Surah Al-Nahl : Ayat 84-89

\"\"

Tafsir Surah An-Nahli (15) Ayat [84-89];
Live Pagi Khamis 06 Rajab 1442H = 18/02/2021 Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani –
-Para Rasul menjadi saksi.
– Perbalahan berhala dengan penyembahnya.
-Tambahan azab ke atas kafir.
-Quran sebagai tibyan kepada semua perkara.

https://fb.watch/3KfT5FP1Ad/

Kuliah lepas Allah s.w.t telah menyebut banyak dan pelbagai jenis nikmat-Nya kepada manusia. Tetapi mereka yang kafir, ingkar dan syirik tetap mendustakannya.
Walaupun sebenarnya ada antara mereka yang mengetahui semua ini adalah benar terutamanya para ahli kitab yahudi dan nasrani, tetapi mereka tetap menutup matanya tidak mahu menerima kebenaran.

Peringatan dan ancaman untuk mereka yang syirik:
*Ayat 84- {Dan (ingatkanlah kepada mereka yang musyrik tentang) hari Kami bangkitkan dari tiap-tiap umat, seorang saksi; kemudian tidak diizinkan bagi orang-orang yang kafir (memberi sebarang alasan), dan mereka pula tidak diminta memohon keredaan Allah.}

Pada hari Kiamat nanti,:
1. Setiap orang Rasul itu akan menjadi saksi kepada umat masing-masing. Bahawa mereka telah mnyampaikan dakwah dan risalah dari Allah s.w.t. Maka tiada alasan bagi manusia yang tidak beriman.
2. Para kafir dan musyrik akan diadili bagi perbuatan jahat mereka dulu, tiada alasan atau apa-apa keuzuran bagi mereka, walaupun mereka mencubanya.
2. Ini kerana sudah terlambat, pintu taubat sudah tertutup. Samada kerana mati (kiamat kecil) atau Kiamat sebenar sudah berlaku.

*Ayat 85. {Dan apabila orang-orang yang melakukan kezaliman (dengan kekufurannya) itu melihat azab, maka tidak akan diringankan azab itu daripada mereka, dan mereka pula tidak diberi tempoh.|
Kata ulama\’, hisab orang kafir pada hari Kiamat nanti adalah:
1. Apabila mereka melihat azab yang didepan mata, maka tiada penangguhan lagi.
2. Tiada hisab atau kira-kira lagi kerana tiada amalan kebaikan yang mereka bawa ke akhirat, sudah dibalas atas dunia dulu dengan nikmat-nikmat yang banyak, atau akan menjadi debu yang berterbangan sahaja.
3. Mereka akan diadili segala perbuatan jahat mereka ke atas orang lain, tetapi tiada timbangan amal kebaikan kerana semuanya adalah keburukan.

*Ayat 86- {Dan apabila orang-orang musyrik melihat makhluk-makhluk dan benda-benda yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah, mereka berkata: \”Wahai Tuhan kami, inilah dia yang kami jadikan sekutu-sekutu (bagiMu), yang kami sembah mereka dengan meninggalkanMu\”. Maka dengan serta-merta makhluk-makhluk yang puja itu menolak dakwaan mereka dengan berkata: \”Sesungguhnya kamu adalah berdusta\”.}

Keadaan orang kafir dan sembahan mereka, perbalahan dalam neraka:
1. Orang kafir cuba memberi alasan dan mencari simpati dengan menunjuk kepada sembahan mereka, cuba menyalahkan benda-benda makhluk itu.
2. Tetapi dengan segera makhluk-makhluk yang disembah itu menolak dan menafikan dakwaan mereka dengan berkata: \”Sesungguhnya kamu adalah berdusta,\”. Masing-masing saling menunjuk dan menyalahkan.

*Ayat 87- {Dan pada hari itu mereka semua menyerah diri bulat-bulat kepada Allah, dan hilang lenyaplah dari mereka (yang musyrik itu) apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu-sekutu Allah).}

Keadaan orang kafir dan musyrik pada hari Kiamat:
1. Baru insaf dan menyerah diri bulat-bulat pada Allah. Tetapi tiada gunanya lagi.
2. Tiada apa yg boleh menolong mereka lagi pada hari itu, segala sembahan dan sekutu mereka semuanya telah hilang lenyap.
3. Ini kerana mereka semuanya adalah makhluk yang lemah dan tidak berdaya kecuali dengan kuasa Allah s.w.t.

Kerana itu atas dunia ini, tinggalkanlah dan jangan sekali-kali terlibat walaupun dengan perkara yang syubhah dan tidak jelas haramnya, lebih baik kita tinggalkan dan jauhinya, kerana untuk selamat di Akhirat nanti, sembah dan bertawakkallah kepada Allah swt sepenuhnya.

*Ayat 88- {Orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya serta orang lain) dari jalan Allah, Kami tambahi mereka azab seksa di samping azab (yang menimpa mereka), disebabkan mereka membuat kerosakan.}

Ayat 88- Apakah maksud azab bertambah azab ini?
Dalam menafsirkan ayat ini Ulama’ berkata (Abdullah bin Mas\’ud r.a):
Orang kafir yang telah dikenakan azab, apabila mereka sakit dan bertempik minta dikurangkan, maka akan ditambah lagi azab mereka, seperti dibawa kala jengking yang besar, taringnya saja sebesar batang tamar. Amat mengerikan dan menakutkan. Nauzubillah.

Azab ke atas orang kafir itu berbeza-beza mengikut tahap kekufurannya, sebagaimana nikmat orang mukmin itu juga berbeza mengikut tarafnya.
* Moga Allah s.w.t matikan kita dalam husnul-khatimah, masuk syurga dan selamat daripada azab neraka.

*Ayat 89- {Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.}

Ayat 89- Apabila manusia dibangkitkan di akhirat kelak:
1. Setiap rasul menjadi saksi kepada umat masing-masing.
2. Nabi Muhammad s.a.w akan menjadi saksi kepada umatnya.
3. Nabi Muhammad dan umatnya semua pula akan menjadi saksi kepada semua rasul-rasul yang terdahulu.
4. Allah juga turunkan Al-Quran kepada manusia yang sifatnya:

Sifat al-Quran:
1. Tibyan – Sebagai penjelasan kepada manusia.
2. Hudan- Kitab sebagai hidayah petunjuk.
3. Rahmatan- Membawa rahmat di dunia dan akhirat.
4. Busyra- berita gembira bagi kaum muslimin.

Persoalan:
Jika al-Quran itu sifatnya (Tibyan) – Sebagai penjelasan kepada manusia; kenapa berlaku percanggahan pendapat di kalangan ulama’ sejak dari zaman sahabat dan ulama\’-ulama\’ zaman dulu lagi:
Jawapannya, kerana:
1. Hukum yang dinyatakan al-Quran tidak diputuskan secara khusus, sebahagiannya hanyalah diambil secara istinbat, penjelasan oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w, jika tidak, tidak akan cukup al-Quran sebanyak 30 juzuk ini.
2. Setelah diperhati ayat-ayat al-Quran, barulah ulama\’ keluarkan hukum secara Qias. Cuma tidak boleh qias dalam bab ibadat, contoh- seperti qias boleh bayar fidyah dalam bab puasa dengan bab solat- majoriti ulama\’ kata tidak boleh.
3. Tibyan di sini juga bermaksud agama ini sempurna, lengkap, tidak perlu tokok tambah lagi. Apa yang diperlukan oleh manusia dari segi amalan agama dan ibadat sudah lengkap, Cuma dari segi kehidupan dunia yang boleh ditambah baik ikut zaman.
4. Tibyan juga maksudnya tidak ada ayat al-Quran yang tidak difahami oleh akal manusia. Kerana tidak mungkin Allah s.w.t menurunkan al-Quran yang tidak dapat difahami. Jika orang biasa tidak memahaminya, para ulama\’, orang yang diberi ilmu akan memahaminya. Tetapi kefahaman para ulama\’ itu berbeza-beza mengikut tahap pemberian ilmu Allah kepada mereka, manhaj dan cara penafsirannya.

Wallahu a’lam.
#UAM Catatan Kuliah Subuh. Khamis, 18 Feb 2021.

Powered by BetterDocs