SURAH AR-RUUM : AYAT 11-16

\"\"

KUASA ALLAH MENCIPTA DAN MENGHIMPUN SEMULA MAKHLUK-NYA, KAUM MUSYRIKIN PUTUS HARAP PADA HARI KIAMAT & ORANG MUKMIN DAN KAFIR AKAN TERPISAH DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/kJ5X0haWS_I

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini dibawa dalil-dalil yang membuktikan akan adanya hari Kiamat dan kebangkitan semula, di mana semua manusia akan dikembalikan kepada Allah untuk di hisab dan dibalas.
  2. Pada hari itu manusia terbahagi kepada dua golongan- orang yang baik dan beramal soleh akan menerima sebaik-baik balasan; manakala orang yang ingkar dan kufur akan mendapat azab yang tidak terkira siksanya.
  3. Ini adalah kesinambungan dari ayat 10 sebelum ini yang menyatakan: {Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak),}.
  4. Setiap pagi bangun dari tidur, Rasulullah s.a.w telah mengajar untuk membaca doa ini, agar bermula hari kita dengan peringatan bahawa kita akan dibangkitkan semula:
    اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرِ
    Ertinya: Segala puji bagi Allah, yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami, dan kepada-Nyalah kami dibangkitkan.
  5. Maka apabila ini menjadi keyakinan dan pegangan kita, kita tidak akan lupa membuat persiapan untuk menghadapinya insya\’ Allah.

AYAT 11- {ALLAH MEMULAKAN KEJADIAN SEKALIAN MAKHLUK, KEMUDIAN IA MENGEMBALIKANNYA (HIDUP SEMULA PADA HARI KIAMAT), KEMUDIAN KEPADANYALAH KAMU AKAN DIKEMBALIKAN (UNTUK MENERIMA BALASAN).} (AR-RUUM 30:11)

  1. Ayat ini menerangkan kuasa Allah s.w.t mengadakan, mencipta, memulakan kejadian setiap makhluk dari tiada kepada ada. Kemudian mereka hidup dan wujud atas dunia ini untuk tempoh beberapa lama yang dikehendaki Allah s.w.t.
  2. Kemudian kita akan dimatikan kembali kepada Allah s.w.t, kemudian akan dihidupkan semula pada hari Kiamat, untuk menerima balasan berdasarkan setiap amalan.
  3. Allah-lah yang Maha Esa dan berkuasa untuk mengadakan semua ini.

AYAT 12- {DAN SEMASA BERLAKUNYA HARI KIAMAT, ORANG-ORANG YANG BERDOSA AKAN DIA MEMBISU SERTA BERPUTUS ASA.} (AR-RUUM 30:12)

  1. Allah s.w.t menegaskan bahawa pada hari Kiamat orang yang berdosa akan diam membisu;
    i- tiada hujjah untuk membela diri dan selamat dari azab.
    ii- mereka dalam penyesalan dan putus-harapan dari rahmat Allah s.w.t.

AYAT 13- {DAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG MEREKA JADIKAN SEKUTU-SEKUTU ALLAH ITU TIDAK ADA SATUPUN DARIPADANYA PEMBERI SYAFAAT MELEPASKAN MEREKA (DARI AZAB ALLAH), PADAHAL MEREKA BERLAKU KUFUR DI DUNIA DAHULU DENGAN SEBAB MAKHLUK-MAKHLUK YANG MEREKA SEKUTUKAN (DENGAN ALLAH) ITU.} (AR-RUUM 30:13)

  1. Segala makhluk lemah yang menjadi sembahan mereka sebelum ini, tiada satupun yang akan dapat memberi syafaat, menolong mereka dari azab Allah, bahkan bersama mereka di dalam neraka.
  2. Sedangkan mereka kufur kerana dengan sebab makhluk yang mereka sekutukan itu, tetapi malangnya tiada dapat memberi manfaat dan bantuan kepada mereka lansung!
  3. Allah campak bersama sembahan mereka dulu ke dalam neraka, walaupun berhala, patung, pokok atau benda-benda lain yang itu tidak bernyawa, untuk menambahkan kehinaan dan siksaan ke atas mereka para penyembah.

AYAT 14- {DAN SEMASA BERLAKUNYA KIAMAT, MEREKA PADA HARI ITU AKAN BERPECAH KEPADA DUA KUMPULAN (SETELAH SELESAI PERBICARAAN).} (AR-RUUM 30:14)

  1. Pada hari Kiamat nanti, samada sebelum atau selepas hisab dan perbicaraan, manusia akan terbahagi kepada dua golongan.
  2. Sebelum hisab semasa menanti perbicaraan di Padang Mahsyar, ketika matahari berada sejengkal di atas kepala, manusia yang baik akan mendapat perlindungan di bawah bayangan Arasy Allah s.w.t sebagaimana diceritakan dalam beberapa hadis Nabi s.a.w yang sahih.
  3. Perpisahan yang hakiki pula selepas perbicaraan dan melintas Titian Sirat, golongan yang bahagia dan beruntung akan ke Syurga yang kekal abadi dan penuh nikmat.
  4. Manakala golongan yang celaka akan ke neraka untuk menerima azab yang tidak terperi والعياذ بالله.
  5. Dalam ayat seterusnya ini Allah s.w.t gambarkan dengan lebih jelas dua golongan yang berbeza ini.

AYAT 15- {ADAPUN KUMPULAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MAKA MEREKA AKAN DITEMPATKAN DI TAMAN SYURGA DALAM KEADAAN BERSUKA RIA.} (AR-RUUM 30:15)

  1. Golongan yang bahagia adalah mereka yang mempunyai dua syarat ini:
    i- beriman, yakin dengan hati.
    ii- beramal soleh kepada Allah s.w.t .
  2. Syarat untuk amalan itu diterima juga ada 2 syaratnya;
    i- ikhlas kepada Allah s.w.t
    ii- mengikut Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
    Ibadat itu tidak boleh direka atau diambil daripada ajaran atau meniru, ikut-iktan amalan sesama makhluk!
  3. Mereka ini akan berada di dalam taman Syurga dalam keadaan bersuka ria dengan nikmat yang disediakan, redha dan diredhai Allah s.w.t.
  4. Setiap dakwaan mesti dibawa bersama buktinya, jika dakwa cintakan Allah dan Rasul-Nya, dimana tandanya? Bukti dakwaan ini benar atau palsu?
  5. Kata Sayyidina Usman r.a: \”Jika seseorang itu cintakan Allah s.w.t, dia tidak akan jemu dengan Kalamullah, tidak pernah bosan dan penat membaca dan tadabbur al-Quran.\”
  6. Doa memohon syurga & minta jauh neraka:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وأََعُوذ بِكَ مِنَ النَّار
    (Ya Allah sesungguhnya aku memohon padaMu syurga, dan aku berlindung denganMu daripada neraka)
  7. Doa minta ilmu yang berguna:
    اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
    Ertinya : \”Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima\”. (HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu as-Sunni).
  8. Ilmu yang bermanafaat ialah yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t dan menjauhkan diri daripada maksiat.
  9. Hadis Qudsi: Sabda Rasulullah s.a.w tentang sifat Syurga:
    يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بشر
    \”Allah SWT berfirman: Aku telah menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga dan tidak pernah terlintas di benak manusia untuk hamba-hamba-Ku yang soleh.\” (HR Muslim)

AYAT 16- {DAN SEBALIKNYA KUMPULAN ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI (AL-QURAN) SERTA MENDUSTAKAN PERTEMUAN HARI AKHIRAT, MAKA MEREKA AKAN TETAP BERADA DALAM AZAB SEKSA SELAMA-LAMANYA.} (AR-RUUM 30:16)

  1. Manakala golongan kedua ialah mereka yang kafir, mendustakan al-Quran dan tidak percaya kepada Hari Kiamat.
  2. Mereka ini akan berada dalam azab siksa neraka selama-lamanya. مُحْضَرُونَ
  3. Maka jangan sekali-kali ada di antara kita yang berani atau memikirkan untuk berada dalam neraka walaupun sedetik!
    Jangan jadi seperti kaum yahudi yang mengatakan mereka hanya akan diazab dalam neraka untuk beberapa hari saja.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 11- {Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat)} – menunjukkan bahawa Allah s.w.t yang mula menciptakan makhluk ini kemudian akan dikembalikan kepada-Nya. Maka kita jangan berani untuk melanggar hukum dan perintah Allah s.w.t.
  2. Ayat 11- {kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat)}- ayat ini juga menjadi dalil bahawa dibangkitkan semula itu bukan ciptaan baru, makhluk yang sama/asal dulu, cuma dihidupkan kembali. إعادة
  3. Ayat 12- {Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan diam membisu serta berputus asa.} – orang kafir yang tidak beriman; mereka ini tiada lagi harapan untuk selamat, untuk kembali beriman dan mendapat keampunan Allah s.w.t
  4. Ayat 15- {Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman Syurga} – orang mukmin layak ke syurga dengan sebab amal soleh mereka SERTA dengan limpah kurnia Allah Azza wa Jalla.
    i- Yakni tidak cukup dengan beriman saja, wajib ada amal soleh sebagai tiketnya.
    ii- Manakala dengan redha Allah s.w.t, kerana amal ibadat kita amat kecil dan sedikit dibandingkan dengan ganjaran pahala dan nikmat yang Allah s.w.t beri dan balas.
    iii- Berbeza dengan kafir jika mereka sudah kufur tidak syarat lagi untuk beramal jahat atau zalim kepada manusia. Cukup sudah dengan kezaliman mereka dalam aqidah kepada Allah s.w.t. untuk mendapat balasan azab neraka.
  5. Kata Ibnu Asyur rhm. dalam kitab Tafsirnya: Terdapat beberapa ayat dalam surah ini yang Allah s.w.t gunakan sebagai dalil untuk membatalkan pegangan dan dakwaan orang kafir. Ia dimulakan dengan ( لفظ الجلالة ) lafaz nama Allah yang mulia, untuk memberitahu bahawa khabar yang berlaku itu adalah hakiki, supaya orang-orang yang ragu itu celik mata, iaitu:
    i- Ar-Ruum Ayat 11- {Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia ..}
    اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ
    ii- Ar-Ruum 40 – {Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).} اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ
    iii- Ar-Ruum 48- {Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;}
    اللَّهُ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ
    iv- Ar-Ruum: 54- {Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.} اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ
  • Empat ayat yang dimulakan dengan kalimah Allah ini, dengan 4 dimensi perbincangan supaya kita berfikir, bertadabbur untuk memantapkan iman dan membatalkan aqidah pegangan kaum musyrikin, kafir mulhidin yang keras kepala dan tidak mahu beriman kepada Allah s.w.t.
  1. Apa yang kita dapat dari 4 ayat ini ialah:-
    i-Pertama sekali:- dalam Ayat 11 – Allah s.w.t menjelaskan bahawa Dia menciptakan sekelian makhluk atas muka bumi ini seperti manusia haiwan tumbuhan dan segalanya.
    ii- Kedua:- semua makhluk ini pula makan minum dan segala rezekinya dari mana? Siapa yang menjaga dan mengawalnya? Ayat 40 memberi jawapannya- {Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu;}
    iii- Rezeki itu pula yang utamanya datang dalam bentuk air, yg menjadi sumber kehidupan. Lalu Allah swt turunkan hujan, yang menjadi sumber utama minuman kepada sesetengah haiwan dan manusia, menghidupkan pokok dan segala tumbuhan yang menjadi sumber makanan pula kepada manusia dan haiwan. Ini dijelaskan melalui Ayat 48 – {Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;}
    iv- Kemudian selepas itu dalam Ayat 54 Allah menceritakan pula tentang peringkat kejadian dan kehidupan manusia dari lemah kepada kuat kemudian lemah semula dan akhirnya kembali semula kepada Allah s.w.t. .Kamu bukan hidup selama-lamanya di atas dunia ini. Kesimpulannya kita jangan lupa kepada Allah s.w.t & nikmat-Nya yang tidak terhitung serta bersedia utk mati..
    Inilah empat dimensi perbicangan dan kesinambungan 4 ayat ini.

Powered by BetterDocs