SURAH ASY-SYU\’ARA\’ : AYAT 123-140

\"\"

KISAH NABI HUD DENGAN KAUM AD, MEMBINA BANGUNAN DENGAN KESOMBONGAN & KEBINASAAAN KAUM AD DENGAN ANGIN KENCANG.


Full video : https://youtu.be/Mvp2-_xM-OU


MUQADDIMAH :

1. Ini adalah kisah yang keempat tentang kisah nabi-nabi dalam surah ini. Sebelum ini Nabi Musa, Ibrahim, Nuh dan hari ini tentang Nabi Hud a.s dan kaumnya Ad.

2. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, antara tujuan ayat al-Quran diturunkan adalah untuk menenang dan menguatkan semangat Rasulullah s.a.w dengan dibawa kisah kaum terdahulu dan para nabi mereka. Juga sebagai ibrah dan pengajaran untuk kita semua.

3. Juga untuk menyatakan bahawa para pendakwah sepanjang zaman akan melaui jalan ujian dan cabaran, ada yang getir ada yang biasa ujiannya.

AYAT 123- { (DEMIKIAN JUGA) KAUM AAD TELAH MENDUSTAKAN RASUL-RASUL (YANG DIUTUS KEPADA MEREKA).} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:123)

1. Satu lagi contoh kaum yang dibinasakan oleh Allah s.w.t disebabkan kekufuran mereka ialah kaum Nabi Hud a.s iaitu kaum Ad. Kisanya bermula dari ayat ini sehingga ayat ke-140.

2. Mereka ini datang selepas Nabi Nuh, mereka tinggal di al-Ahqaf iaitu disekitar bukit-bukit pasir dekat Hadhra-Maut, Yaman- sempadan Arab Saudi sebelah selatan. Mereka umat yang besar dan kuat fizikalnya serta dikurniakan banyak nikmat dan kekayaan.

3. Mereka juga telah mendustakan nabi yang diutus kepada mereka iaitu Hud a.s. Tetapi mereka dianggap telah mendustakan para nabi semuanya seperti kaum Nuh sebelum ini. Matematik iman- tolak seorang rasul bermakna tolak semua rasul.

AYAT 124- {KETIKA SAUDARA MEREKA – NABI HUD, BERKATA KEPADA MEREKA: \”HENDAKNYA KAMU MEMATUHI PERINTAH ALLAH DAN MENJAUHI LARANGANNYA.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:124)

1. Kisahnya bermula apabila Nabi Hud yang juga berasal dari nasab keturunan kaum Ad sendiri, berdakwah kepada mereka dengan berkata: \”Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.”

AYAT 125- {\”SESUNGGUHNYA AKU INI SEORANG RASUL YANG AMANAH, (YANG DIUTUS OLEH ALLAH) KEPADA KAMU.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:125)

1. Nabi Hud a.s memperkenalkan diri dan tugasnya, iaitu sebagai seorang rasul yang dilantik oleh Allah s.w.t dengan membawa amanah dakwah kepada kaumnya.

2. Kita pun dalam urusan seharian atas dunia ini kena perkenalkan diri dan jawatan supaya tidak timbul kekeliruan dan salah-sangka orang ramai.

AYAT 126- {\”OLEH ITU, TAKUTILAH KAMU AKAN (KEMURKAAN) ALLAH, DAN TAATLAH KEPADAKU.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:126)

1. Seruanya kepada kaumnya, untuk mengelakkan kemurkaan Allah, terima dan ikutilah ajaran yang dibawanya.

AYAT 127- {\”DAN AKU TIDAK MEMINTA KEPADA KAMU SEBARANG UPAH MENGENAI APA YANG AKU SAMPAIKAN (DARI TUHANKU); BALASANKU HANYALAH TERSERAH KEPADA ALLAH TUHAN SEKAMU ALAM.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:127)

1. Nabi Hud a.s juga menerangkan bahawa dia berdakwah semata-mata kerana Allah. Dia tidak meminta dari mereka upah untuk apa yang disampaikannya kepada mereka.

2. Balasannya hanya diserahkan di sisi Allah s.w.t.

AYAT 128- {\”PATUTKAH KAMU MENDIRIKAN PADA TIAP-TIAP TEMPAT YANG TINGGI BANGUNAN-BANGUNAN YANG TERSERGAM, PADAHAL KAMU TIDAK MEMBUATNYA DENGAN SESUATU TUJUAN YANG BAIK.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:128)

1. Dalam ayat ini Nabi Hud menegur perbuatan mereka, yang suka membuat projek yang membazir, tiada keperluan dan dengan tujuan yang tidak baik.

2. Mereka membina bangunan-bangunan tinggi di atas bukit, yang tersergam megah.

3. Ulama\’ kata tujuan asalnya mereka bina supaya menjadi mercu-tanda kepada orang musafir yang datang dari jauh. Tetapi akhirnya menjadi riya’ kerana dibuat bukan dengan ikhlas atau kerana Allah s.w.t.

4. Sabda Rasulullah s.a.w:

مرَّ عليَّ رسولُ اللهِ ﷺ، ونحن نُعالجُ خُصًّا لنا وَهى، فقال: ما هذا؟ فقُلْنا: خُصٌّ لنا وَهى فنحن نُصْلِحُه. فقال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: ما أَرى الأمرَ إلا أَعْجَلَ مِن ذلك.

Dari Abdullah bin Amru r.a: Rasulullah s.a.w melalui kami ketika kami sedang membaiki khemah/bangsal kami, lalu Baginda bertanya: “Apa ini?” Kami menjawab: Ia adalah bangsal kami yang telah rosak lalu kami membaikinya. Baginda s.a.w lalu bersabda: “Tidak aku lihat perkara (kematian) yang lebih cepat datangnya daripada runtuhnya bangsal kamu ini.” [HR Abu Daud & Ibnu Majah].

Kata para ulama\’ Rasulullah s.a.w mahu memberi motivasi untuk mengambil dunia ini secara berpada-pada. Agar kita jangan tamak dan terlalu cinta kepada dunia.

5. Hakikat dunia walaupun kita rasa lama, tetapi ia adalah pendek dan akan berakhir. Kata DAAM: Dunia ini samada kita tingggalkan dia (mati) maka segala harta yang kita kumpulkan akan ditinggalkan dan menjadi milik orang lain. Atau dia tinggalkan kita, segala harta musnah atau hilang dek musibah atau ujian yang datang.

6. Hadis motivasi :

عن خباب بن الأرت:] دَخَلْنا على خَبّابٍ نَعُودُهُ، وقَدِ اكْتَوى سَبْعَ كَيّاتٍ، فَقالَ: إنَّ أصْحابَنا الَّذِينَ سَلَفُوا مَضَوْا ولَمْ تَنْقُصْهُمُ الدُّنْيا، وإنّا أصَبْنا ما لا نَجِدُ له مَوْضِعًا إلّا التُّرابَ، ولَوْلا أنَّ النَّبيَّ ﷺ نَهانا أنْ نَدْعُوَ بالمَوْتِ لَدَعَوْتُ به. ثُمَّ أتَيْناهُ مَرَّةً أُخْرى وهو يَبْنِي حائِطًا له، فَقالَ: إنَّ المُسْلِمَ لَيُؤْجَرُ في كُلِّ شَيءٍ يُنْفِقُهُ، إلّا في شَيءٍ يَجْعَلُهُ في هذا التُّرابِ.

Maksudnya secara ringkas: Riwayat dari Qais bin Abi Hazim r.a: Bahawa mereka pergi menziarahi Khabbab bin al-Arat r.a. seorang sahabat lama yang sedang terlantar sakit, dia telah berubat sebelum ini 7 kali dengan besi panas. Lalu Khabbab berkata:

“Sungguh, saya tidak merasa kesal atau kecewa, tetapi tuan-tuan telah mengingatkan saya kepada para sahabat dan sanak saudara kita yang telah masuk Islam awal dan telah pergi mendahului kita dengan membawa semua amal bakti mereka, sebelum mereka mendapat ganjaran di dunia sedikit pun jua! Sedang kita, kita masih tetap hidup dan beroleh kekayaan dunia, hingga tak ada tempat untuk menyimpannya lagi kecuali dalam tanah. Sekiranya aku tidak dengar Nabi s.a.w melarang minta mati, pasti aku akan memintanya. (kerana terlalu sakit sangat)

Kemudian dia sembuh dan selepas itu para kami pergi menziarahinya sekali lagi dan dia sedang membaiki pagar kebunnya. Lalu dia memberi nasihat sekali lagi:

\”Sesungguhnya seseorang akan diberikan pahala dalam semua yang dinafkahkannya, kecuali apa yang ia bina (bangunan) di atas tanah ini.\” {HR al-Bukhari].

Kata Imam Ibnu Hajar rhm., larangan itu untuk orang yang membuat binaan/rumah lebih daripada keperluan hidup.

AYAT 129- {\”DAN KAMU PULA BERSUSAH PAYAH MENDIRIKAN ISTANA-ISTANA DAN BENTENG-BENTENG YANG KUKUH DENGAN HARAPAN HENDAK KEKAL HIDUP SELAMA-LAMANYA?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:129)

1. Nabi Hud masih menegur mereka yang juga membina benteng-benteng, menara-menara, menara-menara air, tangki air dan kolam-kolam dengan membazir dan berlebihan.

2. Adakah mereka menyangka mereka akan hidup kekal dan berharap untuk tinggal di atas dunia ini selama-lamanya?

AYAT 130- {\”DAN APABILA KAMU MEMUKUL ATAU MENYEKSA, KAMU MELAKUKAN YANG DEMIKIAN DENGAN KEJAM BENGIS?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:130)

1. Sifat buruk mereka juga adalah kejam dan bengis, suka menyiksa dan memukul apabila bermusuh dan menghukum.

2. Ayat ini adalah peringatan kepada manusia semua agar jangan zalim kepada orang. Tetapi sekarang ini ada yang sebarkan ayat ini sebagai penawar sakit lutut!!!

3. Memang ayat-ayat al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar kepada manusia tetapi bukan begitu caranya.

AYAT 131- {\”OLEH ITU, TAKUTILAH KAMU AKAN (KEMURKAAN) ALLAH DAN TAATLAH KEPADAKU.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:131)

1. Nabi Hud memperingati kaumnya agar takut akan kemurkaan Allah s.w.t dan ikutilah segala ajaran yang dibawanya.

AYAT 132- {\”DAN BERBAKTILAH KAMU KEPADA ALLAH YANG TELAH MENOLONG KAMU DENGAN PEMBERIAN NIKMAT-NIKMATNYA YANG KAMU SEDIA MENGETAHUINYA.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:132)

1. Nabi Nuh juga mengingatkan mereka bahawa Allah s.w.t telah memberi mereka banyak anugerah nikmat-nikmat yang mereka sendiri tahu dan saksikannya.

AYAT 133- {\”DIBERINYA KAMU BINATANG-BINATANG TERNAK (YANG BIAK) SERTA ANAK-PINAK (YANG RAMAI),} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:133)

1. Antara nikmat yang diberi Allah kepada mereka ialah binatang-binatang ternak yang berkembang-biak serta anak-pinak yang ramai.

AYAT 134- {\”DAN TAMAN-TAMAN (YANG INDAH PERMAI) SERTA MATAIR-MATAIR (YANG MENGALIR).} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:134)

1. Serta taman-taman yang subur, indah permai serta matair-matair yang mengalir.

AYAT 135- {\”SESUNGGUHNYA AKU TAKUT, (BAHAWA) KAMU AKAN DITIMPA AZAB SEKSA HARI YANG BESAR (HURU-HARANYA)\”.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:135)

1. Nabi Hud mengingatkan mereka lagi bahawa dia takut mereka akan ditimpa azab seksa pada hari yang besar huru-haranya iaitu pada hari akhirat nanti.

AYAT 136- {MEREKA MENJAWAB: \”SAMA SAHAJA BAGI KAMI, SAMA ADA ENGKAU BERI NASIHAT PENGAJARAN, ATAU ENGKAU TIDAK MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG MEMBERI NASIHAT PENGAJARAN.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:136)

1. Dalam ayat ini baru kaum Hud menjawab nasihat dan peringatannya.

2. Mereka berkata tidak guna dia memberi masihat pengajaran, sama sahaja bagi mereka, tetap tidak akan terima dan dengarnya! Apatah lagi untuk beriman dan berubah. Yakni terus menolak tanpa mahu mendengar hujjah yang dibawa Hud a.s.

3. Firman Allah s.w.t dalam surah Hud: 53: {Mereka berkata: \”Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!}

AYAT 137- {\”SEGALA APA (YANG ENGKAU KATAKAN) INI, HANYALAH ADAT KEBIASAAN ORANG-ORANG DAHULU-KALA,} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:137)

1. Bahkan mereka mengatakan apa yang mereka buat ini hanyalah menyambung adat kebiasaan orang-orang dahulu-kala, perbuatan datuk nenek mereka dulu.

AYAT 138- {\”DAN KAMI PULA TIDAK AKAN DISEKSA\”.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:138)

1. Mereka tidak percaya apa yang dikatakan oleh Nabi Hud, mereka tidak percaya mereka akan dibangkit semula dan akan disiksa.

AYAT 139- {AKHIRNYA MEREKA MENDUSTAKAN RASUL ITU, LALU. SESUNGGUHNYA PADA PERISTIWA YANG DEMIKIAN, TERDAPAT SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH); DAN DALAM PADA ITU, KEBANYAKAN MEREKA TIDAK JUGA MAHU BERIMAN.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:139)

1. Lalu Allah s.w.t membinasakan mereka dengan sebab mendustakan Rasul itu.

2. Allah s.w.t terangkan bagaimana cara mereka dimusnahkan itu dalam firman -Nya:

{Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu).} [Fussilat- 16.]

3. Kenapa mereka dibinasakan oleh angin? Kata ulama\’ untuk disesuailan dengan binaan tinggi mereka di atas bukit itu, maka angin itu datang memusnah dan meruntuhkan bangunan-bangunan megah mereka itu.

4. Peristiwa kemusnahan ini adalah satu tanda yang membuktikan kekuasaan Allah s.w.t.

5. Tetapi masih ramai lagi manusia yang tidak mengambil pengajaran dan tidak beriman.

AYAT 140- {DAN SESUNGGUHNYA TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD), DIA LAH SAHAJA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:140)

1. Setiap kisah para Nabi ini ditutup dengan ayat ini.

2. Allah, Dia-lah sahaja Yang Maha Kuasa, yakni berkuasan dan mampu bila-bila masa saja untuk menurunkan tindakan dan hukuman azab yang segera ke atas mereka yang kufur dan ingkar.

3. Tetapi Dia juga Yang lagi Maha mengasihani; untuk menangguhkan azab itu kepada suatu tempoh yang dikehendaki-Nya, mudah-mudahan mereka bertaubat dan beriman, lalu selamatlah dunia dan akhirat.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

1. Melalui ayat 128– bahawa setiap manusia itu apabila membuat sesuatu pekerjaan kena ada matlamat, faedah dan tujuan, bukan kerana sia-sia dan untuk berbangga.

2. Pengajaran dari kisah kaum Ad, kaum yang suka membina bangunan megah dan tinggi ini biasanya bersifat:

i- suka meninggikan diri dan bermegah-megah.

ii- sukakan dunia, menyangka akan kekal, sehingga tidak ingat akan mati.

iii- sifat zalim dan kejam itu sukakan kedudukan, mahu kekal tidak mahu jatuh.

Jika kamu mahu orang ikut arahan kamu, maka keluarkan perintah yang orang boleh faham dan ikut.

3. Membina bangunan yang besar kerana sombong adalah sifat yang dicela oleh Syara’, yang diambil dari sifat orang-orang terdahulu.

4. Para pendakwah kena sentiasa mengingatkan masyarakat ini bahawa kita hidup atas dunia ini adalah dengan nikmat Allah s.w.t. maka kena syukur dengan taat kepada-Nya.

5. Kemudian selepas diingatkan nikmat ini, berilah mereka peringatan pula agar takut dan sentiasa ingat akan azab Allah s.w.t untuk menjauhkan perbuatan dosa dan maksiat.

6. Punca utama Allah s.w.t membinasakan kaum-kaum terdahulu adalah kerana mendustakan rasul-rasul.

7. Ayat 125– ada masanya kita kena perkenalkan diri kita supaya orang kenal dan tahu.

Kata ibnu Mas’ud ra.: Jika aku tahu ada orang yang lebih alim dari aku tentang al-Quran aku akan bersegera pergi kepadanya. Ini sesuai dengan tarafnya sebagai seorang sahabat Rasulullah yang alim dan tinggi ilmunya.

8. Ayat 127 – setiap para Rasulullah itu mengisytiharkan bahawa mereka tidak mengambil upah dari kaumnya.

Maka sebagai pengajaran untuk para pendakwah kena:

i- Ikhlas- kerana Allah.

ii- Ihtisab- mengharapakan pahala dari Allah bukan balasan dari manusia.

9. Punca manusia itu menolak kebenaran kerana:

i- tidak mahu mendengar hujjah,

ii- sifat sombong yang ada dalam dirinya.

10. Antara keangkuhan manusia ialah membina projek tanpa keperluan. Apabila terbengkalai, ia akan menjadi satu pembaziran yang tidak memberi manfaat dan faedah dunia apatah lagi akhirat.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs