SURAH AL-QASAS : AYAT 22-25

\"\"

NABI MUSA MOHON PETUNJUK KE MADYAN, MEMBANTU BERI MINUM KAMBING & MUSA DIJEMPUT MENJADI TETAMU DAN MENDAPAT MAKLUMAT KESELAMATANNYA.

Full video : https://youtu.be/2MUp_NqWb8U

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas kisah nabi Musa a.s yang tersalah membunuh seorang Qibti tanpa sengaja, kemudian terjadi lagi kejadian pada hari berikutnya yang menyebakan kes itu telah diketahui oleh pemerintah dan Fir\’aun.
  2. Apabila Fir\’aun telah bermesyuarat membuat keputusan untuk menangkap Musa a.s, datang seorang lelaki soleh menasihai Musa a.s supaya segera menyelamatkan dirinya kerana Fir\’aun mahu memburunya.
  3. Lalu Nabi Musa a.s. segera keluar meninggalkan Mesir di malam hari seorang diri menuju ke negeri Madyan.
  4. Dalam perjalanan yang cemas itu nabi Musa a.s tidak melupakan Tuhannya dengan berdoa: {\”Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim\”.}
    (Al-Qasas 28:21)
  5. Dalam siri ini kita lihat bagaimana dan ke mana akhir perjalanan nabi Musa a.s ini.

AYAT 22- {DAN SETELAH IA (MENINGGALKAN MESIR DALAM PERJALANAN) MENUJU KE NEGERI MADYAN, BERDOALAH IA DENGAN BERKATA: \”MUDAH-MUDAHAN TUHANKU MENUNJUKKAN JALAN YANG BENAR KEPADAKU,\”.} (AL-QASAS 28:22)

  1. Dalam perjalanan nabi Musa a.s berdoa lagi agar perjalanannya selamat dan mudah menuju ke tempat yang ditujunya iaitu Madyan.
  2. Dia berdoa: \”Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.\”
  3. Doa Musa a.s ini boleh untuk dua-dua samada ditunjuki jalan hakiki (hissi) untuk ke Madyan kerana dia tidak pernah kenal dan tahu jalannya, keluar pula seorang diri tanpa peta apatah lagi GPS. Juga meminta ditunjuki jalah hidayat sebagai pedoman hidupnya.
    Kita boleh katakan dua-dua nabi Musa a.s minta dan dapat, alhamdulillah.
  4. Perbincangan: Kenapa Musa a.s pilih untuk keluar ke Madyan?
    i- negeri yang paling dekat dengan Mesir ketika itu yang bukan di bawah jajahan takluk Firaun. Ahli sejarah berkata jaraknya adalah selama 8 hari dengan berjalan kaki.
    ii- kerana masih ada kaum keluarga yang dari keturunannya, bani Israil di Madyan. Seolah mencari perlindungan ahli keluarga.
  5. Akhirnya selepas seminggu lebih mengembara, nabi Musa a.s selamat sampai di Madyan pada waktu pagi atau tengahari, yang penting pada waktu siang.

AYAT 23- {DAN KETIKA DIA SAMPAI DI TELAGA AIR NEGERI MADYAN, IA DAPATI DI SITU SEKUMPULAN ORANG-ORANG LELAKI SEDANG MEMBERI MINUM (BINATANG TERNAK MASING-MASING), DAN IA JUGA DAPATI DI SEBELAH MEREKA DUA PEREMPUAN YANG SEDANG MENAHAN KAMBING-KAMBINGNYA. DIA BERTANYA: \”APA HAL KAMU BERDUA?\” MEREKA MENJAWAB: \”KAMI TIDAK MEMBERI MINUM (KAMBING-KAMBING KAMI) SEHINGGA PENGEMBALA-PENGEMBALA ITU MEMBAWA BALIK BINATANG TERNAK MASING-MASING; DAN BAPA KAMI SEORANG YANG TERLALU TUA UMURNYA\”.} (AL-QASAS 28:23)

  1. Akhirnya Musa a.s tiba di sebuah telaga sumber air di Madyan yang menjadi tumpuan para penternak kawasan itu berkumpul untuk memberi minum binatang ternakan mereka.
  2. Di situ dia dapati dua orang gadis duduk jauh, terpinggir dari orang ramai, sedang menjaga kambing-kambing mereka. Nabi Musa a.s lantas bertanya kepada mereka, apahal kamu berdua ni, kenapa tidak bawa kambing kamu pergi minum air di tempat telaga orang ramai itu?
  3. Mereka memberitahu bahawa mereka sedang menunggu giliran sehingga orang ramai kaum lelaki ramai-ramai itu selesai, barulah mereka boleh memberi minum kambing mereka. Yakni ini kerana:
    i- mereka tidak mahu bercampur dengan kaum lelaki & berebut dengan orang ramai.
    ii- kerana mereka lemah dan terpinggir.
    Bapa mereka pula seorang syeikh tua yang sudah lemah serta tiada anak lain melainkan mereka berdua. Menternak kambing pula merupakan pekerjaan utama, sebagai sumber makanan dan minuman utama mereka.
  4. Madyan adalah negeri yang diutuskan Nabi Syuaib a.s. Madyan ini terletak di negara Jordan hari ini, berjiran dengan negara Mesir. Kerana itu ada ulama\’ yang berpendapat bahawa bapa mereka itu adalah nabi Syuaib yang tersebut.
  5. Maka kita akan lihat 2 pandangan ulama\’ tentang isu ini:
    a- Kata al-Qurtubi kebanyakan ulama\’ tafsir mengatakan Syeikh, lelaki tua bapa kepada dua gadis itu adalah nabi Syuaib. Ini adalah pandangan pertama.
    b- Manakala pandangan kedua pula mengatakan Syeikh itu, bukanlah nabi Syuaib yang makruf dalam al-Quran. Dia adalah seorang tua yang soleh dan dihormati.
    Antaranya pendapat Imam Ibnu Kathir.
    Dalil mereka ini sebagaimanan dalam Tafsir as-Sa\’adi:
    i- tiada dalil yang jelas menunjukkannya.
    ii- tetapi tidak dinafikan Nabi Syuaib pernah berdakwah kepada kaumnya di Madyan tetapi tidak pasti adakah itu dia dan bila masanya.
    ii- tidak diketahui tarikh tepat adakah nabi Musa a.s dan Nabi Syuaib wujud pada satu masa yang sama – ahli sejarah tidak dapat memastikannya.
    iv- Allah s.w.t tidak sebut terus namanya, hanya mengatakan seorang yang sudah tua, شَيْخٌ كَبِيرٌ jika dia Syuaib pasti disebutnya terus namanya.
    v- Kaum nabi Syuaib sudah dibinasakan oleh Allah s.w.t, yang tinggal hanyalah beberapa orang yang beriman bersamanya. Jika ini adalah kaum Syu\’aib, pengikutnya yang beriman, pasti mereka akan kenal dan membantu anak perempuan nabi mereka itu, tidak akan membiarkannya terpinggir dan kesusahan.
    vi- Jika dia adalah Nabi Syuaib adakah dia redha dan membiarkan Nabi Musa a.s yang lebih tinggi darjat darinya menjadi khadam kepadanya?
    vii- wallahu a\’lam.
  6. Inilah juga pegangan kita; wallahu a\’lam, kerana tiada nas yang jelas, boleh saja membuat andaian selagi tidak melampaui batas akidah.

AYAT 24- {MAKA MUSA PUN MEMBERI MINUM KEPADA BINATANG-BINATANG TERNAK MEREKA, KEMUDIAN IA PERGI KE TEMPAT TEDUH LALU BERDOA DENGAN BERKATA: \”WAHAI TUHANKU, SESUNGGUHNYA AKU SANGAT BERHAJAT KEPADA SEBARANG REZEKI PEMBERIAN YANG ENGKAU BERIKAN\”. (AL-QASAS 28:24)

  1. Nabi Musa a.s berasa kasihan kepada mereka apabila mendengar kisah tentang bapa yang tua, mereka yang lemah dan terpaksa bekerja itu. Diapun pergi menceduk air perigi dan tolong memberikan minum kambing ternakan dua anak perempuan itu.
  2. Kedua gadis itu pun setelah selesai tugas mereka, terus bawa pulang ternakan mereka dan dapat pulang awal pada hari itu.
  3. Nabi Musa a.s meberikan pertolongan ini tanpa mengharapkan upah atau apa-apa balasan, dia juga menolong mereka dalam keadaan dia sendiri yang letih dan amat lapar!
  4. Musa a.s pun pergi mencari tempat teduh untuk berehat sambil berdoa lagi. Masya\’ Allah Nabi Musa a.s memberikan kepada kita contoh yang amat baik sentiasa berdoa kepada Allah setiap masa untuk hajatnya.
  5. Doanya: {\”Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan\”.}
    Ulama\’ tafsir bersepakat berkata dalam doa ini Musa a.s meminta makanan daripada Tuhannya kerana kelaparan, dalam perjalanan panjang dengan tiada bekalan dan tempat persinggahan.
    Ibnu Abbas r.a berkata: \”Musa a.s sudah mencapai tahap kebuluran yang amat sangat. Jika tidak makan lagi mungkin akan pengsan. Sedangkan dia makhluk yang terbaik di sisi Allah s.w.t.\”
  6. Perisiwa ini menunjukkan nilai dunia ini sangat kecil di sisi Allah s.w.t. kamu bersabarlah sekejap, insya\’ Allah pertolongan Allah s.w.t akan datang.

AYAT 25- {KEMUDIAN SALAH SEORANG DARI PEREMPUAN DUA BERADIK ITU DATANG MENDAPATKANNYA DENGAN BERJALAN DALAM KEADAAN TERSIPU-SIPU SAMBIL BERKATA:\” SEBENARNYA BAPAKU MENJEMPUTMU UNTUK MEMBALAS BUDIMU MEMBERI MINUM BINATANG TERNAK KAMI\”. MAKA KETIKA MUSA DATANG MENDAPATKANNYA DAN MENCERITAKAN KEPADANYA KISAH-KISAH KEJADIAN YANG BERLAKU (MENGENAI DIRINYA) BERKATALAH ORANG TUA ITU KEPADANYA: \”JANGANLAH ENGKAU BIMBANG, ENGKAU TELAH SELAMAT DARI KAUM YANG ZALIM ITU \”. (AL-QASAS 28:25)

  1. Tidak lama kemudian datanglah salah seorang anak gadis itu dalam keadaan yang tersipu-sipu dan amat malu {عَلَى اسْتِحْيَاءٍ} untuk menjemput Musa a.s. ke rumah mereka. Selayaknya bagi gadis pingitan anak seorang soleh atau anak seorang nabi.
  2. Dia terus memberitahu bahawa bapa mereka menjemputnya untuk membalas budinya memberi minum binatang ternak mereka tadi. Musa a.s pun menerima jemputan itu.
  3. Diceritakan nabi Musa a.s yang warak dan baik akhlaknya itu menyuruh gadis itu berjalan dibelakangnya untuk menjaga pandangannya dan mengelakkan fitnah. Sedihnya kita sekarang ini sudah menjadi satu kebiasaan ikhtilat dan pergaulan bebas.
  4. Nabi Musa a.s lalu menceritakan kepada syeikh tua bapa mereka itu tentang kisah-kisah kejadian peristiwa الْقَصَصَ yang berlaku mengenai dirinya. Dari perkataan inilah nama surah ini diambil.
  5. Berkatalah orang tua itu kepadanya: \”Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu \”. Ertinya pilihan Musa a.s untuk keluar dari Mesir adalah tepat, kerana Madyan selamat dan bukan dibawah jajahan kekuasaan Firaun.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 22- {\”Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,\”.}
    Nabi Musa a.s berdoa kepada Tuhan agar menunjukkan jalan kepadanya. Dia keluar dulu dari Mesir kemudian baru berdoa minta ditunjuki jalan. Begitulah kita jika ada apa -apa hajat dan keperluan dalam membuat keputusan terus berdoa minta petunjuk seperti solat istikharah. Tetapi kena buat dulu langkah-langkah yang sepatutnya. Bukan terus solat lalu tunggu mimpi datang membawa petunjuk!!
  2. Nabi Musa a.s bertanya khabar kepada dua perempuan itu kemudian bila mendapati keperluan, terus membantu mereka. Ayat ini menunjukkan kepada galakan untuk berbuat baik kepada orang yang memerlukan bantuan.
  3. Nabi Musa a.s tidak pandai-pandai menjatuhkan hukuman kepada dua gadis itu, tetapi bertanya dulu kepada mereka sebabnya. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh kita, jangan cepat membuat andaian, analisa dan menjatuhkan hukuman sendiri.
  4. Apabila mendengar keadaan mereka, Musa a.s terus membantu mereka. Inilah akhlak mulia para nabi, yang kita patut contohi!
  5. Nabi Musa a.s berehat sambil berdoa kepada Allah s.w.t. kata ulama\’- mengadu dan meminta kepada Allah s.w.t amat digalakkan, tidak menafikan kesabaran dan tawakkal kepada Allah, bahkan akan mendapat pahala. Bukan mengadu kepada manusia atau kepada medsos.
  6. Ayat 25- {Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu} menunjukkan sifat yang selayaknya bagi seorang anak gadis dan wanita. Sayyidina Umar r.a berkata: Perempuan itu datang berjalan kaki seperti jalannya perawan sambil menutupi wajahnya dengan lengan bajunya, dengan sikap yang sopan dan tutur kata yang halus. Hal ini menunjukkan keperibadiannya yang mulia dan akhlaknya yang terpuji, kerana malu termasuk akhlak utama, terlebih lagi bagi wanita.
  7. Ayat 25 – { bapaku menjemputmu untuk membalas budimu} jika mampu kita hendaklah membalas kebaikan orang berbuat baik kepada kita. Paling kurang ucapkanlah- Jazakallahu khaira- جَزَاك اللهُ خَيْرًا Semoga Allah membalas kebaikan kamu.
  8. Jika kita melihat orang asing, orang luar datang ke tempat kita, hendaklah menegur dan bertanya khabar kepadanya, apa tujuan dan keperluan. Jika mampu bantulah.
  9. Gadis itu berkata kepada Musa a.s: {Bapaku menjemputmu..} menunjukkan kecerdikannya, membuatkan Musa a.s yang warak berani menerima jemputan itu.
  10. Nabi Musa a.s berterus-terang menceritakan kisahnya kepada bapa mereka. Menceritakan kisah kita kepada orang yang baru kenal bila keadaan memerlukan, boleh menenangkan mereka, menghilangkan keraguan dan tanda-tanya mereka. Ini bukan satu pengaduan dan dibenarkan sebagai pengenalan dan berterus terang.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs