Surah Al-Nahl : Ayat 99-103

\"\"

Tafsir Surah An-Nahli (19) Ayat [98-103];
Adab baca Quran dimulakan dengan \”Isti\’azah\”,
Hukum Nasih dan Mansukh dalam Quran & Tuduhan Quran diajar oleh nasrani.

Full video:
https://fb.watch/3Q4a4plVq4/

Muqaddimah:
Adab Membaca al-Quran.

*Ayat 98: Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

(Al-Nahl 16:98) Allah s.w.t memerintahkan Nabi s.a.w dan semua manusia agar:
1. Minta perlindungan dengan Allah s.w.t dari syaitan. Yakni membaca : الإستعاذة
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.
Ertinya: AKu berlindung dengan Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.
2. Ini kerana syaitan akan mengganggu segala urusan orang mukmin dari amal kebaikan.
3. Tetapi orang yang beriman dan bertawakkal kepada Allah s.w.t akan selamat dari pengaruh syaitan.
4. Jika Nabi s.a.w yang maksum pun disuruh minta perlindungan dari syaitan, maka apatah lagi kita yang lemah ini. Maka bacalah sebagai mengikut sunnah Nabi serta benar-benar minta perlindungan dengan Allah s.w.t.
5. Kena faham dan jelas apakah matlamat membaca Quran. Iaitu, baca, faham dan amal.

*Ayat 99: {Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.}

(Al-Nahl 16:99) Siapakah orang yang akan selamat dari pengaruh syaitan?
1. Orang yang beriman dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah swt. Kena ada dua2 syarat ini, bukan satu sahaja.
2. Iman yang mantap dan tawakkal yang jitu, insya allah syaitan tidak dapat mempengaruhi.

*Ayat 100: {Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.}

(Al-Nahl 16:100) Manakala siapakah pula yang akan dapat dipengaruhi syaitan?
1. Orang yang menjadikan syaitan sebagai pemimpin dan tempat pergantungan mereka.
2. Orang yang melakukan kesyirikan kepada Allah s.w.t.
3. Orang yang ingkar akan perintah Allah s.w.t.

Faedah dari tiga Ayat ini:
1. Kena yakin dan selalu minta perlindungan dengan Allah s.w.t.
2. Allah s.w.t memberi jaminan bahawa orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya akan selamat daripada hasutan syaitan. Satu lagi kategori yang selamat ialah orang-orang yang ikhlas. (Al-Hijr: 42).
3. Sebelum membaca al-Quran- sunat membaca الإستعاذة :
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Ertinya: AKu berlindung dengan Allah dari hasutan syaitan yang direjam.
Begitu juga dalam solat, hatta semua tempat sebelum baca al-Quran elok kita bacanya, seperti dalam Kuliah atau apa-apa ucapan.
4. Kenapa bukan mula dengan “Bismillah” sahaja? Untuk menjaga diri kita dari lalai dan membersihkan diri kita yang lemah dari kekurangan, supaya Allah jaga dan lindungi kita. Sebaik-baik zikir adalah KALAMULLAH yakni ayat-ayat al-Quran.

*Ayat 101: {Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): \”Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta\”; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.}

(Al-Nahl 16:101)
1. Dalam al-Quran ada ayat-ayat yang dimansukhkan dengan ayat baru – nasikh.
Maksud Nasikh – ayat yang membatalkan hukum yang awal.
Mansukh – ayat awal yang telah dibatalkan.
2. Kenapa begitu? Kerana kebiasaanya ditukar daripada hukum asal yang berat kepada yang lebih ringan. Tujuanya ialah Allah s.w.t mahu meringankan tugas dan perintah kepada hamba-Nya.
3. Adakalanya hukum diringankan, bahkan ada hukum yang dihapuskan terus. Ayat-ayatnya pun ada yang dihapuskan terus, ada juga yang masih ada kekal bacaannya, cuma tidak diguna-pakaikan lagi hukumnya.
4. Contoh hukum yang telah dibatalkan:
i-Arah pertukaran kiblat dari Baitul-Maqdis ke arah Makkah.
ii- Pada awalnya ada ayat al-Quran mengatakan: (.. jika ada 20 orang yang sabar dapat mengalahkan 200 orang musuh} yakni 1 orang dapat tewaskan 10 musuh!!
Maka tentera Islam merasa berat dan sukar, lalu Allah meringankan beban mereka kerana berdepan dengan tugas getir (satu kena lawan 10), maka ayat berikut menasakhkan bebanan ini, di mana 100 tentera Islam boleh mengalahkan 200 orang musuh (1 cuma kena lawan dua musuh). Alhamdulillah.

**Jadi apa yang berlaku? Puak kafir Quraisy menimbulkan syubhat ini:-
1. Mereka mengatakan Nabi saw menipu dalam bab nasakh-mansukh ayat Quran. (hapuskan hukum lama dengan bawa hukum yang baru).
2. Yakni main-main dan cuma mengikut rasa dan pendapat Baginda sahaja, bukan wahyu.

*Ayat 102- {Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.}

Al-Nahl 16:102: Tuduhan jahat kaum Musyrikin itu dibalas oleh Allah s.w.t dengan tegas dan mantap.
1. Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w menegaskan bahawa ia bukan rekaan atau ciptaan Baginda sendiri tetapi al-Quran itu datang dari Allah s.w.t, melalui malaikat Jibril (Ruhul Qudus). Dengan penuh hikmah, dengan cara yang selayak baginya.
2. Al-Quran mengandungi berita untuk meneguhkan keimanan orang-orang yang beriman,
3. Ia bukan sahaja menjadi petunjuk dan memberi hidayah tetapi juga membawa berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.

*Ayat 103: {Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: \” Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia\”. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.}

Al-Nahl 16:103: Syubhah kedua yang timbulkan oleh kafir Quraisy:
1. Quran itu diajar oleh manusia, bukan wahyu. Kisahnya ada seorang hamba kepada Quraisy yang sudah memeluk Islam, berjualan dekat Bukit Safa. Namanya Jabar, asalnya orang nasrani, Nabi s.a.w pernah bercakap-cakap dengannya, samada kerana urusan jual-beli atau mengajar tentang agama kerana dia sudah muslim.
Lalu setiap kali wahyu turun, mereka mengatakan Jabar itulah yang mengajar dan memberi maklumat kepada Nabi s.a.w.
2. Allah s.w.t nafikan tuduhan ini dengan mengatakan bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah seorang Nasrani yang berbahasa asing, sedangkan Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih, jelas dan nyata.
***
Allahu Akbar, tetapi hati-hati manusia yang tidak mahu menerima kebenaran, akan terus menutup mata dan telinganya daripada melihat dan menerima kebenaran, lalu mereka akan terus menerus dalam kekufuran dan pendustaan, maka akan menjadi orang-orang yang rugi di akhirat kelak. والغياذ بالله

Wallahu a’lam.
#UAM Catatan Kuliah Subuh. Isnin, 22 Feb 2021.

Powered by BetterDocs