SURAH AR-RUUM : AYAT 54-57

\"\"

PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA, TEMPOH HIDUP DI DUNIA SEKEJAP & PERMOHONAN MAAF TIDAK DITERIMA.

Full video : https://youtu.be/Fg7e_9M3AnU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat yang lepas, Allah s.w.t menyebut dalil-dalil yang menyebutkan tentang Keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t, sebelum ini dari atas iaitu langit, angin dan awan. Juga kepada laut dan sungai, bukit-bukau dan bumi. Pada hari ini turun balik ke bumi, melihat kepada diri manusia sendiri pula.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang proses dan peringkat kejadian manusia yang bermula dengan mati kemudian hidup kemudian mati kembali di atas dunia ini.
  3. Selepas mati buat beberapa lama di alam barzakh, akan dihidupkan kembali pada hari Kiamat, untuk menerima perhitungan dan pembalasan di akhirat kelak.
  4. Tempoh kehidupan di atas dunia aklan dirasakan sekejap sahaja.
  5. Permohonan taubat dan keuzuran yang direka tiada nilainya lagi di sisi Allah s.w.t apabila sudah tamat tempohnya.

AYAT 54- {ALLAH YANG MENCIPTAKAN KAMU BERMULA DENGAN KEADAAN LEMAH, SELEPAS BERKEADAAN LEMAH ITU IA MENJADIKAN KAMU KUAT. SETELAH ITU IA MENJADIKAN KAMU LEMAH PULA SERTA TUA BERUBAN. IA MENCIPTAKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA KUASA. (AR-RUUM 30:54)

  1. Dalam ayat ini diceritakan peringkat kehidupan manusia. Allah s.w.t:
    i- mencipta manusia dalam keadaan lemah (air mani yang tiada nilai), lahir juga sebagai bayi yang lemah,
    ii- kemudian membesar menjadi remaja dan dewasa yang kuat,
    iii- kemudian menjadi orang tua yang kembali lemah dan beruban.
  2. Kerana itu dilarang warnakan rambut yang sudah uban putih dengan warna hitam kembali. Warna inai dibenarkan. Kerana takut kita terasa masih muda atau menipu orang dengan umurnya.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.} (Al-Nahl 16:70)
  4. Doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk berlindung dari umur tua yang nyanyuk.
    اللهم إني أعوذُ بك من البُخلِ، وأعوذُ بك من الجُبنِ، وأعوذُ بك أن أُرَدَّ إلى أرذَلِ العمُرِ، وأعوذُ بك من فتنةِ الدنيا، وأعوذُ بك من عذابِ القبرِ
    Ertinya: (Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kebakhilan, aku berlindung kepada-Mu dari sikap pengecut, aku berlindung kepada-Mu kepada serendah-rendahnya usia (terlalu tua-nyanyuk), aku berlindung kepada-Mu dari fitnah dunia, dan aku berlindung berlindung kepada-Mu dari azab kubur) [HR Bukhari].
  5. Allah s.w.t Maha Berkuasa untuk mencipta apa saja yang dikehendaki-Nya. Ada yang lemah ada yang kuat dan sebagainya.

AYAT 55- {DAN SEMASA BERLAKUNYA HARI KIAMAT, ORANG-ORANG YANG BERDOSA AKAN BERSUMPAH MENGATAKAN BAHAWA MEREKA TIDAK TINGGAL (DI DALAM KUBUR) MELAINKAN SEKADAR SATU SAAT SAHAJA; DEMIKIANLAH MEREKA SENTIASA DIPALINGKAN (OLEH FAHAMAN SESATNYA DARI MEMPERKATAKAN YANG BENAR).} (AR-RUUM 30:55)

  1. Pada hari berlakunya Kiamat orang yang berdosa dan kafir itu bersumpah mengatakan mereka tidak tinggal lama samada di dalam kubur atau di atas dunia.
  2. Mereka merasakan seolah mereka hanya berada di situ sekadar satu saat sahaja, beberapa seketika sahaja.
  3. Dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang kebangkitan semula, ulang balik kerana orang kafir itu dengar sahaja sebelum ini.
  4. Ini kerana puak kafir yang tidak mahu beriman itu sentiasa dipalingkan oleh fahaman dan pegangan mereka daripada mengakui kebenaran. Semasa di atas dunia dulu mereka mendustakan semuanya, tetapi di akhirat esok baru menyesal dan mengakuinya.
  5. Ayat ini dan ayat selepasnya mengesahkan dan menggambarkan keadaan manusia pada hari Kiamat.
  6. Orang yang paling kaya dan mewah hidupnya di atas dunia dulu sekali dicelup ke dalam azab neraka di akhirat, terus tidak ingat apa nikmat dunianya dulu seolah hanya hidup sesaat sahaja.
    Begitu juga sebaliknya yang mendapat nikmat syurga, tidak ingat dan lupa terus segala kesiksaan dan kesusahannya di dunia dulu.

AYAT 56- {DAN (BAGI MENJAWABNYA) BERKATALAH ORANG-ORANG YANG BERILMU SERTA BERIMAN: \”DEMI SESUNGGUHNYA, KAMU TELAH TINGGAL – MENURUT YANG TERKANDUNG DALAM KITAB ALLAH – SAMPAI KE HARI KEBANGKITAN (HARI KIAMAT); MAKA INILAH DIA HARI KEBANGKITAN (YANG DIJANJIKAN) ITU, AKAN TETAPI KAMU DARI DAHULU LAGI TIDAK MAHU MENGETAHUI (KEBENARANNYA)\”.} (AR-RUUM 30:56)

  1. Ulama\’ kata orang berilmu yang menjawab kata-kata orang kafir dalam ayat ini ialah samada para malaikat, nabi-nabi atau orang yang beriman.
  2. Mereka mengatakan bahawa orang kafir itu sebenarnya sudah berada lama di alam barzakh (kubur). Sekarang adalah waktu hari Kiamat, hari kebangkitan.
  3. Tiada guna lagi penyesalan, hari ini adalah hari menerima balasan. Jika nak insaf menyesal adalah sekarang, semasa masih hidup di atas dunia ini.
  4. Inilah hari Kebangkitan yang dijanjikan, yang kamu ingkarkan dan tidak mahu menerima kebenarannya dulu!

AYAT 57- {MAKA PADA HARI ITU TIDAK BERGUNA LAGI BAGI ORANG-ORANG YANG ZALIM, SEBARANG ALASAN YANG MEREKA KEMUKAKAN UNTUK MELEPASKAN DIRI, DAN MEREKA PULA TIDAK DIBERI PELUANG UNTUK MEMOHON KEREDHAAN ALLAH}. (AR-RUUM 30:57)

  1. Allah s.w.t memberitahu bahawa tiada guna dan faedah lagi alasan dan keuzuran bagi orang yang zalim.
  2. Mereka tiada lagi peluang untuk beriman atau bertaubat, menyesal akan segalanya.
  3. Allah s.w.t tidak akan menerima lagi permohonan maaf mereka, bahkan mereka tidak diminta untuk bertaubat lagi, selepas dihisab akan dihumban ke dalam neraka.
  4. Tiada penangguhan dan peluang kedua di akhirat nanti. Maka semasa hidup ini jangan kita bertangguh untuk menyesal dan bertaubat, jangan menangguh untuk beramal dan berbuat kebaikan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah s.w.t menyatakan peringkat umur manusia di atas dunia ini bermula dari bayi,kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua.
    i- Ulama\’ kata kekuatan manusia mulai menurun bermula dari umur 40-an tetapi akalnya mulai matang.
    Majoriti para rasul dan nabi dilantik pada umur 40 tahun.
    ii- kehidupan manusia antara dua kematian, kekuatan pula antara dua kelemahan.
  2. Ayat 54- {Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat….. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban.} مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ – Allah s.w.t mengulang beberapa kali kalimah lemah ini, menunjukkan bahawa manusia ini hidup antara dua kelemahan dan dua kematian.
    Untuk sentiasa sihat dan cergas kena amalkan gaya hidup yang sihat secara zahir dan batin mengiku Syariah. Selain fizikal yang sihat, hati juga kena bersih dan sihat daripada segala penyakit hati. Tidak semestinya beristeri baru setiap 10 tahun dapat menjamin kesihatan dan kecergasan mental dan fizikal.
  3. Ayat 55- {demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar).} – ayat ini mengajar kepada kita bahawa perangai dan akhlak kita akan mengikut kebiasaan hidup seperti kebiasan hidup kita di atas dunia itu dulu. Jika semasa hidup kita sentiasa jujur, benar dan tidak bohong maka ia akan menjadi sebati dengan kukuh dengan kita. Maka kita kena sabar, jangan angkuh dan sombong, nanti ia akan menjadi tabiat kebiasaan.
  4. Ayat 56- {Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman:] – menunjukkan orang mukmin apabila mendengar puak kafir berbahas ini, mereka terus mengingkarinya! Inilah sifat mukmin yang sejati, apabila mendengar sesuatu yang tidak betul terus baiki atau menegurnya. Jangan jadi syaitan bisu, mesti menyatakan kebenaran walaupun tidak dipedulikan orang. Dua sebab kita mesti nyatakan yang benar ini:
    i- ada teguran dan pengingkaran yang disampaikan.
    ii- selesai bertanggung-jawab kita, tugas kita hanya menyampaikan, bila orang terima teguran itu atau tidak, serahkan kepada Allah s.w.t.
  5. Ayat 56- { Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman:} – menunjukkan pentingnya ada ilmu dan iman, insya\’ Allah kita akan selamat.
  6. وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ Ayat 55- { Dan semasa berlakunya hari kiamat,} – disebut juga nama Hari Kiamat sebagai satu detik, satu saat, untuk menunjukkan cepatnya peristiwa hari Kiamat yang akan berlaku, bertukarnya dunia kepada Akhirat. Dalam masa sekejap saja manusia keluar dari kubur, berlari dengan cepat untuk berkumpul di padang Mahsyar.
  7. Ilmu yang betul dan benar datang dari Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. maka jika kita nak belajar agama yang benar tidak perlu mencari kitab yang pelik-pelik dan tidak sampai ke tahap pemikiran, carilah sumber asli iaitu dari al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w serta para ulama\’ yang muktabar.
  8. Ayat 56- {Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman:}- ayat ini hujjah ke atas fahaman Muktazilah yang mengatakan iman itu kena usaha semata, bukan anugerah dari Allah s.w.t.
    Bagi kita ahli Sunnah ia adalah keduanya, iman datang kerana usaha juga adalah anugerah dari Allah s.w.t.
    Golongan Muktazilah, Jabariyah dan lain-lain yang biasa disebut ini adalah fahaman yang silap dan tersasar daripada ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar, yang awal dulu.
    Sekarang ini mungkin atas nama liberal, sekular dan seumpamanya.
  9. Ayat 57- {dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredhaan Allah.} – tiada lagi peluang untuk bertaubat di hari akhirat lagi, kerana akhirat adalah tempat untuk menerima balasan bukan tempat mencari alasan lagi. Tiada guna lagi taubat pun hari itu kerana neraka sudah menjadi tempat akhir mereka. Kecuali orang yang beriman yang masuk neraka, dengan syafaat Rasulullah s.a.w dan dengan izin Allah akan dikeluarkan dari neraka selepas tamat tempoh hukuman mereka, dibersihkan dari kotoran dosa.
  10. Dari ayat (57} – ini juga, mereka tidak diminta bertaubat. Tetapi Allah s.w.t juga telah berfirman: {Dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredhaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.} (Fussilat 41:24).

Kenapa sekali kata tiada taubat, sekali kata boleh?
Yakni ikut keadaan dan suasananya, nak taubat penuh tiada lagi, mungkin mereka akan bertaubat dan melakukannya tetapi taubat itu tidak diterima lagi.
Seperti keadaan orang kafir pada hari Kiamat, ada waktu dapat bercakap ada waktu dikatakan tidak dapat bercakap lansung, ini kerana dua waktu dan keadaan yang berbeza.

Powered by BetterDocs