Surah Al-Baqarah : Ayat 58-60

BANI ISRAIL DIPERINTAH MASUK BAITUL MAQDIS, MEREKA MENUKAR ARAHAN & AIR KELUAR DARI BATU.

Full video : https://youtu.be/sQ0TOYz0zKE?si=hohn6nwSYCfT4xhZ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam tafsir ayat 58 sehingga ayat 60 bagi surah Al-Baqarah.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bani Israel diperintah masuk Baitul Maqdis.
  1. Tetapi mereka menukar arahan Allah, memutar belitnya.
    Inilah perangai jahat yahudi yang kita wajib jauhi.
    Maka Allah sesatkan mereka di padang Pasir Sinai buat beberapa lama, ada kata selama 40 tahun.
  1. Mereka datang berjumpa Nabi Musa untuk memberikan mereka air. Allah berikan mukjizat kepada nabi Musa AS. Beliau memukul batu dengan tongkatnya lalu keluarlah air dari batu yang menjadi minuman buat menghilangkan dahaga bani Israel.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 58- {DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BERFIRMAN: “MASUKLAH KAMU KE BANDAR INI, KEMUDIAN MAKANLAH DARI BENDA-BENDA YANG ADA DI DALAMNYA DENGAN SEPUAS-PUASNYA, APA SAHAJA YANG KAMU SUKAI. DAN MASUKLAH KAMU MELALUI PINTUNYA DENGAN TUNDUK (MERENDAH DIRI); DAN (MINTALAH AMPUN DENGAN) BERKATA: ‘ YA ALLAH AMPUNILAH DOSA KAMI ‘; SUPAYA KAMI AMPUNKAN KESALAHAN-KESALAHAN KAMU, DAN KAMI AKAN TAMBAH PULA PAHALA ORANG-ORANG YANG BERBUAT BAIK”.} (AL-BAQARAH 2:58)

  1. Allah suruh ingat & ambil peringatan {وَإِذْ} lagi, apabila Allah berfirman kepada kaum bani Israel: Agar mereka masuk ke bandar ini {هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةَ} iaitu Baitul-Maqdis, setelah habis tempoh hukuman ke atas mereka.
    Ini setelah mereka sesat duduk berpusing di padang pasir Sinai sebagai hukuman ke atas mereka selama 40 tahun.
  1. Allah SWT tidak sebut apakah nama bandar itu {ٱلْقَرْيَةَ} kerana yang penting ialah pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah bani Israel ini!
  1. Tetapi jumhur ulama’ tafsir kata maksudnya bandar itu ialah Baitul-Maqdis di Palestin.
  1. Allah suruh mereka masuk ke dalam bandar itu makanlah sepuas-puasnya apa saja yang kamu suka sebagai rezeki dari Allah SWT.
    Inilah nikmat yang kesembilan untuk bani Israel!
  1. Tetapi Allah SWT beri syarat (SOP) peraturan kepada mereka: Untuk masuk dengan cara beradab, dengan perbuatan & percakapan yang tawadhu’, merendah diri tidak angkuh & sombong!
  1. Serta sambil meminta ampun dan minta maaf kepada Allah SWT dengan penuh insaf & menyesal atas segala kesalahan & dosa mereka.
    Inilah ujian ke atas mereka untuk melihat apakah mereka patuh atau tidak arahan Allah itu!
  1. Maka jika mereka ikut arahan Allah itu:
    i- Allah akan ampunkan dosa & kesalahan mereka yang lalu

    ii- Serta akan tambah pahala untuk kebaikan {ٱلْمُحْسِنِينَ} yang mereka yang akan buat.
  1. Ulama’ tafsir kata makna yang tepat untuk perkataan {ٱلْمُحْسِنِين} ini ialah: Allah akan perbetulkan aqidah kefahaman mereka, tauhid mereka akan mantap & Allah akan jaga keselamatan mereka!
  1. Dalam Islam ini ada dua sudut kebaikan:
    i- Baik & elok dalam ibadat kepada Allah.

    ii- Baik & esok juga muamalat pergaulan sesama manusia.
    Seperti memberi bantuan & pertolongan kepada orang yang memerlukan dari apa yang kita ada.

AYAT 59- {KEMUDIAN ORANG-ORANG YANG ZALIM (PENDERHAKA) ITU MENGUBAH PERKATAAN (PERINTAH KAMI) YANG DIKATAKAN KEPADA MEREKA DENGAN MELAKUKAN SEBALIKNYA; MAKA KAMI TURUNKAN KE ATAS ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU BALA BENCANA DARI LANGIT, DENGAN SEBAB MEREKA SENTIASA BERLAKU FASIK (MENDERHAKA).} (AL-BAQARAH 2:59)

  1. Kemudian orang yang zalim & derhaka itu mengubah perintah arahan Allah SWT dengan melakukan yang sebaliknya:
    i- Allah suruh berkata minta ampun (حِطَّةٌۭ) mereka tukarnya dengan perkataan (خِنطَّةٌۭ) iaitu dengan makna gandum.

    ii- Allah suruh masuk dengan tunduk tawadhu’ tetapi mereka main-main, perli dengan masuk sambil mengesot dengan punggung!
    Ya Allah betapa jahatnya kelakuan mereka! Degil tidak mahu ikut arahan Allah.
  1. Hadis- Rasulullah SAW bersabda: “Telah diserukan kepada bani Israel: masukilah pintu itu seraya menundukkan diri dan katakanlah (حِطَّةٌۭ- Bebaskanlah kami dari dosa). Namun mereka mengganti kata tersebut dengan (خِنطَّةٌۭ- satu biji gandum), sambil masuk dengan cara merangkak mengesot dengan punggung mereka.” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Tetapi apabila mereka zalim khianat dan buat kacau ingkar & lawan perintah Allah dengan mulut dan perbuatan maka Allah SWT turunkan bala azab { رِجْزًۭ} dari langit ke atas mereka!
  1. Kata ulama’ tafsir Allah menurunkan azab dari langit.
    Sebahagian ulama’ kata ialah wabak taun & 70 ribu dari kalangan mereka mati dengan sebab wabak ini.
    Dalam Al-Quran Allah tak sebut apakan azab dari langit itu dan angka jumlah kematian.
  1. Kita pun ambil peringatan juga:
    i- Baru-baru ini Allah SWT telah hantar virus Corona kepada seluruh dunia- semua dunia kena berkurung hatta masjid terpaksa ditutup.

    ii- Sekarang ini viral pula virus X- satu pandemic yang akan menyerang seluruh dunia mengikut WHO penyakit yang masih misteri.
    Pesanan & peringatan AAM berhati-hatilah kita agar jangan banyak dosa. Allah SWT hantar ujian fitnah ke atas umat akhir zaman ini melalui pintu penghinaan & cercaan.
    Hati-hati ada setengah orang suka belajar Quran, mengaji Quran tetapi akhlaknya tidak mencerminkan Al-Quran! Allahul-Musta’an.

AYAT 60- {DAN (INGATLAH) KETIKA NABI MUSA MEMOHON SUPAYA DIBERI AIR UNTUK KAUMNYA, MAKA KAMI BERFIRMAN: “PUKULAH BATU ITU DENGAN TONGKATMU”, (IA PUN MEMUKULNYA), LALU TERPANCUTLAH DARI BATU ITU DUA BELAS MATA AIR; SESUNGGUHNYA TIAP-TIAP SATU PUAK (DI ANTARA MEREKA) TELAH MENGETAHUI TEMPAT MINUMNYA MASING-MASING. (DAN KAMI BERFIRMAN): “MAKANLAH DAN MINUMLAH KAMU DARI REZEKI ALLAH ITU, DAN JANGANLAH KAMU MEREBAKKAN BENCANA KEROSAKAN DI MUKA BUMI”.} (AL-BAQARAH 2:60)

  1. Ini adalah nikmat yang kesepuluh ke atas bani Israel!
    Setelah berada dalam kepanasan di padang pasir dahagalah pula mereka. Lalu mereka datang mengadu kepada nabi Musa untuk mencari air.
  1. Nabi Musa AS pun berdoa memohon kepada Allah. Allah pun berfiman kepadanya: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu”.
  1. Nabi Musa pun memukulnya lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air.
    Ini adalah mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Musa AS.

    Kenapa 12? Ini kerana anak-anak Nabi Ya’kob dulu ada 12 orang maka dari mereka itu lahirlah 12 puak/kabilah dari kalangan bani Israel ini!
  1. Sesungguhnya tiap-tiap satu puak di antara mereka telah mengetahui tempat minumnya masing-masing.
    Ini supaya mereka tidak berkelahi & berebut pula untuk mengambil air itu!
  1. Kata ulama’ Allah SWT telah kurniakan nikmat kepada bani Israel ini:
    i- Nikmat makanan dari langit iaitu manna & salwa. (ayat lepas).

    ii- Kemudian air yang keluar dari batu.
  1. Yang penting Allah SWT berpesan kepada mereka agar jangan berkelahi & menyebarkan bencana & membuat kerosakan atas muka bumi ini.
  1. Tentang batu itu pula tidak diceritakan batu mana satu.
    Tetapi ada juga (قيل) ulama’ yang berpendapat ia adalah batu yang sama yang pernah melarikan pakaian nabi Musa dulu.
  1. Iaitu sebagaimana dalam kisah pelik dari hadis yang sahih ini:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ مُوسَى كَانَ رَجُلًا حَيِيًّا سِتِّيرًا لَا يُرَى مِنْ جِلْدِهِ شَيْءٌ اسْتِحْيَاءً مِنْهُ فَآذَاهُ مَنْ آذَاهُ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، فَقَالُوا : مَا يَسْتَتِرُ هَذَا التَّسَتُّرَ إِلَّا مِنْ عَيْبٍ بِجِلْدِهِ إِمَّا بَرَصٌ وَإِمَّا أُدْرَةٌ وَإِمَّا آفَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ أَرَادَ أَنْ يُبَرِّئَهُ مِمَّا ، قَالُوا لِمُوسَى : فَخَلَا يَوْمًا وَحْدَهُ فَوَضَعَ ثِيَابَهُ عَلَى الْحَجَرِ ثُمَّ اغْتَسَلَ فَلَمَّا فَرَغَ أَقْبَلَ إِلَى ثِيَابِهِ لِيَأْخُذَهَا وَإِنَّ الْحَجَرَ عَدَا بِثَوْبِهِ فَأَخَذَ مُوسَى عَصَاهُ وَطَلَبَ الْحَجَرَ فَجَعَلَ ، يَقُولُ : ثَوْبِي حَجَرُ ثَوْبِي حَجَرُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَلَإٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ فَرَأَوْهُ عُرْيَانًا أَحْسَنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ وَأَبْرَأَهُ مِمَّا ، يَقُولُونَ : وَقَامَ الْحَجَرُ فَأَخَذَ ثَوْبَهُ فَلَبِسَهُ وَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا بِعَصَاهُ فَوَاللَّهِ إِنَّ بِالْحَجَرِ لَنَدَبًا مِنْ أَثَرِ ضَرْبِهِ ثَلَاثًا أَوْ أَرْبَعًا أَوْ خَمْسًا فَذَلِكَ قَوْلُهُ : يَأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا

    Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    “Sesungguhnya Nabi Musa adalah seorang pemuda yang sangat pemalu dan sentiasa badannya tertutup sehingga tidak ada satu pun dari bahagian badannya yang terbuka kerana sangat pemalunya. Pada suatu hari ada orang-orang dari Bani Israil yang mengolok-oloknya. Mereka berkata; “Sesungguhnya tidaklah dia ini menutupi tubuhnya melainkan kerana kulit tubuhnya sangat buruk, boleh jadi kerana menderita sakit kusta, bisul atau penyakit-penyakit lainnya”. Sungguh Allah ingin membebaskan Nabi Musa dari apa yang mereka katakan terhadapnya, sehingga pada suatu hari dia mandi sendirian dengan telanjang dan meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka mandilah dia dan ketika telah selesai dia beranjak untuk mengambil pakaiannya namun batu itu telah melarikan pakaiannya. Maka Musa mengambil tongkatnya dan mengejar batu tersebut sambil memanggil-manggil; “Pakaianku, wahai batu. Pakaianku, wahai batu”. Sehingga akhirnya dia sampai ke tempat berkumpul para pembesar Bani Israil dan mereka melihat Musa dalam keadaan telanjang yang merupakan sebaik-baiknya ciptaan Allah. Dengan kejadian itu Allah membebaskan Musa dari apa yang mereka katakan selama ini. Akhirnya batu itu berhenti lalu Musa mengambil pakaiannya dan memakainya. Kemudian Musa memukul batu tersebut dengan tongkatnya. Sungguh demi Allah, di batu tersebut masih nampak bekas pukulan Musa, tiga, empat atau lima pukulan. Inilah di antara kisah Nabi Musa seperti difirmankan Allah Ta’ala: {“Wahai orang-orang beriman janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang mengolok-olok (menyakiti) Musa lalu Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan”.} (HR. Al-Bukhari no. 3404).
  1. Tetapi tidak disebut dalam hadis lain atau dalam Al-Quran tentang batu yang keluar air itu adalah batu ini!
    Maka untuk lebih tenang kita pilih pendapat ini, bahawa ia adalah batu lain yang umum, yang dipukul oleh Musa AS tanpa memilih & mencarinya!
  1. Arahan Allah juga kepada bani Israel agar mereka makanlah dan minumlah dari rezeki Allah itu tanpa penat.
  1. Kata ulama’ usul : Arahan ini adalah petunjuk & menunjukan kepada keharusan. Tetapi dengan syarat jangan buat kerosakan iaitu tidak ikut perintah Allah & arahan Rasulullah SAW.
  1. Mereka ini telah sesat di padang pasir selama 40 tahun.
    Mereka telah diberi kelebihan makan makanan dari langit. Itu adalah satu nikmat dan keajaiban yang sepatutnya menguatkan iman mereka.
  1. Tetapi mereka masih lagi berbuat zalim dan berbuat fasik. Dikatakan selama 40 tahun itu telah mati ramai generasi pertama yang fasiq dan keras kepala ingkar kepada perintah Allah itu!
    Sepatutnya keluarlah generasi baru yang lebih taat & dengar kata Nabi Musa AS tetapi begitulah hakikat dunia ini tidak akan habis selagi ada manusia selagi itu akan ada semula watak-watak sebelumnya!
  1. Kebetulan nabi Musa AS ini banyak berkait dengan angka 40:
    i- Bermunajat di Tursina selama 40 malam.

    ii- Sesat di Padang Pasir Sinai selama 40 tahun.

    iii- Bahkan ada ulama’ kata : Nabi Musa berdoa untuk kebinasaan Firaun tetapi selepas 40 tahun baru Allah kabulkannya dengan tenggelamnya Firaun di dalam laut!
    Kerana itu kita jangan gopoh nak Allah kabulkan doa kita dengan segera, baru dua tiga kali berdoa dah rasa lambat!
    Lihatlah nabi Musa itu rasul & nabi tetapi Allah bagi tempoh yang lama juga supaya dia sabar!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 58- {Dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu.}-

    Allah suruh mereka meminta ampun akan kesalahan mereka di sini {وَقُولُوا۟ حِطَّةٌۭ}.
    Tetapi mereka dengan perangai buruk & degil keras kepala:
    i- Mereka menukarnya kepada (حنطّةٌۭ) dengan makna satu biji gandum di atas rambut.

    ii- Allah suruh masuk bandar itu dengan tunduk tawadhu’ tetapi mereka masuk sambil mengesot dengan punggung!
    Tujuan mereka berbuat begitu hanyalah untuk menyalahi arahan Allah SWT, maka mereka adalah kaum yang derhaka, keras kepala dan mempermainkan arahan Allah SWT.
    Maka Allah turunkan azab & kehinaan kepada mereka!

    Ayat ini menjadi dalil sesiapa yang tukar arahan Allah SWT yang telah ada nas yang jelas dalam Al-Quran atau dalam Sunnah Nabi, lafaz tentang ibadat kepada Allah & ditukarnya dengan yang lain, maka orang itu akan termasuk dalam golongan (حنطّةٌۭ) ini.
    Tidak boleh kita tukar lafaz atau kalimah-kalimah yang telah disebut oleh Allah Azza wa Jalla, yang dalam ibadat!
    Contoh: Seperti doa nak tidur yang diajar oleh Rasulullah SAW pada seorang sahabat, lalu beliau tersilap sebut satu kalimah, Rasulullah SAW terus membetulkan bacaannya.

    Hadis- Daripada Al-Bara Bin ‘Azib RA meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku:
    “Jika kamu mendatangi tempat tidurmu, berwudhuklah seperti wudhuk untuk solat, selepas itu baringlah di atas rusuk kananmu dan membaca doa ini:
    اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْلَمْتُ نَفْسِيْ إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِيْ إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِيْ إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِيْ إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِيْ أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ.

    (Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku menghadapkan wajahku kepada-Mu, aku menyerahkan semua urusanku kepada-Mu, aku menyandarkan belakangku kepada (pemeliharaan)-Mu, kerana mengharapkan kelebihan-Mu yang luas dan nikmat-Mu yang agung, dan berlindung dari kemurkaan-Mu. Tidak ada tempat perlindungan dan keselamatan dari (kemurkaan)-Mu, kecuali kembali kepada-Mu. Aku beriman pada kitab yang telah Engkau turunkan, dan kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan.) Jika kamu meninggal dunia (di waktu tidur), maka kamu meninggal dunia dalam keadaan fitrah (agama Islam), maka jadikanlah ungkapan ini akhir perkataan kamu (sebelum tidur).” Maka aku mengulangi membaca doa ini untuk mengingatinya, aku menyebut: آَمَنْتُ بِرَسُوْلِكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ (sedangkan tadi baginda membaca: وَبِنَبِيِّكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ)
    Rasulullah bersabda: “Tidak, (kekalkan dengan membaca:) وَبِنَبِيِّكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ.”
    [HR al-Bukhari dan Muslim]

    Kita hari ini banyak tukar, tambah buat sendiri banyak zikir & wirid, yang diambil dari syeikh tu syeikh ni, bahkan dari mimpi orang lain!
    Siapakah mereka ini berbanding dengan Rasulullah SAW yang menerima wahyu dari Allah Azza wa Jalla?
    Contohnya seperti zikir selepas solat. Seolah zikir yang ma’thur dari Nabi SAW, yang Nabi ajar itu tidak cukup & tidak lengkap, dibaca ditambah lagi mengikut pelbagai sanad, diambil dari ulama’-ulama’ yang tidak sampai 100 tahun lagi matinya!
    Direka dibaca kemudian dinisbahkan kepada tarikat mereka, kepada Syeikh mereka lalu bertambah pengikutnya.
    Perkara yang berkait dengan nas Syar’ie jangan tukar! Sedangkan Allah telah murka & cerca bani Israel dengan sebab perbuatan mereka itu, tukar lafaz Allah telah wahyukan!

    Ulama’ berbeza pendapat & mengatakan harus dalam:
    i- Bab hadis: tentang meriwayatkan hadis bil-ma’na (dengan makna) kerana mungkin untuk meriwayatkan hadis Rasulullah SAW dengan lafaz yang tepat 100% adalah agak sukar.
    Maka harus dengan syarat isi hadis jangan lari!

    ii- Begitu juga harus untuk menterjemahkan makna Al-Quran kepada bahasa yang ada di atas dunia ini.
    Kerana bukan semua orang faham Al-Quran & tahu bahasa Arab, ia perlu kepada terjemahan, kepada huraian.
    Seperti kita bahasa Melayu Tafsir Pimpinan, orang Jepun bahasa Jepun, orang Jerman bahasa Jerman, orang putih bahasa English dan lain-lain.
    Maka ia harus, bukan terjemah Al-Quran tetapi terjemah makna Al-Quran, kerana tidak sampai otak kita untuk terjemah Al-Quran kerana ia Kalamullah bukan senang-senang untuk diterjemahkan!
  1. Ayat 58- {Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.}-

    Ayat ini mengajar kepada kita apabila mendapat pertolongan Allah SWT, seperti menang dan mahu masuk ke mana-mana negeri hendaklah dengan tunduk merendah diri dan bersyukur kepada Allah.
    Jangan sombong & berbangga dengan kekuatan kita, kebijaksanaan kita, konon kita berjaya dengan taktik kita kerana semua itu hanya sementara dan rapuih sahaja!
    Bila Allah nak tariknya, boleh hilang hanya dalam sekelip mata saja!

    Ayat ini juga menunjukkan bahawa sesiapa yang berjuang kerana Allah dengan Ikhlas, merendah diri & sentiasa beristighfar kepada Allah, nescaya Allah akan hapuskan kesalahannya & janji untuk beri kebaikan yang banyak kepadanya.

    Maka sebab untuk dapat banyak nikmat dari Allah ialah:
    i- Banyak beristighfar.

    ii- Tawadhu’.

    ii- Ihsan iaitu berbuat baik sesama manusia!
  1. Ayat 59- {maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).}-

    Allah akan turunkan bala ke atas orang yang zalim.
    Allah SWT gunakan kalimah secara zahir. Allah akan turunkan bala { رِجْزًۭا} dari langit ke atas orang yang zalim { عَلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟}
    Sedangkan dalam firman Allah SWT dalam surah ini pula digunakan hanya kata ganti nama (dhamir- ضمير) Sahaja iaitu mereka (هم): { فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِجْزًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا كَانُوا۟ يَظْلِمُونَ}- {Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.} (Al-A’raaf 7:162)

    Kenapa dalam ayat ini Allah gunakan kalimah yang zahir??
    Jawapannya:
    i- Untuk menampakkan huduh & buruknya peragai mereka serta betapa kejinya perbuatan zalim itu.

    ii- Maka untuk menampakkan bahayanya perbuatan itu Allah SWT guna kalimah zahir.
    Apakah pula perbezaan ayat ini dengan ayat dari surah Al-A’raf itu?

    Kata ulama’:
    i- Dalam ayat Al-Baqarah ini kerana mereka berbuat zalim ketika Allah beri segala nikmat kepada mereka, maka kerana itu Allah guna nama khas & zahir atas mereka untuk mencela mereka. Maka orang yang dengar akan ambil perhatian.

    ii- Manakala dalam surah Al-A’raf, Allah sebut semata-mata untuk beri pengajaran daripada perbuatan & kesalahan bani Israel.
    Kita minta berlindung dengan Allah SWT dari azab & kemurkaan-Nya!
  1. Ayat 60- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu”.}-

    Nabi Musa AS minta dengan Allah SWT air kerana kaumnya mengadu dahaga & kepanasan akibat ketiadaan air di padang pasir itu!
    Maka disyari’atkan kita minta hujan ketika perlu.
    Nabi Musa di padang pasir minta air atau hujan. Kita pun ketika kemarau boleh buat solat istisqa’ iaitu minta hujan!
    Syari’at nabi Musa menjadi Syari’at kita juga, tiada percanggahan.

    Solat istisqa’ ini adalah Sunnah untuk menzahir, menunjukkan kefakiran kita kepada Allah Azza wa Jalla, miskin & berhajatnya kita kepada pertolongan Allah SWT dengan cara kita solat istisqa’. Kerana itu jangan keluar untuk solat minta hujan dengan bongkak & berpakaian mewah & megah! Yakni dengan penampilan sederhana, tawadhu’ (merendah hati), tadharru’ (bersungguh-sungguh dalam memohon) dan tamaskun (menunjukkan benar-benar perlukan permintaan tersebut).

    Hadis- Daripada Ibnu Abbas RA, dia berkata:
    خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَوَاضِعًا مُتَبَذِّلاً مُتَخَشِّعًا مُتَضَرِّعًا، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَمَا يُصَلِّي فِي الْعِيدَيْنِ وَلَمْ يَخْطُبْ خُطْبَتَكُمْ هَذِهِ.
    Rasulullah SAW keluar (untuk solat Istisqa’) dengan penuh tawadhuk, mengenakan pakaian biasa (bukan pakaian yang indah-indah seperti solat sunat pada Hari Raya-pen) dengan penuh khusyuk & harapan. Baginda bersolat dua rakaat sebagaimana solat Hari Raya, tetapi tidak berkhutbah seperti khutbah yang biasa itu. [HR Imam Al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Al-Istisqa’, no: 1504.].

    Ayat ini menunjukkan bahawa Allah beri kepada kita nikmat yang baik maka jangan kita lupakannya!
    Di akhir ayat Allah berfirman: {(Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.}-
    Ini untuk mengingatkan kita bahawa segala nikmat yang kita dapat ini adalah rezeki dari Allah SWT bukan kerana hasil usaha kita semata. Semuanya adalah nikmat dari Allah SWT.
  1. Ayat 60- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air;}-

    Bila kaumnya mengadu minta hujan atau air, nabi Musa tidak disuruh untuk berdoa minta hujan dari langit, tetapi diperintahkan untuk memukul batu yang ada di bumi.
    Maka ulama’ tadabbur kata : Sesungguhnya minta air sebagaimana minta turun air dari langit, juga nak menunjukkan bahawa sumber air kita juga ada dari bumi. Yakni sumber air kita ada dua; sama ada turun dari langit atau keluar dari perut bumi!

    Maka para jemaah, yang penting syukurilah nikmat yang ada, jaga kebersihan sungai & tali air kita, pelihara & jaganya jangan dijadikan sebagai tempat buang sampah-sarap, kotoran atau sisa yang berbahaya dan seumpamanya.
    Sungai kita sekarang ini tidak harmoni lagi sama ada kotor atau keruh.
    Sekian dulu semoga Allah SWT beri kita kefahaman & pengajaran, sama-samalah kita jaga nikmat yang ada sambil mensyukurinya.

Powered by BetterDocs