Surah To-Ha : Ayat 17-23

\"\"

💎 Nabi Musa Menceritakan Fungsi Tongkatnya, Latihan Tongkat Menjadi Ular Dan Tangan Mengeluarkan Cahaya & Sifat Ular Dan Faedah Tongkat. 💎

♥ Live Pagi Jumaat 18 Ramadhan 1442H = 30/04/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Toha (03) Ayat [17-23] ♥
Full video: https://fb.watch/5bmMxi7cnh/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri yang lepas adalah episode pertama kisah Nabi Musa a.s a dalam surah ini. Iaitu perlantikanyna sebagai Nabi dan Rasul di lembah yang suci, Lembah Tuwa, di kaki gunung Tursina.
  2. Episod kedua bermula dengan ayat hari ini, iaitu persiapadan dan latihan dari Allah s.w.t untuk nabi Musa a.s sebagai persiapan untuk menghadapi Firaun yang zalim kejam, berkuasa dan sangat berpengaruh.
  3. Kebetulan Firaun dan kaumnya pada masa itu adalah taksub kepada sihir. Maka Allah s.w.t berikan mukjizay yang seumpamanya kepada Musa a.s.

🌺*Ayat 17- {\”Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?\”}
(Taha 20:17)

  1. Untuk menghilangkan takut dan gerun nabi Musa a.s, Allah s.w.t berinteraksi dengan bertanya kepadanya.
  2. Isyarat pertama ayat ini menunjukkan akan tongkatnya yang menjadi satu mukjizat.

🌺*Ayat 18- {Nabi Musa menjawab: \”Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu\”.}
(Taha 20:18)

  1. Nabi Musa a.s pun menjawab dengan panjang lebarnya sebagai satu peluang untuk bercakap panjang dengan Allah s.w.t.
  2. Sebenarnya sudah mencukupi jika dia menjawab: \”Ini ialah tongkatku.\” Tetapi Musa a.s menerangkan pula tentang beberapa kegunaan tongkatnya:
    i- aku bertekan atasnya semasa, berjalan,
    ii- dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku,
    iii- dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu.
  3. Berdasarkan jawapan Musa a.s yang ini, lalu ulama\’ membawakan beberapa lagi fungsi kegunaan tongkat:
    i- Boleh dipacak sebagai \’sutrah\’ dinding untuk solat.
    ii- sebagai menghalau haiwan.
    iii- sebagai tempat bertongkat apabila berjalan.
    iv- untuk jaga diri daripada tergelincir.
    v- Boleh juga dijadikan payung untuk berlindung daripada panas.
    vi- untuk mendekatkan benda yang jauh.
    vii- Untuk mengetuk pintu.
    viii- sebagai senjata daripada anjing dan haiwan liar lain.
    ix- Untuk dipegang semasa khutbah sebagai satu kerasmian.
  4. Ada riwayat yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas r.a, bahawa dia berkata: Memegang tongkat itu sunnah para anbiya\’, maka elok juga untuk para mukmin memegangnya, lebih-lebih lagi yang sudah berumur
  5. Kata al-Hasan al-Basri, ciri-ciri keistimewaan tongkat:
    i. Sunnah para anbiya\’. Gaya hidup para nabi.
    ii. Perhiasan orang soleh.
    iii. Senjata untuk melawan musuh.
    iv. Bantuan untuk orang lemah.
    v. Menyusahkan orang munafik. Mereka tidak suka bertongkat.
    vi. Menambahkan ketaatan, yakni sebagai bantuan dalam ibadat.

🌺*Ayat 19- {Allah Taala berfirman: \”Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!\”}
(Taha 20:19)

  1. Maka bermula sesi latihan. Allah s.w.t berfirman, memerintahkan Musa a.s untuk mencampakkan tongkatnya.

🌺*Ayat 20- {Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.}
(Taha 20:20)

  1. Lalu Musa a.s mencampakkannya, tiba-tiba tongkatnya itu bertukar menjadi seekor ular yang bergerak menjalar!!!
  2. Betul-betul seekor ular yang hakiki, besar dan bergerak laju.

🌺*Ayat 21- {Allah berfirman: \”Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.}
(Taha 20:21)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Musa a.s yang sedang terkejut itu supaya jangan takut dan untuk menangkap ular itu.
  2. Allah juga berfirman bahawa ular itu tidak akan memudaratkan Musa a.s dan akan kembali kepada keadaannya asalnya sebagai sebuah tongkat apabila ditangkap Musa a.s. kerana itu jangan takut, ia adalah ular yang berasal dari tongkatnya.
  3. Boleh dibayangkan bagaiman paniknya nabi Musa a.s dalam Firman Allah s.w.t ini:
    {Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): \” Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut.} [An-Naml: 10].

🌺*Ayat 22- {\”Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.}
(Taha 20:22)

  1. Allah s.w.t memerintahkan pula Musa a.s untuk memasukkan tangan kanannya ke dalam belahan bajunya, kemudian kepit di bawah ketiak kirinya kemudian apabila dibawa keluarnya tangan akan menjadi putih bersinar. Ini sebagai satu mukjizat, bukan putih kerana penyakit sofak atau sebagainya.
    Firman Allah s.w.t: {\”Dan masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat (ini ialah) di antara sembilan mukjizat (yang membuktikan kebenaranmu), untuk dibawa kepada Firaun dan kaumnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik – derhaka.} (An-Naml 27:12)
  2. Ini adalah mukjizat dan latihan amali kedua Musa a.s sebagai persediaan untuk menghadapi Firaun dan kaumnya.

🌺*Ayat 23- {\”(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.}
(Taha 20:23)

  1. Ini adalah untuk memperlihat kepada nabi Musa a.s tanda-tanda dalil kekuasaan Allah, diberikan mukjizat sebagai tanda persiapan alat untuk menerima arahan-Nya.
  2. Allah s.w.t lantik Musa a.s kemudian diberi taklimat dan latiham. Yakni boleh dikatakan sebagai satu latihan dan taklimat akan bidang tugas Musa a.s selepas dilantik menjadi seorang nabi dan rasul.
  3. Untuk membuktikan benarnya kerasulan yang dilantik ini lalu menenangkan hati Musa a.s.
  4. Supaya Musa a.s yakin dan percaya dengan janji Allah s.w.t untuk menjaga dan memberi pertolongan kepadanya, sebagai hujjah kepada dakwahnya nanti.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas dari sudut ilmiah dan tarbawiyah:

  1. Apa faedah Allah s.w.t bertanya kepada Musa a.s: Ayat 17- {\”Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?\”}
    Sedangkan Allah, Dia Maha Mengetahui segalanya? Ulama\’ kata ada 4 sebab:
    i- Tujuannya supaya Musa a.s jawab apa yang ada ditangannya adalah sebatang tongkat kayu. Supaya Musa a.s sedar bahawa apa yang akan berlaku sekejap lagi adalah dengan kekuasaan Allah s.w.t. asal kayu jadi ular.
    ii- Allah s.w.t mahu tenangkan hati Musa a.s. yang sedang berdebar dan hilangkan ketakutan, seorang diri dilembah yang sunyi.
    iii- Supaya Musa a.s mengakui apa yang ada ditangannya adalah sebatang tongkat kayu yang tidak boleh bergerak.
    iv- Untuk menunjukkan satu hujjah dalil bahawa Allah s.w.t berkuasa melakukan apa saja, dari tiada kepada ada. Ini kerana Musa a.s akan menghadapi kaum kafir yang tidak menerima kebangkitan dan hidup semula.
  2. Allah s.w.t hanya tanya sepatah sahaja, apa ada di tanganmu. Tetapi kerana soalan itu boleh mempunyai banyak jawapan, nabi Musa a.s beradab dengan Allah s.w.t, , lalu menjawabnya penuh dan terperinci.
  3. Soalan pendek tetapi diberi jawapan yang lengkap adalah satu sifat yang penting bagi seorang pendakwah. Contoh jawapan Rasulullah s.a.w apabila ditanya tentang hukum air laut. Sabdanya:
    \”Air laut itu suci, (dan) halal bangkainya.\” [HR Abu Daud, Tirmizi, an-Nasa-i].
  4. Firman Allah s.w.t: Ayat 19- {Allah Taala berfirman: \”Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!\”} Kenapa ketika Musa a.s sedang beribadat Allah s.w.t menyuruh ini:
    Kerana sebagai satu latihan dan ajaran amali untuk nabi Musa a.s supaya dia tidak kekok nanti apabila menghadapi musuhnya Firaun dan kaumnya.
    ** Bagi pendakwah sepanjang zaman juga; inilah pentingnya latihan amali dalam dakwah, supaya tidak kekok dan yakin bila berdepan dengan masyarakat.
  5. Jenis dan sifat ular: Ada tiga sifat yang disebut dalam al-Quran tentangnya.
    i- Firman Allah s.w.t: Ayat 20- {Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.}
    حَيَّةٌ تَسْعَىhayyah- ular kecil yang menjalar pada awalnya.
    ii-Firman Allah s.w.t: {Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.} [Al-A\’raaf: 107]. ثُعْبَانٌ مُبِينٌ
    Sekarang berubah pula menjadi seekor ular besar (Thu\’ban mubin) yang jelas dan nyata.
    iii- Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): \” Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut.} [An-Naml:10] كَأَنَّهَا جَانٌّ
    Seekor ular besar yang bergerak cepat tangkas.
    ** Yakni sifat ular daripada tongkat nabi Musa a.s itu amat pelik; pada awalnya ular kecil (hayyah) berkembang menjadi ular yang besar (thu\’ban} , tetapi walaupun besar bergerak pantas (jaann) dan boleh melompat seperti ular yang kecil.
    Ini kerana ia adalah mukjizat, bukan sihir biasa yang diamalkan
  6. Ayat 21, Allah berfirman: {… dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.}
    Maksudnya janganlah engkau takut, ular itu akan kembali menjadi tongkat semula.
  7. Memang naluri manusia takut dan geli kepada sesuatu benda yang menyakiti, membahayakan dan menjijikkannya.
  8. Kata ulama\’ beberapa kemuliaan yang Allah s.w.t berikan kepada Musa a.s:
    i- Dilahirkan tongkat menjadi ular. Tongkat itu ada ditangannya, bila-bila masa dia perlu boleh digunakan.
    ii- Mukjizat ini telah dicuba, diuji, terbukti bila campak akan terus jadi ular. Allah s.w.t permudahkan urusan Musa a.s .
    iii- Allah mahu supaya nabi Musa a.s tenang dan yakin untuk berlawan dengan Firaun nanti kerana dia sudah ada kepakaran yang Allah s.w.t beri.
    Sekali lagi menekankan betapa pentingnya latihan amali dakwah. Bukan sekadar teori tetapi amali juga.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs