SURAH AL-ISRA\’ : AYAT 61-65

\"\"

TAKBUR DAN SUMPAH IBLIS UNTUK MEMESONG ANAK ADAM, KENALI TENTERA SYAITAN & GOLONGAN YANG SELAMAT.

Full Video: https://youtu.be/PKMDVhEY2KU

MUQADDIMAH:
1- Dalam ayat-ayat yang lepas diceritakan tentang Rasulullah s.a.w telah diuju dengan ujian yang besar dengan penentangan kaumnya. Kaum munafiq yang menentang dan mengejek-ngejek dakwah Rasulullah s.a.w.
2- Apa yang berlaku pda zaman Nabi s.a.w dlu telah berlaku kepada para nabi dan rasul terdahulu. Bermula dari Nabi Adam a.s. pada zaman awal kejadian manusia lagi. Adam a.s kerana belum ada umat maka dia mendapat tentangan dari Iblis, makhluk yang awal dan lebih tua daripada manusia, tidak mahu tunduk kepada nabi Adam a.s walaupun diperintah oleh Allah s.w.t dengan sebab sombong dan hasad.

3- Ulama\’ kata dua sebab manusia tidak menu menerima kebenaran dan agama:
i- Kerana sombong- merasa diri mereka lebih mulia daripada Baginda s.a.w.
ii- Hasad- dengki kerana Rasulullah s.a.w mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah s.w.t.
4- Maka kita manusia yang selepas itu pun jika mempunyai DUA sifat ini maka kita akan menjadi manusia yang rosak, seperti spesis Iblis yang terlaknat, tidak akan menerima walaupun kebenaran dan hakikat di depan mata. Na’uzubillah.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk.” [HR Muslim].

AYAT 61- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA KAMI BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT: \”SUJUDLAH KAMU KEPADA ADAM\”; MAKA MEREKA SUJUDLAH MELAINKAN IBLIS; IA BERKATA: \”PATUTKAH AKU SUJUD KEPADA (MAKHLUK) YANG ENGKAU JADIKAN DARI TANAH (YANG DI ADUN)?\”} (AL-ISRAA\’ 17:61)
1- Allah s.w.t memerintahkan para malaikat dan iblis untuk sujud (sebagai penghormatan) kepada Nabi Adam a.s.
2. Semua malaikat sujud kecuali satu spesis makhluk yang bernama Iblis yang enggan dan sombong.
3. Ketiga-tiga makhluk ini berbeza:
i- Malaikat – daripada nur/cahaya.
ii- Jin termasuk iblis daripada api.
iii- Manusia daripada tanah yang diuli.
Kerana inilah iblis merasa sombong enggan sujud tanda hormat kepada Adam a.s.
Iblis bukan daripada golongan malaikat.
4. Ayat ini kerana Allah s.w.t mahu menunjukkan kepada Rasulullah s.a.w bahawa penentangan terhadap dakwah para nabi ini telah berlaku sejak awal lagi.
sudah biasa berlaku kepada nabi-nabi Allah yang lalu, bahkan nabi Adam dahulu telah juga menerima tentangan keras dari iblis, kekufuran iblis itu disebabkan hasad degkinya dan takburnya, kerana dia memandang dirinya yang berasal dari api lebih mulia daripada Adam yang berasal daripada tanah yang diadun, yang diuli.
5. Puncanya kerana sifat takabbur dan hasad tadi.

AYAT 62- {IA BERKATA LAGI: \”KHABARKANLAH KEPADAKU, INIKAH ORANGNYA YANG ENGKAU MULIAKAN MENGATASIKU? JIKA ENGKAU BERI TEMPOH KEPADAKU HINGGA HARI KIAMAT, TENTULAH AKU AKAN MEMANCING MENYESATKAN ZURIAT KETURUNANNYA, KECUALI SEDIKIT (DI ANTARANYA)\”.} (AL-ISRAA\’ 17:62)
1. Iblis dengan sombong dan takabbur menghina dan melekehkan manusia yang Allah perintahkan untuk dia sujud itu.
2. Dengan cara biadab iblis meminta Allah s.w.t tunjukkan kelebihan Adam kepadanya.
3. Apabila Allah s.w.t murka dan melaknatnya, maka iblis minta tempoh untuk hidup sehingga ke hari Kiamat bagi menyesatkan zuriat keturunan Adam a.s. Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menunjukkn permintaan iblis untuk dihidupkan sehingga ke hari Kiamat ini.
4. Iblis yakin dia akan dapat menyesatkan ramai golongan manusia dan hanya sedikit yang akan selamat daripada godaannya.

5. Kata Imam al-Qurtubi:
i- “Iblis berani mengeluarkan kenyataan untuk menyesatkn anak cucu Adam sehingga ke Hari Kiamat, secara zann- (sangkaan), setelah dia kaji dalam diri manusia ini Allah s.w.t ada pasang syahwat, nafsu yang suka diikuti seperti makan-minum, harta, wanita dan lain-lain. Firman Allah s.w.t:
{Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).} (Saba\’ 34:20)

ii- Serta kerana dia dengar dialog pertama antara malaikat dengan Tuhan bahawa manusia itu akan buat kerosakan di atas dunia nanti.
Firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; \”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi\”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): \”Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?\”. Tuhan berfirman: \”Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya\”.} (Al-Baqarah 2:30)

iii- Maka dia rasa mampu dan yakin untuk bersumpah untuk menggoda dan menyesatkan manusia sehingga ke hari Kiamat.

AYAT 63- {ALLAH BERFIRMAN (KEPADA IBLIS): \”PERGILAH (LAKUKANLAH APA YANG ENGKAU RANCANGKAN)! KEMUDIAN SIAPA YANG MENURUTMU DI ANTARA MEREKA, MAKA SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANNAMLAH BALASAN KAMU SEMUA, SEBAGAI BALASAN YANG CUKUP.} (AL-ISRAA\’ 17:63).
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menjawab permintaan Iblis minta tangguh tidak mahu mati sehingga ke hari Kiamat. Pergilah! Lakukanlah apa yang engkau rancangkan.
2. Jawapan ini lebih kepada tahdid- ancaman atau amaran dari Allah s.w.t, buatlah apa yang kamu rancangkan itu, tetapi ingat balasan azab akan menantimu dan siapa yang menurutmu di antara mereka, iaitu neraka Jahannam.

AYAT 64- {DAN DESAK SERTA PUJUKLAH SESIAPA YANG ENGKAU DAPAT MEMUJUKNYA DENGAN SUARAMU; DAN KERAHLAH PENYOKONG-PENYOKONGMU YANG BERKUDA SERTA YANG BERJALAN KAKI UNTUK MENGALAHKAN MEREKA; DAN TURUT – CAMPURLAH DENGAN MEREKA DALAM MENGURUSKAN HARTA-BENDA DAN ANAK-ANAK (MEREKA); DAN JANJIKANLAH MEREKA (DENGAN JANJI-JANJIMU)\”. PADAHAL TIDAK ADA YANG DIJANJIKAN OLEH SYAITAN ITU MELAINKAN TIPU DAYA SEMATA-MATA.} (AL-ISRAA\’ 17:64).
1. Allah s.w.t berfirman lagi kepada iblis dengan bahasa gertakan dan ancaman, silalah desak (hasut) dan pujuklah siapa yang kamu dapat dengan suara kamu, yakni suara syaitan yang menghasut.
2. Ulama\’ kata maksud syaitan hendak goda manusia melalui suaranya:
i- Dengan Ratapan. Meratap kematian, sebagaimana perangai arab jahiliyyah dulu. Orang melayu kurang melakukan ini, tetapi ratapan kecil boleh berlaku dengan menulis dan menyebut-nyebut kebaikan si mati, mengeluh akan ketiadaannya, seolah berdialog dengannya, maka awas dan hati-hati, semuai ni walaupun nampak kecil tetapi amat bahaya.
ii- dengan Nyanyian. Lagu-lagu cint, lagha dunia dan lain-lain dipanggil suara syaitan. Apatah lagi yang diiringi dengan muzik-muzik.
iii- Semua ajakan, seruan mengajak manusia ke arah maksiat itu dipanggil suara syaitan.
3. Allah menyuruh Syaitan mengerahkn segala jentera dan tenteranya, samada yang berkuda dan berjalan kaki untuk menyesatkan manusia. Ini bermaksud pelbagai cara godaan dan hasutan untuk menyesatkan manusia, tenteranya samada dari kalangan jin dan manusia.
4. Allah juga menyuruh Syaitan cuba ikut campur dalam urusan harta manusia, samada dengan mencari dan mengumpul harta dengan cara haram (tipu, rompak, riba, rasuah dan seumpamanya.) Atau dengan cara membelanjakannya dengan cara yang tidak halal, melabur dalam program maksiat dan seumpamanya. Semua ini adalah permainan syaitan dan siapa yang ikut akan menjadi partnernya.
5. Allah juga menyuruh Syaitan cuba ikut bersama manusia dalam urusan anak-anak. Perkara ini akan terjadi samada ketika awal lagi ketika suami-isteri mahu bersama tanpa membaca doa yang sepatutnya atau campur-tangan dalam pendidikan anak-anak ke arah yang salah dan tidak ikut Syariah Islam.
* Semua suruhan ini hanya sebagai tamsil-ibarat sahaja, cabaran dan gertakan dari Allah s.w.t, yakni gunakanlah semua penyokongmu, segala apa jua kekuatanmu, dan pelbagai cara untuk cuba menyesatkan manusia.

Daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma , bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:
بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
Maksudnya: Dengan nama Allah, ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami.
Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudharatkan oleh syaitan selamanya.” [Riwayat al-Bukhari (6388)]

Dari Jabir bin ‘Abdullah; Sesungguhnya Rasulullah Saw. bersabda: “Jika seseorang menyebut nama Allah S.w.t. Apabila hendak masuk rumahnya dan ketika hendak makan, maka syaitan berkata; “Tiada makanan dan tiada tempat tidur malam ini!”
tetapi jika seseorang tidak menyebut nama Allah S.w.t ketika hendak masuk rumahnya, maka syaitan berkata; “Malam ini boleh masuk dan ada tempat tidur.” Jika seseorang tidak menyebut nama Allah Swt. sewaktu hendak makan, maka syaitan berkata; “Malam ini ada makan malam dan ada tempat menginap!” [HR Muslim].

6. Semua tipu-daya dan tentera syaitan sudah dibongkar oleh Allah s.w.t, jika kita ikut juga maka kita adalah orang yang bodoh dan sesat.

AYAT 65- {SESUNGGUHNYA HAMBA-HAMBA-KU (YANG BERIMAN DENGAN IKHLAS), TIADALAH ENGKAU (WAHAI IBLIS) MEMPUNYAI SEBARANG KUASA TERHADAP MEREKA (UNTUK MENYESATKANNYA); CUKUPLAH TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) MENJADI PELINDUNG (BAGI MEREKA).} (AL-ISRAA\’ 17:65)
1. Alhamdulillah, Allah s.w.t bagi jaminan, bagi hamba-Nya yang beriman dengan ikhlas syaitan tidak akan mampu untuk mneguasainya, mereka tidak akan sesat.
2. Maka sesiapa yang mahu selamat maka berpeganglah dengan al-Quran dan Hadis serta bertawakkal kepada Allah sebagai Pelindungnya, insya’ Allah kita akan selamat daripada tipu-daya syaitan.
3. Ini kerana syaitan itu sebenarnya lemah, ia menjadi kuat kerana sembahan, pujaan dan ikutan para pengikutnya, kerana sebab manusia yang menguatkannya.
4. Antara hak anak-anak yang ibu bapa kena buat adalah hak aqiqah, yakni antara hikmahnya untuk melepaskannya dari terikat dengan godaan syaitan.
Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”. [HR al-Bukhari (2839)].

PENUTUP & KESIMPULAN:
1. Sifat Takbur dan hasad adalah punca kepada kekufuran, kesesatan dan sebab manusia menolak kebenaran walaupun di depan mata.
2. Ia juga adalah sifat utama Iblis yang enggan menurut perintah Allah s.w.t untuk sujud menghormati Adam a.s lalu dia dilaknati Allah selama-lamanya.
3. Allah perkenankan permintaanya untuk kekal sehingga ke hari Kiamat bagi tujuan menyesatkan manusia.
4. Iblis musuh utama manusia, ia telah bersumpah untuk memesongkan anak Adam dengan pelbagai bentuk tentera, jentera dan cara godaan Syaitan.
5. Golongan yang selamat adalah mereka yang beriman dengan ikhlas, berpegang dengan al-Quran dan Hadis serta bertawakkal kepada Allah sebagai Pelindungnya.
6. Semoga kita termasuk dalam golongan yang sedikit, iaitu golongan yang terselamat daripada tipu-daya kesesatan syaitan dan tentera-tenteranya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs