SURAH ASY-SYU\’ARA\’ : AYAT 221-227

\"\"

MENOLAK TUDUHAN NABI S.A.W SEBAGAI SIHIR ATAU PENYAIR, GOLONGAN PENGIKUT SYAITAN & KENALI PENYAIR ISLAM.

Full video : https://youtu.be/kQ-PcbNvBes

MUQADDIMAH :

  1. Inilah siri yang terakhir bagi Surah asy-Syu\’ara\’, bermula dari ayat 221 sehingga ayat 227.
  2. Ini adalah kesinambungan bagi ayat yang lepas, di mana Allah s.w.t peringatkan kepada manusia bahawa al-Quran ini diturunkan oleh Allah s.w.t kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.
  3. Sekaligus menolak tuduhan jahat kaum kafir musyrikin bahawa ia diturunkan dan diajar oleh syaitan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda juga dituduh sebagai seorang penyair.
  4. Kemudian Allah s.w.t jelaskan kepada siapa sebenarnya syaitan itu bawa maklumat. Iaitu kepada pengikutnya- para ahli nujum, tukang tilik, tukang sihir, bomoh-bomoh dan seumpamanya. Kerana itu kita dilarang daripada pergi berjumpa mereka ini untuk berubat atau apa tujuan sekalipun.
  5. Dalam ayat-ayat ini juga Allah s.w.t bezakan sifat para penyair yang kufur dan mereka yang beriman serta beramala soleh.

AYAT 221- {MAHUKAH, AKU KHABARKAN KEPADA KAMU, KEPADA SIAPAKAH SYAITAN-SYAITAN ITU SELALU TURUN? (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:221)

  1. Allah s.w.t bawa ayat ini sebagai sambungan kepada ayat 220 yang lepas.
  2. Syaitan itu dapat terbang ke sana sini dan ia boleh bersambung sehingga ke langit.
  3. Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: Dalam ayat ini Allah s.w.t khabarkan terus kepada manusia, ketua musyrikin yang mengatakan syaitan turun ajar Rasulullah serta mencipta al-Quran, menafikan tuduhan jahat itu serta menjawab kepada siapa sebenarnya syaitan turun serta al-Quran itu adalah yang benar turun dari Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w.

AYAT 222- {MEREKA SELALU TURUN KEPADA TIAP-TIAP PENDUSTA YANG BERDOSA, (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:222)

  1. Allah s.w.t nyatakan Golongan pertama yang didatangai syaitan: Ia akan turun kepada golongan pendusta yang berdosa, pawang-pawang, ahli sihir yang mengamalkan ilmu ghaib, bukan kepada para nabi-nabi dan rasul-rasul yang yang diberi wahyu oleh Allah s.w.t.
  2. Kenapa disebut turun (تَنَزَّلُ) kerana ia mencuri naik mengintip rahsia di atas langit sebelum dilontar oleh malaikat penjaga langit dengan api, kemudian dia turun bawa rahsia yang didapati.
  3. Strategi syaitan dalam godaannya-
    i- ada perancangan,
    ii- tidak masuk lorong no-entry
    iii- dan tiada cuti.
    Maksudnya no-entry dia akan tengok jenis mangsanya, jenis memang suka maksiat lain taktiknya, bagi ahli ibadat lain pula taktik dan strateginya, samada dengan merosakkan ibadat mereka melalui riya\’, takabbur dan lain-lain.
  4. Allah s.w.t sebut juga sifat mereka sebagai pendusta yang berdosa أَفَّاكٍ أَثِيمٍ.
    golongan yang banyak bohong dan dusta akan disukai syaitan, maka kita kena hati hatta berjanji dengan anak-anak pun.
  5. Ini kerana orang yang benar-benar beriman itu tidak akan berbohong sama-sekali.

AYAT 223- {YANG MENDENGAR BERSUNGGUH-SUNGGUH (APA YANG DISAMPAIKAN OLEH SYAITAN-SYAITAN ITU), SEDANG KEBANYAKAN BERITANYA ADALAH DUSTA. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:223)

  1. Para pengikutnya ini bersungguh mendengar apa yang dibawa oleh syaitan ini. Lalu mereka mempercayainya walaupun yang dibawa olehnya hanayalah bohong dan manusia itu menggunakannnya dengan cara yang dusta pula.
  2. Syaitan naik mengintai apa yang diucapkan oleh malaikat di langit lalu turun semula ke bawa, ke bumi untuk memberikan rahsia khabar ghaib ini kepada yang menyerunya (para pengikutnya). Tetapi kebenaran itu sudah dicampur-aduk dengan pembohongan dan kepalsuan, sudah dimodifiednya untuk menjadi lebih hebat dan sensasi.
  3. Hadis Nabi s.a.w: Apabila Allah s.w.t menyampaikan sesuatu berita atau arahan-Nya kepada para malaikat, mereka akan menghentak sayap mereka, maka bunyinya seperti rantai besi yang ditarik.
    Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda,
    إِذَا قَضَى اللَّهُ الْأَمْرَ فِي السَّمَاءِ ضَرَبَتْ الْمَلَائِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ ، فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قَالُوا لِلَّذِي قَالَ : الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ . فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُ السَّمْعِ وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ ، فَيَسْمَعُ الْكَلِمَةَ فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ثُمَّ يُلْقِيهَا الْآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ حَتَّى يُلْقِيَهَا عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوْ الْكَاهِنِ ، فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ، فَيُقَالُ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ لَنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا ؟ فَيُصَدَّقُ بِتِلْكَ الْكَلِمَةِ الَّتِي سَمِعَ مِنْ السَّمَاءِ
    \”Apabila Allah menetapkan suatu ketetapan di langit maka para malaikat mengepakkan sayap mereka kerana tunduk terhadap firman-Nya, seperti layaknya suara rantai yang digesek di atas batu. Setelah rasa takut itu dicabut dari hati para malaikat, mereka bertanya-tanya: \’Apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu?\’ Malaikat yang mendengar menjawab, \’Dia berfirman yang benar. Dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.\’ Bisikan malaikat ini didengar oleh syaitan pencuri berita. Pencuri berita kedudukan mereka bertindan-tindan, yang bawah menjadi penopang bagi syaitan yang di atasnya, bertingkat terus ke atas). Syaitan/jin yang paling atas mendengar ucapan malaikat, kemudian disampaikan ke jin bawahnya, dan seterusnya, hingga jin yang paling bawah menyampaikannya kepada tukang sihir atau dukun.
    Adakalanya syaitan itu terkena oleh lemparan bintang yang menyala (membakar) sebelum ia sempat menyampaikannya, dan adakalanya ia sempat menyampaikannya sebelum terkena bintang yang menyala itu. Mereka menambahkan berita ghaib itu dengan seratus kedustaan, mencampurkan yang hak dan yang batil, dan kebenaran pun lenyap kerana terlalu sedikit jumlahnya. Orang mengatakan, bukankah si bomoh telah mengatakan demikian dan dia benar? Akhirnya sasi bomoh dibenarkan dengan satu kalimat yang benar yang dicuri dari langit.\” (HR. Bukhari 4800).
  4. Yakni setelah diberi arahan dan perintah oleh Allah s.w.t, para malaikat berbincang-bincang di langit mengenai suatu perkara yang akan terjadi di bumi. Syaitan-syaitan mencuri-curi dengar dari pembicaraan para malaikat, kemudian menyampaikannya kepada manusia pengikutnya. Tetapi mereka menambah dan mengolah berita ghaib itu dengan pelbagai pendustaan, mencampurkan yang hak dan yang batil, akhirnya mungkin hanya tinggal 1 peratus saja kebenaran untuk digunakan bagi menipu manusia pula. Mangsa bomoh atau dukun itu pula terus percaya dan terpedaya dengan apa yang disampaikan oleh mereka, lalu akan membawa kepada syirik.
  5. Ibnu \’Abbas r.a, ia berkata; \”Apabila jin-jin (syaitan) itu mendengar wahyu, mereka menambah satu kalimah dengan sepuluh kalinya, maka apa yang mereka dengar itu memang benar, sedangkan yang mereka tambahkan itu suatu kebathilan. Sebelum itu bintang-bintang itu tidak dilemparkan kepada mereka. Setelah Rasulullah S.a.w diutus, maka salah satu dari jin itu tidak mendatangi tempat duduknya melainkan dilempari dengan meteor-meteor yang dapat membakar bahagian yang dikenainya. Kemudian mereka melaporkan kejadian itu kepada Iblis. Iblis berkata; \”Hal ini tidak lain hanya kerana sesuatu yang terjadi.\” Kemudian Iblis itu mengirimkan pasukannya hingga akhirnya sampai kepada Nabi S.a.w yang sedang mengerjakan solat di antara dua gunung Nakhlah. Kemudian mereka mendatangi Baginda, lalu memberitahu hal itu kepada Iblis. Iblis pun berkata; \”Inilah kejadian yang terjadi di Bumi.\” [HR Ahmad].
    Yakni sebelum Rasulullah s.a.w diutuskan mereka dapat naik ke langit dan mendengarnya, selepas itu mereka dihalang dan akan dipanah oleh malaikat penjaga langit dengan api (meteor/tahi bintang yang kita nampak).

AYAT 224- {DAN AHLI-AHLI SYAIR ITU, DITURUT OLEH GOLONGAN YANG SESAT – TIDAK BERKETENTUAN HALA. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:224)

  1. Allah s.w.t menegaskan bahawa al-Quran itu bukan syair dan Rasulullah s.a.w itu bukan penyair dan berbeza dengan mereka.
  2. Para penyair yang tiada hala ketentuan itu hanya mengikut khayalan semata, serta mereka diikut oleh golongan yang sesat, yang lagha dan mengikut hawa-nafsu.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w tentang syair.
    i- Hadis riwayat Abu Said al-Khudri r.a. bahawa ketika kami sedang berjalan bersama Rasulullah s.a.w. di Al Arj, tiba-tiba muncullah seorang penyair. Maka Nabi s.a.w. bersabda, \”Tangkaplah syaitan ini (peganglah syaitan ini). Sesungguhnya bila seseorang dari kalian memenuhi perutnya dengan muntahan, itu lebih baik baginya daripada memenuhi dirinya dengan syair.\” [HR Bukhari & Muslim]
    Al-Qurtubi berkata: Sebaik-baik huraian hadis ini adalah tentang orang/penyair yang hanya hidup bersyair dan penuh dalam dadanya hanya dengan syair/kata-kata yang melaghakan sahaja atau kata-kata buruk, tiada zikir atau ayat-ayat yang mengingatkan kepada Allah s.w.t.
    Samada mereka makan upah untuk menghina atau mengangkat seseorang.
  4. Menggambarkan keadaan para penyair yang dicela, disambung dalam ayat seterusnya.

AYAT 225- {TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT BAHAWA MEREKA MERAYAU-RAYAU DENGAN TIDAK BERKETENTUAN HALA DALAM TIAP-TIAP LEMBAH (KHAYAL DAN ANGAN-ANGAN KOSONG)? (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:225)

  1. Yakni fikiran dan khayalan mereka merayau-rayau pemikirannya dengan tidak hala-tujuan dalam khayalan dan angan-angan kosong.
  2. Allah sebut ini tentang penyair/penulis upahan, yang menulis samada untuk menaikkan atau menjatuhkan seseorang dengan fitnah, umpatan kutukan cacian atau pujian melambung yang melampaui batas, memuji orang mati, atau memuji wanita sehingga menimbulkan berahi orang yang mendengarnya.
  3. Kata Ibnu Jarir at-Tobari: \”Allah s.w.t buat bandingan ini tentang penulis upahan\”.
    Samalah seperti para penulis, wartawan dan seumpamnya.

AYAT 226- {DAN BAHAWA MEREKA MEMPERKATAKAN APA YANG MEREKA TIDAK MELAKUKANNYA? (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:226)

  1. Mereka juga bercakap bohong serta tidak buat seperti apa yang mereka kata, sedangkan orang ramai akan percaya dan ikut apa yang mereka ucapkan.
    Lazimnya begitulah sifat para penyair itu sedangkan Rasulullah s.a.w tidak demikian.
  2. Begitulah hakikat masyarakat hari ini, begitu mudah percaya apa yang mereka baca dan terima dari media sosial. Tidak kira dari mana sumbernya, terus terima.
  3. Suasana zaman ledakan maklumat hari ini memang tidak terkawal, fitnah di sana sini, maka kitalah yang kena jaga dan kawal diri masing-masing sendiri.
  4. Kisah Imam Abu Hanifah dan penyair upahan yang pada awalnya mengejinya kemudian selepas dapat arahan dan upah lain, terus datang memujinya pula!!!

AYAT 227- {KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH (DARI KALANGAN PENYAIR-PENYAIR ITU), DAN MEREKA PULA MENGINGATI ALLAH BANYAK-BANYAK, SERTA MEREKA MEMBELA DIRI SESUDAH MEREKA DIANIAYA. DAN (INGATLAH), ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN SEBARANG KEZALIMAN, AKAN MENGETAHUI KELAK, KE TEMPAT MANA, MEREKA AKAN KEMBALI. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:227)

  1. Allah s.w.t nyatakan PENGECUALIAN, bukan semua penyair/penulis/sasterawan itu sesat dan karut, tetap ada dari kalangan penyair-penyair itu yang terpuji diredhai Allah s.w.t, yang beriman dan beramal soleh, mereka banyak mengingati Allah, syair-syair mereka berdasarkan kebenaran, indah dan sopan menggambarkan keEsaan lah s.w.t dan kebenaran Rasulullah s.a.w, kebenaran Islam dan hidayah petunjuk.
  2. Serta mereka membela diri sesudah dianiayai – yakni membalas balik syair-syair penghinaan Islam yang dibuat oleh kaum musyrikin. Rasulullah s.a.w juga pernah menyuruh para sahabat yang penyair ini untuk melakukan demikian.
    i- Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Hassan ibnu Thabit, \”Balaslah mereka (atau) seranglah syair mereka, dan semoga Allah akan memberimu bantuan melalui Jibril akan.\” [HR Muslim].
    ii- Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Sesungguhnya orang mukmin itu berjihad dengan pedang dan lisannya. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, sungguh apa yang kamu lontarkan melalui syairmu kepada mereka seakan-akan seperti lemparan anak panah.\” [HR
  3. Maka kita jika ada ilmu dan kuasa, wajib bangun nyatakan perkara yang benar dan apa yang salah, jika tidak ia akan dianggap sesuatu yang benar dan menjadi amalan turun temurun. Maka generasi akan datang, anak-cucu akan kutuk datuk neneknya yang diam tidak menyatakan kebenaran ini walaupun mereka orang berilmu dan tahu hakikat itu.
  4. Beberapa nama penyair Islam yang masyhur pada zaman Rasulullah s.a.w dan disokong oleh Baginda ialah Hassan bin Thabit r.a, Abdullah bin Rawahah r.a, Ka\’ab bin Malik, Ka\’ab bin Zuhair serta beberapa orang lagi.
    Mereka muncul silih berganti sehingga ke hari ini.
  5. Beberapa hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w mengakui dan memuji mereka ini:
    i- Rasulullah s.a.w pernah memuji satu syair salah seorang penyair Arab yang bernama Labid bin Rabi\’ah.
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَصدق كَلِمَةٍ قالها الشاعر كَلِمَةُ لَبِيدٍ أَلَا كُلُّ شَيْءٍ مَا خَلَا اللَّهَ بَاطِلٌ وكاد أمية بن أبي الصلت أن يسلم
    Dari Abu Hurairah dari Nabi s.a.w bersabda: \”Kalimat yang paling benar yang diucapkan oleh penyair adalah kalimat Labid: \”Ketahuilah segala sesuatu yang tidak berdasarkan kepada ajaran Allah adalah bathil (rosak dan binasa)\”. Dan hampir saja Umayyah bin Abu al-Shalt memeluk Islam\”. [HR Bukhari].
    ii- Dari Salamah bin Al Akwa\’ dia berkata: \”Aku pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju Khaibar, maka kami mengadakan perjalanan di malam hari, seorang anggota pasukan dari suatu Kaum berkata kepada \’Amir bin Al Akwa\’; \”Tidakkah kamu mau memperdengarkan kepada kami sajak-sajakmu? Salamah berkata; \’Amir memang seorang penyair, kemudian dia turun sambil menghalau unta dan bersyair:
    \”Ya Allah, kalau bukan kerana (Hidayah-Mu) maka tidaklah kami akan mendapat petunjuk,
    kami tidak akan bersedekah, dan tidak akan mendirikan shalat.
    Oleh kerana itu, ampunilah kami, sebagai tebusan Engkau atas kesalahan kami.
    Dan teguhkanlah pendirian kami jika bertemu dengan musuh.
    Tanamkanlah ketenangan di hati kami, apabila diteriaki kami kan datang. Dan dengan teriakan, mereka kan menangis kepada kami.\”
    Maka Rasulullah s.a.w bertanya, \”Siapakah orang yang menghalau unta sambil bersyair itu?\” mereka menjawab, \”Amir bin Al Akwa\’.\” Baginda s.a.w bersabda, \”Semoga Allah merahmatinya.\” [HR Bukhari].
    iii- Rasulullah Saw mengatakan bahawasanya terdapat kandungan hikmah dibalik bait-bait syair sebagaimana sabdanya:
    عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مِنْ الشِّعْرِ حِكْمَةً
    Dari Ubai bin Ka\’ab bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: \”Sesungguhnya terdapat hikmah diantara (bait-bait) syair\”. [HR Bukhari].
    iv- Dari Anas bin Malik r.a bahawa ketika Rasulullah s.a.w masuk ke Makkah pada masa umrah dan Abdullah bin Rawahah sedang berjalan di depan Baginda sambil bersyair:
    \”Berikan jalan kepada anak orang-orang kafir #
    Hari ini kami akan memukul kamu dirumah kamu;
    Dengan pukulan yang menghilangkan kesedihan dari peraduannya #
    Dan menjauhkan seorang kekasih dari kekasihnya.\”
    Umar r.a kemudian berkata kepadanya: Wahai Ibnu Rawahah dihadapan Rasulullah S.a.w dan di Tanah Haram kamu melantunkan syair?\’
    Kemudian Nabi S.a.w berkata kepada Umar: \”Biarkan dia wahai Umar! sebab ayat-ayat (syair) itu lebih cepat dan tajam (menusuk hati orang kafir) dari panahan busur panah.\” [HR at-Tirmizi].
  6. Pada akhir ayat ini, Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.}
    Kata ulama\’ dengan membaca ayat ini cukuplah untuk menjentik hati kita dan menjadi sekatan dalam segala tindakan. Orang-orang yang zalim baik dari kalangan penyair serta seluruh manusia, kelak pasti akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. Pasti akan menghadapi hisab, kemudian akan menerima pembalasan dari Allah s.w.t.
  7. Kamu jangan zalim jika kamu berkuasa, kerana orang yang berbuat zalim itu mungkin dapat tidur dengan lena, tetapi ingatlah orang yang dizalimi itu mungkin tidak tidur malam sedang berdoa ke atas kamu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah s.w.t mencela penyair yang suka buat syair untuk kutuk orang atau terlalu lagha dengan syair mereka
  2. Penyair yang bersyair untuk jaga kebenaran maka itu dipuji, tidak salah, tetapi jangan samapai habis dengan syair dan penulisan saja.
  3. Orang yang mulakan tulisan buat tuduhan kepada orang lain adalah orang yang zalim, manakala yang dituduh adalah orang yang dizalimi.
  4. Ayat (127) jika kamu tahu pengakhiran, dimanakah jatuh orang yang zalim akhirnya, kata ulama\’ salaf, cukuplah ayat dengan kata-kata yang pendek ini menjadi pengajaran, pendidikan dan pegangan kepada ummat untuk ingat ke mana akan jatuh orang yang zalim, walaupun lepas di atas dunia ini, di akhirat kelak kita tidak akan terlepas dari hukuman Allah s.w.t.
  5. Allah s.w.t sebutkan 4 sifat penyair/penulis yang baik:
    i- yang beriman kepada Allah s.w.t.
    ii- beramal soleh.
    iii- syair dan tulisan mereka pula banyak mengingati Allah, berdakwah kepada Allah dan mengajak kepada kebenaran dan menjauhkan keburukan.
    iv- serta mereka membela Islam dan diri sesudah dianiaya, yakni ketika perlu sahaja.

Alhamdulillah tamatlah kita Kuliah tafsir dan tadabbur Surah asy-Syu\’ara\’ ini dengan16 siri keseluruhannya.
جزاكم الله خيرا كثيرا

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs