SURAH AS-SAJDAH : AYAT 23-25

\"\"

HUBUNGAN MANTAP ANTARA TAURAT DAN AL-QURAN, BANI ISRAEL DIBERI KEKUASAAN SETELAH BERSABAR & ALLAH AKAN MENENTUKAN KEBENARAN GOLONGAN YANG BERIKHTILAF

Full video : https://youtu.be/vo1h9-jHFN4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat-ayat siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang kaitan antara kitab al-Quran dan Kitab Taurat.
  2. Allah s.w.t juga sebutkan 2 ciri dan sifat yang melayakkan seseorang itu menjadi pejuang Islam, pemimpin ummah di atas dunia ini iaitu: Sabar & Yakin.
    Begitulah al-Quran setiap point itu akan dibincangkan pada tempatnya yang tertentu.
  3. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t juga ceritakan tentang penurunan al-Quran kepada kita. Hamba yang beriman apabila mendengarnya dibaca, akan segera bersujud kepada Allah s.w.t.
  4. Cerita dalam ayat ini tentang kitab Taurat yang diturunkan Allah kepada nabi Musa a.s. Bagaimana ada disebut dalam Taurat tentang Nabi akhir zaman yang akan diutuskan yang bernama Ahmad.
  5. Di dalam al-Quran juga ada disebut banyak tentang kisah Taurat, seolah kembar yang saling menyebut antara satu sama lain.
    Tidak bercanggah juga fakta antara dua Kitab ini, ini kerana keduanya adalah berasal dari lubang api, sumber cahaya yang sama, iaitu dari wahyu Allah s.w.t.
  6. Allah s.w.t berfirman dalam ayat 22 sebelum ini: {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya);}. Ayat ini menunjukkan bukan hanya kaum Quraisy yang lari dari Rasulullah s.a.w bahkan pengikut nabi Musa a.s dulu juga begitu, lari berpaling dari dakwahnya.
    Maka ayat ini menjadi penenang kepada hati Rasulullah s.a.w jangan sedih dan bimbang bahawa nabi-nabi dahulu juga telah menghadapi perkara yang sama dari segi tentangan dari para kafir yang keras kepala.
  7. Ada 3 prinsip asas dalam dakwah dan ayat al-Quran ini iaitu:
    i- tentang Risalah para Rasul.
    ii- Penciptaan makhluk- diceritakan tentang dalil penciptaan langit dan bumi, serta pelbagai lagi tanda-tanda
    iii- Tentang Ma\’ad – janji balasan dan kebangkitan semula,
    tentang yang mana orang kufur tetap menolaknnya lalu diceritakan bagaimana di akhirat kelak mereka dalam keadaan tunduk penuh penyesalan dan kehinaan akan pendustaan mereka itu.
  8. Ayat-ayat yang akan kita baca kali ini kembali kepada kisah asas Risalah Kenabian para nabi-nabi yang diutuskan Allah s.w.t.

AYAT 23-{DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MEMBERI KEPADA NABI MUSA KITAB TAURAT (SEBAGAIMANA KAMI BERIKAN AL-QURAN KEPADAMU WAHAI MUHAMMAD), MAKA JANGANLAH ENGKAU RAGU-RAGU MENYAMBUT DAN MENERIMANYA; DAN KAMI JADIKAN KITAB TAURAT ITU HIDAYAH PENUNJUK BAGI KAUM BANI ISRAIL.} (AS-SAJDAH 32:23)

  1. Allah s.w.t ceritakan di sini bahawa Dia telah berikan kepada Nabi Musa a.s sebuah Kitab bernama Taurat, sebagaimana diberikan al-Quran kepada Muhammad, Rasulullah s.a.w.
    Boleh dibaca dua-dua; Taurat atau Taurah- tengok tempat kita berhenti.
  2. Maka Allah s.w.t nasihatkan Rasulullah s.a.w agar jangan ragu-ragu lagi menerimanya, yakni al-Quran dan dakwah ini. Kamu juga kena bersedia menghadapai cabaran tentang dari kaummu nanti.
  3. Ada ulama\’ kata percakapan ini dituju kepada nabi Musa a.s agar jangan ragu juga dalam berdakwah dan menerima Kitab Taurat, kamu akan diberi pahala oleh Allah.
    Kedua tafsir ini ditafsirkan oleh ulama\’ Salafus-Soleh. Kita boleh kumpul keduanya.
  4. Ayat ini menerangkan bahawa turunnya wahyu kepada nabi-nabi itu bukan perkara baru, ia telah pernah berlaku sebelum ini.
  5. Kitab Tuarat itu diturunkan sebagai hidayah petunjuk bagi kaum Bani Israil. Juga semua kitab itu hidayah petunjuk kepada semua manusia setiap masanya. Ia juga menjadi sumber untuk kita meraih pahaka dan kebaikan darinya.
  6. Sesiapa yang menerima kitab itu dengan sabar dan yakin maka dia berhaklah menjadi pemimpin.
  7. Ulama\’ membincangkan kenapa tidak disebut tentang Nabi Isa a.s dan kitab Injil?
    Ini kerana pada masa itu di di sekitar Makkah dan Madinah, kaum Yahudi yang ramai, serta mereka menjadi tempat rujukan kepada kaum Arab untuk berhujjah dan melawan Rasulullah s.a.w. maka disebut tentang nabi dan kitab mereka untuk menarik perhatian mereka dan berdakwah kepada mereka.
  8. Juga kerana pada persepsi Yahudi & Nasrani tentang nabi Isa a.s amat berbeza; bagi yahudi Nabi Isa ini seorang yang tidak diterima di kalangan mereka, dianggap seorang yang tiada bapa dan hina, yakni amat merendahkannya.
    Manakala nasrani mengangkat Isa terlalu tinggi dengan mengatakannya anak tuhan bahkan ada yang kata tuhan sendiri! Kita orang muslim yang pertengahan dan paling benar, Isa a.s adalah manusia hamba Allah biasa yang terpilih dan dilantik menjadi Rasulullah oleh Allah.
  9. Untuk berdakwah dan mengambil hati sesuatu kaum, pada pringkat awal jangan kita bawa lagi isu yang mereka tidak terima serta boleh menjadi sebab penolakan.
  10. Ini juga menjadi dalil bahawa Allah s.w.t telah jadikan Taurat itu sebagai panduan kehidupan dan hidayat kepada bani Israil.

AYAT 24-{DAN KAMI JADIKAN DARI KALANGAN MEREKA BEBERAPA PEMIMPIN, YANG MEMBIMBING KAUM MASING-MASING KEPADA HUKUM AGAMA KAMI, SELAMA MEREKA BERSIKAP SABAR (DALAM MENJALANKAN TUGAS ITU) SERTA MEREKA TETAP YAKIN AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI.} (AS-SAJDAH 32:24)

  1. Allah s.w.t juga ceritakan telah dipilih dari kalangan bani Israil beberapa orang pemimpin yang baik untuk membimbing kaum mereka ke arah jalan kebaikan dan amal soleh dengan bimbingan Allah s.w.t.
  2. Itulah kerja ulama\’ setelah menerima kitab hendaklah mengajar dan memberi bimbingan kepada orang ramai dengan perintah Allah s.w.t- بِأَمْرِنَا .
  3. Ulama\’ membincangkan maksud kalimah بِأَمْرِنَا:
    i- dengan perintah Allah s.w.t iaitu dengan wahyu daripada Allah.
    ii- Kata Ibnu Asyur: ia termasuk wahyu Allah supaya bawa Syariat Islam dan bekerja memberi bimbingan.
  4. Tetapi dengan syarat setelah mereka bersabar di atas segala ujian dan cabaran.
    Sabar itu pula ada 3 kategori:
    i- Sabar dalam melakukan ketaatan.
    ii- Sabar dalam meninggalkan maksiat dan syahwat.
    iii- Sabar hadapi musibah ujian.
  5. Mereka itu bersabar dalam menjalankan perintah-perintah Allah, meninggalkan larangan-larangan-Nya, membenarkan rasul-rasul-Nya, mengikuti petunjuk yang dibawakan oleh para rasul kepada mereka dan menjauhi duniawi.
  6. Selain sabar mereka jug a tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Allah s.w.t.
  7. Maksudnya iman mereka kepada ayat-ayat Allah Ta\’ala mencapai darjat yakin, tanpa syak dan ragu, yang merupakan pengetahuan sempurna yang menghendaki untuk beramal.
    Dengan kesabaran dan keyakinan itulah mereka mendapat kedudukan sebagai pemimpin agama.

AYAT 25-{(PERTENTANGAN DI ANTARA SATU GOLONGAN DENGAN YANG LAIN ITU) SESUNGGUHNYA TUHANMU SAHAJALAH YANG AKAN MEMUTUSKAN HUKUMNYA DI ANTARA MEREKA PADA HARI KIAMAT, MENGENAI APA YANG MEREKA BERSELISIHAN PADANYA.} (AS-SAJDAH 32:25)

  1. Pertentangan di antara golongan manusia itu hanyalah Allah s.w.t yang dapat memutuskanya pada hari Kiamat lagi. Yakni hanya Allah yang Esa dapat menjatuhkan hukuman.
  2. Ini kerana semua manusia di atas dunia ini samada yahudi, nasrani, budha, hindu dan pelbagai lagi semua mendakwa bahawa mereka yang benar.
    Inilah ikhtilaf dalam agama, iaitu menyangkut masalah akidah dan amal perbuatan.
  3. Sedangkan Allah s.w.t telah berfirman bahawa hanya Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sebagai agama yang diterima dan penutup serta pelengkap kepada semua agama lain.
    Hanya Islam yang diterima dan segala agama lain telah dimansukhkan (terbatal) dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w dan Kitab al-Quran.
  4. Firman Allah s.w.t: { Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.} (Al-Maaidah 5:3)
  5. Adapun khilaf dalam agama Islam ada yang dibenarkan ada yang ditolak:
    i- Khilaf yang muktabar- yang masing-masing ada dalil, tetapi cara memahaminya berbeza, maka kerana itulah terjadi hukum yang berbeza.
    ii- khilaf yang tidak muktabar, ikut hawa nafsu semata.
    iii- khilaf yang diberi kelonggaran untuk berijtihad dalam hukum yang tiada dalil dalam al-Quran dan hadis. Jika ia betul dapat 2 pahala jika tidak betul dapat 1 pahala.
  6. Tetapi jika dalam dalil dari al-Quran dan hadis sudah ada tidak perlu kepada ijtihad lagi, kita boleh pakai hukuman berdasarkan huraian ulamak dan mengambil Qiyas pula kepada perkara yang hampir sama.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 24-{Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, …. selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.} –
    Kata Imam Sufyan Ibnu Ath-Thauri- apabila seseorang mengambil asas atau kepala dalam agama dan urusan hidup iaitu sabar dan yakin, maka dia berhak menjadi kepala juga yakni pemimpin kepada kaumnya!
  2. Ayat 24-{Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.} – jalan yang menuju kepada Allah s.w.t tidak dimasuki orang syak dan meragui Allah s.w.t, serta yang mengikut syahwat.
    Mereka adalah orang yang yakin dan sabar!
    Sabar meninggalkan maksiat dan nafsu syahwat, nafsu yang gilakan macam-macam.
    Kata bijakpandai Arab: Gila itu ada macam-macam perkara- الجنون فنون
  3. Ayat 24-{Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin,} – dalam ayat ini mereka akan dapat mencapai tahap tinggi ini kerana telah lalui beberapa sebab:
    i- sabar dalam belajar dan mengajar.
    ii- sabar dalam menjalankan tugas menyampaikan dakwah.
    iii sabar dalam menghadapi tentangan.
    iv- sabar dari maksiat.
    v- sabar dari terjebak dengan syahwat,
    vi- selepas habis peringkat sabar itu baru sampai ke peringkat yakin.
    vii- apakah pula Yakin? Kena ada ilmu yang mantap, kemudian beramal baru naik kepada yakin.
    Belajar ilmu yang benar, sabar atas segala yang disebut tadi baru keyakinan akan masuk ke dalam hati.
  4. Ayat 24-{Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin,… , selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu)} – ayat in imenunjukkan kelebihan SABAR. Orang yang bersabar akan diberi kekuasaan. Perjuangan itu panjang masanya. Dalil sifat sabar itu juga disayangi oleh Allah s.w.t.
  5. Ayat 24-{Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin,… , selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.} – dengan sabar dapat menolak segala keinginan nafsu syahwat manakala dengan yakin dapat menolak sebarang syubhat keraguan terhadap agama Islam.
  6. Keimanan itu dari segi amali terbina atas dua rukun iaitu YAKIN dan Sabar.
    i- Dengan yakinlah kita tahu bahawa buat ini dapat pahala, buat ini dapat dosa.
    Dengan yakin kita boleh tahu apa yang Allah perintah dan larang,
    ii- manakala dengan sabar kita dapat laksanakan dan amalkannya! Perlukan kesabar untuk melaksanakan keyakinan itu.
  7. Orang yang layak menjadi pemimpin ialah orang yang sabar dan yakin kerana dalam memperjuangkan agama dua sifat ini sangat penting sekali untuk mengamalkanya.
  8. Untuk mencari sesuatu ilmu yang kita nak dan cara untuk mendapatkanya juga mesti dengan sabar!
    Tidak mungkin orang yang tidak sabar akan dapat menuntut ilmu! Ilmu itu tidak dapat dikutip kecuali dengan sabar dan semangat yang jitu, jika tidak, akan lari sekerat jalan, tidak akan habis belajar jika tak sabar!!!
  9. Ayat 25-{Sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukum-Nya di antara mereka – إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ} – ini seolah percakapan Allah s.w.t kepada Nabi s.a.w tetapi maksud sebenarnya untuk seluruh umat manusia juga.
    Bila masing-masing sudah kata dia betul dan benar, maka tiada apa dapat kita buat lagi, tunggulah Pengadilan pada hari Kiamat nanti. Jauhilah diri dari ikhtilaf dan semua perkara yang dapat menggoreskan hati!
  10. Ayat 25-{Mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.} – ayat ini menjadi dalil tidak ada pertemuan antara Islam dan agama lain, tidak mungkin untuk menyamakan atau mendekatkan antara agama Islam dan agama lain seperti yahudi dan nasrani.
    Seperti tidak mungkin kita mengembalikan susu ke dalam kantungnnya semula.
    Tidak mungkin, kerana orang kafir itu apa saja nama agamanya maka ia adalah kafir!!!
    Semua agama lain telah terbatal dengan kedatangan Islam.

Ini adalah berbeza dengan perbezaan mazhab dalam agama Islam. Usul dan asas agama kita satu, rujukan kita adalah al-Quran dan Hadis yang sama, cuma berbeza tafsiran pendapat di kalangan ulama\’ mengikut pemahaman mereka dalam menafsirkan setiap dalil yang ada berdasarkan al-Quran dan sunnah, dalam beberapa hukum Feqah dan ibadat, bukan akidah dan sumber!!

Antara mazhab itu pula boleh saling diamalkan seperti kita satu Malaysia menerima dan mengunakan pendapat Abu Hanifah bahawa boleh dibayar zakat fitrah dengan duit sedangkan pendapat dalam mazahb Syafei kena bayar dengan beras.
Harmoni saja masyarakat jika fahaminya.

Ini sebab kita kena buka minda banyak mengaji dan mengkaji bahawa hukuman dalam Islam itu perlu kepada DALIL & TA\’LIL (sebab) jika tiada dalil; Contoh seperti hukum dadah yang tiada dalam al-Quran.

Betapa susahnya para ulama\’ kita mahu mengeluarkan hukum-hakam baru dek kerana wabak Covid ini, maka jangan pula kita jadi batu api, penghasut dan pemecah masyarakat dengan pelbagai pendapat dan tentanganm bahawa ini tiada dalam mazhab dan seumpamanya.

Powered by BetterDocs