Surah Al-Baqarah : Ayat 258

KISAH NABI IBRAHIM AS BERDEBAT DENGAN RAJA NUMRUZ, KEMENANGAN BAGI NABI IBRAHIM & PENGAJARANNYA.

Full video : https://youtu.be/uOcpcC5R038?si=dzhtVQxD9JLy0hnN

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 258 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT bawa kisah Nabi Ibrahim AS mencabar & berdebat dengan raja pada zamannya. Namanya Raja Numruz (نمروذ) atau Namrud (نمرود).
  3. Raja ini tidak cerdik mana, dia kalah kepada hujjah Nabi Ibrahim yang mantap lalu kemenangan bagi Nabi Ibrahim AS.
  4. Serta kita akan lihat beberapa pengajaran yang boleh kita dapat dari kisah ini.
  5. Munasabah ayat dengan yang sebelumnya:
    i- Allah kata sebelum ini bahawa Allah adalah Penjaga orang yang beriman yang mengeluarkan mereka daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya iman. Manakala taghut pula yang mengeluarkan mereka daripada cahaya iman kepada kegelapan kekufuran yang menyesatkan.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT bawa tiga saksi atau peristiwa yang menunjukkan akan kebenaran Allah SWT serta batil & sesatnya taghut. Hujjah pertama adalah ayat kita ini. Dua hujjah lagi adalah dalam dua ayat lain selepas ini. Boleh baca kisah dalam Al-Quran bagaimana Allah berkuasa menghidupkan yang tlhmati dalam buku “Rukun Iman” ini: https://dartaibah.com/?page_id=179…

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 258- {TIDAKKAH ENGKAU (PELIK) MEMIKIRKAN (WAHAI MUHAMMAD) TENTANG ORANG YANG BERHUJAH MEMBANTAH NABI IBRAHIM (DENGAN SOMBONGNYA) MENGENAI TUHANNYA, KERANA ALLAH MEMBERIKAN ORANG ITU KUASA PEMERINTAHAN? KETIKA NABI IBRAHIM BERKATA: “TUHANKU IALAH YANG MENGHIDUPKAN DAN YANG MEMATIKAN”. IA MENJAWAB: “AKU JUGA BOLEH MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN”. NABI IBRAHIM BERKATA LAGI: “SESUNGGUHNYA ALLAH MENERBITKAN MATAHARI DARI TIMUR, OLEH ITU TERBITKANLAH DIA DARI BARAT?” MAKA TERCENGANGLAH ORANG YANG KAFIR ITU (LALU DIAM MEMBISU). DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK AKAN MEMBERIKAN PETUNJUK KEPADA KAUM YANG ZALIM.} (AL-BAQARAH 2:258)

  1. Allah SWT menceritakan kisah ini kepada Rasulullah SAW ngan bertanya tidakkah engkau berasa pelik dengan seseorang yang berhujjah dengan sombongnya kepada Nabi Ibrahim kerana dia diberi kuasa pemerintahan.
  2. Maksud pertanyaan Allah kepada Rasulullah SAW {أَلَمْ تَرَ}- tidakkah kamu lihat} adalah lihat dengan mata hati. Ini kerana peristiwa ini berlaku pada zaman Nabi Ibrahim AS dan pastilah Baginda Nabi belum ada lagi pada ketika itu jadi bukan lihat dengan mata kepala kasar atau mata biasa.
  3. Mereka berdebat tentang Ketuhanan Uluhiyyah & Rububiyyah Allah SWT. Raja ini seorang yang zalim & sombong tidak ada siapa yang berani melawannya sehingga dia mengaku jadi Tuhan. Sehinggalah Allah SWT hantar seorang pemuda iaitu Nabi Ibrahim AS.
  4. Ini adalah contoh salah satu daripada jenis taghut kerana Raja Namruz ini mengaku jadi Tuhan dan menyuruh rakyatnya menyembahnya! Apabila Allah ujianya dengan kekuasaan dia menjadi sombong & angkuh!
  5. Ini adalah langkah ketiga dalam dakwah Nabi Ibrahim AS. Dia berdakwah dengan hujjah tanpa senjata atau harta kerana dia hanyalah keseorangan. Ibrahim itu sendiri Allah kata adalah ummat!
    i- Pertama dia berdebat dengan ayahnya. Ini adalah dakwah kepada keluarga terdekat sendiri.

    ii- Kemudian dengan penduduk negerinya. Ini adalah dakwah kepada masyarakat.

    iii- Kemudian dia berlawan dengan raja pemerintah negeri itu pula. Ini adalah dakwah kepada pemimpin.
    Inilah yang kita takut, takut menjadi ulama’ yang apabila berbahas tentang ilmu fikir tentang pendapat tetapi bila dapat jawatan; fikir tentang pendapatan pula!
  6. Siapakah raja ini dan dimanakan kerajaanya? Ini adalah isu yang tidak disebut dalam Al-Quran atau hadis Rasulullah SAW, tidak didetailkan orang atau tempatnya. Tetapi ada dalam kisah israiliyyat, ada yang boleh kita dengar saja, ada yang kita kena tinggalkan.
  7. Kita cuba lihat beberapa fakta atau isu yang boleh kita bincangkan tanpa keterlaluan atau hanya mengikut riwayat sejarah:
    a- Isu namanya : terdapat beberapa versi-
    i- Dengan huruf dal (نمرود)- serta baris depan (Numrud) atau baris atas (Namrud) pula. Bahasa Inggeris pula kata Nimrod. Ini pendapat ahli Basrah.

    ii- Pendapat kedua yang selain ahli Basrah kata ejaannya dengan huruf zal (نمروذ) iaitu Numruz.

    b- Keturunannya:
    i- Dalam riwayat Sejarah dia adalah keturunan Nbi Nuh yang kelima. Dialah raja yang berlawan dengan nabi Ibrahim.

    ii- Menurut pendapat Ibnu Abbas & Mujahid- dia adalah raja yang campakkan Nabi Ibrahim dalam api serta yang dimusnahkan dengan nyamuk yang masuk dalam kepalanya selama 40 hari.

    c- Tempat kerajaannya:
    i- Mujahid kata kerajaannya di Babylon (Babel). Ada yang kata bukan di Babel tetapi sekitar Babel itulah.

    ii- Katanya lagi ada 4 Raja yang besar atas dunia ini; 2 mukmin & 2 kafir; Yang mukmin ialah Sulaiman bin daud & Zul-Qarnain. Manakala yang kafir pul ialah Numruz & Bukhtannasar.

    d- Wikipedia:
    i- Raja Namrud (hidup sekitar tahun 2275 SM- 1943 SM) juga disebut atau eja Namruz bin Kan’aan (Arab نمرود بن كنعان, Inggeris Nimrod, Bahasa Ibrani: נִמְרוֹד, Piawai [Nimrod] Tiberias נִמְרֹד ; Nimrod) (2275 SM – 1943 SM).

    ii- Dia adalah salah satu seorang Raja yang memerintah Mesopotamia purba (kini dikenali negara Iraq). Ia memiliki gelaran “a mighty hunter” yang bermaksud “pemburu yang hebat” atau “pemburu yang perkasa”, kerana kebijakannya dalam berburu.

    iii- Dia juga dikatakan dari keturunan Nabi Nuh AS, nama lengkapnya adalah Namruz bin Kan’aan bin Kush bin Ham bin Nuh (Nabi Nuh AS.) atau juga setengah pendapat; Raja Namrud bin Kush bin Ham bin Nuh.
  8. Ada juga riwayat yang mengatakan peristiwa ini selepas Nabi Ibrahim selamat & keluar dari api yang membakarnya. Tetapi ramai yang berpendapat ini adalah sebelumnya dan ini adalah kali pertama Ibrahim jumpa si raja.
    Kita kata wallahu a’lam untuk semua maklumat ini kerana tiada dalam Al-Quran atau hadis yang sahih.
  9. Hujjah pertama Nabi Ibrahim ialah bahawa:
    i- Kata Ibrahim kepada raja : “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Bolehkah kamu melakukannya?

    ii- Raja itu menjawab : “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.
    Lalu dia memanggil dua orang tahanan dalam penjara- seorang dilepaskan dan seorang lagi dibunuh! Ibrahim biarkan jawapannya ini walaupun banyak lagi boleh dibahaskan dan dipatahkan hujjah itu dari awal.
  10. Hujjah kedua Nabi Ibrahim:
    i- Kata Ibrahim : “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu bolehkah kamu terbitkan matahari dari barat?”

    ii- Maka tercenganglah orang yang kafir itu tidak menjawab lagi lalu diam membisu {فَبُهِتَ ٱلَّذِى كَفَرَ}, terkebil-kebil kebingungan & kesipuan.
    Kerana mana dia mempunyai kuasa sebegitu! Maka kalahlah dia- habislah episod itu.
  11. Lalu Allah menyatakan bahawa Dia sesekali tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang batil; sedemikian yang menzalimi diri mereka sendiri atau menzalimi orang lain juga!
  12. Sepatutnya apabila tidak dapat menjawab hujjah lagi dia akan nampak kebenaran Nabi Ibrahim & kekuasaan Allah lalu beriman. Tetapi malangnya dia adalah seorang yang sombong, degil lagi keras kepala, terus kufur kepada Allah dengan takabburnya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 258- {Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya,}-

    Allah tanya tidakkah engkau lihat wahai Nabi Muhammad SAW tentang orang yang berhujjah {حَآجَّ} dengan Nabi Ibrahim AS tentang Tuhannya kerana dia ada kuasa.
    Kata ulama’ : Ayat ini menjadi dalil bahawa dengan sebab nikmat yang Allah beri kepada seseorang menjadikan dia sombong jahat, angkuh, takabbur & lupa diri dengan sebab Allah bagi kuasa kepadanya.
    Kerana itu adakalanya musibah & ujian seperti sakit & fakir adalah nikmat dari Allah supaya kita sedar. Untuk memperingatkan kita agar kembali & ingat kepada Allah SWT, agar tidak mudah lupa daratan, lupa diri,lupa teman lupa kawan; lalu lupa juga kepada Allah!
    Menjadi kemaruk kepada kuasa, gila dunia sehingga tidak nampak lagi kebenaran.
    Kita berlindung dengan Allah SWT daripada sifat ini.
  2. Ayat 258- {kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan?}-

    Orang itu raja yang memerintah {ٱلْمُلْكَ},
    Ayat ini menunjukkan kita boleh memanggil orang kafir itu sebagai raja kerana ia hanyalah satu jawatan atas dunia ini. Tidak jadi masalah cuma aqidahnya saja yang sesat.
    Kita kena sedar juga bahawa Allah beri nikmat-Nya kepada dua-dua sama ada orang kafir atau orang beriman.
    Bahkan kadang-kadang orang kafir atau orang yang tidak beriman lebih banyak nikmatnya daripada orang mukmin di dunia.
    Tetapi ingat nikmat atas dunia ini tidak bermakna Allah sayang dengan redha kepada mereka!
    Lihatlah kepada manusia terkaya dalam negara kita ini atau atas dunia ini seluruhnya siapa?
    Allah beri nikmat atas dunia ini kepada semua yang dia sayang atau yang Dia murka & tidak sayang; tetapi nikmat Akhirat- Allah akan beri hanya kepada orang yang dia sayang & redha!
    Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang kamu redha & sayang dunia Akhirat.
  3. Ayat 258- {Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya,}-

    Nabi Ibrahim AS berdebat berlawan hujjah dengan raja yang mengaku Tuhan itu.
    Kata ulama’ : Ini menunjujukkan bahawa perlu ada sekumpulan orang mukmin yang pandai berhujjah dan berdebat dengan orang kafir untuk berdakwah.

    Kena belajar ilmu berdebat (Al-Munazarah- المناظرة) kerana ia adalah salah satu cara untuk menunjukkan kebenaran dan membatalkan kebatilan biar orang nampak!
    Bagi melawan hujjah orang kafir yang memperlekehkan agama Islam dan mempersoalkan tentang Aqidah.
    Tapi kena ingat nabi Ibrahim itu adalah seorang nabi & rasul yang mendapat wahyu dan petunjuk dari Allah SWT!
    Maka kita para pendakwah kena mahir & ada ilmu debat untuk melawan hujjah si batil.
    Jika tidak mampu berhujjah jangan cuba berlawan dengan mereka kerana akan memalukan & menampakkan kelemahan Islam pula.
    Antara pendakwah terkenal peringkat antarabangsa dalam bab berdebat dengan orang kafir ini ialah Syeikh Ahmad Deedat pada suatu masa dulu dan sekarang ini yang terkenal ialah anak muridnya Dr Zakir Naik.
    Dalam negeri kita pula ialah Maulana Mohd Asri yang hebat berhujjah melawan fahaman Syiah.
    Serta almarhum ayahanda TG Haji Abdul Rahman bin Sulaiman rahimahullah juga adalah seorang petah berdebat dan ada ilmu munazarah.

    Peringatan untuk pemuda-pemuda Islam : Jika tak ada ilmu dan tidak pandai berdebat, tidak ada pula hujjah yang mantap jangan berani-berani berhujjah dengan orang kafir kerana dikhuatiri kita pula yang akan koyak & terganggu aqidah dan merosakkan agama nanti! Wal ‘iyazu billah.
    Kena ada mereka yang mahir ilmu ini di kalangan pendakwah dan pihak Kerajaan yang berkuasa untuk menentang kebatilan dan menyampaikan kebenaran.
  4. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu).}-

    Nabi Ibrahim bukan pergi berdebat dengan tangan kosong, tetapi bawa dua point yang mantap :
    Point pertama agak lunak dan masih boleh dilawan oleh raja.
    Manakala point kedua adalah kemuncak yang tidak dapat dijawab lagi oleh raja kafir itu kerana dia sudah tidak ada hujjah untuk jawabnya.
    Apabila nak berdebat kita kena ada point atau punca untuk dipertahankan, jika tidak kita akan hanyut dan kena lipat balik oleh lawan.
    Kena pegang tajuk yang hendak didebatkan kemudian ada point atau hujjah yang mantap!
    Ada orang yang hebat dan mampu berdebat, ada juga orang yang bercakap pun tegagap-gagap, maka jangan cuba melawan.
  5. Ayat 258- {Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.}-

    Allah tidak akan beri hidayah petunjuk kepada orang yang zalim. Sama ada dia zalim dengan sebab syirik atau dengan sebab keangkuhan.
    Dia angkuh sombong kerana ada kuasa & harta, maka dia tidak akan dapat hidayah.
    Angkuh takabbur ini akan menyebabkan seseorang itu akan jauh dari kebenaran, dia tidak akan mudah berubah untuk menerima kebenaran, tidak akan dengar apa nasihat pun.
    Maka jika nak hidayah petunjuk dari Allah, kita kena jadi orang yang baik & tawadhuk, tunduk akur serta taat kepada perintah Allah Azza wa Jalla.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs