Surah Al-Baqarah : Ayat 114-115

KEZALIMAN BESAR HALANG ORANG DARI MASUK MASJID, NAK MERUNTUHKANNYA & SAH SOLAT DIMANA SAHAJA TEMPAT BERSIH.

Full video : https://youtu.be/L5j0cH8E9cQ?si=XRW5PhdBgJC8lSTZ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan pengajian kuliah tafsir kita dalam ayat 114 dan ayat 115 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kezaliman besar halang orang dari memasuki masjid, sama ada untuk solat, berzikir menyebut nama Allah, atau menyampaikan tafsir Kitab Allah dan lain-lain perkara kebaikan yang berkait dengan Islam & Sunnah.
  1. Bahkan satu kezaliman besar nak meruntuhkannya atau mengosongkan masjid daripada aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.
  1. Seterusnya Allah nyatakan bahawa sah bagi umat ini untuk solat dimana sahaja asalkan tempatnya bersih. Tak kira di masjid, surau, musolla atau di rumah.
  1. Berbeza dengan umat dahulu jika nak solat mesti pergi ke rumah ibadat mereka yang dibina khas seperti biya’ah atau gereja dan seumpamanya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 114- {DAN SIAPAKAH YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG-ORANG YANG MENYEKAT DAN MENGHALANGI DARI MENGGUNAKAN MASJID-MASJID ALLAH UNTUK (SEMBAHYANG DAN) MENYEBUT NAMA ALLAH DI DALAMNYA, DAN IA BERUSAHA PULA UNTUK MERUNTUHKAN MASJID-MASJID ITU? ORANG-ORANG YANG DEMIKIAN, TIDAK SEPATUNYA MASUK KE DALAM MASJID-MASJID ITU MELAINKAN DENGAN RASA PENUH HORMAT DAN TAKUT KEPADA ALLAH (BUKAN SECARA YANG MEREKA LAKUKAN ITU). MEREKA (DENGAN PERBUATAN ITU) AKAN BEROLEH KEHINAAN DI DUNIA, DAN DI AKHIRAT KELAK MEREKA MENDAPAT AZAB SEKSA YANG AMAT BESAR.} (AL-BAQARAH 2:114)

  1. Allah SWT mulakan ayat ini dengan pertanyaan, siapakah yang lebih zalim {وَمَنْ أَظْلَمُ} selain daripada mereka yang bersifat sebagaimana dalam ayat ini!
  1. Yakni tiada orang yang lebih zalim selain daripada mereka yang:
    i- Yang menyekat dan menghalang orang dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk solat dan menyebut nama Allah di dalamnya, iaitu lain-lain ibadat seperti membaca Al-Quran, mendengar kuliah dan seumpamanya.

    ii- Dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu.
  1. Kata ahli tafsir:
    i- Tiada orang yang menyekat sesuatu lebih daripada kejahatan orang yang menyekat manusia daripada jalan Allah.
    Tak benarkan orang masuk Islam, tak benarkan orang dengar tazkirah, tak benarkan orang sebut nama Allah!

    ii- Orang yang melampaui batas Allah ialah manusia yang menyekat orang lain daripada masuk masjid & beribadat dalam rumah Allah!
    Mereka telah berusaha mengerahkan tenaga untuk merosakkan masjid sama ada secara fizikal (hissiy) seperti yang sedang dibuat oleh yahudi sekarang & mana-mana kafir atas dunia ini yang bom masjid, atau secara maknawi. Bangunan besar ada tetapi nak solat & buat apa-apa ibadat di dalamnya tak boleh!
  1. Inilah masalah yang berlaku dalam dunia hari ini, bukan hanya di negara kita tetapi di mana saja! Kita tak perlu tunding jari kepada sesiapa.
    Sedang masjid itu bukan hanya tempat beribadat tetapi juga sebagai pusat menyampaikan ilmu! Jika itu juga disekat maka amat rugi & malanglah!
  1. Para ulama’ tafsir berbeza pandangan tentang kepada siapakah ayat ini dituju. Siapakah yang dimaksudkan dengan {وَمَنْ أَظْلَمُ} ini:
    i- Puak musyrikin kafir Quraisy yang menyekat Rasulullah SAW para sahabat daripada masuk solat & beribadat dalam Masjidil-Haram pada masa itu.
    Bahkan pernah Rasulullah SAW dicekik lehernya, dicampakkan perut unta ke atasnya yang sedang solat dan lain-lain kejahatan.

    ii- Puak nasrani yang cuba meruntuhkan Masjidil Aqsa & telah bersekongkol dengan Bukhtanassar lalu menghalang orang yang beriman dari kalangan Bani Israel untuk masuk & solat di dalamnya.

    iii- Ada juga ulama’ yang berpendapat bahawa ayat ini umum untuk semua. Sama ada orang itu kafir atau tidak, siapa sahaja yang menyekat & menghalang orang daripada masuk bersolat & beribadat di dalam masjid, termasuk dalam golongan yang zalim ini.
  1. Tetapi peraturan untuk menjaga keselamatan masjid yang dikunci pada waktu malam, daripada dipecah masuk, dipecah tabung, dicuri barang berharga masjid dan lain-lain kerosakan tidak mengapa.
    Dengan syarat ada ruang untuk solat disediakan bagi musafir yang singgah.
  1. Realiti hari ini ada juga yang terjadi:
    i- Pihak yang berkuasa menghalang seseorang yang berkelayakan, yang tidak patut disekat daripada menyampaikan ilmu dalam masjid serta memberi ruang kepada sesuatu yang tidak patut dibawa masuk ke dalam masjid, maka itu adalah salah guna kuasa & termasuk orang yang zalim sekiranya mereka salah guna kedudukan.

    ii- Atau yang terjadi sekarang, pihak yahudi yang sedang cuba meruntuhkan Masjidil-Aqsa dengan mengebomnya & menghalang orang Islam dari memasuki solat di dalamnya! Bahkan mencedera & membunuh orang Islam!
  1. Allah SWT larang orang yang berusaha meruntuhkan rumah-rumah Allah SWT sama ada meruntuhkannya secara fizikal atau secara spiritual. Ini cukup bahaya!
  1. Ulama’ tafsir juga kata ayat ini termasuklah:
    i- Orang musyrikin yang menyekat orang daripada memasuki Makkah.

    ii- Puak nasrani yang menyekat orang daripada memasuk Baitul-Maqdis.

    iii- Yahud yang juga menyekat orang Islam & mahu meruntuhkan Baitul-Maqdis & membakar Masjidil-Aqsa.

    iv- Puak zaman kita hari ini yang membuat peraturan-peraturan yang melampaui, yang lebih daripada sepatutnya.
    Peraturan kena ada untuk menjaga kehormatan masjid, jika tidak semua orang akan buat Isa AS iaitu ikut suka aku, kata apa yang dia nak!

    Tetapi peraturan ini mestilah yang insaf, yang adil, yang jelas untuk kepentingan Islam & umat Islam seluruhnya!
    Bukan hanya kerana berlainan fahaman atau kerana tuduhan-tuduhan jahat semata!
  1. Bagi mereka yang khianat & jahat kepada masjid ini, apabila mereka masuk ke dalam masjid, Allah akan jadikan dalam hati mereka perasaan takut:
    i- Takut akan azab & kemurkaan Allah!

    ii- Takut akan dijatuh hukuman atau diserang oleh orang Islam.
  1. Allah nyatakan di akhir ayat ini bahawa mereka yang khianat & menyekat agama Allah akan menerima balasan buruk iaitu:
    i- Akan mendapat kehinaan dan aib di dunia ini, sama ada akan dibunuh, ditawan, kena bayar jizyah dan seumpamanya.

    ii- Manakala di akhirat kelak bagi mereka azab yang cukup dahsyat! Wal ‘iyazu billah!

AYAT 115- {DAN ALLAH JUALAH YANG MEMILIKI TIMUR DAN BARAT, MAKA KE MANA SAHAJA KAMU ARAHKAN DIRI (KE KIBLAT UNTUK MENGADAP ALLAH) MAKA DI SITULAH ARAH YANG DIREDHAI ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA LUAS (RAHMATNYA DAN LIMPAH KURNIANYA), LAGI SENTIASA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:115)

  1. Yakni Allah SWT memiliki seluruh alam ini, timur barat, sudut tempat naik & turun matahari, utara selatan, kiri kanan, depan belakang; semuanya makhluk Allah SWT yang berada di bawah kekuasaan-Nya.
  1. Maka ke mana saja kamu hadapkan diri kamu ke arah kiblat yang diperintahkan Allah untuk beribadat kepada Allah, maka di situlah arah yang diredhai Allah SWT!
  1. Kita akan menghadap kepada Allah SWT ke arah mana saja kita hadap, ini kerana orang solat apabila dia menghadap atau tengok ke arah kiblat bererti dia telah berhadap dengan Allah Azza wa Jalla.
    Kiblat kita umat Islam adalah ke arah Ka’bah di Masjidil Haram, Makkah.
    Tidak boleh hadap arah ikut suka, kerana inilah tauhid untuk satukan saf kaum muslimin.
  1. Ada pandangan tafsir lain pula mengatakan: Ke arah mana saja kamu hadap dalam solat maka kamu akan berhadap dengan Allah SWT, sama ada kita menghadap kiblat dalam musafir atau semasa di rumah kita!

    Tetapi jika solat sunat dalam musafir boleh hadap ikut arah yang kita lalui atau ikut pergerakan kenderaan kita, tidak mengapa tidak mengarah ke arah kiblat.
    Yakni diberi kelonggaran. Ada kata semasa mula takbir hadap kiblat dulu kemudian ikutlah keadaannya.

    Solat fardhu, wajib bertempat & menghadap kiblat kecuali dalam keadaan terdesak seperti dalam ketakutan yang amat sangat atau dalam peperangan!
  1. Allah tutup ayat ini dengan dua nama Allah yang lengkap menyatakan sifatnya:
    i- Allah Maha Luas { ٱللَّهَ وَٰسِعٌ} iaitu amat luas rahmat-Nya, limpah kurnia-Nya, ilmu-Nya & luas keampunan-Nya.

    ii- Allah sentiasa Mengetahui {عَلِيمٌۭ}. Allah SWT bersifat Maha Mengetahui, yang kecil yang besar, tiada satu apa-pun yang tersembunyi dari ilmu Allah SWT!
  1. Ulama’ tafsir kata: Ayat ini {Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya),} menunjukkan bahawa boleh kita menghadap ke arah mana saja dalam musafir jika tidak pasti akan arah Kiblat!
    Yakni masing-masing ijtihad ke arah mana berdasarkan dalil yang ada, bukan suka-suka. Ini kerana syarat nak solat kena pastikan arah kiblat!
    Tetapi hari ini kita sudah ada alat-alat yang dapat membantu untuk menentukan arah kiblat ini!
    Walaupun mungkin tidak 100% yakin tetapi boleh membantu ke arahnya.
  1. Manakala orang yang yakin dan jelas seperti orang yang berada di Makkah, mesti ke arah Masjidil Haran, orang yang berada di dalam Masjidil-Haram atau di hadapan Ka’bah, wajib menghadap ke arah Ka’bah!
    Manakala kita yang dari jauh cukup ke arahnya, iaitu ke arah Makkah!
  1. Maka ingatlah Allah SWT Yang Maha Kaya, Yang Maha Kuasa, yang menentukan hidup kita, maka janganlah kita degil keras kepala, kufur atau langar perintah Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 114- {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?}-

    Orang yang menyekat orang lain daripada masjid atau cuba meruntuhkan masjid itulah orang yang paling zalim!
    Ini sama ada sekat atau runtuhkan secara fizikal atau maknawi (ruhiyyah) yakni jauhkan masjid dari aktiviti ibadat sehingga masjid tidak berfungsi & runtuh kegunaannya.

    Salah satu isu yang dibincang sekali lagi dalam Muzakarah Haji Kebangsaan tahun ini ialah:
    i- Tidak boleh solat dalam bilik hotel atau suraunya (tidak dikira berjemaah dengan imam Masjidil Haram) kecuali jika waktu orang ramai lalu saf bersambung dari masjid sehingga ke hotel/musolla itu!

    ii- Tetapi jika pada musim biasa orang tak ramai, luas kekosongannya, rugilah jika kita tidak ambil kesempatan untuk solat di dalam Masjidil-Haram, di hadapan Ka’bah!
    Apa faedah datang jauh-jauh, ambil hotel dekat masjid yang mahal lagi, tetapi tidak dimanfaatkan!

    Kata AAM : Di Makkah ini, masjid dekat di mata tetapi jauh di kaki.
    Masjidil-Haram nampak dekat dari tempat kita duduk, tapi nak sampai ke dalamnya masih jauh lagi perlu berjalan!
    Tetapi jika masjid dekat di mata tetapi jauh di kaki, boleh tahan lagi. Orang yang mahu, akan berusaha berjalan ke masjid.
    Apabila masjid dekat di mata tetapi jauh di hati itulah yang kita paling takuti. Dia tidak akan sampai di masjid kerana hatinya tidak mahu!
    Kerana itu kita minta pihak berkuasa memberi peraturan & SOP yang jelas agar orang tidak bermudah-mudah dalam masalah solat jamaah!
    Kita minta Allah SWT lindungi kita dari ditinggalkan terumbang-ambing tanpa pedoman & hidayah!

    Perhatian : Meruntuhkan binaan masjid yang sudah lama & buruk untuk bina yang baru atau pindah tempat lain tiada masalah- yang dikehendaki di sini salah meruntuhkan dengan niat khianat.
    Maksud ayat ini juga ialah menghalang orang daripada datang beribadat di masjid dan lain-lain aktiviti agama yang dijalankan di dalam masjid, dalam masa yang sama menyalahgunakan masjid dengan membiarkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku di masjid!
    Sesiapa yang menghalang orang dari jalan Allah maka ia adalah satu dosa besar & balasan azab yang menakutkan!
  1. Ayat 114- {untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya}-

    Ayat ini isyarat bahawa jika kita nak berzikir kepada Allah dengan lisan- semua zikir kena ada nama Allah yang penuh & lengkap.
    Inilah zikir yang ma’thur, yang benar, yang diambil dari Baginda Rasulullah SAW & ikut Syar’i.
    Contoh zikir yang ada nama Allah yang ma’thur: سُبْحَانَ اللَّهِ – الْحَمْدُ لِلَّهِ -لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ – اللَّهُ أَكْبَرُ- لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ
    Bukan zikir yang sebut hu hu atau ha ha atau apa saja yang seumpamanya, yang bukan menyebut nama Allah yang lengkap!
  1. Ayat 115- {Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah;}-

    Hadaplah ke arah mana saja untuk menyembah Allah!
    Kata ulama’ ayat ini turun sebelum arahan menghadap ke arah kiblat yang khas seperti Ka’bah.
    Ini juga untuk membatalkan pegangan orang kafir bahawa ibadat atau solat itu tidak sah jikat tidak dilakukan dalam gereja, bi’ah, haikal, ma’bad atau apa-apa tempat ibadat khas mereka!

    Sabda Rasulullah SAW tentang keistimewaan Baginda: أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ
    Maksudnya: “Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku.. (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, dimana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” [HR al-Bukhari: (438)].

    Kita umat Islam hari ini Allah SWT perluaskan kepada kita untuk solat di mana saja yang kita dapati asalkan ianya bersih & suci.
    Ayat ini juga mengajar kepada kita untuk menghadap ke arah Ka’bah, ini adalah satu peraturan untuk menyatukan umat Islam seluruhnya menghadap kepada satu tempat sebagai tanda penyatuan.
  1. Ayat 114- {masjid-masjid Allah- مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ }-

    Allah sebut bahawa masjid adalah rumah Allah.
    Ini menunjukkan bahawa masjid adalah satu tempat yang mulia kerana ia dinisbahkan kepada Allah!
    Maka jangan sekali-kali kita buat benda mungkar & yang tidak baik dalam masjid!
    Ada juga ulama’ kata maksudnya ialah tempat kita sujud atau anggota sujud kita kepada Allah!
    Maka kita kena bersihkan masjid daripada kekotoran maknawi & hissiy (fizikal & spiritual) kerana ia adalah tempat kita sujud (beribadat) kepada Allah!
    Anggota kita pula jangan sujud kepada selain Allah SWT.
    Masjid adalah rumah Allah juga bermakna masjid hak umum, hak semua muslim, hak kita bersama!
    Tidak boleh kita book tempat dalam masjid, letak sejadah kita untuk tanda tempat kita. Siapa datang awal maka dia yang berhak duduk saf depan.

    Kecuali imam & bilal, mesti disediakan tempat khas untuk mereka!
    Tetapi ini seperti tidak jadi masalah kerana masyarakat kita hari ini tidak berebut pun saf depan, bahkan saling tolak menolak tidak mahu ke depan!
  1. Ayat 115- {Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah;}-

    Ayat ini asalnya sebelum ditentukan arah kiblat yang khas iaitu Ka’bah, orang Islam boleh menghadap ke arah mana saja untuk solat.
    Kemudian selepas ditentukan arah kiblat ke Ka’bah (atau Baitul-Maqdis sebelumnya) maka kita wajib pastikan arah kiblat kita!
    Kecuali bagi solat sunat dalam musafir, boleh solat ikut pergerakan kenderaan yang dinaiki seperti yang dijelaskan di atas.
    Selepas ini boleh siap-siap berwuduk sebelum musafir & solatlah sunat semampu mungkin atas kenderaan yang dinaiki, baru cepat terasa perjalanan kita & diberkati Allah!
    Alhamdulillah tamatlah kuliah kita untuk hari ini, Insya’ Allah kita sambung lagi dalam ayat seterusnya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs