SURAH AL-QASAS : AYAT 76-78

\"\"

Full video : https://youtu.be/7pSFqVmJS28

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan dengar tentang seorang jutawan yang sombong. Walaupun sudah diberi nasihat, dia tetap tidak mahu mendengarnya.
  2. Allah s.w.t mahu kita hidup atas dunia ini agar jangan sombong, jangan kita pacakkan dunia dalam hati kita. Kita dengan dunia ini hanya 2 pengakhirannya; samada kita akan ditinggalkannya atau kita yang akan meninggal dunia dulu.
  3. Kita dengar dan ambil iktibar dari kisah Qarun, jutawan bani Israil pada zaman nabi Musa a.s ini dan hayati 5 pesanan nasihat untuknya dan juga untuk kita semua.
  4. Dalam siri yang lalu diceritakan bagaimana pengakhiran kaum musyrikin yang disiksa di dalam neraka secara zahir dan dihina juga secara batin dengan disuruh memanggil sekutu-sekutu, sembahan mereka dulu.
  5. Sebelumnya kisah Firaun yang menentang nabi Musa a.s sejak dari awal lalu dimusnahkan dengan tenggelamnya Firaun dan tenteranya dalam Laut Qalzum.
  6. Bani Israil diselamatkan oleh oleh Allah s.w.t. Lalu timbul pula pula kisah Samiri dari pengikut nabi Musa a.s. yang terpesong dari sudut aqidah.
  7. Dalam siri ini kisah Qarun pula, juga berasal dari kaum bani Israil, yang terpesong akibat syahwat kekayaan dan kemewahan dunia.
  8. Dua perkara yang merosakkan hati manusia:
    i- penyakit Syubhat dalam pemikiran yang akan menyebabkan kerosakan aqidah. Yang mana yang kafir tetap kafir, yang beriman tetap terus terjebak dengan ajaran sesat dan berada dalam maksiat dan lagha.
    ii- penyakit Syahwat yang akan menyebabkan manusia ikut nafsu inginkan harta, pangkat, seks dan lain-lain keinginan dunia.
  9. Kita akan kenali Qarun dan sebab-sebab yang membawa kepada kebinasaannya.
  10. Semoga kita insaf dan ambil iktibar dari kisah-kisah yang diulang ini, kerana ianya memang akan berulang pula sehingga ke hari Kiamat.

AYAT 76- {SESUNGGUHNYA QARUN ADALAH IA DARI KAUM NABI MUSA, KEMUDIAN IA BERLAKU SOMBONG DAN ZALIM TERHADAP MEREKA; DAN KAMI TELAH MENGURNIAKANNYA DARI BERBAGAI JENIS KEKAYAAN YANG ANAK-ANAK KUNCINYA MENJADI BEBAN YANG SUNGGUH BERAT UNTUK DIPIKUL OLEH SEBILANGAN ORANG YANG KUAT SASA. (IA BERLAKU SOMBONG) KETIKA KAUMNYA BERKATA KEPADANYA: \”JANGANLAH ENGKAU BERMEGAH-MEGAH (DENGAN KEKAYAANMU), SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERMEGAH-MEGAH. (SEPERTI LAGAKMU ITU). (AL-QASAS 28:76)

  1. Allah s.w.t menceritakan kepada kita tentang Qarun, seorang lelaki dari bani Israil, iaitu kaum Nabi Musa a.s yang lupa daratan lalu berlaku sombong dan zalim terhadap mereka, kaumnya sendiri.
  2. Kesinambungan kisah ini apabila kaum musyrikin Quraisy yang kaya dan terpedaya dengan harta kekayaan mereka. Bahkan ada yang memerli Rasulullah s.a.w dan menggelar ayah susuannya yang hanya pengembala kambing.
  3. Lalu mulai ayat ini Allah s.w.t bawa kisah Qarun yang jauh lebih kaya dan banyak hartanya daripada mereka, yang sombong dan angkuh tetapi akhirnya telah musnah binasa bersama hartanya. Ini pengajaran agar kita jangan sombong dan menghina orang lain, jangan ingat harta kita akan kekal selamanya.
  4. Ahli sejarah kata namannya Qarun bin Yashur bin Qahat/Quhas- قارون بن يصـ.هر بن قاهث ada ulama\’ kata dia adalah anak kepada bapa saudara Musa a.s iaitu sepupunya sendiri. Dia digelar sebagai Munawwir kerana keelokan rupa parasnya yang seolah bersinar.
  5. Qarun juga seorang yang belajar Kitab Taurat sebelum itu, kemudian selepas menjadi kaya-raya, dia munafiq, takabbur dan sombong terhadap kaumnya sendiri.
    Kata penyair: Kezaliman yang dibuat oleh kaum keluarga sendiri lebih tajam daripada tusukan mata pedang.
  6. Dia seorang yang amat kaya-raya. Allah s.w.t gambarkan kekayaannya itu dengan menyatakan anak kunci gedung-gedung bangunannya الْكُنُوزِ saja terpaksa dipikul oleh sekumpulan lelaki yang gagah. Kunuz ini adalah harta yang dikumpulnya atau yang didapatinya. Kunuz dalam bahasa Melayu – harta Karun, diambil dari nama Qarun inilah.
  7. Kemudian datang seorang kawannya yang baik datang memberi nasihat kepadanya:
    i- Nasihat pertama: \”Janganlah engkau bermegah-megah dengan kekayaanmu, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah seperti lagakmu itu.\”

AYAT 77- {\”DAN TUNTUTLAH DENGAN HARTA KEKAYAAN YANG TELAH DIKURNIAKAN ALLAH KEPADAMU AKAN PAHALA DAN KEBAHAGIAAN HARI AKHIRAT DAN JANGANLAH ENGKAU MELUPAKAN BAHAGIANMU (KEPERLUAN DAN BEKALANMU) DARI DUNIA; DAN BERBUAT BAIKLAH (KEPADA HAMBA-HAMBA ALLAH) SEBAGAIMANA ALLAH BERBUAT BAIK KEPADAMU (DENGAN PEMBERIAN NIKMATNYA YANG MELIMPAH-LIMPAH); DAN JANGANLAH ENGKAU MELAKUKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEROSAKAN \”. (AL-QASAS 28:77)

  1. Nasihat kedua: Gunakanlah harta yang ada untuk melakukan amal kebajikan agar dapat membawa pahala dan kebaikan di akhirat kelak. Yakni manfaatkan rezeki anugerah Allah s.w.t itu untuk kebaikan yang boleh memberi manfaat di akhirat nanti.
  2. Nasihat ketiga: Dalam masa yang sama juga jangan lupakan bahagian dunia. Yakni gunakanlah juga untuk keperluan dan bekalan hidup atas dunia. Jika kaya dan mampu gunakanlah sebaiknya tanpa membazir dan bakhil.
    Kata-kata hikmah:
    \”Berusahalah untuk dunia ini seolah kamu akan hidup 1000 tahun, dan beramallah untuk akhirat kamu seolah kamu akan mati esok.\”
    Yakni buat yang terbaik untuk kehidupan dunia juga beramal yang terbaik untuk bekalan akhirat. Ini bukan hadis dan disandarkan kepada beberapa orang salaf, tidak diketahui siapa yang sebenar mengatakannya.
  3. Ini bertepatan dengan doa yang diajar dalam al-Quran:
    رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
    \”Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.\” (Al-Baqarah: 201).
    Allah s.w.t apabila memberikan nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka untuk melihat kesan nikmat itu, iaitu digunakan dengan baik dan sewajarnya.
  4. Nasihat keempat: Berbuat baiklah, ihsan kepada orang lain. Ingatlah asal-usul, kaum mereka bani Israil adalah kaum yang tertindas dan amat tersiksa di bawah pemerintahan Firaun. Berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah. Yakni berbuat baik dengan melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t serta jangan lupa daratan dan sombong.
  5. Nasihat kelima: Janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; iaitu dengan melakukan kezaliman dan maksiat atas muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.
  6. Inilah 5 nasihat yang berikan oleh sahabatnya yang soleh kepada Qarun. Tetapi malangnya nasihat itu tidak berbekas dihatinya, maka jadilah Qarun ikon jutawan yang angkuh dan takabbur, lalu binasa dek kesombongannya itu.
  7. Qarun dan kemusnahannya dikatakan berlaku di daerah Al Fayyum, Mesir.

AYAT 78- {QARUN MENJAWAB (DENGAN SOMBONGNYA): \”AKU DIBERIKAN HARTA KEKAYAAN INI HANYALAH DISEBABKAN PENGETAHUAN DAN KEPANDAIAN YANG ADA PADAKU\”. (KALAULAH QARUN BIJAK PANDAI) TIDAKKAH IA MENGETAHUI DAN PANDAI MEMAHAMI, BAHAWA ALLAH TELAH MEMBINASAKAN SEBELUMNYA, DARI UMAT-UMAT YANG TELAH LALU, ORANG-ORANG YANG LEBIH KUAT DARIPADANYA DAN LEBIH BANYAK MENGUMPULKAN HARTA KEKAYAAN? DAN (INGATLAH) ORANG-ORANG YANG BERDOSA (APABILA MEREKA DISEKSA) TIDAK LAGI DITANYA TENTANG DOSA-DOSA MEREKA, (KERANA ALLAH SEDIA MENGETAHUINYA). (AL-QASAS 28:78)

  1. Qarun menjawab dengan sombongnya: \”Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku\”.
  2. Ulama\’tafsir, Imam al-Mawardi kata maksudnya- {dengan sebab kepandaian aku sendiri- عَلَى عِلْمٍ عِنْدِي} ada 5 pandangan:
    i. Dengan ilmu dan kekuatanku.
    ii. Dengan sebab kepakaranku.
    iii. Aku kaya sebab Allah redha kepadaku, maka memang patut dan layak menerima harta itu. Inilah yang dikatakan istidraj – Allah beri bukan kerana sayang atau redha bahkan sebaliknya, untuk lebih besar kesan kejatuhannya.
    iv- dengan sebab ilmu dalam perniagaan.
    v- ilmu dalam kimia. Tetapi ramai ulama\’ seperti Ibnu Kathir kata pendapat ini tidak sahih. Ini ilmu yang batil, menukarkah fizikal sesuatu material kepada yang lain.
  3. Allah s.w.t tegur Qarun atas kesombongan dan jawapannya itu, dia melupakan nikmat Allah dan buat-buat tidak nampak kebenaran. Jika dia benar-benar bijak pasti dia akan mengambil iktibar dan pengajaran dari kebinasaan umat-umat terdahulu yang lebih kuat perkasa dan lebih kaya-raya harta daripadanya.
  4. Orang berdosa yang dibinasakan, Allah s.w.t tidak akan bertanya lagi tentang dosa-dosanya kerana Allah s.w.t telah sedia mengetahuinya. Tetapi tetap akan berlaku perbicaraan di akhirat nanti.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 77- {\”dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan\”.}
    Ayat ini mengajar dari segi uslub dakwah, jika kita mahu memberi peringatan menakutkan atau galakan kepada orang untuk berbuat baik, kita kena sebut dan beritahu \’illah- nyatakan sebabnya. Supaya lebih mantap hujjah dan lebih memberi keyakinan.
  2. Ayat 76- {\”Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). لَا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ- Kegembiraan yang dilarang itu ialah yang melampau sehingga lupa kepada Allah s.w.t, seolah duniaku milikku.
  3. Ayat 77- {\”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat} Betulkan niat dan qasad bagi setiap perbuatan yang kita lakukan di atas dunia ini. Buatlah ikhlas kerana Allah s.w.t. untuk mendapat pahala dan kebahagian di akhirat pula.
    Hadis pesanan Rasulullah s.a.w kepada Saad bin Abi Waqas R.A:
    \”Dan sesungguhnya apa saja yang engkau nafkahkan, ia akan dikira sedekah, hinggakan suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.\” (HR Bukhari Muslim).
  4. Ayat 78 {\”Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku\”.} Jangan merasakan semua yang kita dapat itu kerana usaha kita sendiri. Kena sandarkan rezeki dan nikmat yang kita dapat, semuanya dari Allah s.w.t. Siapa yang merasakan rezeki dan apa yang dia dapat semuanya kerana hasil usaha dia semata, maka dia adalah satu spesis dengan Qarun.
  5. Dari ayat di atas lagi, Allah s.w.t juga larang kita dari memberi sebab semata-mata tanpa disandarkan kepada Allah s.w.t.
  6. Seorang manusia hendaklah jaga dirinya daripada banyak menggunakan perkataan
    أنا, لي, عندي (aku, milikku, bagiku) ini dalam menggambarkan kekayaan dan nikmat yang didapati. Boleh digunakan dalam ayat yang sesuai dan tidak untuk takabbur. Ini kerana Allah s.w.t gunakan perkataan ini untuk 3 ikon yang dilaknat ini:
    i- Digunakan oleh iblis dalam ayat ini:
    {Iblis menjawab: \”Aku أنا lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.\”} (Al-A\’raaf 7:12)
    ii- Digunakan oleh Firaun dalam ayat ini:
    {Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: \”Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini -لي akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana)ku? Tidakkah kamu melihatnya?} (Az-Zukhruf 43:51)
    iii- Digunakan oleh Qarun dalam ayat 78 ini. عندي
    Ia tetap boleh digunakan dalam ayat-ayat biasa yang bukan menunjukkan kesombongan, untuk tawadhuk kita dengan Allah s.w.t dan seumpamanya.
    Tiada benda atas dunia ini yang rosak atau terkeji semuanya, buruk di situ mungkin ada baiknya di sana. Kita yang kena pandai menilai dan menggunakannya.
  7. Ayat 76- {Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa} – perjuangan kebangsaan atau keturunan tidak akan memberi manfaat atau kelebihan. Apa yang penting dan dikira ialah keimanan dan taqwa kepada Allah s.w.t. Qarun adalah sepupu Nabi Musa a.s, tetapi binasa dia dengan sebab keangkuhannya. Maka sebagai orang Islam kita kena letakkan kesatuan Ummah didepan, bukan kesatuan bangsa!
  8. Ayat 76- {Kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka;}- menunjukkan kekayaan dan kemewahan dunia dapat membuatkan seseorang manusia itu menjadi sombong dan angkuh jika tiada iman sebagai bentengnya.
  9. Perkataan gembira (الفْرَحْ ) dalam al-Quran ada 2 kategori –
    -kalimah Mutlaq (umum) dan kalimah yang muqayyad (terikat).
    i- jika Mutlaq- semuanya adalah kisah yang tercela seperti kisah Qarun dalam ayat 76 ini dan Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).} (Hud 11:10)
    ii- jika muqayyad (gembira tetapi terikat dengan benda lain) ada dua pula:
    a- jika terikat dengan dunia maka ia adalah dicela seperti dalam ayat:
    {Sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut.} (Al-An\’aam 6:44)
    b- jika terikat dengan akhirat adalah terpuji seperti dalam ayat:
    {Maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya)}.(Yunus 10:58)
  10. Ayat 77- {Dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.} Allah s.w.t pesan dan ajar agar jangan lupakan nasib atau keperluan kita semasa hidup di dunia. Yakni manfaatkanlah rezeki itu untuk kehidupan atas dunia secara berhemah, jangan terlalu boros juga tidak terlalu kikir. Gunakan segala nikmat dan rezeki yang Allah s.w.t berikan dengan betul agar ia dapat membawa pulangan kebaikan, asset untuk akhirat pula. Tunaikan hak harta dengan keluarkan zakat dan nafkah yang wajib, serta sedeqah dan infaq fi sabilillah.
    Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs