SURAH AN-NAMLI : AYAT 15-19

\"\"

KISAH NABI DAUD DAN SULAIMAN, KERAJAAN SULAIMAN MENGUASAI JIN DAN BURUNG & TELATAH SEMUT MEMBUATKAN SULAIMAN KETAWA.

Full video : https://youtu.be/BGMdcHutv7A

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan masuk tentang kisah Nabi Allah Daud dan anaknya Sulaiman a.s. Kisah Nabi Sulaiman agak panjang dan terperinci dalam surah ini.
  2. Manakala tentang kisah nabi-nabi lain hanya disebut secara ringkas dalam surah ini. Sebelum ini adalah kisah Nabi Musa a.s yang terperinci dalam surah-surah yang sebelummya.
  3. Inilah yang kita dapati keistimewaan al-Quran, walaupun biasanya dalam satu-satu surah itu ada disebut beberapa orang nabi dan kisahnya, tetapi kisahnya tidak bercanggah atau bertindan, setiap surah akan fokus kepada kisah khas atau terperinci tentang seseorang nabi saja biasanya.
  4. Cara tafsir al-Quran yang terbaik ialah:
    i- tafsir al-Quran dengan al-Quran.
    ii- tafsir al-Quran dengan hadis Rasulullah s.a.w.
    iii- yang tidak baik ialah dengan akal atau hawa nafsu sendiri.
  5. Kisah nabi Daud dan Sulaiman ini bermula dari ayat 15. Mereka berdua ini mewakili para nabi dan rasul dari kalangan pemerintah dan raja-raja.

AYAT 15- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGURNIAKAN ILMU PENGETAHUAN KEPADA NABI DAUD DAN NABI SULAIMAN; DAN MEREKA BERDUA BERSYUKUR DENGAN BERKATA: \”SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG DENGAN LIMPAH KURNIANYA MEMBERI KAMI KELEBIHAN MENGATASI KEBANYAKAN HAMBA-HAMBANYA YANG BERIMAN\”.} (AN-NAML 27:15)

  1. Mulai ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang nikmat yang telah dilimpahkanNya kepada kedua orang hambaNya yang telah diangkatNya menjadi nabi, iaitu Daud a.s. dan puteranya, iaitu Sulaiman a.s., iaitu nikmat-nikmat yang berlimpah, dari segi ilmu pengetahuan dan pentadbiran.
  2. Mereka berdua ini memuji Allah bersyukur kerana diberi nikmat-nikmat yang berlimpah, bakat-bakat yang luar biasa, sifat-sifat yang indah, kebahagiaan di dunia dan akhirat, kerajaan, pengaruh yang kuat di dunia, dan kenabian serta risalah agama.
  3. Ulama\’ kata antara anugerah ilmu yang dikurnikan Allah kepada Nabi Sulaiman a.s:
    i- memahami percakapan burung.
    ii- haiwan-haiwan lain juga.
    iii- ilmu kehakiman.
    iv- memahami tasbih gunung-ganang dan bukit-bukau.
    v- ilmu Syariah Islamiyyah.
  4. Manalakala Nabi Daud a.s:
    i- dapat melembutkan besi, pakar dalam mencipta baju besi.
    ii- mempunyai suara yang merdu, burung-burung turut bertasbih dengannya.
  5. Mereka berdua sangat insaf dan mensyukuri kesemua nikmat ini dengan mengucapkan alhamdulillah. وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ
  6. Kelebihan utama mereka berdua pastilah:
    i- kenabian serta risalah agama. Dilantik menjadi nabi dan rasul.
    ii- Serta kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud. Sulaiman a.s sambung guna Zabur juga selepas itu.
    iii- Nabi Daud dapat melembutkan besi.
    iv- boleh menguasai tentera jin dan Iblis
    v- Kerajaan yang amat besar dan hebat.

AYAT 16- {DAN NABI SULAIMAN MEWARISI (PANGKAT KENABIAN DAN KERAJAAN) NABI DAUD; DAN (SETELAH ITU) NABI SULAIMAN BERKATA: \”WAHAI UMAT MANUSIA, KAMI TELAH DIAJAR MENGERTI BAHASA PERTUTURAN BURUNG, DAN KAMI TELAH DIBERIKAN SERBA SEDIKIT DARI TIAP-TIAP SESUATU (YANG DIPERLUKAN); SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN INI ADALAH LIMPAH KURNIA (DARI ALLAH) YANG JELAS NYATA\”.} (AN-NAML 27:16)

  1. Allah s.w.t isyaratkan kelebihan Nabi Sulaiman a.s dalam ayat ini, dia bukan hanya mewarisi pangkat kenabian dan kerajaan ayahnya Nabi Daud, bahkan lebih lagi daripada itu. Mereka menguasai Kerajaan Bani Israil.
  2. Sulaiman a.s mewarisi dari ayahandanya Daud a.s dari segi ilmu pengetahuan, pentadbiran kerajaan dan kenabian. Walaupun Nabi Daud a.s mempunyai ramai anak tetapi Sulaiman a.s yang terpilih mewarisinya kerana kehebatan dan kebijakannya.
  3. Nabi Sulaiman a.s memberitahu kepada rakyatnya (kaumnya) bahawa dia telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan). Iaitu tentang mukjizat yang dianugerahkan kepadanya untuk menunjukkan kesyukurannya.
  4. Kata ulama\’ kenapa dikhaskan kepada burung ini, tetapi tidak disebut haiwan lain, sedangkan dia tahu semua bahasa haiwan lain?
    Jawapan ini kerana burung adalah salah satu daripada bahagian battalion tenteranya yang terdiri daripada:
    i- manusia
    ii- jin
    iii- burung. Yang bukan saja menjadi tentera peninjau tetapi yang sentiasa menaunginya dari panas matahari. Seolah TUDM kalau di Malaysia ini.
  5. Maksudnya firman Allah s.w.t ini pula: {dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan).}
    Kata ulama\’ menunjukkan apa yang diperlukan oleh seorang raja pemerintah dari segi ilmu pentadbiran, kekuasan pemerintahan, kekuatan ketenteraan, kekayaan dana dan segalanya ada dimiliki oleh Sulaiman a.s dengan anugerah Allah s.w.t kepadanya.

AYAT 17- { DAN DIHIMPUNKAN BAGI NABI SULAIMAN BALA TENTERANYA, DARI JIN DAN MANUSIA SERTA BURUNG; LALU MEREKA DIJAGA SERTA DIATUR KEADAAN DAN PERJALANAN MASING-MASING.} (AN-NAML 27:17)

  1. Selain seorang Nabi, Sulaiman a.s seorang raja yang memerintah, dengan tentera yang cukup lengkap untuk menjaga negaranya daripada ancaman musuh.
  2. Dihimpunkan untuk Sulaiman a.s. bala tenteranya dari makhluk jin, manusia dan burung. Mereka berarak mengiringinya dengan segala kebesaran dan kemegahannya.
  3. Bala tentera dari manusia dan makhluk jin di bawah, sedangkan bala tentera burung kedudukan mereka berada di atas (di udara). Apabila matahari panas, maka burung-burung itu menaunginya dengan sayap-sayapnya.
  4. Mereka itu diatur dengan tertib dalam barisan. Sulaiman a.s. menyusun secara rapi barisan tenteranya, masing-masing dalam kedudukan khas yang telah ditetapkan baginya.

AYAT 18- { (MARALAH ANGKATAN ITU) HINGGA APABILA MEREKA SAMPAI KE \”WAADIN-NAML\”, BERKATALAH SEEKOR SEMUT: \”WAHAI SEKALIAN SEMUT, MASUKLAH KE SARANG KAMU MASING-MASING, JANGAN SULAIMAN DAN TENTERANYA MEMIJAK SERTA MEMBINASAKAN KAMU, SEDANG MEREKA TIDAK MENYEDARI\”.} (AN-NAML 27:18)

  1. Tentera ini berjalan sehingga tiba di suatu lembah (wadi) yang dikenali sebagai Lembah Semut – وَادِ النَّمْلِ
  2. Dimanakah tempatnya wallahu a\’lam. Ada ulama\’ kata di Palestin, tetapi yang lebih tepatnya tidak tahu di mana, yang pasti satu Lembah yang dihuni oleh satu kumpulan semut, seolah satu bandar atau perkampungan mereka.
  3. Lalu seekor semut berkata kepada kaumnya, memberi peringatan kepada mereka agar segera menyelamatkan diri, masuklah ke sarang masing-masing, agar Sulaiman dan tenteranya tidak memijak serta membinasakan mereka, sedang mereka tidak menyedari.
  4. Dari ayat ini kita dapat faedah:
    i- para semut bersatu-padu, saling ingat mengingat dan menjaga keselamatan kaumnya.
    ii- mereka bersangka baik kepada tentera nabi Sulaiman a.s. bahawa mereka tidak akan dengan sengaja memijak kaum semut.
    iii- kehebatan teknologi yang dimiliki kaum semut pada waktu itu, seekor semut yang kecil buat pengumuman yang boleh didengar oleh seluruh kaum semut yang ada di dalam satu lembah itu.

AYAT 19- { MAKA TERSENYUMLAH NABI SULAIMAN MENDENGAR KATA-KATA SEMUT ITU, DAN BERDOA DENGAN BERKATA:\” WAHAI TUHANKU, ILHAMKANLAH DAKU SUPAYA TETAP BERSYUKUR AKAN NIKMATMU YANG ENGKAU KURNIAKAN KEPADAKU DAN KEPADA IBU BAPAKU, DAN SUPAYA AKU TETAP MENGERJAKAN AMAL SOLEH YANG ENGKAU REDAI; DAN MASUKKANLAH DAKU – DENGAN LIMPAH RAHMATMU – DALAM KUMPULAN HAMBA-HAMBAMU YANG SOLEH\”.} (AN-NAML 27:19)

  1. Apabila Nabi Sulaiman a.s mendengar percakapan semut ini Baginda tersenyum dan terus berdoa dengan penuh kesyukuran. Sulaiman a.s seorang hamba yang amat hebat dan sentiasa bersyukur.
  2. Kenapa Allah s.w.t kata Nabi Sulaiman a.s senyum dan ketawa, bukan senyum saja – فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا kerana kagum dengan kata-kata semut dan keprihatinnya.
    Ulama\’ kata dia ketawa kerana:
    i- syukur dan gembira dengan nikmat Allah yang memberinya faham bahasa semut.
    ii- kerana semut itu puji dan bersangka baik kepada tenteranya.
    iii- takjub dengan sifat prihatin semut untuk menolong.
    iv- amat bertanggung-jawab.
    v- ayat yang fasih dan jelas dalam arahannya.
    vi- kerana semut itu kenal dan tahu namanya.
    vii- semut mengatakan tentera Sulaiman a.s sebagai golongan yang baik dan bertimbang-rasa. Husnuz-zon terhadap mereka.
  3. Ulama\’ kata Nabi Sulaiman a.s hanya senyum dan ketawa sekadarnya, sebagaimana layaknya bagi seorang nabi dan rasul. Bukan berdekah-dekah, sama seperti Rasulullah s.a.w yang paling kuat ketawanya hanya sekadar nampak gigi gerahamnya.
  4. Lansung nabi Sulaiman a.s berdoa penuh kesyukuran atas nikmat itu. Doanya: {Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh\”.}
    yakni walaupun dia menjadi seorang pemimpin yang besar dan hebat, dia tetap tidak mahu keluar dari golongan para nabi dan orang soleh.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15 – وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا
    ini menunjukkan dalil muliannya orang yang berilmu dan beramal dengannya.
  2. Ia juga menunjukkan galakan untuk kita berusaha menuntut ilmu dan mendalami ilmu dalam setiap bidang yang ceburinya.
  3. Ayat 15 – mereka berdua bersyukur dengan berkata: وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ
    menunjukkan mereka berdua bersifat tawadhuk tidak sombong dan lupa diri.
  4. Ayat ini juga mengajar agar kita bersyukur dengan segala nikmat yang ada.
  5. Apabila kita mendapat nikmat kena syukur, apabila lihat orang dapat nikmat jangan hasad dengki, berusaha untuk dapat juga jika mampu atau sabar. Jika lihat orang dapat bala pula ucapkan doa yang sepatutnya.
  6. Ayat 18 – harus bagi ulama\’ yang benar-benar ada ilmu untuk memberi nasihat dan peringatan kepada masyarakat akan martabat ilmu supaya orang tidak terpedaya dan ikut ilmu dan ajaran yang songsang dan tidak benar.
  7. Semut bertanggung-jawab terhadap kaumnya, menyelamatkan satu lembah umat semut. Maka kita sebagai manusia lebih berhak untuk bersikap bertanggung-jawab ini.
  8. Satu lagi yang amat penting ialah ilmu husnuz-zon iaitu berbaik sangka sesama manusia. Manusia hari ini ramai sekali yang sudah hilang sifat dan ilmu ini, tuduhan dan tohmahan menjadi rutin.
  9. Ilmu susunan ketenteraan, wajib ada bagi setiap pemerintah dan pimpinan.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs