ditinggikan pangkat sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Seperti Nabi kita Nabi Muhammad SAW adalah manusia & rasul yang paling mulia & tinggi darjatnya.

    iii- Nabi Isa ibni Maryam pula Allah beri beberapa keterangan kebenaran mukjizat, serta Allah kuatkan dia dengan kedatangan Ruhul-Qudus, iaitu malaikat Jibril.
  4. Untuk membaca tentang Rukun Iman serta beriman kepada para rasul dengan khusus boleh baca buku ini:
    RUKUN IMAN. https://dartaibah.com/?page_id=179…

AYAT 253- {DAN SEKIRANYA ALLAH MENGHENDAKI NESCAYA ORANG-ORANG YANG DATANG KEMUDIAN DARIPADA RASUL-RASUL ITU TIDAK BERBUNUH-BUNUHAN SESUDAH DATANG KEPADA MEREKA KETERANGAN-KETERANGAN (YANG DIBAWA OLEH RASUL MEREKA). TETAPI MEREKA BERTELINGKAH, MAKA TIMBULAH DI ANTARA MEREKA: ORANG YANG BERIMAN, DAN ORANG YANG KAFIR. DAN KALAULAH ALLAH MENGHENDAKI TENTULAH MEREKA TIDAK BERBUNUH-BUNUHAN; TETAPI ALLAH MELAKUKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA.} (AL-BAQARAH 2:253)

  1. Allah nyatakan manusia itu jika Allah kehendaki, nescaya selepas kedatangan rasul-rasul yang membawa kepada mereka ayat keterangan-keterangan serta dalil yang nyata dari Allah mereka tidak akan berbalah, bertelingkah bahkan bunuh membunuh antara satu sama lain!
  2. Tetapi manusia itu tetap bertelingkah, berbalah sesama sendiri: serta permusuhan yang tidak berakhir sehingga ke hari Kiamat adalah permusuhan antara orang yang beriman & orang kafir!
  3. Jika Allah kehendaki pasti mereka tidak akan saling berbunuh! Punca besar atau utama ialah kerana sikap berbeza dalam menerima wahyu:
    i- Orang beriman percaya & menerima wahyu yang Allah turunkan.

    ii- Orang kafir pula pastilah menolak menentang & kufur dengan apa yang Allah SWT turunkan itu!
  4. Jika begitu haruskah kita biarkan saja keadaan ini? Terus hidup dalam ikhtilaf perbezaan & perbalahan ini?
    Pastilah tidak begitu! Rasulullah SAW bawa cara penyelesaiannya untuk keluar dari kemelut ini.
  5. Sabda Rasulullah SAW:
    وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
    Maksudnya: “Dan sepeninggalku nanti, kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kamu mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat.” (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih]

AYAT 254- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! SEBARKANLAH SEBAHAGIAN DARI APA YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADA KAMU, SEBELUM TIBANYA HARI (KIAMAT) YANG TIDAK ADA JUAL-BELI PADANYA, DAN TIDAK ADA KAWAN TEMAN (YANG MEMBERI MANFAAT), SERTA TIDAK ADA PULA PERTOLONGAN SYAFAAT. DAN ORANG-ORANG KAFIR, MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-BAQARAH 2:254)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang sebelumnya adalah galakan untuk pergi berjuang berperang berjihad pada jalan Allah dengan tubuh badan & senjata.

    ii- Kemudian datang ayat ini di mana Allah nyatakan peperangan kedua ialah dengan harta benda! Jika umat Islam tidak bangkit siapa yang nak berjuang pertahakan agama ini?
  2. Ayat ini Allah seru kepada hamba-Nya yang beriman! Berdasarkan dengan iman & keyakinan kamu kepada pahala ganjaran yang dijanjikan Allah; berilah nafkah sebahagian daripada harta kamu!
  3. Allah tidak suruh beri semua, hanya sebahagiannya saja yang wajib seperti ZAKAT! YANG lain adalah sedekah sunat & infaqlah sebanyak mana yang kamu mampu dan mahu!
  4. Bilakah tempoh untuk bersedekah ini diterima? Iaitu sebelum datangnya hari Kiamat.
  5. Kiamat ini pula ada dua:
    i- Kiamat besar = Kiamat yang akan berakhirnya dunia ini. Kiamat ini tiada siapa yang tahu bilakah tarikh akan berlaku hatta Rasulullah SAW dan malaikat.

    ii- Kiamat kecil atau Kiamat individu = Iaitu apabila nyawa di halkum sudah nak mati! Tiada guna lagi sedekah atau segala amal juga pengakuan!
  6. Jika sudah hampir tempoh ini kita akan menyesal tidak berguna! Hartanya yang ditinggalkan banyak tetapi tidak dapat menolong kita di dalam kubur & di Akhirat kelak. Ingatlah kain kafan itu tiada poket lagi!
  7. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    i- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.} (A-li’Imraan 3:91)

    ii- {Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.} (Ghaafir 40:18)
  8. Di akhir ayat Allah SWT katakan bahawa orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim. Iaitu zalim kepada diri sendiri kerana melakukan syirik kepada Allah Azza wa Jalla!
    Jangan silap faham kata tidak, orang kafir itu tidak zalim kepada orang, baik & suka buat charity dan lain-lain kebaikan!
    Zalim di sini ialah kerana mereka syirik kepada Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 253- {Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu).}

    Allah sebut itulah rasul-rasul (تِلْكَ ٱلرُّسُلُ)- merangkumi semua rasul, Allah beri sebahagiannya tingkatan yang tinggi daripada yang lain. Kemudian Allah SWT sebut Nabi Musa AS. Kita sudah belajar bahawa Rasul yang paling tinggi darjatnya ialah Nabi Muhammad SAW. Tetapi kenapa Allah tidak sebut nama Baginda di sini secara direct atau sifat Baginda yang mashur?
    Tetapi sebut tentang nabi Musa AS dalam ayat ini.
    Jawapan:
    i- Untuk menyatakan besarnya limpah kurnia Allah ke atas Baginda, besar kelebihannya dan tingginya darjat kemuliaan Baginda Nabi Muhammad SAW.

    ii- Isyarat kepada tidak perlu sebut khas nama Baginda SAW kerana orang tidak akan tertukar lagi antara Baginda dengan rasul-rasul lain!

    iii- Maka rasul-rasul lain yang disebut nama mereka bukanlah lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Muhammad SAW. Bangga atau tidak kita jadi umat Muhammad? Tetapi nak bangga macam mana jika kita tak kenal Nabi SAW, kerana jika tak kenal maka tak cinta. Nak kenal macam mana nak baca buku tak ada, orang buat kuliah tak datang!
  2. Ayat 253- {Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu).}-

    Allah akan berikan kelebihan dan limpah kurnianya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kelebihan & tingkatan darjat yang diberikan kepada para rasul juga berbeza-beza. Rasul ini kuat penentangannya, ada yang biasa, ada rasul yang ramai pengikut ada yang sedikit saja, maka kelebihan itu juga berbeza-beza.
    Sama seperti syurga : Ada darjat & ketinggiannya, ada orang yang masuk syurga tetapi dia duduk di bawah sekali, alhamdulillah yang penting masuk syurga selamat dari neraka.
    Ada orang yang duduk atas & tinggi iaitu di dalam syurga yang tertinggi darjatnya syurga Firdaus (جنة الفردوس الاعلى) yang tertinggi, atasnya tiada syurga lain lagi melainkan Arasy Allah SWT!
    Jika nak minta syurga Firdaus kena berpijak kepada realiti, tidak salah kita minta tetapi jangan khayal nak saja kena buat amal ibadat yang sepatutnya!
    Ada nabi dan rasul yang Allah sebut namanya dalam Al-Quran ada yang tidak disebut nama atau kisahnya! Tetapi nama yang disebut dalam Al-Quran juga hanya sebahagiannya sahaja.
    Perhatian:
    i- Mereka ini berbeza kelebihan dalam bab kerasulan (ar-Risalah) bukan dalam bab kenabian (an-Nubuwwah).

    ii- Para nabi itu sama saja tetapi ada di kalangan mereka yang dinaikkan taraf menjadi rasul.

    iii- Maka rasul inilah yang berbeza-beza, ada yang namanya disebut dalam Al-Quran ada yang tidak, ada yang ramai pengikut, ada yang menghadapi cabaran yang besar dan sebagainya.

    iv- Mereka yang paling banyak tentangan & besar ujianya dipanggil Rasul Ulul-Azmi iaitu 5 orang: Nuh, Ibrahim, Musa, Isa & Nabi Muhammad SAW.
  3. Ayat 253- {Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril).}-

    Allah sebut dua kelebihan yang diberikan kepada Nabi Isa AS. Isa bin Maryam pula dalam ayat ini Allah sebut dua kelebihan yang diberikan kepadanya:
    i- Diberikan hujajh yang jelas iaitu kitab Injil.

    ii- Dikuatkan dakwahnya dengan bantuan malaikat Jibril AS.
    Kerana itu kata ulama’ : Sekuat mana seorang manusia itu; dia tetap perlukan sokongan, dokongan dan bantuan dari orang lain!
    Seorang manusia tidak dapat berdiri dengan sendiri atau buat kerja seorang diri. Seperti nabi Isa sudah kuat mukjizatnya tetapi perlu juga kepada bantuan.
    Seperti kita hari inilah, jangan sombong dan angkuh bila kita ada kuasa & kekuatan, kita perlu juga kepada bantuan & sokongan dari orang lain.
    Ayat ini juga untuk menolak:
    i- Sangkaan buruk puak Nasrani bahawa Nabi Isa itu Tuhan. Jika Isa adalah Tuhan pasti dia tak perlu sokongan dan bantuan lagi. Sedangkan Allah hantar malaikat untuk membantunya.

    ii- Juga nak tolak dakwaan buruk yahudi yang menghina & merendahkan Nabi Isa dengan pelbagai tuduhan buruk pula! Kita orang Islam beriman bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah & Rasul-Nya.
  4. Ayat 253- {Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka).}-

    Allah kata jika Dia kehendaki dia boleh buat manusia itu satu fikiran saja, tidak berikhtilaf tidak berbalah. Tetapi manusia itu berbalah bertelingkah selepas datang keterangan yang nyata yang dibawa oleh para rasul mereka!
    Firman Allah SWT:
    {Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.} (Al-Bayyinah 98:4)

    Ahli kitab berbalah apabila datang Taurat & Injil.
    Kita umat Islam juga begitu : Kita berbalah apabila dibawa keterangan bayyinah:
    i- Contohnya masyarakat dok buat amalan budaya yang dikaitkan dengan agama, lalu kita bawa dalil bahawa perbuatan itu berbeza dengan hadis Nabi SAW. Lalu mereka terus celik mata, mula berbalah, nak label & tuduh orang dengan macam-macam!
    Sepatutnya apabila kita ada dalil, ada sandaran, ada tempat bergantung, manusia ada tempat rujukan dan tidak akan berbalah lalu kita boleh perbetulkan apa yang tidak betul!
    Dalil patut menjadi sandaran untuk perbetulkan budaya yang salah, bukan dipasang untuk benarkan perbuatan/budaya salah!
    Ini tidak! Selepas rasul datang manusia berbalah, rasul datang untuk menyelamatkan manusia bukan nak memecah-belahkan msayarakat!

    Perbezaan besar pula adalah sama ada:
    i- Islam dengan syirik

    ii- Islam dengan kafir

    iii- Perbezaan dalam cabang-cabang kecil dalam bidang agama! Ini tidak menjadi masalah. Yang kita tidak mahu ialah perbezaan yang akan membawa kepada perbalahan & memberi kesan kepada keamanan & kedamaian.
    Realiti hari ini kita akan dituduh, dilabel dengan macam-macam gelaran & tohmahan semata-mata kerana nak ajak orang kembali kepada apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Hanya Allah-lah tempat memohon pertolongan- الله المستعان.
  5. Ayat 254- {Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu,}-

    Seruan kepada orang yang beriman untuk infaq fi sabilillah.
    Kata ulama’ : Ayat ini dalil bahawa orang yang sanggup infaq fi sabilillah ialah tanda orang itu beriman kepada Allah SWT. Ini kerana orang beriman akan sedekah & infaq ikhlas kerana Allah SWT.
    Orang yang lemah iman akan bakhil tidak mahu sedekah kerana takut miskin dan susut hartanya!
    Allah suruh kita infaqkan sebahagian daripada harta kita yang Allah telah berikan kepada kita. Semua harta itu bukan milik kita yang hakiki atau yang kita dapat kerana hasil usaha kita semata-mata. Jangan kita bangga & sombong dengan kekayaan kita, kena ingat itu adalah sifat Qarun.
    Kita jadilah orang yang tawadhuk, ada harta kita infaq, ada harta kita sedekah, kita bantu mereka yang memerlukan dan beri kepada tempat yang bermanfaat.
    Allah ingatlan dalam kubur tiada teman, harta kita tidak boleh dibawa masuk ke dalam kubur tetapi harta yang diinfaq fi-sabilillah akan menjadi milik kita.
    Firman Allah SWT:
    {Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).} (Al-Qasas 28:78)

    Nabi SAW menyebut sedekah sebagai bukti (Burhan). Sabdanya: “Solat adalah cahaya, sedekah merupakan bukti (والصدقة برهان), sabar itu sinar cahaya, sementara Al-Quran boleh menjadi pembelamu atau sebaliknya, menjadi penuntutmu.” (HR Muslim).
    Orang bukan Islam ada juga yang suka buat kebajikan, mereka ada kefahaman mereka sendiri dalam bab sedekah ini. Tetapi sayangnya semua amalan baik mereka itu kelak hanya akan menjadi seolah debu, kerana mereka tidak beriman kepada Allah! Kita orang beriman melakukannya kerana Allah SWT, dengan ikhlas dan keimanan.
    Orang bakhil pula tanda imannya lemah kerana dia tak berani nak keluarkan hartanya fi-sabilillah.
    Semua usaha adalah sebab tetapi penyebabnya adalah Allah SWT sebagai Pemberi yang sebenar, bukan kita pandai sendiri.
    Kerana itu jangan kita terpedaya dengan diri sendiri, jangan bangga & sombong dengan kekayaan kita. Jangan jadi seperti Qarun dalam ayat di atas.
    Marilah kita cepat-cepat sedekah sebelum nyawa di ambil oleh malaikat maut, agar harta kita menjadi milik kita yang dapat memberi manfaat di Akhirat kelak.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs