SURAH AN-NAMLI : AYAT 20-28

\"\"

KISAH NABI SULAIMAN MENCARI HUD-HUD, HUD-HUD LAPORKAN MAKLUMAT DARI NEGARA SABA\’ & AGAMA KAUM SABA\’ MENYEMBAH MATAHARI.

Full video : https://youtu.be/VqhTiBZXREU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas kita dengar tentang kisah Nabi Sulaiman a.s dengan semut. Ini apabila Sulaiman a.s dan tenteranya melalui lembah perkampungan semut.
  2. Beberapa faedah dan pengajaran yang kita dapat daripada kisah semut itu, seperti saling mengingati, berbaik-sangka dan penyampaian maklumat dan arahan yang cepat.
  3. Dalam siri ini kita akan dengar pula tentang nabi Sulaiman a.s dan tentera burungnya, iaitu burung belatuk atau hud-hud nama bahasa Arabnya.
  4. Dari kisah Nabi Sulaiman a.s dan hud-hud ini juga kita akan dapati beberapa pengajaran berguna yang memberi faedah, insya\’ Allah.
  5. Dalam ayat 26 nanti ada ayat sujud tilawah, bersedia untuk sujud sunat ini.

AYAT 20- {DAN (SETELAH ITU) NABI SULAIMAN MEMERIKSA KUMPULAN BURUNG (YANG TURUT SERTA DALAM TENTERANYA) LALU BERKATA: \”MENGAPA AKU TIDAK MELIHAT BURUNG BELATUK? ADAKAH IA DARI MEREKA YANG TIDAK HADIR?} (AN-NAML 27:20)

  1. Dalam ayat lepas tentang perarakan battalion tentera Nabi Sulaiman a.s. dia kemudian memeriksa kumpulan tentera burungnya. Menunjukkan Baginda sebagai seorang yang tegas dan teliti, sentiasa memerhatikan disiplin dan kehadiran tenteranya.
  2. Sulaiman a.s. berkata, \”Mengapa aku tidak nampak hud-hud?\” Hud-hud adalah sejenis burung belatuk. \”Adakah ia termasuk yang tidak hadir?\” Iaitu tanpa izin dan perintah darinya.

AYAT 21- {\”DEMI SESUNGGUHNYA! AKU AKAN MENYEKSANYA DENGAN SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA, ATAU AKU AKAN MENYEMBELIHNYA, KECUALI IA MEMBAWA KEPADAKU ALASAN YANG TERANG NYATA (YANG MEMBUKTIKAN SEBAB-SEBAB IA TIDAK HADIR)\”.} (AN-NAML 27:21)

  1. Nabi Sulaiman a.s. mengancam jika hud-hud bersalah, hilang tanpa sebab, pasti akan dikenakan hukuman yang berat atau akan disembelih yakni bunuh terus.
  2. Tetapi Sulaiman a.s masih bersangka baik, tidak akan menyiksanya jika ia datang dengan mengemukakan alasan yang terang, jelas yang dapat diterima.
  3. Ini menunjukkan tingginya sifat adil dan bertimbang-rasanya sebagai seorang ketua, iaitu bahawa dia tidaklah bersumpah akan menghukumnya kecuali kerana perbuatannya yang salah.

AYAT 22- {BURUNG BELATUK ITU TIDAK LAMA GHAIBNYA SELEPAS ITU, LALU DATANG SAMBIL BERKATA (KEPADA NABI SULAIMAN): \”AKU DAPAT MENGETAHUI SECARA MELIPUTI AKAN PERKARA YANG ENGKAU TIDAK CUKUP MENGETAHUINYA, DAN AKU DATANG KEPADAMU DARI NEGERI SABA\’ DENGAN MEMBAWA KHABAR BERITA YANG DIYAKINI KEBENARANNYA.} (AN-NAML 27:22)

  1. Tidak lama kemudian kembalilah hud-hud lalu terus melaporkan satu berita kepada nabi Sulaiman a.s.
  2. Kata-kata hud-hud ini menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman a.s tidak mengetahui perkara ghaib, serta bahawa seorang pemimpin besar itu ada juga perkara-perkara kecil yang tidak diketahuinya.
  3. Katanya ia datang dari negeri Saba\’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.
  4. Saba\’ ini adalah sebuah kerajaan lama yang berada di negara Yaman pada masa itu, dinamakan sempena pengasasnya seorang panglima tentera- Saba\’ bin Yasjud bin Ya\’rud bin Qahtani.

AYAT 23- {\”SESUNGGUHNYA AKU DAPATI SEORANG PEREMPUAN MEMERINTAH MEREKA DAN IA TELAH DIBERIKAN KEPADANYA (SERBA SEDIKIT) DARI TIAP-TIAP SESUATU (YANG DIPERLUKAN) DAN IA PULA MEMPUNYAI SINGGAHSANA YANG BESAR.} (AN-NAML 27:23)

  1. Hud-hud menceritakan lagi bahawa: {Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan (Ratu) memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.}
  2. Ayat ini menunjukkan kerajaan yang besar dan kuat, serta ahli majlis penasihat yang hebat, serta negara yang kaya dan makmur, yakni mempunyai segala keperluan sebagai sebuah negara yang kuat.
  3. Raja perempuan itu dikatakan banyak dalam kitab tafsir sebagai bernama Ratu Balqis binti Syarahil.

AYAT 24- {\”AKU DAPATI RAJA PEREMPUAN ITU DAN KAUMNYA SUJUD KEPADA MATAHARI DENGAN MENINGGALKAN IBADAT MENYEMBAH ALLAH, DAN SYAITAN PULA MEMPERELOKKAN PADA PANDANGAN MEREKA PERBUATAN (SYIRIK) MEREKA, LALU MENGHALANGI MEREKA DARI JALAN (YANG BENAR); OLEH ITU MEREKA TIDAK BEROLEH PETUNJUK, -} (AN-NAML 27:24)

  1. Hud-hud ceritakan lagi bahawa dia dapati Ratu itu dan kaumnya menyembah matahari, bukan kepada Allah!
  2. Juga syaitan telah menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan buruk mereka sehingga menghalangi mereka dari jalan Allah.

AYAT 25- {\”(MEREKA DIHALANGI OLEH SYAITAN) SUPAYA MEREKA TIDAK SUJUD MENYEMBAH ALLAH YANG MENGELUARKAN BENDA YANG TERSEMBUNYI DI LANGIT DAN DI BUMI, DAN YANG MENGETAHUI APA YANG KAMU RAHSIAKAN SERTA APA YANG KAMU ZAHIRKAN.} (AN-NAML 27:25)

  1. Syaitan juga telah menghalangi mereka dari sujud menyembah Allah.
  2. Allah s.w.t Yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi! Yang memberi rezeki dan kebaikan seperti menurunkan hujan dari langit, menumbuhkan tanam-tanaman, mengeluarkan logam, minyak bumi dari bumi, mengeluarkan orang-orang yang mati dari bumi (untuk dibangkitkan dan diberikan balasan), dan sebagainya.
  3. Allah s.w.t itu Maha mengetahui semua ucapan dan perbuatan yang disembunyikan (dalam hati) dan yang dinyatakan oleh semua hamba-Nya.
  4. Ulama\’ kata ayat ini masih lagi kata-kata hud-hud dalam penerangannya kepada Nabi Sulaiman a.s.
  5. Kata Imam al-Qurtubi: Allah s.w.t telah pasakkan kefahaman tentang tauhid dalam hati seekor burung, tahu perbuatan menyembah matahari itu adalah satu syirik, satu kefahaman yang mantap tentang tauhid.
  6. Kita sebagai manusia mestilah lebih mantap keimanan dan kefahaman tentang tauhid daripada hud-hud ini, jangan mudah terpesong, percaya kepada dan terima apa saja ajaran dan fahaman yang dibawa orang.

AYAT 26- {\”ALLAH! – TIADA TUHAN MELAINKAN DIA, TUHAN YANG MEMPUNYAI ARASY YANG BESAR\”.} (AN-NAML 27:26)

1- Allah, tidak ada Tuhan yang berhak dan wajib disembah dan diseru kecuali Dia.

  1. Tuhan yang mempunyai \’Arasy yang agung, tiada sesuatu pun yang lebih besar daripada \’Arasy-Nya.

AYAT 27- {NABI SULAIMAN BERKATA: KAMI AKAN FIKIRKAN DENGAN SEHALUS-HALUSNYA, ADAKAH BENAR APA YANG ENGKAU KATAKAN ITU, ATAUPUN ENGKAU DARI GOLONGAN YANG BERDUSTA.} (AN-NAML 27:27)

  1. Nabi Sulaiman a.s sebagai seorang pemimpin yang bijak, tidak menolak terus atau percaya bulat-bulat apa yang dinyatakan oleh hud-hud itu. Dia mahu siasat dulu kebenaran kisah ini.
  2. Begitukah kita sebagai seorang mukmin kena tabayyun dan siasat dulu dalam menerima sesuatu berita, terutamanya jika ia sesuatu yang nampak pelik.
  3. Awas dengan batu api dan pembawa berita palsu, pengumpat dan penyebar fitnah, jangan terus percaya nanti buruk akibatnya.

AYAT 28- {\”PERGILAH BAWA SURATKU INI, SERTA CAMPAKKANLAH KEPADA MEREKA, KEMUDIAN BERUNDURLAH DARI MEREKA; DALAM PADA ITU PERHATIKANLAH APA TINDAK BALAS MEREKA\”.} (AN-NAML 27:28)

  1. Lalu diperintahkan seorang penulis suratnya untuk mengarang satu surat kepada Ratu Balqis dan Sulaiman a.s menyuruh Hud-hud pergi semula ke istana itu dan campakkan surat itu terus kepada Ratu mereka.
  2. Kemudian berundur diri dulu, jangan balik, tetapi perhatikan dari jauh apa tindak balas mereka.
  3. Tindakan pantas Nabi Sulaiman a.s ini kerana dua sebab:
    i- untuk melihat kebenaran alasan hud-hud.
    ii- untuk segera berdakwah kepada kaum Saba\’, untuk menghilangkan syirik yang mereka lakukan jika benar apa yang dinyatakan oleh hud-hud itu.
    Inilah tugas besar sebagai seorang Raja Penjaga Agama.
  4. Apakah isi surat Nabi Sulaiman a.s itu dan bagaimanakah reaksi Ratu Balqis dan penasihatnya, kita sambung esok, insya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Pemimpin mesti mengambil tahu keadaan rakyatnya, lebih-lebih lagi hal-ehwal tenteranya. Inilah tanggung-jawab utama seorang pemimpin, bukan hanya berebut jawatan dan mengaut kekayaan negara bila menjadi ketua.
  2. Apabila mencari hud-hud, nabi Sulaiman a.s tidak terus menyalahkannya, pastikan dulu ia benar-benar tidak hadir dan kenapa.
    Kata ulama\’ inilah sifat yang harus ada pada seorang guru, kena perhati dan jaga keadaan anak muridnya, cakna akan keadaan mereka samada patuh Syariah dan beramal atau tidak ilmu yang ada. Kena cakna dengan diri kita sendiri dan orang sekitar kita terutamanya keluarga dan para pengikut.
    Kenangan AAM: Disiplin ketat semasa di UIM, jika tidak hadir solat jemaah semasa berada di asrama, nama akan naik di papan kenyataan.
  3. Walaupun burung hud-hud itu seekor binatang yang kecil, nabi Sulaiman a.s berkata ia akan dihukum atau dibunuh ia jika benar-benar bersalah.
    Ulama\’ kata hukuman itu mengikut kesalahan bukan size badan pesalah.
  4. Hud-hud berkata: Aku datang kepadamu …. وَجِئْتُكَ yakni guna bahasa biasa tidak menggunakan perkataan yang membesarkan Nabi Sulaiman a.s sebagai seorang raja. Ini menunjukkan sifat tawadhuk Nabi Sulaiman a.s.
  5. Hud-hud juga datang bawa maklumat kepada Nabi Sulaiman a.s, yakni boleh seorang rakyat biasa yang kecil datang bawa berita dan maklumat kepada seorang raja atau gurunya.
    Yakni seorang ulama\’ atau raja itu, walaupun pada adatnya mereka lebih besar pangkat dan tinggi ilmunya, tetapi dari segi adabnya:
    i- seorang guru boleh terima teguran dan maklumat yang dibawa oleh muridnya. Jangan sombong dan cepat terasa, dengar dulu kemudian;
    ii- kena teliti dan murajaah, jika betul terima, jika silap betulkan.
  6. Hud-hud selamat dan tidak dibunuh oleh Nabi Sulaiman a.s kerana dia telah bawa satu maklumat yang amat besar dan penting untuknya.
  7. Apabila hud-hud kata dia bawa maklumat penting, ini menunjukkan Allah s.w.t telah memberi ilham dan pengetahuan kepada burung itu sesuatu yang tidak diberi-Nya kepada manusia biasa pun. Iaitu tentang tauhid dan syirik.
    Itulah keadaan hidup pada zaman nabi dan rasul-rasul, banyak mukjizat dan perkara ajaib yang boleh berlaku, haiwan boleh bercakap dan berfikir dan bermacam lagi.
  8. Ayat 24; Syaitan menghiasi perbuatan buruk – walaupun sesuatu perbuatan itu kita rasa elok, kena hati-hati dan periksa dulu adakah ianya bertepatan dengan al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w yang sahih.
    9- Ayat 25; Allah mengeluarkan khazanah dari langit dan bumi – uslub al-Quran untuk membawa kita berfikir tentang kejadian makhluk dan alam semesta ciptaan Allah s.w.t ini. Jangan dan tidak perlu fikir akan Zat Allah s.w.t sekali-kali.
  9. Ayat 27 – Nabi Sulaiman a.s tidak mengamuk, pastikan dulu kesahihan berita yang dibawa hud-hud, inilah ilmu tathabbut (pastikan kebenaran) dan tabayyun (siasat); jangan gopoh dan cepat menjatuhkan hukuman, juga jangan cepat menerima sesuatu berita.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs