SURAH AL-ISRA\’ : AYAT 16-21

\"\"

MAKSIAT SEBAB KEBINASAAN, GOLONGAN YANG MEMILIH DUNIA DAN AKHIRAT & DARJAT BERBEZA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT.


Video penuh: https://youtu.be/rwSgImadREo

MUQADDIMAH:
Telah dibincangkan beberapa perkara seperti:
1. Sesiapa yang dapat petunjuk akan mendapat kebaikan dan selamat, sesiapa yang sesat akan binasa.
2. Allah s.w.t telah tunjukkan jalan-jalan untuk kamu pilih dengan menghantar rasul-rasul sebagai pembimbing dan pemberi khabar gembira dan ancaman azab.
3. Maka selepas itu jika masih kufur dan ingkar, enggan terima kebenaran, barulah Allah s.w.t datangkan azab-Nya.
4. Yakni Allah s.w.t tidak menzalimi hamba-Nya, mereka hanya dibinasakan selepas diberi bimbingan dan amaran, lalu masih derhaka dan buat maksiat.

AYAT 16- {DAN APABILA SAMPAI TEMPOH KAMI HENDAK MEMBINASAKAN PENDUDUK SESEBUAH NEGERI, KAMI PERINTAHKAN (LEBIH DAHULU) ORANG-ORANG YANG MELAMPAU DENGAN KEMEWAHAN DI ANTARA MEREKA (SUPAYA TAAT), LALU MEREKA MENDERHAKA DAN MELAKUKAN MAKSIAT PADANYA; MAKA BERHAKLAH NEGERI ITU DIBINASAKAN, LALU KAMI MENGHANCURKANNYA SEHANCUR-HANCURNYA.} (AL-ISRAA\’ 17:16)

Maksiat sebab kebinasaan
Sebelum membinasakan sesuatu negeri atau kaum, terlebih dahulu diperintahkan supaya beriman dan taat kepada mereka:-
1. Yang mendapat nikmat dan hidup senang lenang dalam negeri yang makmur.
2. Mereka adalah para pembesar, orang yang kaya berpangkat dan berpengaruh.
Kerana itulah fokus dakwah pada kemuncaknya terhadap mereka dulu, kerana boleh membawa pengaruh baik atau buruk kepada seluruh penduduk lain.
3. Mereka diperintahkan untuk beriman kepada Allah s.w.t tetapi mereka tetap melampau, kufur dan ingkar maka layaklah mereka dibinasakan dengan sebab derhaka dan maksiat.
3. Dijelaskan bagaimana umat dan negeri terdahulu dibinasakan. Iaitu selepas diutuskan kepada mereka rasul-rasul untuk memberi bimbingan dan peringatan.
Perintah asal Allah s.w.t untuk seluruh manusia agar taat kepada-Nya.
4. Beza bala yang turun ke atas umat dahulu, mereka binasa di hadapan Nabi mereka serta seluruhnya musnah.
5. Umat Nabi Muhammda s.a.w tidak akan diazab selama Baginda ada bersama mereka. Hatta sekarang ini pun, bala bencana hanya datang secara juz’i, yakni negara atau bahagian tertentu sja kena bukan semuanya.

AYAT 17- {DAN BERAPA BANYAK UMAT-UMAT YANG KAMI TELAH BINASAKAN SESUDAH ZAMAN NABI NUH; DAN CUKUPLAH TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGETAHUI LAGI MELIHAT AKAN DOSA-DOSA HAMBANYA.} (AL-ISRAA\’ 17:17)
1. Allah s.w.t mengatakan berapa banyak sudah kaum-kaum yang dibinasakan, selepas dari kaum Nabi Nuh, yang masih ada kesan untuk kamu lihat.
2. Ayat ini mengandungi amaran keras kepada kafir quraisy yang mendusta dan menentang Nabi s.a.w , bahawa mereka akan dibinasakan sebagaimana kaum-kaum yang terdahulu.
3. Untuk kita juga, Allah s.w.t bagi peluang dan nikmat untuk hamba-Nya untuk melihat siapa yang ikhlas bermala dan berjuang. Maka jika tidak ambil iktibar dan pengajaran maka peluang mungkin tidak akan berulang, maka akan binasalah juga.
4. Cukuplah hanya Allah swt Yang Maha Mengetahui, yang tersembunyi dan nyata, tetapi manusia masih berani melakukan segala maksiat dan kemungkaran. Ini kerana tiada merasa sifat muraqabah Allah. (Pemantauan)

3 PERKARA YANG TIDAK BOLEH DIBUAT BERGURAU:-
1. Murtad.
2. Nikah dn
3. Cerai.
* Akan jadi sungguh, akan dikira sah.

AYAT 18- {SESIAPA YANG MENGHENDAKI (KESENANGAN HIDUP) DUNIA, KAMI AKAN SEGERAKAN KEPADANYA DALAM DUNIA APA YANG KAMI KEHENDAKI, BAGI SESIAPA YANG KAMI KEHENDAKI; KEMUDIAN KAMI SEDIAKAN BAGINYA NERAKA JAHANNAM (DI AKHIRAT KELAK), UNTUK MEMBAKARNYA DALAM KEADAAN YANG HINA LAGI TERSINGKIR DARI RAHMAT ALLAH.} (AL-ISRAA\’ 17:18)

Golongan yang memilih dunia.
1. Allah s.w.t akan buka pintu nikmat dunia ini yakni memberi rezeki kepada hamba-Nya yang Dia kehendaki, bukan semuanya.
2. Dia akan beri kepada dua-dua golongan samada:
i- Kepada orang yang dia sayang – yang beriman dan taat kepada-Nya.
ii- Juga kepada orang yang dia tidak sayang iaitu golongan yang ingkar dan kufur. Ini sebagai satu ujian kepada mereka.
3. Tetapi di akhirat kelak, pastilah hanya golongan yang beriman dan taat sahaja akan mendapat kebaikan dan nikmat, manakala golongan yang kufur dan derhaka pastilah balasan buruk, kehinaan dan azab neraka yang dahsyat menantinya.
4. Siapa yang niat kerja-buatnya semata-mata kerana dunia, samada kerja dunia atau kerja akhirat- seperti solat untuk menunjuk (riya’) atau untuk dapat ini itu, tarik rezeki dan lain-lain. Maka Allah akan segerakan apa yang dia mahu di dunia ini dari kebendaannya, tetapi akan disediakan baginya di akhirat kelak, neraka Jahannam untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
5. Ibnu Kathir r.h.m berkata dalam Tafsirnya: Bukan semua kesenangan duniawi yang manusia mahu di dunia ini akan dapat, bahkan semuanya terikat dan bergantung dengan kehendak Allah s.w.t. kepada siapa mahu diberinya.

AYAT 19- {DAN SESIAPA YANG MENGHENDAKI AKHIRAT DAN BERUSAHA MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK UNTUK AKHIRAT DENGAN USAHA YANG LAYAK BAGINYA, SEDANG IA BERIMAN, MAKA MEREKA YANG DEMIKIAN KEADAANNYA, DIBERI PAHALA AKAN AMAL USAHANYA. (AL-ISRAA\’ 17:19)

GOLONGAN YANG MEMILIH AKHIRAT:
1. Ayat ini pula menceritakan tentang golongan yang hendakkan kejayaan di akhirat dengan berusaha mengerjakan amal perbuatan baik yang selayaknya.
2. Syarat amalan yang baik dan diterima ialah:
i- Niat yang ikhlas.
ii- Amal atau perbuatan yang baik.
ii- Iman yang teguh.
*Contoh amal yang bukan baik walaupun niat ikhlas: merompak orang kaya yang bakhil untuk disedekahkandgn ikhlas, menjamu daging babi untuk fakir-miskin dan seumpamanya.
3. Maka bagi mereka pahala setimpal bagi amal usahanya.

AYAT 20- {TIAP-TIAP GOLONGAN DARI KEDUANYA, GOLONGAN DUNIA DAN GOLONGAN AKHIRAT KAMI HULURKAN KEPADA MEREKA DARI PEMBERIAN TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD); DAN TIADALAH PEMBERIAN TUHANMU ITU TERSEKAT (DARI SESIAPAPUN).} (AL-ISRAA\’ 17:20)
1. Kedua-dua golongan ini, iaitu golongan dunia dan golongan akhirat ini akan mendapat pemberian Allah s.w.t.
2. Pemberian Allah s.w.t tidak tersekat ke atas sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

AYAT 21- {LIHATLAH BAGAIMANA KAMI LEBIHKAN SEBAHAGIAN DARI MEREKA ATAS SEBAHAGIAN YANG LAIN (DALAM REZEKI PEMBERIAN KAMI ITU) DAN SESUNGGUHNYA PEMBERIAN DI AKHIRAT LEBIH BESAR TINGKATAN-TINGKATAN PERBEZAANNYA DAN LEBIH BESAR TAMBAHAN-TAMBAHAN KELEBIHANNYA.} (AL-ISRAA\’ 17:21)
Darjat berbeza di dunia dan di akhirat:
1. Setiap manusia tidak sama rezekinya, atas dunia sudah berbeza-beza ada yang kaya ada yang miskin. Tetapi ingatlah pemberian (balasan) di akhirat lebih besar lagi.
2. Ada mukmin yang miskin dan kaya, begitu juga orang kafir ada yang senang ada yang susah. Semua itu untuk menguji manusia samada mereka syukur atau kufur nikmat. Antara hikmah Allah cipta perbezaan ini juga kerana mereka saling memerlukan dan melengkapi satu sama lain,
3. Begitu juga di akhirat nanti, nikmat Allah dalam Syurga juga berbeza tingkatnya.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda: “Di dalam syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan bagi para mujahidin di jalan-Nya, yang jarak antara setiap dua tingkat itu bagaikan antara langit dan bumi, maka jika kamu meminta kepada Allah, mintalah Syurga Firdaus, sebab Firdaus adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi, di atasnya ada singgasana Ar-Rahman, dan daripadanya sungai syurga memancar.\” (HR. Bukhari: 6873)
3. Begitu juga azab dan tahap neraka, berbeza-beza tahap siksaan dan kedahsyatannya juga. Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
{Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.} (Al Hijr : 44).

PENUTUP:
1. Bukan semua orang yang dapat nikmat dunia itu tanda Allah redha kepadanya.
2. Sedangkan yang akan mendapat nikmat di akhirat pastilah mereka yang diredhai Allah s.w.t.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs